15 Februari 2012

KENALI LAGENDA: GEORGE BEST


George Best dianggap pemain sayap paling berbakat pernah dilahirkan dalam saingan bolasepak Inggeris hingga kehari ini.  Dilahirkan pada 22 Mei 1946 di Belfast, Ireland Utara, Best memiliki raut wajah umpama bintang rock n roll di zamannya.  Tidak hairanlah, Best bukan saja menjadi perhatian di dalam padang kerana bakat besarnya dalam bolasepak, tetapi juga di luar padang kerana ketampanannya. Memiliki kepantasan, keseimbangan, visi dalam permainan, kawalan bola yang cukup mengagumkan, kemampuan mencipta peluang dan mampu menjaringkan gol dalam situasi sukar adalah antara cerita di sebalik kerjaya gemilang Best bersama Manchester United.  Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa Best adalah pelopor kepada lagenda nombor 7, angka keramat pada jersi merah Manchester United yang hanya digunakan oleh pemain yang dianugerahkan bakat luarbiasa di Old Trafford.  

Bakat Best berjaya dikesan oleh pencari bakat terkenal ketika itu, Bob Bishop yang kemudian membawanya bertemu Sir Matt Busby.  Dalam telegram yang diutuskan kepada Busby, Bishop mengatakan bahawa dia telah menemui seorang yang `genius'. Best yang ditolak oleh kelab-kelab di Ireland Utara kerana susuk tubuhnya yang kurus menjadi pemain profesional pada 17 Mei 1963, membuat penampilan sulung pada 14 September 1963 menentang West Bromwich Albion di Old Trafford. Best  menjaringkan gol pada penampian kedua menentang Burnley pada 28 Disember dan beliau kemudiannya sering digunakan Busby menjelang awal tahun baru hingga ke akhir musim.  Best bermain sebanyak 26 perlawanan dan menjaringkan enam gol pada musim pertamanya bersama United, lantas berjaya mengetuk pintu skuad kebangsaan dan memperolehi caps pertamanya bersama skuad  Ireland Utara.  Pada musim 1964/65, bersama-sama Denis Law, Bobby Charlton dan David Herd, mereka muncul watak utama di sebalik gelaran liga pertama United selepas era `tragedi Munich'.  Musim berikutnya, Best dilihat seperti `berseorangan' ketika United menyingkirkan Benfica dengan agregat 8-3 di peringkat suku akhir Piala Eropah.  Best menjaringkan dua gol di sebalik kemenangan 5-1 United pada perlawanan kedua di gelanggang lawan sehingga digelar `El Beatles' oleh media-media Portugal.  

Setahun selepas itu (musim 1967/68), Best sekali lagi bertindak cemerlang mengecewakan Benfica, kali ini di perlawanan akhir Piala Eropah, sekaligus menghadiahkan kejuaraan sulung United dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.  Best menjaringkan satu gol pada pertemuan yang dilangsungkan di Stadium Wembley itu.  Prestasi gemilang Best yang muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 28 gol pada musim tersebut (1967/68), diiktiraf apabila beliau  dianugerahkan pemain terbaik PFA dan Eropah.  Best juga mencatat rekod kelab dengan muncul sebagai penjaring terbanyak United selama enam musim berturut-turut.  Sebaik era Busby Babes berakhir, karier El Beatles bersama United pula semakin berada di penghujung. Best meninggalkan United 'buat sementara' pada 1972 sebelum kembali semula namun jodohnya bersama The Red Devils berakhir pada usia terlalu muda iaitu 27 tahun. Sepanjang karier 11 tahunnya di Old Trafford (1963-74), Best telah bermain sebanyak 470 perlawanan dan menjaringkan 179 gol untuk United dalam pelbagai kejohanan.  Antara yang paling diingati adalah sumbangan enam golnya ketika United menewaskan Northampton Town (8-2) di pusingan kelima Piala FA pada 1970.  Gol terakhir jaringan Best buat United ialah pada 15 Disember 1973, ketika mereka menewaskan Coventry City 3-2 di gelanggang sendiri, manakala perlawanan kompetitif terakhirnya bersama United ialah pada 1 Januari 1974 menentang Queens Park Rangers di Loftus Road, di mana United tewas 0-3 dalam perlawanan tersebut. Tahun berikutnya Best menyertai kelab-kelab kecil serata dunia terutamanya di Afrika Selatan, Ireland Utara, Amerika Syarikat, Scotland dan Australia. Best bersara sepenuhnya dari arena bolasepak pada 1984 bersama kelab Ireland Utara, Tobermore United dan kemudiannya bergelut dengan berbagai masalah peribadi serta ketagihan alkohol yang serius sehingga kematiannya pada bulan November 2005.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan