16 Februari 2012

PREVIEW: AJAX AMSTERDAM lwn MANCHESTER UNITED


Pertembungan Ajax Amsterdam dan Manchester United pada perlawanan pertama pusingan 32 pasukan Liga Europa awal pagi esok dijangka bakal menaikkan rating siaran televisyen. Perlawanan `heavyweight'  dua kuasa besar dari dua negara itu pastinya mengangkat martabat pertandingan Liga Europa itu sendiri selepas kedua-dua kelab tersingkir dari saingan elit Liga Juara-Juara musim ini. Ajax  mempamerkan aksi terpuji dalam saingan Liga Juara-Juara apabila mereka hanya tewas kepada Real Madrid dalam kumpulan D, namun gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya menerusi perbezaan jaringan dengan Olympique Lyon.  Walau bagaimanapun, prestasi semasa skuad kendalian Frank de Boer itu dalam saingan Eredivisie agak membimbangkan apabila mereka hanya menduduki tangga keenam liga ketika ini, selain berdepan krisis kecederaan yang melibatkan tujuh tonggak utama mereka.  Di sebalik prestasi tidak menentu mereka ketika ini, kapten pasukan, Jan Vertonghen melaungkan amaran bahawa pasukannya memiliki motivasi lebih tinggi berbanding United dalam perlawanan ini.  "Posisi kami dalam liga domestik ketika ini sedikit mengecewakan.  Hanya kemenangan dalam perlawanan ini dapat menaikkan kembali moral kami sedangkan Manchester United masih mempunyai banyak pilihan menentukan haluan mereka musim ini", kata pemain yang dikatakan menjadi sasaran Liverpool dan Arsenal itu.  Bagi perancang Ajax, Christian Eriksen yang dikatakan menjadi sasaran utama United musim panas nanti, perlawanan ini pastinya menjadi pentas terbaik untuknya membuktikan bahawa dia memang layak menyertai skuad The Red Devils musim depan.  Bagi de Boer sendiri, perlawanan awal pagi esok bakal menawarkan peluang terbaik buat Eriksen yang baru menyambut ulang tahun ke-20 baru-baru memperagakan aksi terbaiknya bagi menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah.

Bagi pengurus Manchester United pula, beliau tidak mahu memandang rendah saingan Liga Europa meskipun pasukannya tersingkir dari saingan elit Liga Juara-Juara musim ini.  Ferguson harus menelan hakikat yang pasukannya bakal beraksi dalam saingan `kelas dua' itu selepas mereka mempamerkan aksi kurang konsisten di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara hingga menyaksikan mereka gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati buat pertama kali sejak 1995.  Ferguson yang masih belum memenangi trofi (Liga Europa) ini dalam kariernya sebagai pengurus United mampu melakukannya musim ini, tetapi harus melepasi halangan Ajax terlebih dahulu.  Untuk itu, Ferguson sendiri telah membawa skuad terkuatnya ke Amsterdam Arena bagi pertembungan ini.  "Saya menganggapnya serius.  Perkara terbaik mengenai perlawanan Khamis ini ialah, tiada perlawanan liga pada hari Sabtu nanti dan saya berpeluang menurunkan skuad terkuat.  Pertandingan ini adalah di peringkat Eropah dan tahapnya tetap bagus", kata Ferguson. Ferguson juga dilihat cukup teruja menjelang pertembungan ini memandangkan ini juga adalah perlawanan pertama membabitkan kedua-dua pasukan dalam tempoh 35 tahun di peringkat Eropah.  Kali terakhir pertembungan kedua-dua pasukan ialah ketika saingan Piala UEFA musim 1976/77 di mana United berjaya menyingkirkan Ajax dengan aggregat 2-1 di pusingan pertama.  "Saya rasa cukup menakjubkan apabila memikirkan selama 55 tahun kami bersaing di Piala Eropah (Liga Juara-Juara), kami tidak pernah menghadapi Ajax.  Jika anda imbas kembali keputusan undian yang lalu, kami tidak pernah bertemu mereka.  Stadium akan penuh dan kami akan bermain di hadapan ribuan penyokong.  Prestasi mereka tidak begitu baik ketika ini tetapi apabila berdepan United, mereka pastinya mempunyai motivasi untuk bermain dengan baik" kata Ferguson.  Kunjungan United ke Amsterdam Arena tanpa kelibat Ryan Giggs dan Patrice Evra yang direhatkan manakala Chris Smalling, Ashley Young, Tom Cleverley, Nani dan Phil Jones yang baru pulih dari kecederaan disenaraikan dalam skuad.  Turut serta ialah dua pemain muda Ezekiel Fryers dan Paul Pogba.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea,  Rafael da Silva, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Paul Scholes, Park Ji-Sung, Michael Carrick, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Danny Welbeck

Tiada ulasan:

Catat Ulasan