Sir Alex Ferguson mendakwa United sepatutnya
dihadiahkan sepakan penalti selepas Wayne Rooney dikasari Steven Caulker namun
insiden di minit ke-63 itu tidak dapat dikesan Chris Foy dan pembantunya Simon
Beck. Berang selepas pasukannya dinafikan sepakan penalti, Sir Alex menyalahkan
pembantu pengadil Simon Beck kerana gagal mengesan insiden tersebut dan
menyebut prestasi penjaga garisan itu sebagai terlalu buruk. United memimpin
perlawanan menerusi gol Robin Van Persie di separuh masa pertama namun Clint
Dempsey muncul pemusnah apabila menjaringkan gol penyamaan lewat permainan
hingga menyebabkan Sir Alex merasakan kekecewaan berganda dari perlawanan ini.
Bukan saja yakin bahawa pasukannya berhak untuk mendapatkan sepakan penalti
(selepas Rooney dikasari Caulker), bahkan Sir Alex menilai penjaga garisan itu
`memusuhi’ pasukannya. “Penjaga garisan tidak memberikan kami apa-apa sepanjang
perlawanan. Prestasinya sungguh buruk. Bukan saja dia tidak memberikan penalti
kepada Rooney tetapi beberapa keputusannya merugikan kami”, kata Sir Alex. Sir
Alex lantas mengimbas kembali ketika pertemuan United menentang Chelsea musim
lalu di mana Beck turut ditugaskan sebagai penjaga garisan. “Kami masih
mengingati keputusan yang dilakukannya ketika menentang Chelsea musim lalu. Dia
gagal mengesan kedudukan Didier Drogba yang berada pada posisi offside biarpun Drogba berada dua meter
di belakang barisan pertahanan kami”, tambah Sir Alex lagi. Keputusan seri yang
dicatatkan United menyaksikan The Red
Devils berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ketika menentang Spurs
di White Hart Lane dalam 12 perlawanan sejak 2001. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
21 Januari 2013
REVIEW: DEMPSEY MUSNAHKAN IMPIAN TIGA MATA PENUH UNITED
Clint Dempsey menafikan Manchester United
dari memungut tiga mata penuh di White Hart Lane menerusi gol penyamaan lewat
permainan pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu. Selepas mendahului menerusi
jaringan Robin Van Persie di separuh masa pertama, United akhirnya terpaksa berkongsi
mata sekaligus menyaksikan kelebihan mereka di tangga teratas liga kini
mengecil kepada lima mata. Meskipun pada awalnya timbul kebimbangan pertembungan
Spurs – United itu akan ditangguhkan berikutan cuaca buruk akibat salji tebal
yang melanda ibukota London, perlawanan akhirnya dapat dimulakan mengikut
jadual. Spurs menurunkan Scott Parker menggantikan Sandro yang mengalami
kecederaan dengan formasi 4-2-3-1 manakala United pula meletakkan Phil Jones dalam
kesebelasan utama untuk mengimbangi ancaman Gareth Bale. Meskipun pada mulanya
Wayne Rooney dijangka berpasangan dengan Robin Van Persie di barisan hadapan,
Sir Alex sebaliknya memilih Danny Welbeck yang beraksi cemerlang ketika
menentang Liverpool minggu lalu dalam kesebelasan permulaan. Tempo perlawanan
terutamanya di awal babak pertama sedikit perlahan sehinggalah Phil Jones
memperolehi peluang terbaik menerusi hantaran silang Van Persie di minit ke-13.
Tuan rumah kemudiannya bertindak balas apabila rembatan Aaron Lennon berjaya
ditepis David de Gea tetapi Jerman Defoe yang cuba mengambil kesempatan dari situasi
bola muntah sudah berada di posisi offside.
Kebuntuan akhirnya terlerai apabila Van Persie menanduk masuk untuk gol
pembukaan perlawanan selepas menerima hantaran Tom Cleverley di minit ke-25.
Tersentak dengan gol pembukaan Van Persie,
Spurs menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dan memperolehi peluang
terbaik menerusi dua percubaan dari Defoe dan Bale namun berjaya dihalang De
Gea. Di babak kedua tuan rumah terus berusaha
memburu gol penyamaan, kali ini menerusi gerakan satu dua Dempsey dan Moussa
Dembele. Biarpun cuma berdepan De Gea, tendangan kaki kiri Dempsey berjaya di halang
penjaga gol United itu dan Spurs sekadar memperolehi sepakan sudut. Rooney
akhirnya merasai aksi liga pertamanya dalam tempoh tiga minggu apabila masuk
menggantikan Shinji Kagawa diminit ke-62. Kehadiran Rooney segera meninggalkan
impak apabila seminit selepas itu dia dikasari Steven Caulker di dalam petak
penalti namun rayuannya untuk mendapatkan sepakan penalti tidak dilayan Chris Foy.
Gempuran tuan rumah semakin menjadi-jadi terutama di penghujung permainan namun
De Gea bertindak cemerlang dalam perlawanan ini untuk menafikan peluang-peluang
yang dicipta tuan rumah menerusi Bale, Dempsey dan Lennon. Ketika pemainan
memasuki waktu kecederaan, dan United mula berkira-kira untuk membawa pulang
tiga mata penuh dari White Hart Lane, Dempsey muncul pemusnah apabila dia
berjaya menyambar bola hantaran Lennon untuk menjaringkan gol penyamaan tuan
rumah. Gol penyamaan Dempsey itu menyaksikan Spurs berjaya meneruskan rekod
tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan sejak kali terakhir tewas 1-2 kepada
Everton 9 Disember lalu manakala United pula gagal menebus kekalahan mereka di
tangan lawan pada pertemuan pertama di Old Trafford. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Statistik Perlawanan Spurs – United:
Sepakan Sudut: 9 – 4
Percubaan Tepat: 8 – 2
Percubaan Tersasar: 5 – 2
Kekasaran: 7 – 14
Offside: 1 – 7
Kad Kuning: 1 – 4
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 57% - 43%
Gol: 1 – 1
Susunan Pemain Spurs: Hugo Lloris, Michael
Dawson, Steven Caulker, Kyle Walker, Kyle Naughton (Benoit Assou-Ekotto 64’),
Scott Parker (Tom Huddleston 80’), Moussa Dembele, Clint Dempsey, Gareth Bale,
Aaron Lennon & Jermain Defoe
Susunan Pemain United: David de Gea, Rio
Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Patrice Evra, Phil Jones, Michael
Carrick, Tom Cleverley (Antonio Valencia 75’), Danny Welbeck, Shinji Kagawa
(Wayne Rooney 62’) & Robin Van Persie
20 Januari 2013
PREVIEW: TOTTENHAM HOTSPURS lwn MANCHESTER UNITED
Scott Parker akan menggantikan tempat Sandro
selepas pemain yang berasal dari Brazil itu disahkan terkeluar sepanjang baki
saingan musim ini akibat kecederaan. Villas-Boas juga kehilangan khidmat pertahanan
berpengaruh, William Gallas dan Younes Kaboul yang masing-masing belum pulih
dari masalah betis dan lutut. Tugas menjaringkan gol bakal dipikul Jermain
Defoe selepas Emmanuel Adebayor beraksi untuk Togo pada saingan Piala
Negara-Negara Afrika yang akan bermula hari ini. Statistik jaringan Defoe agak
membimbangkan Villas-Boas selepas penyerang itu tidak menjaringkan gol sejak Boxing Day dan hanya menjaringkan satu
gol dari tujuh penampilan terakhirnya. Bagi United pula, Wayne Rooney akan kembali
digandingkan bersama Robin Van Persie buat pertama kali dalam tempoh tiga
minggu selepas pulih dari kecederaan lutut. Rooney yang menjaringkan gol
pertama United ketika mereka menewaskan West Ham namun terlepas sepakan penalti
tetap menjadi pilihan utama Sir Alex Ferguson biarpun beliau memiliki Javier
Hernandez dan Danny Welbeck sebagai pilihan. Hernandez sudah menjaringkan 8 gol
dalam saingan liga setakat ini manakala Welbeck diberikan pujian oleh Sir Alex
ketika berdepan West Ham, namun kedua-duanya akan diletakkan di bangku
simpanan. Jonny Evans dan Ashley Young disahkan terlepas aksi di White Hart
Lane selepas masing-masing belum pulih dari kecederaan manakala Darren Fletcher
akan diketepikan sehingga penghujung musim kerana menjalani pembedahan akibat
masalah usus, sekaligus membuka peluang buat Nani tampil dalam kesebelasan
utama perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta Perlawanan:
- Kekalahan terakhir United di White Hart
Lane ialah pada 19 Mei 2001 di mana Willem Korsten menjaringkan dua gol di
sebalik kemenangan 3-1 mereka ke atas The
Red Devils.
- Spurs menjaringkan hanya tujuh gol di
separuh masa pertama sepanjang saingan liga setakat ini sekaligus catatan
paling rendah berbanding kelab-kelab Liga Perdana yang lain.
- Robin Van Persie menjaringkan lima gol
ketika menentang Spurs semasa bermain untuk Arsenal.
- Ryan Giggs akan tampil buat kali ke 650
dalam aksi liga jika diturunkan dalam perlawanan ini.
Barisan Kemungkinan Spurs:
Hugo Lloris, Jan Vertonghen, Michael Dawson,
Kyle Walker, Kyle Naughton, Aaron Lennon, Moussa Dembele, Gareth Bale, Scott
Parker, Clint Dempsey & Jermain Defoe
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand,
Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Antonio Valencia, Michael Carrick, Tom
Cleverley, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie
19 Januari 2013
SELEPAS DUA DEKAD...
![]() |
| Kevin bersama Giggs 20 tahun lalu |
![]() |
| Foto terkini Kevin bersama Giggs |
Seorang peminat Manchester United, Kevin
Ashford memuatnaik gambar beliau di internet bersama lagenda Manchester United,
Ryan Giggs yang dirakam di Carrington kira-kira 20 tahun lalu. Lebih menarik
lagi, selepas 20 tahun gambar tersebut dirakamkan, Kevin berpeluang bertemu Giggs
semula, dan merakamkan gambarnya sekali lagi bersama lagenda hidup United itu.
Gambar pertama yang dirakamkan oleh bapa Kevin, Cliff menunjukkan beliau
berdiri di sebelah Giggs yang ketika itu menggunakan kereta VW merah, manakala
gambar kedua pula menunjukkan Kevin dan anaknya bersama Giggs yang kini menggunakan
Range Rover hitam. Selepas 20 tahun berlalu, daripada seorang kanak-kanak
kecil, Kevin kini sudahpun menjadi bapa yang berusia 30 tahun, dan daripada VW,
Giggs kini menggunakan Range Rover pula. Segala-galanya sudah berubah tetapi
hanya satu perkara yang masih kekal sejak 20 tahun yang lalu, iaitu Giggs masih
terus bermain untuk Manchester United. Kevin Ashford dari Levenshulme memuatnaik
gambar beliau bersama Giggs di Twitter dan telah di retweeted lebih dari 1,300 kali bukan saja dari kalangan penyokong
United tetapi juga dari penyokong lawan yang kebanyakkannya begitu menghargai
dan kagum dengan pencapaian serta sumbangan besar yang diberikan lagenda itu
kepada United selama ini. Dua dekad lalu, Kevin merupakan pelajar di Sekolah St
Mary dan kini beliau bertugas sebagai pemandu dan steward di Old Trafford. Menceritakan tentang gambar yang
dirakamkan oleh ayahnya dua dekad lalu, Kevin berkata, “Ketika saya masih
kanak-kanak, ayah akan membawa saya ke padang latihan United ketika cuti
sekolah. Saya masih ingat, ketika itu tempat latihan United benar-benar terbuka
di mana anda boleh berjalan di sebelah Peter Schmeichel dan Eric Cantona. Ketika
itulah ayah merakamkan gambar saya bersama Giggsy. Masa terus berlalu di mana saya
membesar, berkahwin dan mempunyai seorang anak tetapi dia masih lagi bermain
dan apa yang dilakukannya adalah luar biasa”, kata Kevin. Menurut Kevin lagi,
beliau terkejut dengan sambutan di Twitter selepas gambar itu dimuatnaik dan
menganggap pencapaian yang dilakukan Giggs mungkin tidak akan dapat diulangi
oleh mana-mana pemain selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
17 Januari 2013
REKOD BURUK PENALTI UNITED SEMAKIN PANJANG
Manchester United sudahpun menempah slot ke
pusingan keempat Piala FA selepas menewaskan West Ham 1-0 pada perlawanan
ulangan awal pagi tadi. Bagaimanapun kejayaan United mara ke pusingan
seterusnya untuk berdepan Fulham pada 26 Januari ini diselubungi kegagalan
Wayne Rooney menyempurnakan sepakan penalti diminit ke-79. Mujurlah kegagalan
Rooney (menyempurnakan sepakan penalti) tidak menjejaskan peluang United mara
ke pusingan keempat ketika dia berpeluang menamatkan terus cabaran pelawat yang
ketika itu cuba memburu gol penyamaan selepas ketinggalan 0-1. Kegagalan Rooney
menyempurnakan sepakan penalti awal pagi tadi memanjangkan rekod buruk pemain-pemain
United ketika mengambil sepakan tersebut kepada lima kali musim ini. Secara
keseluruhannya, United dihadiahkan 12 sepakan penalti setakat ini dalam semua
kejohanan di mana Rooney gagal menyempurnakan sepakan itu sebanyak dua kali diikuti
masing-masing sekali oleh Robin Van Persie, Nani dan Javier Hernandez. Adakah
lima sepakan penalti yang tersasar setakat ini disebabkan faktor nasib atau
pemain-pemain United sendiri perlu belajar dari penyerang Southampton, Rickie
Lambert tentang bagaimana caranya mengambil sepakan penalti yang betul. Lambert
mempunyai statistik yang hebat ketika mengambil sepakan penalti apabila beliau
berjaya menyempurnakan kesemua 31 sepakan yang diambilnya. Andainya mahu
menoleh ke belakang pula, jadikan Matthew Le Tissier sebagai motivasi apabila
lagenda Southampton itu berjaya menyempurnakan 47 dari 48 sepakan penalti yang
diambil sepanjang kariernya. Jika mahu belajar dari pemain yang lebih hebat,
pemain-pemain United juga boleh menjadikan Johnny Hubbard sebagai contoh
terbaik. Pemain yang beraksi untuk kelab Scotland, Glasgow Rangers dari tahun
1949 hingga 1959 itu memang dikenali sebagai pakar dalam mengambil sepakan
penalti apabila beliau berjaya menyempurnakan 57 sepakan penalti
berturut-turut. Secara logiknya, sepakan penalti adalah cara paling mudah untuk
menghasilkan gol, tidak seperti gol padang yang memerlukan gerakan-gerakan
menarik dari rakan sepasukan ataupun hantaran-hantaran berkualiti untuk
disudahkan oleh seorang pemain. Jadi jika sesebuah pasukan dihadiahkan sepakan
penalti tidak kira berpunca dari kekasaran ataupun bola terkena tangan pemain
lawan, pemain yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut perlu mengambil
kesempatan yang diberikan pengadil untuk menjaringkan gol. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN
Sir Alex memuji penampilan Ryan Giggs selepas
bintang veteran itu mengetuai skuad The
Red Devils membenam cabaran West Ham pada perlawanan ulangan pusingan ketiga
Piala FA di Old Trafford awal pagi tadi. Sir Alex melihat Giggs masih mampu
bermain dan memberikan aksi terbaiknya biarpun bakal mencecah usia 40 tahun pada
23 November nanti. Selepas menyaksikan Giggs bermain 90 minit permainan pagi
tadi, bos United itu berharap agar bintang veterannya itu mula memikirkan
langkah untuk melanjutkan kontraknya bersama United untuk tempoh setahun lagi.
Kontrak Giggs bersama United akan berakhir penghujung musim ini dan pada usia
mencecah hampir 40 tahun aksinya dilihat masih tangkas ketika melakukan
gerakan-gerakan memecah benteng pertahanan Hammers.
“Saya berharap Ryan akan bermain untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi. Tiada tanda-tanda
keletihan yang menjejaskan permainannya. Kualiti dirinya masa di tahap sama dan
dia memiliki keseimbangan dalam permainan yang cukup luar biasa. Dia sentiasa
laparkan kejayaan dan itu menjadikannya pemain yang luar biasa”, kata Sir Alex.
Giggs yang sudah berdepan Hammers
sebanyak 17 kali sepanjang kariernya bagaimanapun mengakui bahawa prestasinya
kini semakin menurun disebabkan faktor usia. “Saya merasakan bahawa saya bukan
lagi pemain yang sama seperti tujuh atau lapan tahun tahun yang lalu. Ketika
ini saya hanya mahu menikmati permainan jika pengurus menurunkan saya”, kata
Giggs. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
REVIEW PIALA FA: UNITED LOLOS KE PUSINGAN KEEMPAT
Manchester United lolos ke pusingan keempat saingan
Piala FA selepas menyingkirkan West Ham pada perlawanan ulangan yang diadakan
di Old Trafford awal pagi tadi. Selepas terikat 2-2 pada perlawanan pertama di
Boleyn Ground, United akhirnya berjaya menyingkirkan skuad kendalian Sam Allardyce
hasil jaringan tunggal perlawanan menerusi Wayne Rooney. Rooney memilih waktu
yang tepat untuk menjaringkan gol pada penampilan pertamanya selepas diketepikan
selama tiga minggu akibat kecederaan, sekaligus membawa United mara ke pusingan
seterusnya dan bakal bertemu satu lagi kelab Liga Perdana dari kota London,
Fulham. Sir Alex Ferguson melakukan perubahan besar pada skuadnya kali ini
dengan merehatkan beberapa tonggak utama sebagai persediaan menjelang pertemuan
penting aksi liga menentang Tottenham Hotspurs di White Hart Lane hujung minggu
ini. Selain Rooney, Anderson dan Nani juga tampil buat pertama kali selepas
berehat panjang akibat masalah hamstring manakala di benteng pertahanan tiada
kelibat Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Patrice Evra seperti biasa. Sir Alex
sebaliknya meletakkan kombinasi Chris Smalling dan Phil Jones di bahagian
tengah pertahanan manakala Alexander Buttner pula menggantikan Evra. Penjaring
terbanyak liga setakat ini, Robin Van Persie diletakkan di bangku simpanan
dengan Sir Alex memilih gandingan Javier Hernandez dan Wayne Rooney di barisan
hadapan.
United tidak memerlukan tempoh yang lama
untuk menghasilkan gol pertama selepas Hernandez berjaya melepasi perangkap
offside lawan, sebelum melakukan hantaran yang berjaya disudahkan Rooney
diminit ke-9. Selepas gol itu, United dilihat mengendurkan tempo permainan
mereka dan peluang ini digunakan pelawat untuk meningkatkan tekanan terhadap
benteng pertahanan United. Walau bagaimanapun barisan hadapan Hammers yang diketuai Carlton Cole gagal
memberikan ancaman serius terhadap Anders Lindegaard yang diberikan tugas mengawal
gawang United. Babak kedua tempo permainan masih tidak berubah dengan pelawat
sedikit menguasai permainan tetapi mereka tetap gagal mencipta peluang terbaik
untuk menyamakan kedudukan. Hernandez terlepas peluang untuk menjaringkan gol
kedua United selepas berjaya menyambar bola dari kaki pertahanan lawan namun
rembatannya tersasar biarpun hanya berdepan Jussi Jaaskelainen. Diminit ke-78
United dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Jordan Spence
namun sepakan yang diambil Rooney melambung tinggi. United berjaya mengekalkan
kelebihan satu gol milik mereka ketika pengadil perlawanan, Phil Dowd meniupkan
wisel penamat sekaligus memastikan slot di pusingan keempat menjadi milik
mereka. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Susunan Pemain United:
Lindegaard, Rafael, Jones, Smalling, Buttner,
Valencia, Anderson (Carrick 67’), Giggs, Nani (Scholes 78’), Rooney & Hernandez
Susunan Pemain West Ham:
Jaaskelainen, Spence, Tomkins, Reid, Potts,
Siarra, O’Niell, Diame (Collison 65’), Taylor, Vaz Te (Lee 78’) & C. Cole (Nolan
65’)
Langgan:
Catatan (Atom)









