20 Januari 2013

PREVIEW: TOTTENHAM HOTSPURS lwn MANCHESTER UNITED



Andre Villas-Boas mendakwa pasukan bimbingannya jauh meningkat berbanding musim lalu terutamanya selepas menyaksikan Spurs berjaya mengalahkan Manchester United buat pertama kali di Old Trafford sejak 1989. 12 September lalu, Spurs menamatkan rentetan rekod buruk mereka ketika beraksi di Old Trafford selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas skuad The Red Devils. Tengah malam nanti, Villas-Boas berharap pasukannya mampu mengulangi pencapaian skuad dari musim 1989-90 bimbingan Terry Venables yang berjaya mencatat kemenangan berganda ke atas United dalam aksi liga. Walau bagaimanapun Villas-Boas pastinya mengetahui bahawa skuad United kali ini berbeza dengan barisan yang mereka hadapi di Old Trafford September lalu. Ketika itu United berdepan krisis kecederaan pemain terutamanya di bahagian pertahanan. United ketika ini berada pada prestasi terbaik apabila tidak tewas dalam 10 perlawanan terakhir mereka di mana mereka menang sembilan daripadanya. Ramai yang percaya prestasi terkini United banyak dipengaruhi ketajaman Robin Van Persie di hadapan gawang lawan apabila penyerang itu sudah menjaringkan 9 gol dari 10 penampilan terakhirnya. Pertahanan United juga bertambah baik berbanding prestasi ketika mereka tewas 2-3 kepada Spurs di Old Trafford meskipun Daniel Sturridge berjaya menembusi gawang David de Gea hujung minggu lalu. Kehadiran semula Nemanja Vidic yang akan bergandingan dengan Rio Ferdinand selepas kedua-duanya direhatkan ketika berdepan West Ham pada perlawanan ulangan Piala FA, Khamis lalu bakal menguatkan lagi benteng pertahanan. Selepas terikat tanpa jaringan ketika berdepan kelab di tangga tercorot, QPR minggu lalu, barisan hadapan Spurs perlu lebih berkesan jika mereka berhasrat merakam kemenangan berganda ke atas United musim ini.

Scott Parker akan menggantikan tempat Sandro selepas pemain yang berasal dari Brazil itu disahkan terkeluar sepanjang baki saingan musim ini akibat kecederaan. Villas-Boas juga kehilangan khidmat pertahanan berpengaruh, William Gallas dan Younes Kaboul yang masing-masing belum pulih dari masalah betis dan lutut. Tugas menjaringkan gol bakal dipikul Jermain Defoe selepas Emmanuel Adebayor beraksi untuk Togo pada saingan Piala Negara-Negara Afrika yang akan bermula hari ini. Statistik jaringan Defoe agak membimbangkan Villas-Boas selepas penyerang itu tidak menjaringkan gol sejak Boxing Day dan hanya menjaringkan satu gol dari tujuh penampilan terakhirnya. Bagi United pula, Wayne Rooney akan kembali digandingkan bersama Robin Van Persie buat pertama kali dalam tempoh tiga minggu selepas pulih dari kecederaan lutut. Rooney yang menjaringkan gol pertama United ketika mereka menewaskan West Ham namun terlepas sepakan penalti tetap menjadi pilihan utama Sir Alex Ferguson biarpun beliau memiliki Javier Hernandez dan Danny Welbeck sebagai pilihan. Hernandez sudah menjaringkan 8 gol dalam saingan liga setakat ini manakala Welbeck diberikan pujian oleh Sir Alex ketika berdepan West Ham, namun kedua-duanya akan diletakkan di bangku simpanan. Jonny Evans dan Ashley Young disahkan terlepas aksi di White Hart Lane selepas masing-masing belum pulih dari kecederaan manakala Darren Fletcher akan diketepikan sehingga penghujung musim kerana menjalani pembedahan akibat masalah usus, sekaligus membuka peluang buat Nani tampil dalam kesebelasan utama perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Kekalahan terakhir United di White Hart Lane ialah pada 19 Mei 2001 di mana Willem Korsten menjaringkan dua gol di sebalik kemenangan 3-1 mereka ke atas The Red Devils.

- Spurs menjaringkan hanya tujuh gol di separuh masa pertama sepanjang saingan liga setakat ini sekaligus catatan paling rendah berbanding kelab-kelab Liga Perdana yang lain.

- Robin Van Persie menjaringkan lima gol ketika menentang Spurs semasa bermain untuk Arsenal. 

- Ryan Giggs akan tampil buat kali ke 650 dalam aksi liga jika diturunkan dalam perlawanan ini.

Barisan Kemungkinan Spurs:

Hugo Lloris, Jan Vertonghen, Michael Dawson, Kyle Walker, Kyle Naughton, Aaron Lennon, Moussa Dembele, Gareth Bale, Scott Parker, Clint Dempsey & Jermain Defoe

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Antonio Valencia, Michael Carrick, Tom Cleverley, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Tiada ulasan:

Catat Ulasan