21 Januari 2013

REVIEW: DEMPSEY MUSNAHKAN IMPIAN TIGA MATA PENUH UNITED


Clint Dempsey menafikan Manchester United dari memungut tiga mata penuh di White Hart Lane menerusi gol penyamaan lewat permainan pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu. Selepas mendahului menerusi jaringan Robin Van Persie di separuh masa pertama, United akhirnya terpaksa berkongsi mata sekaligus menyaksikan kelebihan mereka­­ di tangga teratas liga kini mengecil kepada lima mata. Meskipun pada awalnya timbul kebimbangan pertembungan Spurs – United itu akan ditangguhkan berikutan cuaca buruk akibat salji tebal yang melanda ibukota London, perlawanan akhirnya dapat dimulakan mengikut jadual. Spurs menurunkan Scott Parker menggantikan Sandro yang mengalami kecederaan dengan formasi 4-2-3-1 manakala United pula meletakkan Phil Jones dalam kesebelasan utama untuk mengimbangi ancaman Gareth Bale. Meskipun pada mulanya Wayne Rooney dijangka berpasangan dengan Robin Van Persie di barisan hadapan, Sir Alex sebaliknya memilih Danny Welbeck yang beraksi cemerlang ketika menentang Liverpool minggu lalu dalam kesebelasan permulaan. Tempo perlawanan terutamanya di awal babak pertama sedikit perlahan sehinggalah Phil Jones memperolehi peluang terbaik menerusi hantaran silang Van Persie di minit ke-13. Tuan rumah kemudiannya bertindak balas apabila rembatan Aaron Lennon berjaya ditepis David de Gea tetapi Jerman Defoe yang cuba mengambil kesempatan dari situasi bola muntah sudah berada di posisi offside. Kebuntuan akhirnya terlerai apabila Van Persie menanduk masuk untuk gol pembukaan perlawanan selepas menerima hantaran Tom Cleverley di minit ke-25.

Tersentak dengan gol pembukaan Van Persie, Spurs menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dan memperolehi peluang terbaik menerusi dua percubaan dari Defoe dan Bale namun berjaya dihalang De Gea.  Di babak kedua tuan rumah terus berusaha memburu gol penyamaan, kali ini menerusi gerakan satu dua Dempsey dan Moussa Dembele. Biarpun cuma berdepan De Gea, tendangan kaki kiri Dempsey berjaya di halang penjaga gol United itu dan Spurs sekadar memperolehi sepakan sudut. Rooney akhirnya merasai aksi liga pertamanya dalam tempoh tiga minggu apabila masuk menggantikan Shinji Kagawa diminit ke-62. Kehadiran Rooney segera meninggalkan impak apabila seminit selepas itu dia dikasari Steven Caulker di dalam petak penalti namun rayuannya untuk mendapatkan sepakan penalti tidak dilayan Chris Foy. Gempuran tuan rumah semakin menjadi-jadi terutama di penghujung permainan namun De Gea bertindak cemerlang dalam perlawanan ini untuk menafikan peluang-peluang yang dicipta tuan rumah menerusi Bale, Dempsey dan Lennon. Ketika pemainan memasuki waktu kecederaan, dan United mula berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata penuh dari White Hart Lane, Dempsey muncul pemusnah apabila dia berjaya menyambar bola hantaran Lennon untuk menjaringkan gol penyamaan tuan rumah. Gol penyamaan Dempsey itu menyaksikan Spurs berjaya meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan sejak kali terakhir tewas 1-2 kepada Everton 9 Disember lalu manakala United pula gagal menebus kekalahan mereka di tangan lawan pada pertemuan pertama di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan Spurs – United:

Sepakan Sudut: 9 – 4
Percubaan Tepat: 8 – 2
Percubaan Tersasar: 5 – 2
Kekasaran: 7 – 14
Offside: 1 – 7
Kad Kuning: 1 – 4
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 57% - 43%
Gol: 1 – 1

Susunan Pemain Spurs: Hugo Lloris, Michael Dawson, Steven Caulker, Kyle Walker, Kyle Naughton (Benoit Assou-Ekotto 64’), Scott Parker (Tom Huddleston 80’), Moussa Dembele, Clint Dempsey, Gareth Bale, Aaron Lennon & Jermain Defoe

Susunan Pemain United: David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Patrice Evra, Phil Jones, Michael Carrick, Tom Cleverley (Antonio Valencia 75’), Danny Welbeck, Shinji Kagawa (Wayne Rooney 62’) & Robin Van Persie

Tiada ulasan:

Catat Ulasan