Manchester United sudahpun menempah slot ke
pusingan keempat Piala FA selepas menewaskan West Ham 1-0 pada perlawanan
ulangan awal pagi tadi. Bagaimanapun kejayaan United mara ke pusingan
seterusnya untuk berdepan Fulham pada 26 Januari ini diselubungi kegagalan
Wayne Rooney menyempurnakan sepakan penalti diminit ke-79. Mujurlah kegagalan
Rooney (menyempurnakan sepakan penalti) tidak menjejaskan peluang United mara
ke pusingan keempat ketika dia berpeluang menamatkan terus cabaran pelawat yang
ketika itu cuba memburu gol penyamaan selepas ketinggalan 0-1. Kegagalan Rooney
menyempurnakan sepakan penalti awal pagi tadi memanjangkan rekod buruk pemain-pemain
United ketika mengambil sepakan tersebut kepada lima kali musim ini. Secara
keseluruhannya, United dihadiahkan 12 sepakan penalti setakat ini dalam semua
kejohanan di mana Rooney gagal menyempurnakan sepakan itu sebanyak dua kali diikuti
masing-masing sekali oleh Robin Van Persie, Nani dan Javier Hernandez. Adakah
lima sepakan penalti yang tersasar setakat ini disebabkan faktor nasib atau
pemain-pemain United sendiri perlu belajar dari penyerang Southampton, Rickie
Lambert tentang bagaimana caranya mengambil sepakan penalti yang betul. Lambert
mempunyai statistik yang hebat ketika mengambil sepakan penalti apabila beliau
berjaya menyempurnakan kesemua 31 sepakan yang diambilnya. Andainya mahu
menoleh ke belakang pula, jadikan Matthew Le Tissier sebagai motivasi apabila
lagenda Southampton itu berjaya menyempurnakan 47 dari 48 sepakan penalti yang
diambil sepanjang kariernya. Jika mahu belajar dari pemain yang lebih hebat,
pemain-pemain United juga boleh menjadikan Johnny Hubbard sebagai contoh
terbaik. Pemain yang beraksi untuk kelab Scotland, Glasgow Rangers dari tahun
1949 hingga 1959 itu memang dikenali sebagai pakar dalam mengambil sepakan
penalti apabila beliau berjaya menyempurnakan 57 sepakan penalti
berturut-turut. Secara logiknya, sepakan penalti adalah cara paling mudah untuk
menghasilkan gol, tidak seperti gol padang yang memerlukan gerakan-gerakan
menarik dari rakan sepasukan ataupun hantaran-hantaran berkualiti untuk
disudahkan oleh seorang pemain. Jadi jika sesebuah pasukan dihadiahkan sepakan
penalti tidak kira berpunca dari kekasaran ataupun bola terkena tangan pemain
lawan, pemain yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut perlu mengambil
kesempatan yang diberikan pengadil untuk menjaringkan gol. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan