17 Januari 2013

REVIEW PIALA FA: UNITED LOLOS KE PUSINGAN KEEMPAT


Manchester United lolos ke pusingan keempat saingan Piala FA selepas menyingkirkan West Ham pada perlawanan ulangan yang diadakan di Old Trafford awal pagi tadi. Selepas terikat 2-2 pada perlawanan pertama di Boleyn Ground, United akhirnya berjaya menyingkirkan skuad kendalian Sam Allardyce hasil jaringan tunggal perlawanan menerusi Wayne Rooney. Rooney memilih waktu yang tepat untuk menjaringkan gol pada penampilan pertamanya selepas diketepikan selama tiga minggu akibat kecederaan, sekaligus membawa United mara ke pusingan seterusnya dan bakal bertemu satu lagi kelab Liga Perdana dari kota London, Fulham. Sir Alex Ferguson melakukan perubahan besar pada skuadnya kali ini dengan merehatkan beberapa tonggak utama sebagai persediaan menjelang pertemuan penting aksi liga menentang Tottenham Hotspurs di White Hart Lane hujung minggu ini. Selain Rooney, Anderson dan Nani juga tampil buat pertama kali selepas berehat panjang akibat masalah hamstring manakala di benteng pertahanan tiada kelibat Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Patrice Evra seperti biasa. Sir Alex sebaliknya meletakkan kombinasi Chris Smalling dan Phil Jones di bahagian tengah pertahanan manakala Alexander Buttner pula menggantikan Evra. Penjaring terbanyak liga setakat ini, Robin Van Persie diletakkan di bangku simpanan dengan Sir Alex memilih gandingan Javier Hernandez dan Wayne Rooney di barisan hadapan.

United tidak memerlukan tempoh yang lama untuk menghasilkan gol pertama selepas Hernandez berjaya melepasi perangkap offside lawan, sebelum melakukan hantaran yang berjaya disudahkan Rooney diminit ke-9. Selepas gol itu, United dilihat mengendurkan tempo permainan mereka dan peluang ini digunakan pelawat untuk meningkatkan tekanan terhadap benteng pertahanan United. Walau bagaimanapun barisan hadapan Hammers yang diketuai Carlton Cole gagal memberikan ancaman serius terhadap Anders Lindegaard yang diberikan tugas mengawal gawang United. Babak kedua tempo permainan masih tidak berubah dengan pelawat sedikit menguasai permainan tetapi mereka tetap gagal mencipta peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan. Hernandez terlepas peluang untuk menjaringkan gol kedua United selepas berjaya menyambar bola dari kaki pertahanan lawan namun rembatannya tersasar biarpun hanya berdepan Jussi Jaaskelainen. Diminit ke-78 United dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Jordan Spence namun sepakan yang diambil Rooney melambung tinggi. United berjaya mengekalkan kelebihan satu gol milik mereka ketika pengadil perlawanan, Phil Dowd meniupkan wisel penamat sekaligus memastikan slot di pusingan keempat menjadi milik mereka. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Susunan Pemain United:

Lindegaard, Rafael, Jones, Smalling, Buttner, Valencia, Anderson (Carrick 67’), Giggs, Nani (Scholes 78’), Rooney & Hernandez

Susunan Pemain West Ham:

Jaaskelainen, Spence, Tomkins, Reid, Potts, Siarra, O’Niell, Diame (Collison 65’), Taylor, Vaz Te (Lee 78’) & C. Cole (Nolan 65’)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan