21 Januari 2013

REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN


Sir Alex Ferguson mendakwa United sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti selepas Wayne Rooney dikasari Steven Caulker namun insiden di minit ke-63 itu tidak dapat dikesan Chris Foy dan pembantunya Simon Beck. Berang selepas pasukannya dinafikan sepakan penalti, Sir Alex menyalahkan pembantu pengadil Simon Beck kerana gagal mengesan insiden tersebut dan menyebut prestasi penjaga garisan itu sebagai terlalu buruk. United memimpin perlawanan menerusi gol Robin Van Persie di separuh masa pertama namun Clint Dempsey muncul pemusnah apabila menjaringkan gol penyamaan lewat permainan hingga menyebabkan Sir Alex merasakan kekecewaan berganda dari perlawanan ini. Bukan saja yakin bahawa pasukannya berhak untuk mendapatkan sepakan penalti (selepas Rooney dikasari Caulker), bahkan Sir Alex menilai penjaga garisan itu `memusuhi’ pasukannya. “Penjaga garisan tidak memberikan kami apa-apa sepanjang perlawanan. Prestasinya sungguh buruk. Bukan saja dia tidak memberikan penalti kepada Rooney tetapi beberapa keputusannya merugikan kami”, kata Sir Alex. Sir Alex lantas mengimbas kembali ketika pertemuan United menentang Chelsea musim lalu di mana Beck turut ditugaskan sebagai penjaga garisan. “Kami masih mengingati keputusan yang dilakukannya ketika menentang Chelsea musim lalu. Dia gagal mengesan kedudukan Didier Drogba yang berada pada posisi offside biarpun Drogba berada dua meter di belakang barisan pertahanan kami”, tambah Sir Alex lagi. Keputusan seri yang dicatatkan United menyaksikan The Red Devils berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ketika menentang Spurs di White Hart Lane dalam 12 perlawanan sejak 2001. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: DEMPSEY MUSNAHKAN IMPIAN TIGA MATA PENUH UNITED


Clint Dempsey menafikan Manchester United dari memungut tiga mata penuh di White Hart Lane menerusi gol penyamaan lewat permainan pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu. Selepas mendahului menerusi jaringan Robin Van Persie di separuh masa pertama, United akhirnya terpaksa berkongsi mata sekaligus menyaksikan kelebihan mereka­­ di tangga teratas liga kini mengecil kepada lima mata. Meskipun pada awalnya timbul kebimbangan pertembungan Spurs – United itu akan ditangguhkan berikutan cuaca buruk akibat salji tebal yang melanda ibukota London, perlawanan akhirnya dapat dimulakan mengikut jadual. Spurs menurunkan Scott Parker menggantikan Sandro yang mengalami kecederaan dengan formasi 4-2-3-1 manakala United pula meletakkan Phil Jones dalam kesebelasan utama untuk mengimbangi ancaman Gareth Bale. Meskipun pada mulanya Wayne Rooney dijangka berpasangan dengan Robin Van Persie di barisan hadapan, Sir Alex sebaliknya memilih Danny Welbeck yang beraksi cemerlang ketika menentang Liverpool minggu lalu dalam kesebelasan permulaan. Tempo perlawanan terutamanya di awal babak pertama sedikit perlahan sehinggalah Phil Jones memperolehi peluang terbaik menerusi hantaran silang Van Persie di minit ke-13. Tuan rumah kemudiannya bertindak balas apabila rembatan Aaron Lennon berjaya ditepis David de Gea tetapi Jerman Defoe yang cuba mengambil kesempatan dari situasi bola muntah sudah berada di posisi offside. Kebuntuan akhirnya terlerai apabila Van Persie menanduk masuk untuk gol pembukaan perlawanan selepas menerima hantaran Tom Cleverley di minit ke-25.

Tersentak dengan gol pembukaan Van Persie, Spurs menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dan memperolehi peluang terbaik menerusi dua percubaan dari Defoe dan Bale namun berjaya dihalang De Gea.  Di babak kedua tuan rumah terus berusaha memburu gol penyamaan, kali ini menerusi gerakan satu dua Dempsey dan Moussa Dembele. Biarpun cuma berdepan De Gea, tendangan kaki kiri Dempsey berjaya di halang penjaga gol United itu dan Spurs sekadar memperolehi sepakan sudut. Rooney akhirnya merasai aksi liga pertamanya dalam tempoh tiga minggu apabila masuk menggantikan Shinji Kagawa diminit ke-62. Kehadiran Rooney segera meninggalkan impak apabila seminit selepas itu dia dikasari Steven Caulker di dalam petak penalti namun rayuannya untuk mendapatkan sepakan penalti tidak dilayan Chris Foy. Gempuran tuan rumah semakin menjadi-jadi terutama di penghujung permainan namun De Gea bertindak cemerlang dalam perlawanan ini untuk menafikan peluang-peluang yang dicipta tuan rumah menerusi Bale, Dempsey dan Lennon. Ketika pemainan memasuki waktu kecederaan, dan United mula berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata penuh dari White Hart Lane, Dempsey muncul pemusnah apabila dia berjaya menyambar bola hantaran Lennon untuk menjaringkan gol penyamaan tuan rumah. Gol penyamaan Dempsey itu menyaksikan Spurs berjaya meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada enam perlawanan sejak kali terakhir tewas 1-2 kepada Everton 9 Disember lalu manakala United pula gagal menebus kekalahan mereka di tangan lawan pada pertemuan pertama di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan Spurs – United:

Sepakan Sudut: 9 – 4
Percubaan Tepat: 8 – 2
Percubaan Tersasar: 5 – 2
Kekasaran: 7 – 14
Offside: 1 – 7
Kad Kuning: 1 – 4
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 57% - 43%
Gol: 1 – 1

Susunan Pemain Spurs: Hugo Lloris, Michael Dawson, Steven Caulker, Kyle Walker, Kyle Naughton (Benoit Assou-Ekotto 64’), Scott Parker (Tom Huddleston 80’), Moussa Dembele, Clint Dempsey, Gareth Bale, Aaron Lennon & Jermain Defoe

Susunan Pemain United: David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Patrice Evra, Phil Jones, Michael Carrick, Tom Cleverley (Antonio Valencia 75’), Danny Welbeck, Shinji Kagawa (Wayne Rooney 62’) & Robin Van Persie

20 Januari 2013

PREVIEW: TOTTENHAM HOTSPURS lwn MANCHESTER UNITED



Andre Villas-Boas mendakwa pasukan bimbingannya jauh meningkat berbanding musim lalu terutamanya selepas menyaksikan Spurs berjaya mengalahkan Manchester United buat pertama kali di Old Trafford sejak 1989. 12 September lalu, Spurs menamatkan rentetan rekod buruk mereka ketika beraksi di Old Trafford selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas skuad The Red Devils. Tengah malam nanti, Villas-Boas berharap pasukannya mampu mengulangi pencapaian skuad dari musim 1989-90 bimbingan Terry Venables yang berjaya mencatat kemenangan berganda ke atas United dalam aksi liga. Walau bagaimanapun Villas-Boas pastinya mengetahui bahawa skuad United kali ini berbeza dengan barisan yang mereka hadapi di Old Trafford September lalu. Ketika itu United berdepan krisis kecederaan pemain terutamanya di bahagian pertahanan. United ketika ini berada pada prestasi terbaik apabila tidak tewas dalam 10 perlawanan terakhir mereka di mana mereka menang sembilan daripadanya. Ramai yang percaya prestasi terkini United banyak dipengaruhi ketajaman Robin Van Persie di hadapan gawang lawan apabila penyerang itu sudah menjaringkan 9 gol dari 10 penampilan terakhirnya. Pertahanan United juga bertambah baik berbanding prestasi ketika mereka tewas 2-3 kepada Spurs di Old Trafford meskipun Daniel Sturridge berjaya menembusi gawang David de Gea hujung minggu lalu. Kehadiran semula Nemanja Vidic yang akan bergandingan dengan Rio Ferdinand selepas kedua-duanya direhatkan ketika berdepan West Ham pada perlawanan ulangan Piala FA, Khamis lalu bakal menguatkan lagi benteng pertahanan. Selepas terikat tanpa jaringan ketika berdepan kelab di tangga tercorot, QPR minggu lalu, barisan hadapan Spurs perlu lebih berkesan jika mereka berhasrat merakam kemenangan berganda ke atas United musim ini.

Scott Parker akan menggantikan tempat Sandro selepas pemain yang berasal dari Brazil itu disahkan terkeluar sepanjang baki saingan musim ini akibat kecederaan. Villas-Boas juga kehilangan khidmat pertahanan berpengaruh, William Gallas dan Younes Kaboul yang masing-masing belum pulih dari masalah betis dan lutut. Tugas menjaringkan gol bakal dipikul Jermain Defoe selepas Emmanuel Adebayor beraksi untuk Togo pada saingan Piala Negara-Negara Afrika yang akan bermula hari ini. Statistik jaringan Defoe agak membimbangkan Villas-Boas selepas penyerang itu tidak menjaringkan gol sejak Boxing Day dan hanya menjaringkan satu gol dari tujuh penampilan terakhirnya. Bagi United pula, Wayne Rooney akan kembali digandingkan bersama Robin Van Persie buat pertama kali dalam tempoh tiga minggu selepas pulih dari kecederaan lutut. Rooney yang menjaringkan gol pertama United ketika mereka menewaskan West Ham namun terlepas sepakan penalti tetap menjadi pilihan utama Sir Alex Ferguson biarpun beliau memiliki Javier Hernandez dan Danny Welbeck sebagai pilihan. Hernandez sudah menjaringkan 8 gol dalam saingan liga setakat ini manakala Welbeck diberikan pujian oleh Sir Alex ketika berdepan West Ham, namun kedua-duanya akan diletakkan di bangku simpanan. Jonny Evans dan Ashley Young disahkan terlepas aksi di White Hart Lane selepas masing-masing belum pulih dari kecederaan manakala Darren Fletcher akan diketepikan sehingga penghujung musim kerana menjalani pembedahan akibat masalah usus, sekaligus membuka peluang buat Nani tampil dalam kesebelasan utama perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Kekalahan terakhir United di White Hart Lane ialah pada 19 Mei 2001 di mana Willem Korsten menjaringkan dua gol di sebalik kemenangan 3-1 mereka ke atas The Red Devils.

- Spurs menjaringkan hanya tujuh gol di separuh masa pertama sepanjang saingan liga setakat ini sekaligus catatan paling rendah berbanding kelab-kelab Liga Perdana yang lain.

- Robin Van Persie menjaringkan lima gol ketika menentang Spurs semasa bermain untuk Arsenal. 

- Ryan Giggs akan tampil buat kali ke 650 dalam aksi liga jika diturunkan dalam perlawanan ini.

Barisan Kemungkinan Spurs:

Hugo Lloris, Jan Vertonghen, Michael Dawson, Kyle Walker, Kyle Naughton, Aaron Lennon, Moussa Dembele, Gareth Bale, Scott Parker, Clint Dempsey & Jermain Defoe

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Antonio Valencia, Michael Carrick, Tom Cleverley, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie

19 Januari 2013

SELEPAS DUA DEKAD...


Kevin bersama Giggs 20 tahun lalu

Foto terkini Kevin bersama Giggs

Seorang peminat Manchester United, Kevin Ashford memuatnaik gambar beliau di internet bersama lagenda Manchester United, Ryan Giggs yang dirakam di Carrington kira-kira 20 tahun lalu. Lebih menarik lagi, selepas 20 tahun gambar tersebut dirakamkan, Kevin berpeluang bertemu Giggs semula, dan merakamkan gambarnya sekali lagi bersama lagenda hidup United itu. Gambar pertama yang dirakamkan oleh bapa Kevin, Cliff menunjukkan beliau berdiri di sebelah Giggs yang ketika itu menggunakan kereta VW merah, manakala gambar kedua pula menunjukkan Kevin dan anaknya bersama Giggs yang kini menggunakan Range Rover hitam. Selepas 20 tahun berlalu, daripada seorang kanak-kanak kecil, Kevin kini sudahpun menjadi bapa yang berusia 30 tahun, dan daripada VW, Giggs kini menggunakan Range Rover pula. Segala-galanya sudah berubah tetapi hanya satu perkara yang masih kekal sejak 20 tahun yang lalu, iaitu Giggs masih terus bermain untuk Manchester United. Kevin Ashford dari Levenshulme memuatnaik gambar beliau bersama Giggs di Twitter dan telah di retweeted lebih dari 1,300 kali bukan saja dari kalangan penyokong United tetapi juga dari penyokong lawan yang kebanyakkannya begitu menghargai dan kagum dengan pencapaian serta sumbangan besar yang diberikan lagenda itu kepada United selama ini. Dua dekad lalu, Kevin merupakan pelajar di Sekolah St Mary dan kini beliau bertugas sebagai pemandu dan steward di Old Trafford. Menceritakan tentang gambar yang dirakamkan oleh ayahnya dua dekad lalu, Kevin berkata, “Ketika saya masih kanak-kanak, ayah akan membawa saya ke padang latihan United ketika cuti sekolah. Saya masih ingat, ketika itu tempat latihan United benar-benar terbuka di mana anda boleh berjalan di sebelah Peter Schmeichel dan Eric Cantona. Ketika itulah ayah merakamkan gambar saya bersama Giggsy. Masa terus berlalu di mana saya membesar, berkahwin dan mempunyai seorang anak tetapi dia masih lagi bermain dan apa yang dilakukannya adalah luar biasa”, kata Kevin. Menurut Kevin lagi, beliau terkejut dengan sambutan di Twitter selepas gambar itu dimuatnaik dan menganggap pencapaian yang dilakukan Giggs mungkin tidak akan dapat diulangi oleh mana-mana pemain selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

17 Januari 2013

REKOD BURUK PENALTI UNITED SEMAKIN PANJANG


Manchester United sudahpun menempah slot ke pusingan keempat Piala FA selepas menewaskan West Ham 1-0 pada perlawanan ulangan awal pagi tadi. Bagaimanapun kejayaan United mara ke pusingan seterusnya untuk berdepan Fulham pada 26 Januari ini diselubungi kegagalan Wayne Rooney menyempurnakan sepakan penalti diminit ke-79. Mujurlah kegagalan Rooney (menyempurnakan sepakan penalti) tidak menjejaskan peluang United mara ke pusingan keempat ketika dia berpeluang menamatkan terus cabaran pelawat yang ketika itu cuba memburu gol penyamaan selepas ketinggalan 0-1. Kegagalan Rooney menyempurnakan sepakan penalti awal pagi tadi memanjangkan rekod buruk pemain-pemain United ketika mengambil sepakan tersebut kepada lima kali musim ini. Secara keseluruhannya, United dihadiahkan 12 sepakan penalti setakat ini dalam semua kejohanan di mana Rooney gagal menyempurnakan sepakan itu sebanyak dua kali diikuti masing-masing sekali oleh Robin Van Persie, Nani dan Javier Hernandez. Adakah lima sepakan penalti yang tersasar setakat ini disebabkan faktor nasib atau pemain-pemain United sendiri perlu belajar dari penyerang Southampton, Rickie Lambert tentang bagaimana caranya mengambil sepakan penalti yang betul. Lambert mempunyai statistik yang hebat ketika mengambil sepakan penalti apabila beliau berjaya menyempurnakan kesemua 31 sepakan yang diambilnya. Andainya mahu menoleh ke belakang pula, jadikan Matthew Le Tissier sebagai motivasi apabila lagenda Southampton itu berjaya menyempurnakan 47 dari 48 sepakan penalti yang diambil sepanjang kariernya. Jika mahu belajar dari pemain yang lebih hebat, pemain-pemain United juga boleh menjadikan Johnny Hubbard sebagai contoh terbaik. Pemain yang beraksi untuk kelab Scotland, Glasgow Rangers dari tahun 1949 hingga 1959 itu memang dikenali sebagai pakar dalam mengambil sepakan penalti apabila beliau berjaya menyempurnakan 57 sepakan penalti berturut-turut. Secara logiknya, sepakan penalti adalah cara paling mudah untuk menghasilkan gol, tidak seperti gol padang yang memerlukan gerakan-gerakan menarik dari rakan sepasukan ataupun hantaran-hantaran berkualiti untuk disudahkan oleh seorang pemain. Jadi jika sesebuah pasukan dihadiahkan sepakan penalti tidak kira berpunca dari kekasaran ataupun bola terkena tangan pemain lawan, pemain yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut perlu mengambil kesempatan yang diberikan pengadil untuk menjaringkan gol. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN


Sir Alex memuji penampilan Ryan Giggs selepas bintang veteran itu mengetuai skuad The Red Devils membenam cabaran West Ham pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford awal pagi tadi. Sir Alex melihat Giggs masih mampu bermain dan memberikan aksi terbaiknya biarpun bakal mencecah usia 40 tahun pada 23 November nanti. Selepas menyaksikan Giggs bermain 90 minit permainan pagi tadi, bos United itu berharap agar bintang veterannya itu mula memikirkan langkah untuk melanjutkan kontraknya bersama United untuk tempoh setahun lagi. Kontrak Giggs bersama United akan berakhir penghujung musim ini dan pada usia mencecah hampir 40 tahun aksinya dilihat masih tangkas ketika melakukan gerakan-gerakan memecah benteng pertahanan Hammers. “Saya berharap Ryan akan bermain untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi. Tiada tanda-tanda keletihan yang menjejaskan permainannya. Kualiti dirinya masa di tahap sama dan dia memiliki keseimbangan dalam permainan yang cukup luar biasa. Dia sentiasa laparkan kejayaan dan itu menjadikannya pemain yang luar biasa”, kata Sir Alex. Giggs yang sudah berdepan Hammers sebanyak 17 kali sepanjang kariernya bagaimanapun mengakui bahawa prestasinya kini semakin menurun disebabkan faktor usia. “Saya merasakan bahawa saya bukan lagi pemain yang sama seperti tujuh atau lapan tahun tahun yang lalu. Ketika ini saya hanya mahu menikmati permainan jika pengurus menurunkan saya”, kata Giggs. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW PIALA FA: UNITED LOLOS KE PUSINGAN KEEMPAT


Manchester United lolos ke pusingan keempat saingan Piala FA selepas menyingkirkan West Ham pada perlawanan ulangan yang diadakan di Old Trafford awal pagi tadi. Selepas terikat 2-2 pada perlawanan pertama di Boleyn Ground, United akhirnya berjaya menyingkirkan skuad kendalian Sam Allardyce hasil jaringan tunggal perlawanan menerusi Wayne Rooney. Rooney memilih waktu yang tepat untuk menjaringkan gol pada penampilan pertamanya selepas diketepikan selama tiga minggu akibat kecederaan, sekaligus membawa United mara ke pusingan seterusnya dan bakal bertemu satu lagi kelab Liga Perdana dari kota London, Fulham. Sir Alex Ferguson melakukan perubahan besar pada skuadnya kali ini dengan merehatkan beberapa tonggak utama sebagai persediaan menjelang pertemuan penting aksi liga menentang Tottenham Hotspurs di White Hart Lane hujung minggu ini. Selain Rooney, Anderson dan Nani juga tampil buat pertama kali selepas berehat panjang akibat masalah hamstring manakala di benteng pertahanan tiada kelibat Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Patrice Evra seperti biasa. Sir Alex sebaliknya meletakkan kombinasi Chris Smalling dan Phil Jones di bahagian tengah pertahanan manakala Alexander Buttner pula menggantikan Evra. Penjaring terbanyak liga setakat ini, Robin Van Persie diletakkan di bangku simpanan dengan Sir Alex memilih gandingan Javier Hernandez dan Wayne Rooney di barisan hadapan.

United tidak memerlukan tempoh yang lama untuk menghasilkan gol pertama selepas Hernandez berjaya melepasi perangkap offside lawan, sebelum melakukan hantaran yang berjaya disudahkan Rooney diminit ke-9. Selepas gol itu, United dilihat mengendurkan tempo permainan mereka dan peluang ini digunakan pelawat untuk meningkatkan tekanan terhadap benteng pertahanan United. Walau bagaimanapun barisan hadapan Hammers yang diketuai Carlton Cole gagal memberikan ancaman serius terhadap Anders Lindegaard yang diberikan tugas mengawal gawang United. Babak kedua tempo permainan masih tidak berubah dengan pelawat sedikit menguasai permainan tetapi mereka tetap gagal mencipta peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan. Hernandez terlepas peluang untuk menjaringkan gol kedua United selepas berjaya menyambar bola dari kaki pertahanan lawan namun rembatannya tersasar biarpun hanya berdepan Jussi Jaaskelainen. Diminit ke-78 United dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Jordan Spence namun sepakan yang diambil Rooney melambung tinggi. United berjaya mengekalkan kelebihan satu gol milik mereka ketika pengadil perlawanan, Phil Dowd meniupkan wisel penamat sekaligus memastikan slot di pusingan keempat menjadi milik mereka. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Susunan Pemain United:

Lindegaard, Rafael, Jones, Smalling, Buttner, Valencia, Anderson (Carrick 67’), Giggs, Nani (Scholes 78’), Rooney & Hernandez

Susunan Pemain West Ham:

Jaaskelainen, Spence, Tomkins, Reid, Potts, Siarra, O’Niell, Diame (Collison 65’), Taylor, Vaz Te (Lee 78’) & C. Cole (Nolan 65’)