06 Januari 2014

KESABARAN GLAZER SEDANG DIUJI?


Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Old Trafford kini bukan lagi “Pentas Impian” buat barisan The Red Devils selepas Swansea City muncul pasukan kelima mengaibkan mereka di gelanggang keramat itu musim ini. “Theatre of Dreams” yang dahulunya pernah menyebabkan lawan gerun setiap kali berkunjung ke sini kini bukan lagi mimpi buruk buat pasukan pelawat tetapi sebaliknya bertukar kepada 'lubuk' untuk lawan meraih kemenangan. Dalam artikel sebelum ini, saya ada menyebut bahawa kita sepatutnya sudah boleh melupakan sebarang impian untuk menyaksikan kelab mempertahankan kejuaraan Liga Perdana berikutan prestasi turun naik yang dipamerkan anak-anak buah David Moyes dalam saingan liga, jadi kejohanan kalah mati seperti Piala Liga dan Piala FA adalah peluang terbaik untuk menjulang trofi domestik musim ini. Bagaimanapun malangnya, satu prospek kejuaraan sudahpun terlepas dari buruan berikutan kekalahan 1-2 kepada Swansea City di pusingan ketiga Piala FA awal pagi tadi. Sepertimana anda, saya juga kecewa selepas menyaksikan kelab tersingkir dari saingan Piala FA kerana pada awalnya saya berharap barisan The Red Devils menggunakan perlawanan ini untuk bangkit kembali dari kekalahan kepada Spurs Khamis lalu. Dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri dalam tempoh tiga hari bukanlah perkara yang bagus untuk menghadapi permulaan tahun baru. Sudah tentu juga ini bukanlah situasi yang kita bayangkan sepanjang tempoh enam bulan sejak bekas pengendali Everton itu mewarisi jawatan yang ditinggalkan oleh Sir Aex Ferguson. Selepas Everton, Newcastle dan Tottenham melakar sejarah mereka apabila mencatatkan kemenangan pertama di Old Trafford sejak sekian lama, kini tiba pula giliran The Swans. Tidak sukar untuk membayangkan mengapa Michael Laudrup begitu gembira sebaik berakhirnya perlawanan awal pagi tadi kerana barisan bimbingannya bukan sahaja berjaya merebut slot ke pusingan keempat Piala FA tetapi ini merupakan kemenangan pertama The Swans ke atas United di Old Trafford dalam tempoh 83 tahun.

Old Trafford sama seperti Santiago Bernabeu dan Nou Camp di mana ia merupakan gelanggang kebanggaan buat kelab besar yang memiliki sejarah serta tradisi gemilang, jadi menang di sini (Old Trafford) sudah tentu satu kejayaan manis buat mana-mana pasukan pelawat. Jika Real dan Barca sukar ditewaskan ketika beraksi di gelanggang sendiri, lain pula halnya dengan United di bawah kendalian Moyes musim ini. Moyes sekali lagi menyalahkan tuah yang tidak menyebelahi pasukannya kerana gagal layak ke pusingan keempat (Piala FA) tambahan pula apabila melihat Fabio da Silva dilayangkan kad merah selepas hanya empat minit masuk menggantikan Rio Ferdinand. Tidak adil juga untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu Moyes apatah lagi beliau gagal menurunkan skuad terbaiknya berikutan masalah kecederaan yang melanda Robin Van Persie, Wayne Rooney dan Michael Carrick selain empat lagi pemain regular. 'Kekosongan' di bahagian tengah sekali lagi disebut sebagai punca utama tumbangnya United awal pagi tadi, tetapi Moyes tidak boleh berterusan menggunakan alasan 'tiada tuah' setiap kali pasukannya berdepan kekalahan. Perlu diakui bahawa persembahan keseluruhan barisan bimbingannya setakat ini tidak langsung menggambarkan bahawa inilah barisan yang sama menjulang kejuaraan liga musim lalu dengan kelebihan 11 mata. Ketepikan dahulu alasan bahawa United sedang mengharungi tempoh peralihan di bawah 'regim' Moyes kerana persembahan yang dipamerkan pemain-pemainnya setakat ini langsung tidak menggambarkan bahawa mereka sedang menyarung jersi Manchester United. Setiap musim bayangan sebenar kelab mana bakal muncul juara liga biasanya dapat dilihat pada bulan Januari dan dengan kedudukan sekarang apakah tepat ramalan beberapa pemerhati bolasepak bahawa United akan menamatkan saingan musim ini di tangga ketujuh?

Sebolehnya saya berharap agar ramalan ini akan tersasar tetapi melihat kepada persembahan konsisten yang dipamerkan pesaing-pesaing lain seperti Arsenal, Man City, Liverpool, Chelsea, Tottenham dan Everton, misi menghuni kelompok empat terbaik sukar digapai jika diambilkira prestasi terkini United. Satu-satunya harapan saya ialah semoga United terus mempamerkan prestasi terpuji di pentas Liga Juara-Juara selepas mereka begitu cemerlang menjuarai peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah. Bukan mahu memperkecilkan keupayaan Olympiakos, tetapi peluang diundi bertemu pasukan bukan pilihan sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk menempah tiket ke suku akhir. Masih belum terlewat untuk Moyes menyelamatkan musim pertamanya di Old Trafford kerana beliau masih ada kejuaraan yang realistik untuk dimenangi, iaitu Piala Liga. Tolak ketepi prestij trofi ini jika mahu dibandingkan dengan kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA kerana Piala Liga perlu dimenangi Moyes bagi meredakan beban tekanan yang dipikulnya. Awal pagi Rabu nanti, Moyes berpeluang memulihkan sedikit kredibiliti beliau yang tercalar apabila mengetuai The Red Devils ke Stadium of Light untuk berdepan Sunderland dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga. Empat hari kemudian, United beroleh kesempatan untuk membalas dendam kekalahan mereka di pentas Piala FA kepada Swansea apabila kedua-dua pasukan bakal bertembung sekali lagi di Old Trafford (kali ini dalam saingan liga pula). Dalam tempoh beberapa hari ini, misi utama yang perlu dilaksanakan Moyes dan barisan pemainnya ialah mencipta keputusan baik pada dua perlawanan menentang Sunderland dan Swansea. Jika sebaliknya berlaku (keputusan buruk terus dicatat United), saya percaya Moyes sebenarnya sedang menguji kesabaran keluarga Glazer. Setakat ini Moyes beruntung kerana masih ramai penyokong-penyokong teguh di belakangnya tetapi jika keputusan-keputusan perlawanan terus tidak menyebelahi United, Glazer selaku pemilik kelab sudah tentu terpaksa membuat keputusannya sendiri. Penyokong-penyokong nampaknya masih boleh bersabar berdepan situasi ini, tetapi persoalannya sekarang bolehkah keluarga Glazer melakukan perkara yang sama? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

05 Januari 2014

JANUARI...PENENTU HALATUJU UNITED?


“Tidak Bernasib Baik”, mungkin itulah ayat paling lunak untuk mententeramkan hati selepas melihat Tottenham Hotspurs muncul pasukan keempat menewaskan Manchester United di Old Trafford musim ini. Ketika empat kelab teratas mencatatkan kemenangan dalam perlawanan masing-masing, United sebaliknya memilih jalan sukar apabila tewas buat kali keenam sekaligus semakin jauh ditinggalkan Arsenal selaku pendahulu liga. Menguasai 62% perlawanan tidak menjamin tiga mata berada dalam genggaman kerana sedikit kealpaan ketika rancak menyerang dan tiada tuah dalam menyudah peluang terhidang menyebabkan kita terpaksa berputih mata sekali lagi. Memang benar, beberapa keputusan pengadil perlawanan boleh dipertikaikan tetapi pengurus dan barisan pemain-pemain perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang keputusan negatif yang diraih mereka dalam sesuatu perlawanan. Selepas dihidangkan dengan keputusan baik dalam enam perlawanan terakhir, Spurs menyebabkan kita kembali berpijak di bumi nyata sekaligus menyedarkan kita bahawa barisan kendalian Moyes bakal berdepan jalan lebih berliku pada baki saingan selepas ini. Januari akan menjadi bulan penting buat survival perjuangan The Red Devils kerana ada beberapa perlawanan penting yang perlu mereka harungi sepanjang bulan ini. Bermula dengan aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Swansea City hari ini, dua hari kemudian United akan berkunjung pula ke Stadium of Light bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga menentang Sunderland.

Marco Reus
Aksi liga menentang Swansea City pada hujung minggu hadapan (12 Januari) wajib digunakan sepenuhnya untuk kembali meraih kemenangan sebelum berdepan ujian lebih getir di Stamford Bridge seminggu selepas itu. Januari juga bakal menyaksikan jendela perpindahan pemain kembali dibuka namun saya tidak mahu terlalu menaruh harapan untuk melihat Marco Reus, Koke atau Ander Herrera menjejakkan kakinya ke Old Trafford seperti yang digembar-gemburkan. Selepas menyaksikan prestasi kurang konsisten yang dipamerkan The Red Devils setakat ini, ketibaan satu atau dua pemain baharu perlu untuk menambah apa yang kurang dalam pasukan. Bagaimanapun pasaran perpindahan musim panas lalu sepatutnya sudah mengajar kita bahawa spekulasi-spekulasi yang dimainkan cuma enak untuk dendangan telinga dan menyedapkan hati, tidak lebih dari itu. Anda boleh senaraikan seberapa banyak pemain yang akan dibeli Moyes Januari ini, tetapi saya lebih gemar melihat beliau menggunakan sepenuhnya aset yang ada bagi menghadapi baki saingan musim ini. Jika bahagian tengah kurang menyengat, panggil semula Nick Powell pulang ke Old Trafford daripada beliau membelanjakan wang mendapatkan seorang lagi pemain dari Everton (Ross Barkley). Sir Alex Ferguson jarang terlibat dalam pasaran perpindahan pemain bulan Januari kerana beliau tahu tidak banyak impak yang mampu dilakukan muka-muka baharu ketika saingan kompetitif sudah memasuki separuh musim. Dalam tempoh tujuh tahun, hanya sekali Sir Alex membawa masuk pemain baharu di pertengahan musim iaitu pada 2006 ketika beliau menandatangani Patrice Evra (dari AS Monaco) dan Nemanja Vidic (dari Spartak Moscow).

Musim lalu, Sir Alex menang dalam perebutan mendapatkan Wilfired Zaha (pada bulan Januari) tetapi membiarkan pemain itu menghabiskan musim terakhirnya bersama Crystal Palace di Liga Kejuaraan. Walau bagaimanapun jika Moyes benar-benar serius mahu memperkuatkan pasukan bagi menghadapi baki musim ini, keutamaan yang perlu beliau letakkan di tempat teratas ialah mendapatkan seorang pemain tengah, pemain sayap dan juga bek tengah, tiga posisi yang sering diperdebatkan sebagai titik paling lemah dalam skuad beliau. Tiga pemain baharu ditandatangani sekaligus? Kedengarannya seperti agak melampau tetapi itulah realiti sebenarnya jika kita mahu melihat United kembali digeruni lawan. Dengan beberapa pemain utama masih berada di bilik rawatan, Moyes memiliki skuad yang tampak 'usang' dan perlu diperbaiki, jadi sudah tentu penyokong-penyokong berharap agar beliau terlibat secara serius sepanjang jendela perpindahan pemain musim sejuk dibuka. Sambil itu kita juga berharap agar key player seperti Rafael, Phil Jones, Robin Van Persie, Marouane Fellaini dan Wayne Rooney segera sembuh kerana kelab tidak mampu kehilangan mereka untuk tempoh lebih lama. Dalam keadaan sekarang kelab tidak boleh kehilangan khidmat pemain-pemain penting ini, dan Spurs sudah membuktikan bagaimana tanpa mereka (kecuali Rooney) United mampu dikalahkan biarpun The Red Devils menguasai hampir keseluruhan perlawanan. Kekalahan kepada Spurs kelmarin menguatkan lagi andaian saya bahawa kita sepatutnya sudah boleh melupakan sebarang impian untuk mempertahankan trofi Liga Perdana jika mengambilkira kedudukan (dalam carta liga) dan prestasi kelab ketika ini.

Bagaimanapun saya masih menaruh harapan kelab mampu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi di penghujung musim kerana kita masih berada dalam saingan pada tiga lagi kejohanan (Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA). Paling hampir digapai sudah tentu Piala Liga di mana ketika ini United sudahpun berada di pentas separuh akhir, manakala di pentas Liga Juara-Juara pula kelab berpeluang cerah melangkah ke suku akhir selepas diundi berdepan Olympiakos di pusingan kalah mati 16 pasukan. Selepas tamat perlawanan menentang Spurs, Moyes mengatakan bahawa beliau hanya akan mendapatkan pemain baharu jika perlu. Namun selepas melihat kedudukan kelab dalam saingan liga dan panjangnya senarai kecederaan yang ada ditangan beliau, kebanyakkan dari kita sudah tentu berharap agar usaha mendapatkan pemain baharu menjadi agenda utama beliau sepanjang Januari ini. Jika berjaya melangkah ke pentas akhir Piala Liga, layak ke pusingan keempat Piala FA dan berada di kelompok empat teratas carta liga, saya anggap itu satu pencapaian bagus buat Moyes dan pemain-pemainnya sepanjang Januari ini. Ringkasnya, bulan Januari akan menjadi tempoh paling baik untuk kita menilai halatuju sebenar kelab pada baki saingan musim ini. Jika segalanya berjalan lancar dan menyebelahi Moyes, saya percaya kelab akan melangkah ke bulan Februari dengan lebih menyakinkan. Saya tidak terkejut sekiranya United menang di Stamford Bridge tetapi tewas kepada Swansea City dan Cardiff City pada aksi di gelanggang sendiri, kerana itulah wajah Manchester United di bawah kendalian Moyes musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

31 Disember 2013

SELAMAT ULANG TAHUN KE-72....SIR ALEX!



Hari ini 31 Disember 2013, genaplah 72 tahun usia lagenda hidup Manchester United Sir Alex Ferguson. Sudah tentu selepas bersara, beliau kini dapat menikmati sepenuhnya sambutan ulang tahun kelahirannya kerana tidak lagi terganggu dengan kesibukan mengendalikan pemain-pemain di padang latihan dan merancang taktikal bagi menghadapi perlawanan berikutnya. Dilahirkan hasil perkongsian hidup pasangan Alexander Beaton Ferguson dan Elizabeth, Sir Alex menerima pendidikan awal di Broomloan Road Primary School dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Goyan High School. Semasa zaman kanak-kanaknya, Sir Alex merupakan penyokong kelab bolasepak gergasi Scotland, Glasgow Rangers. Pada usia meningkat remaja, Sir Alex memulakan kariernya sebagai pemain bolasepak dengan mewakili kelab bandar kelahirannya (Queens Park FC) pada 1957 hingga 1960. Sepanjang kariernya sebagai pemain, Sir Alex menyertai beberapa kelab Scotland seperti St Johnstone (1960-64), Dunfermline Athletic (1964-67), Rangers (1967-69), Falkirk (1969-73) dan kelab terakhir yang diwakili beliau sebelum bersara pada 1974 ialah Ayr United. Selepas bersara sebagai pemain, Sir Alex meneruskan kerjayanya dalam dunia bolasepak dengan menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan bermula sebagai pengurus East Stirlingshire pada 1974 sebelum menerima tawaran St Mirren dan kekal di Paisley selama empat musim (1974-78). Kredibiliti Sir Alex dalam bidang kejurulatihan mula menarik perhatian ramai pihak semasa beliau mengendalikan Aberdeen dari tahun 1978 hingga 1986. Selama lapan tahun di Aberdeen, Sir Alex berjaya mengemudi The Dons menjulang tiga kejuaraan liga (1980, 1984 dan 1985), empat Piala Scotland (1982, 1983, 1984 dan 1986) serta satu Piala Liga Scotland (1976). Di pentas Eropah pula, Sir Alex berjaya memacu Aberdeen menjulang kejuaraan UEFA Cup Winners Cup (1983) dan Piala Super UEFA (1983). Mungkin disebabkan sudah tiada apa lagi yang mahu beliau buktikan di Aberdeen, Sir Alex akhirnya berhijrah ke England untuk berdepan cabaran lebih besar dan menerima tawaran Manchester United yang ketika itu baru sahaja memecat Ron Atkinson.

Musim pertamanya sebagai pengurus United bukanlah memori yang manis untuk dikenang beliau kerana di akhir musim, skuad kendaliannya menamatkan saingan liga di tangga ke-11. Prestasi United di bawah kendalian Sir Alex untuk musim keduanya melonjak naik apabila mereka berjaya memperbaiki prestasi dengan menduduki tangga kedua (lapan mata di belakang Liverpool) selaku juara liga. Bagaimanapun musim berikutnya (1988-89), prestasi kelab kembali menjunam di mana barisan kendalian beliau sekali lagi menghuni tangga ke-11 dan di pertengahan musim 1989-90, beliau berdepan kemungkinan bakal dipecat selepas kelab sekadar menghuni tangga ke-15 menjelang bermulanya tahun baharu. Dua mata dari lapan perlawanan yang diraih kelab dari 25 November 1989 hingga 1 Januari 1990 menyebabkan penyokong-penyokong mula gelisah, manakala pihak pengurusan pula sedang menimbang kemungkinan mencari pengganti beliau. Di sebalik prestasi buruk yang dipamerkan pemain-pemainnya, pihak pengurusan akhirnya mengambil keputusan untuk terus bersabar dengan memberikan peluang buat beliau membuktikan kemampuannya. Mujurlah tindakan kelab yang tidak tunduk kepada desakan penyokong-penyokong akhirnya berbayar apabila Sir Alex berjaya mengemudi United menjulang Piala FA musim tersebut (1989-90) selepas mereka menundukkan Crystal Palace (1-0) pada perlawanan ulangan di Wembley. Itu merupakan trofi pertama yang berjaya dimenangi beliau selaku pengurus United dan selepas itu seperti yang anda semua tahu, kejuaraan demi kejuaraan hadir di Old Trafford hinggalah yang terakhir musim lalu apabila Sir Alex membawa kelab memenangi kejuaraan liga buat kali ke-20. Mei lalu, Sir Alex mengejutkan dunia bolasepak apabila mengumumkan persaraannya sekaligus mengakhiri tempoh gemilang selama hampir 27 tahun sebagai pengurus United dan individu yang dikatakan paling berkuasa di Old Trafford. Bagaimanapun Sir Alex masih lagi tetap berada di kelab, cuma fungsi yang dimainkannya kini berbeza apabila dilantik sebagai pengarah dan juta duta kelab. Selamat Ulang Tahun Ke-72 Sir Alexander Chapman Ferguson!. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

30 Disember 2013

WELBECK 'MUNCUL' PADA WAKTU YANG TEPAT


Tanpa kelibat Robin Van Persie dan Wayne Rooney, kunjungan Manchester United ke Norfolk pada awalnya agak menggusarkan saya kerana sudah terbayang betapa tumpulnya jentera serangan pasukan tanpa kehadiran dua penggempur berbisa itu. Ketiadaan Van Persie sudah cukup meresahkan manakala khabar terbaru bahawa Rooney pula mengalami kecederaan pangkal paha bagaikan satu bencana buat pasukan. Sebelum sepak mula di Carrow Road, tidak sukar untuk membayangkan bagaimana barisan The Red Devils akan bergelut untuk meneruskan rentetan lima kemenangan (dalam semua kejohanan) sekaligus memperbaiki kedudukan mereka di carta liga tanpa khidmat Van Persie dan Rooney dalam memburu jaringan. Pada mulanya saya berharap satu mata ketika menentang The Canaries sudah memadai tetapi selepas 57 minit aksi berlangsung, jaringan tunggal perlawanan hasil sentuhan pemusnah Danny Welbeck akhirnya memberikan United mata ke-34 dari 19 perlawanan liga setakat ini. Kemenangan yang dicatatkan kelmarin satu petanda bagus buat skuad kendalian David Moyes menjelang permulaan tahun baharu terutama dalam mengejar misi berada di kelompok empat teratas. Chris Hughton (pengurus Norwich) selepas perlawanan mengatakan jaringan Welbeck itu tidak lebih sekadar nasib tetapi saya lebih suka melihat bahawa gol tersebut sebenarnya berpunca dari sikap optimis penyerang itu sendiri dalam menyempurnakan peluang. Welbeck menggunakan sepenuhnya kegagalan Ryan Bennet mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan kemudiannya tenang memperdayakan John Ruddy untuk mudah menolak bola masuk ke gawang terbuka.

Sudah tentu selepas 45 minit pertama melihat barisan pemainnya buntu dalam mencari jaringan, kehadiran Welbeck yang masuk menggantikan Ryan Giggs di separuh masa kedua diharap mampu memberikan suntikan tambahan kepada barisan hadapan tetapi dia sebenarnya melakukan lebih dari itu. Selepas perlawanan Moyes tanpa ragu mengatakan bahawa kehadiran Welbeck mengubah arus permainan hinggalah terhasilnya gol kemenangan itu. Jaringan minit ke-57 di Carrow Road itu merupakan gol ke-6 Welbeck dalam saingan liga setakat ini dan sudah tentulah prestasi bagus yang dipamerkan pemain antarabangsa England itu melegakan sedikit kebimbangan kita selepas kelab gagal menggunakan khidmat Van Persie sejak 7 Disember, manakala Rooney pula muncul nama terbaharu yang terpaksa berada di bilik rawatan. Sekadar menjaringkan satu gol dari 27 perlawanan liga musim lalu, Welbeck bukanlah nama popular di kalangan penyokong-penyokong United tetapi prestasi terkini yang dipamerkannya menyebabkan tumpuan tiba-tiba beralih ke arahnya. Sudah tentu juga ketiadaan Van Persie dan Rooney menyebabkan Welbeck kini terpaksa memikul watak penting dalam memburu jaringan, sesuatu yang pasti kita tidak pernah bayangkan akan berlaku musim lalu. Prestasi bagus Welbeck hadir tepat pada masanya ketika kelab memang memerlukan pemain yang mampu memacu jentera serangan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Van Persie dan Rooney. Jadi tidak hairanlah jika  Moyes sendiri meletakkan sasaran 20 gol yang perlu dijaringkan Welbeck musim ini.

Tanpa ragu, ketika kelab sedang berjuang menempatkan diri ke kedudukan lebih baik dalam carta liga, Welbeck tiba-tiba muncul antara watak penting dalam membantu kebangkitan semula United sejak tewas kepada Everton dan Newcastle. Kelab besar seperti United sepatutnya tidak terlalu bergantung kepada hanya dua penyerang dalam memburu jaringan dan prestasi terkini yang dipamerkan Welbeck menambahkan lagi pilihan di barisan serangan, selain Moyes sendiri turut memiliki Javier Hernandez yang punya kualiti untuk menggegar gawang lawan. Empat gol dari lima penampilan terakhir saya anggap satu statistik yang cukup bagus buat Welbeck yang sering digunakan sebagai pengganti kepada Van Persie dan Rooney. Paling penting dua aksi terakhir di gelanggang lawan berkesudahan dengan enam mata yang berjaya dibawa pulang sekaligus meletakkan United kembali dalam persaingan. Perjalanan liga masih panjang dan saya berharap barisan The Red Devils di bawah kendalian Moyes sudah menemui kembali rentak mereka untuk memberikan cabaran lebih serius kepada pencabar-pencabar kejuaraan yang lain. Pemain-pemain sudah mula menunjukkan karakter sebenar mereka ketika bangkit di KC Stadium dan kemenangan di Carrow Road pula bukanlah sesuatu yang mudah kerana The Canaries sentiasa memberikan tentangan hebat setiapkali United berkunjung ke sini. Apa yang dipamerkan pemain-pemain di penghujung fasa pertama saingan (liga) penting sebelum saingan memasuki fasa kedua tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Moyes jika beliau mahu meletakkan semula United dalam jalur persaingan merebut kejuaraan liga. Dalam situasi sekarang prestasi cemerlang Welbeck hadir tepat pada waktunya dan saya berharap dia tidak akan berhenti dari menjaringkan gol selepas ini. Saya pasti kegembiraan Moyes selepas melihat prestasi cemerlang Welbeck turut dikongsi sama pengurus England, Roy Hodgson. Glory Glory Manchester United!!! – A.J