06 Januari 2014

KESABARAN GLAZER SEDANG DIUJI?


Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Old Trafford kini bukan lagi “Pentas Impian” buat barisan The Red Devils selepas Swansea City muncul pasukan kelima mengaibkan mereka di gelanggang keramat itu musim ini. “Theatre of Dreams” yang dahulunya pernah menyebabkan lawan gerun setiap kali berkunjung ke sini kini bukan lagi mimpi buruk buat pasukan pelawat tetapi sebaliknya bertukar kepada 'lubuk' untuk lawan meraih kemenangan. Dalam artikel sebelum ini, saya ada menyebut bahawa kita sepatutnya sudah boleh melupakan sebarang impian untuk menyaksikan kelab mempertahankan kejuaraan Liga Perdana berikutan prestasi turun naik yang dipamerkan anak-anak buah David Moyes dalam saingan liga, jadi kejohanan kalah mati seperti Piala Liga dan Piala FA adalah peluang terbaik untuk menjulang trofi domestik musim ini. Bagaimanapun malangnya, satu prospek kejuaraan sudahpun terlepas dari buruan berikutan kekalahan 1-2 kepada Swansea City di pusingan ketiga Piala FA awal pagi tadi. Sepertimana anda, saya juga kecewa selepas menyaksikan kelab tersingkir dari saingan Piala FA kerana pada awalnya saya berharap barisan The Red Devils menggunakan perlawanan ini untuk bangkit kembali dari kekalahan kepada Spurs Khamis lalu. Dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri dalam tempoh tiga hari bukanlah perkara yang bagus untuk menghadapi permulaan tahun baru. Sudah tentu juga ini bukanlah situasi yang kita bayangkan sepanjang tempoh enam bulan sejak bekas pengendali Everton itu mewarisi jawatan yang ditinggalkan oleh Sir Aex Ferguson. Selepas Everton, Newcastle dan Tottenham melakar sejarah mereka apabila mencatatkan kemenangan pertama di Old Trafford sejak sekian lama, kini tiba pula giliran The Swans. Tidak sukar untuk membayangkan mengapa Michael Laudrup begitu gembira sebaik berakhirnya perlawanan awal pagi tadi kerana barisan bimbingannya bukan sahaja berjaya merebut slot ke pusingan keempat Piala FA tetapi ini merupakan kemenangan pertama The Swans ke atas United di Old Trafford dalam tempoh 83 tahun.

Old Trafford sama seperti Santiago Bernabeu dan Nou Camp di mana ia merupakan gelanggang kebanggaan buat kelab besar yang memiliki sejarah serta tradisi gemilang, jadi menang di sini (Old Trafford) sudah tentu satu kejayaan manis buat mana-mana pasukan pelawat. Jika Real dan Barca sukar ditewaskan ketika beraksi di gelanggang sendiri, lain pula halnya dengan United di bawah kendalian Moyes musim ini. Moyes sekali lagi menyalahkan tuah yang tidak menyebelahi pasukannya kerana gagal layak ke pusingan keempat (Piala FA) tambahan pula apabila melihat Fabio da Silva dilayangkan kad merah selepas hanya empat minit masuk menggantikan Rio Ferdinand. Tidak adil juga untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu Moyes apatah lagi beliau gagal menurunkan skuad terbaiknya berikutan masalah kecederaan yang melanda Robin Van Persie, Wayne Rooney dan Michael Carrick selain empat lagi pemain regular. 'Kekosongan' di bahagian tengah sekali lagi disebut sebagai punca utama tumbangnya United awal pagi tadi, tetapi Moyes tidak boleh berterusan menggunakan alasan 'tiada tuah' setiap kali pasukannya berdepan kekalahan. Perlu diakui bahawa persembahan keseluruhan barisan bimbingannya setakat ini tidak langsung menggambarkan bahawa inilah barisan yang sama menjulang kejuaraan liga musim lalu dengan kelebihan 11 mata. Ketepikan dahulu alasan bahawa United sedang mengharungi tempoh peralihan di bawah 'regim' Moyes kerana persembahan yang dipamerkan pemain-pemainnya setakat ini langsung tidak menggambarkan bahawa mereka sedang menyarung jersi Manchester United. Setiap musim bayangan sebenar kelab mana bakal muncul juara liga biasanya dapat dilihat pada bulan Januari dan dengan kedudukan sekarang apakah tepat ramalan beberapa pemerhati bolasepak bahawa United akan menamatkan saingan musim ini di tangga ketujuh?

Sebolehnya saya berharap agar ramalan ini akan tersasar tetapi melihat kepada persembahan konsisten yang dipamerkan pesaing-pesaing lain seperti Arsenal, Man City, Liverpool, Chelsea, Tottenham dan Everton, misi menghuni kelompok empat terbaik sukar digapai jika diambilkira prestasi terkini United. Satu-satunya harapan saya ialah semoga United terus mempamerkan prestasi terpuji di pentas Liga Juara-Juara selepas mereka begitu cemerlang menjuarai peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah. Bukan mahu memperkecilkan keupayaan Olympiakos, tetapi peluang diundi bertemu pasukan bukan pilihan sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk menempah tiket ke suku akhir. Masih belum terlewat untuk Moyes menyelamatkan musim pertamanya di Old Trafford kerana beliau masih ada kejuaraan yang realistik untuk dimenangi, iaitu Piala Liga. Tolak ketepi prestij trofi ini jika mahu dibandingkan dengan kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA kerana Piala Liga perlu dimenangi Moyes bagi meredakan beban tekanan yang dipikulnya. Awal pagi Rabu nanti, Moyes berpeluang memulihkan sedikit kredibiliti beliau yang tercalar apabila mengetuai The Red Devils ke Stadium of Light untuk berdepan Sunderland dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga. Empat hari kemudian, United beroleh kesempatan untuk membalas dendam kekalahan mereka di pentas Piala FA kepada Swansea apabila kedua-dua pasukan bakal bertembung sekali lagi di Old Trafford (kali ini dalam saingan liga pula). Dalam tempoh beberapa hari ini, misi utama yang perlu dilaksanakan Moyes dan barisan pemainnya ialah mencipta keputusan baik pada dua perlawanan menentang Sunderland dan Swansea. Jika sebaliknya berlaku (keputusan buruk terus dicatat United), saya percaya Moyes sebenarnya sedang menguji kesabaran keluarga Glazer. Setakat ini Moyes beruntung kerana masih ramai penyokong-penyokong teguh di belakangnya tetapi jika keputusan-keputusan perlawanan terus tidak menyebelahi United, Glazer selaku pemilik kelab sudah tentu terpaksa membuat keputusannya sendiri. Penyokong-penyokong nampaknya masih boleh bersabar berdepan situasi ini, tetapi persoalannya sekarang bolehkah keluarga Glazer melakukan perkara yang sama? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan