“Tidak Bernasib Baik”, mungkin itulah ayat
paling lunak untuk mententeramkan hati selepas melihat Tottenham Hotspurs
muncul pasukan keempat menewaskan Manchester United di Old Trafford musim ini.
Ketika empat kelab teratas mencatatkan kemenangan dalam perlawanan
masing-masing, United sebaliknya memilih jalan sukar apabila tewas buat kali
keenam sekaligus semakin jauh ditinggalkan Arsenal selaku pendahulu liga.
Menguasai 62% perlawanan tidak menjamin tiga mata berada dalam genggaman kerana
sedikit kealpaan ketika rancak menyerang dan tiada tuah dalam menyudah peluang terhidang
menyebabkan kita terpaksa berputih mata sekali lagi. Memang benar, beberapa
keputusan pengadil perlawanan boleh dipertikaikan tetapi pengurus dan barisan
pemain-pemain perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang keputusan negatif
yang diraih mereka dalam sesuatu perlawanan. Selepas dihidangkan dengan
keputusan baik dalam enam perlawanan terakhir, Spurs menyebabkan kita kembali
berpijak di bumi nyata sekaligus menyedarkan kita bahawa barisan kendalian
Moyes bakal berdepan jalan lebih berliku pada baki saingan selepas ini. Januari
akan menjadi bulan penting buat survival perjuangan The Red Devils kerana ada beberapa perlawanan penting yang perlu
mereka harungi sepanjang bulan ini. Bermula dengan aksi pusingan ketiga Piala
FA menentang Swansea City hari ini, dua hari kemudian United akan berkunjung
pula ke Stadium of Light bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pertama Piala
Liga menentang Sunderland.
Marco Reus |
Aksi liga menentang Swansea City pada hujung
minggu hadapan (12 Januari) wajib digunakan sepenuhnya untuk kembali meraih
kemenangan sebelum berdepan ujian lebih getir di Stamford Bridge seminggu
selepas itu. Januari juga bakal menyaksikan jendela perpindahan pemain kembali
dibuka namun saya tidak mahu terlalu menaruh harapan untuk melihat Marco Reus,
Koke atau Ander Herrera menjejakkan kakinya ke Old Trafford seperti yang
digembar-gemburkan. Selepas menyaksikan prestasi kurang konsisten yang
dipamerkan The Red Devils setakat ini, ketibaan satu atau dua pemain baharu
perlu untuk menambah apa yang kurang dalam pasukan. Bagaimanapun pasaran
perpindahan musim panas lalu sepatutnya sudah mengajar kita bahawa
spekulasi-spekulasi yang dimainkan cuma enak untuk dendangan telinga dan menyedapkan
hati, tidak lebih dari itu. Anda boleh senaraikan seberapa banyak pemain yang
akan dibeli Moyes Januari ini, tetapi saya lebih gemar melihat beliau
menggunakan sepenuhnya aset yang ada bagi menghadapi baki saingan musim ini.
Jika bahagian tengah kurang menyengat, panggil semula Nick Powell pulang ke Old
Trafford daripada beliau membelanjakan wang mendapatkan seorang lagi pemain dari
Everton (Ross Barkley). Sir Alex Ferguson jarang terlibat dalam pasaran
perpindahan pemain bulan Januari kerana beliau tahu tidak banyak impak yang
mampu dilakukan muka-muka baharu ketika saingan kompetitif sudah memasuki
separuh musim. Dalam tempoh tujuh tahun, hanya sekali Sir Alex membawa masuk
pemain baharu di pertengahan musim iaitu pada 2006 ketika beliau menandatangani
Patrice Evra (dari AS Monaco) dan Nemanja Vidic (dari Spartak Moscow).
Musim lalu, Sir Alex menang dalam perebutan
mendapatkan Wilfired Zaha (pada bulan Januari) tetapi membiarkan pemain itu
menghabiskan musim terakhirnya bersama Crystal Palace di Liga Kejuaraan. Walau
bagaimanapun jika Moyes benar-benar serius mahu memperkuatkan pasukan bagi
menghadapi baki musim ini, keutamaan yang perlu beliau letakkan di tempat
teratas ialah mendapatkan seorang pemain tengah, pemain sayap dan juga bek
tengah, tiga posisi yang sering diperdebatkan sebagai titik paling lemah dalam
skuad beliau. Tiga pemain baharu ditandatangani sekaligus? Kedengarannya
seperti agak melampau tetapi itulah realiti sebenarnya jika kita mahu melihat
United kembali digeruni lawan. Dengan beberapa pemain utama masih berada di
bilik rawatan, Moyes memiliki skuad yang tampak 'usang' dan perlu diperbaiki,
jadi sudah tentu penyokong-penyokong berharap agar beliau terlibat secara
serius sepanjang jendela perpindahan pemain musim sejuk dibuka. Sambil itu kita
juga berharap agar key player seperti
Rafael, Phil Jones, Robin Van Persie, Marouane Fellaini dan Wayne Rooney segera
sembuh kerana kelab tidak mampu kehilangan mereka untuk tempoh lebih lama. Dalam
keadaan sekarang kelab tidak boleh kehilangan khidmat pemain-pemain penting ini,
dan Spurs sudah membuktikan bagaimana tanpa mereka (kecuali Rooney) United
mampu dikalahkan biarpun The Red Devils
menguasai hampir keseluruhan perlawanan. Kekalahan kepada Spurs kelmarin
menguatkan lagi andaian saya bahawa kita sepatutnya sudah boleh melupakan
sebarang impian untuk mempertahankan trofi Liga Perdana jika mengambilkira
kedudukan (dalam carta liga) dan prestasi kelab ketika ini.
Bagaimanapun saya masih menaruh harapan kelab
mampu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi di penghujung musim kerana kita
masih berada dalam saingan pada tiga lagi kejohanan (Liga Juara-Juara, Piala
Liga dan Piala FA). Paling hampir digapai sudah tentu Piala Liga di mana ketika
ini United sudahpun berada di pentas separuh akhir, manakala di pentas Liga
Juara-Juara pula kelab berpeluang cerah melangkah ke suku akhir selepas diundi
berdepan Olympiakos di pusingan kalah mati 16 pasukan. Selepas tamat perlawanan
menentang Spurs, Moyes mengatakan bahawa beliau hanya akan mendapatkan pemain
baharu jika perlu. Namun selepas melihat kedudukan kelab dalam saingan liga dan
panjangnya senarai kecederaan yang ada ditangan beliau, kebanyakkan dari kita sudah
tentu berharap agar usaha mendapatkan pemain baharu menjadi agenda utama beliau
sepanjang Januari ini. Jika berjaya melangkah ke pentas akhir Piala Liga, layak
ke pusingan keempat Piala FA dan berada di kelompok empat teratas carta liga,
saya anggap itu satu pencapaian bagus buat Moyes dan pemain-pemainnya sepanjang
Januari ini. Ringkasnya, bulan Januari akan menjadi tempoh paling baik untuk
kita menilai halatuju sebenar kelab pada baki saingan musim ini. Jika segalanya
berjalan lancar dan menyebelahi Moyes, saya percaya kelab akan melangkah ke
bulan Februari dengan lebih menyakinkan. Saya tidak terkejut sekiranya United
menang di Stamford Bridge tetapi tewas kepada Swansea City dan Cardiff City pada
aksi di gelanggang sendiri, kerana itulah wajah Manchester United di bawah
kendalian Moyes musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan