21 April 2014

DITINGGALKAN MOYES, EVERTON KINI PASUKAN YANG LEBIH BAGUS?



Artikel kali ini mungkin sedikit berlainan berbanding artikel-artikel sebelum ini kerana kali ini saya tidak menulis tentang David Moyes, Wayne Rooney, Robin Van Persie, Shinji Kagawa, pemain mana yang bakal dijual, pemain mana yang bakal dibeli atau apa-apa sahaja perkara yang berkaitan tentang Manchester United. Anda sudah saksikan perlawanan Everton/United di Goodison Park semalam dan sudah tentu juga anda sudah tahu kesudahan perlawanan itu. Suka atau tidak perlawanan sudahpun berakhir dan sepertimana anda, saya juga berlapang dada menerima hakikat bahawa United sudah dikalahkan 11 kali dalam saingan liga setakat ini. Suka atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa Everton yang ditinggalkan David Moyes muncul pasukan yang lebih bagus di bawah kendalian Roberto Martinez musim ini. Terus terang saya katakan bahawa saya tidak pernah mengikuti perkembangan Martinez secara dekat ketika beliau di DW Stadium selama empat musim walaupun berjaya membawa Wigan Athletic keluar sebagai juara Piala FA musim lalu selepas menewaskan skuad jutawan Manchester City di pentas akhir. Bagaimanapun prestasi Everton di bawah kendalian Martinez musim ini cukup menarik perhatian saya walaupun pada awalnya ramai menjangkakan The Toffees bakal berdepan masalah selepas ditinggalkan Moyes.  Semalam, Martinez sudah membuktikan kemampuan beliau apabila muncul pengurus pertama Everton selepas Harry Catterick yang berjaya membawa The Toffees menewaskan United dua kali dalam semusim.

Menewaskan United sudah tentu kejayaan yang cukup besar buat pasukan seperti Everton apatah lagi jika mereka berjaya melakukannya dua kali dalam semusim, jadi tidak hairanlah mengapa perlawanan semalam cukup bermakna buat Martinez. Dedikasi yang ditunjukkan Martinez mirip kepada Arsene Wenger semasa zaman muda beliau dan turut diakui sendiri pengendali Arsenal itu. “Soal dedikasi memang kami memiliki persamaan. Dia (Martinez) mempunyai falsafahnya sendiri dan cuba memainkan bolasepak yang menarik”, kata Wenger sebelum pasukannya berdepan Everton dua minggu lalu. Seperti yang anda semua tahu, Wenger yang jauh lebih berpengalaman, 24 tahun lebih tua berbanding Martinez dan sudah mengemudi Arsenal lebih 1,000 perlawanan terpaksa menelan kepahitan melihat pasukannya bolos tiga gol di Goodison Park. Kekalahan itu sebenarnya memberikan kesan yang cukup besar kepada perjuangan The Gunners menempatkan diri mereka di kedudukan empat teratas walaupun pada mulanya mereka pernah dicanang pasukan pilihan menjulang trofi liga musim ini. Prestasi baik yang ditunjukkan Everton musim ini memungkinkan dua kelab Merseyside beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan sambil dua lagi slot diisi Chelsea dan Manchester City. Jika Martinez berjaya membawa Everton beraksi di Liga Juara-Juara, ini juga bermakna mereka berjaya mengatasi kedudukan Arsenal dalam carta liga buat pertama kali sejak musim 1987/88 dan juga kegagalan pertama kelab London itu bermain di pentas tertinggi kelab-kelab Eropah sejak Wenger berkuasa. Untuk rekod pencapaian terbaik Everton di Liga Juara-Juara pula ialah sekadar beraksi di peringkat kelayakkan pada musim 2005/06.

Martinez dan Wenger bukan sahaja dianggap memiliki persamaan dari segi gaya kejurulatihan malah turut memiliki persamaan dari segi falsafah bolasepak mereka. Arsenal di bawah kendalian Wenger pernah dilabel pasukan kedua selepas Barcelona yang mempamerkan permainan bolasepak menarik manakala Everton pula bertukar dari pasukan yang pada dasarnya bermain secara defensive kepada pasukan yang lebih offensive sejak Martinez tiba di Goodison Park Jun lalu. Bagi peminat-peminat bolasepak Inggeris dari era 80an, saya yakin anda pasti ingat bagaimana Arsenal bermain ketika mereka dikendalikan George Graham selama sembilan musim karier pengurusan beliau di Highbury. Arsenal di bawah Graham memiliki barisan belakang yang cukup solid tetapi kurang kreatif ketika menyerang hingga penyokong-penyokong mereka ketika itu sering melaungkan nyanyian “1-0 to the Arsenal” sebagai tanda kritikan atas permainan negatif yang dipamerkan pasukan mereka. Begitulah juga apa yang berlaku di Goodison Park selama 11 musim Moyes mengemudi Everton di mana mereka gemar bermain di kawasan sendiri dan kemudiannya menghukum kealpaan lawan menerusi serang balas pantas. Saya tidak nafikan Moyes bijak menggunakan pendekatan bolasepak negatif demi mencari keputusan baik di akhir permainan, jadi tidak hairanlah mengapa kelab pertengahan seperti Everton begitu ditakuti oleh kelab-kelab big four setiap musim. Akhirnya selepas begitu lama sebati dengan corak permainan negatif, kehadiran Martinez berjaya mengubah Everton dari pasukan yang membosankan kepada pasukan yang menarik untuk ditonton permainannya.

Ross Barkley menyifatkan Martinez sebagai pengurus yang lebih “bijak” berbanding Moyes yang kini sedang bergelut menangani tekanan di Old Trafford. Jika melihat kepada kerja-kerja yang sudah beliau lakukan sejak Jun lalu serta corak permainan Everton yang jauh berubah musim ini, saya terpaksa mengakui kebenaran pujian yang dilemparkan Barkley terhadap Martinez. Jika Wenger berjaya menjadikan permainan Arsenal menarik untuk ditonton selepas bertahun-tahun dilabelkan pasukan yang membosankan oleh penyokong-penyokong mereka sendiri, begitu jugalah halnya dengan Martinez bersama Everton. Atas sebab itulah mengapa lagenda Arsenal, Ian Wright tidak teragak-agak menamakan Martinez sebagai calon paling tepat selaku pengganti Wenger jika warga Perancis itu bertindak meninggalkan kelab hujung musim ini sepertimana yang digembar-gemburkan. “Beliau jenis pengurus yang diperlukan. Pengurus muda yang bagus dan sudah membuktikan keupayaannya menerusi taktikal dan strategi permainannya. Beliau sempurna dan jika ditanya siapa yang saya inginkan jika Wenger pergi, jawapan saya ialah Roberto Martinez. Beliau adalah pengurus yang diperlukan untuk membawa Arsenal terus ke hadapan”, kata Wright. Sepertimana kebanyakkan jurulatih atau pengurus bolasepak yang hebat, Martinez ketika zamannya sebagai pemain bukanlah seorang pemain bolasepak yang hebat. Penghargaan tertinggi yang diraih Martinez selaku pemain ialah ketika beliau dianugerahkan pemain terbaik Divisyen 3 selama dua musim berturut-turut ketika mewakili Wigan Athletic selama enam musim bermula dari tahun 1995.

Selepas itu Martinez melanjutkan kariernya di Liga Scotland pula dengan menyertai Motherwell tetapi kembali semula ke England pada 2002. Di England, Martinez menghabiskan tempoh lima tahun dengan bermain untuk kelab-kelab divisyen bawahan seperti Wallsall, Swansea City dan Chester City sebelum bersara pada 2007 pada usia 33 tahun. Bukan seorang pemain bolasepak yang hebat tidak bermakna anda tidak boleh menjadi jurulatih atau pengurus yang bagus. Martinez membuktikan bahawa beliau boleh menjadi jurulatih/pengurus yang berjaya walaupun tidak dianugerahkan dengan bakat yang hebat sebagai pemain. Kejayaan beliau membawa Swansea City beraksi di Liga Kejuaraan pada musim pertamanya bersama The Swans mula membuka mata ramai pihak. Beliau menggunakan kesempatan ini untuk menguji kebolehannya sebagai pengurus ke tahap lebih tinggi di Liga Perdana apabila menerima tawaran menggantikan Steve Bruce di DW Stadium pada 2009. Bersama Wigan Athletic, kelab yang pernah diwakili beliau sebagai pemain, Martinez beberapa kali berjaya menyelamatkan The Latics dari tersingkir ke Liga Kejuaraan tetapi kejayaan epik kelab itu menewaskan Manchester City di pentas akhir Piala FA musim lalu akan kekal diingati sampai bila-bila. Agak malang, walaupun berjaya membawa Wigan Athletic menjulang kejuaraan major pertama mereka, Martinez gagal menyelamatkan kelab itu dari terjerumus ke Liga Kejuaraan. Kegagalan Martinez mengekalkan The Latics  di Liga Perdana tetap tidak menghalang minat pihak pengurusan Everton untuk memilih beliau sebagai pengganti Moyes di Goodison Park.

Walaupun kehilangan khidmat Marouane Fellaini, Nikica Jelavic dan Victor Anichebe yang berhijrah, Martinez menggunakan sepenuhnya peruntukkan £40 juta yang dibekalkan kepada beliau untuk mendapatkan James McCarthy, Arouna Kone dan Aiden McGready disamping pemain-pemain pinjaman seperti Gareth Barry, Romelu Lukaku dan Gerard Deulofu untuk menguatkan pasukan. Saya kagum melihat kebolehan Martinez membentuk semula karier pemain-pemain 'terbuang' seperti Barry dan Lukaku hingga menjadikan mereka hero baru di Goodison Park dan menyebabkan kehilangan Fellaini tidak ditangisi para Evertonians. Dengan barisan pemain-pemain yang lebih berkualiti dimiliki Martinez berbanding ketika di DW Stadium dulu, beliau akhirnya berjaya membuktikan bahawa beliau antara pengurus muda berbakat di Liga Perdana dan kejayaan mengemudi Wigan Athletic menjulang Piala FA musim lalu bukan sekadar dibantu faktor nasib. Bukan setakat kebolehan beliau mengendalikan Everton musim ini menarik perhatian saya tetapi cara beliau membelanjakan peruntukkan kewangan yang dibekalkan sebenarnya cukup menarik untuk anda ketahui. Tahukah anda bahawa Martinez tidak membelanjakan kesemua peruntukkan kewangan untuk membeli pemain kerana sebahagiannya digunakan beliau bagi menaik taraf kemudahan latihan di Finch Farm (pusat latihan Everton). Wawasan Martinez bukan sekadar menjadikan Everton kelab yang lebih baik dan dihormati di atas padang  tetapi juga menjadikan padang latihan mereka setaraf dengan kelab-kelab besar England.

“Kemudahan latihan di sini sudah cukup bagus tetapi setiap musim sudah tentu ada tuntutan baru. Setiap pemain dari skuad utama akan diberikan kemudahan bilik peribadi di Finch Farm. Akan ada projek-projek lain dalam tempoh 24 bulan akan datang”, kata Martinez ketika ditemubual The Guardian. Ketika mula-mula diperkenalkan sebagai pengurus baru Everton, Martinez mengatakan bahawa beliau tidak percaya mampu membawa kejayaan di Goodison Park dalam masa yang singkat. Malah lebih dari itu saya ketika itu juga percaya bahawa Everton akan berdepan masalah di bawah kendalian beliau. Kini selepas melihat The Toffees berpeluang cerah menyingkirkan Arsenal dari kedudukan empat teratas, saya terpaksa mengakui bahawa Martinez memang antara jurulatih yang bagus serta berbakat di Liga Perdana dan secara perlahan-lahan mula meminati beliau. Jika Everton berjaya menyingkirkan Arsenal dari perebutan slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan, itu disebabkan mereka memang layak beraksi di sana dan kehadiran Martinez berjaya menjadikan mereka pasukan yang jauh lebih bagus. Everton di bawah kendalian Martinez musim ini sudah menewaskan United (dua kali), Arsenal dan Chelsea dalam saingan liga, jadi tiada pertikaian jika mereka berjaya merebut slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Kepada peminat-peminat bolasepak (kecuali penyokong Arsenal) yang menggemari permainan cantik kelab 'Meriam London' itu, usah khuatir jika mereka gagal beraksi di Liga Juara-Juara kerana Everton di bawah kendalian Martinez juga tidak kurang hebatnya dan mampu menawarkan permainan menarik di atas padang. Jika mereka (Everton) berjaya menghuni kedudukan empat teratas di akhir musim, saya hanya mampu mengucapkan semoga mereka sukses beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan. Pemergian Moyes tidak meruntuhkan Everton tetapi sebaliknya menjadikan mereka lebih bagus di bawah kendalian Martinez. Saya masih penyokong setia United tidak kiralah di mana pun kedudukan kelab ketika ini, tetapi jika lawan memang terbukti bagus tiada salahnya untuk saya mengagumi dan menyanjungi mereka. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

19 April 2014

DARI SONAGACHI KE OLD TRAFFORD


Manchester United boleh menjadikan filem Slumdog Millionaire, kisah yang cukup terkenal di layar perak suatu ketika dulu dan pernah memenangi empat anugerah Gloden Globe satu realiti di dunia nyata. Rajib Roy, yang berusia 16 tahun dari petempatan setinggan daerah Sonagachi di Kolkata, India bertuah kerana beliau antara 11 remaja yang terpilih menjalani ujian selama dua minggu di Old Trafford bermula hujung minggu ini. Bakat Rajib berjaya dikesan pencari bakat United ketika beliau menyertai salah satu kejohanan peringkat kebangsaan yang menghimpunkan pemain-pemain muda berbakat dari seluruh India. Paling menariknya ialah kebanyakkan remaja yang bakal menjalani ujian pemilihan ini adalah dari golongan berada serta fasih berbahasa Inggeris, manakala Rajib pula menghabiskan masa lapangnya dengan bermain bolasepak di lorong-lorong kotor sekitar petempatan setinggan terbesar di Asia itu. Sonagachi yang terletak di pinggir bandar dihuni hampir 12 ribu pekerja seks termasuklah ibunya, Rekha di mana mereka tinggal dalam apartmen kecil bersama seorang adik lelakinya. Pemain Chelsea, Oscar merupakan idola Rajib jadi tidak hairanlah jika poster pemain itu menghiasi dinding kediamannya. Kedua-dua individu ini memiliki latar belakang kehidupan ketika remaja yang hampir sama di mana Oscar juga pernah mengasahkan bakat bolasepaknya di lorong-lorong kejiranan miskin di Brazil. Ketika ramai rakan-rakan sebayanya terjebak dengan masalah dadah dan jenayah, bakat serta kebolehan semulajadinya dalam bolasepak berjaya menghindarkan Rajib dari masalah sosial itu.

Kehidupan Rajib sebenarnya mula berubah selepas ibunya menghantar beliau ke sekolah Rahul Vidya Niketan yang ditubuhkan oleh Durbar Mahila Samanwaya Committee (DMSC) khas untuk anak-anak pekerja seks. Pengasas sekolah berkenaan, Dr Samarjit Jana menubuhkan pasukan bolasepak di sekolah tersebut empat tahun lalu kerana pada pandangan beliau sukan adalah cara paling berkesan untuk menghubungkan anak-anak ini dengan masyarakat luar. Terima kasih kepada Dr Samarjit kerana bermula dari inisiatif beliaulah remaja berbakat seperti Rajib berpeluang mempamerkan kebolehannya di mana pada awal tahun ini, Rajib berjaya membantu West Bengal memenangi kejohanan peringkat umur di Nagpur. Bulan lalu pula Rajib bersama 30 lagi bakat dari DMSC terpilih untuk bermain dalam kejohanan sekolah-sekolah seluruh India di Goa dan dari kejohanan inilah kelibatnya berjaya mencuri perhatian pencari bakat United. Menerusi kejohanan sekolah-sekolah di Goa, Rajib berjaya memikat perhatian pencari bakat United namun beliau sebenarnya hampir sahaja gagal menyertai rakan-rakannya dan terlepas kejohanan ini kerana tiba lewat. “Bulan lepas saya terpilih bersama-sama dengan 30 yang lain (dari DMSC) untuk kejohanan di Goa. Saya tiba lewat kerana terpaksa menggunakan keretapi berbanding rakan-rakan lain yang menggunakan penerbangan”, kata Rajib. Remaja ini turut mengakui bahawa dia sering membelanjakan sedikit wang yang diberikan ibunya untuk makan tengahari bagi menonton perlawanan-perlawanan bolasepak di sekitar bandar.

Menurut Dr Samarjit, impian Rajib ialah menjadi pemain bolasepak yang berjaya suatu hari nanti dan bermain di Liga Perdana manakala pasukan kegemarannya ialah Manchester United. Di Old Trafford, bakat dan kebolehan Rajib bukan sahaja akan diuji tetapi beliau juga diberikan pakej lawatan ke Theatre of Dreams yang biasanya bernilai £20 iaitu bersamaan dengan pendapatan bulanan keluarganya. Jika berjaya dalam ujian pemilihan tersebut, nasib Rajib bakal berubah secara drastik dan jalan hidup remaja ini pula hampir sama dengan watak Jamal Malik dalam filem Slumdog Millionaire yang meraih empat anugerah Golden Globe itu. Jika di sini program “Mencari Ramli” sudah masuk musim ketiga, di Old Trafford pula Rajib Roy akan mempamerkan bakat dan kebolehannya untuk cuba merebut peluang yang mungkin hanya datang sekali dalam hidupnya iaitu diterima menjadi salah seorang pelajar di Akademi Bolasepak Manchester United. Sama ada Rajib berjaya atau tidak itu soal kedua tetapi saya tertarik melihat bakat seperti beliau lahir di bumi India yang lebih terkenal dengan sukan hoki dan kriketnya. Hoki India sudah melahirkan Dhanraj Pillay sebagai lagenda mereka manakala Sachin Tendulkar pula untuk sukan kriket. Adakah selepas ini giliran bolasepak pula melahirkan lagenda India menerusi remaja bernama Rajib Roy yang mula mengasah bakatnya di celah-celah lorong sempit petempatan setinggan Sonagachi? Benarlah kata pepatah bahawa permata berharga kadangkala tertanam jauh didalam lumpur yang kotor. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

13 April 2014

VAN GAAL KE OLD TRAFFORD? BENAR ATAU SEKADAR SPEKULASI?


Perkhabaran bahawa satu pertemuan telah berlaku antara pihak pengurusan Manchester United dan Louis Van Gaal 3 hari lalu mungkin berita yang menggemparkan anda. Saya tidak pasti tentang kebenaran berita yang diterbitkan oleh Mirror Sport ini, tetapi jika memang benar kedua-dua pihak sudah bertemu (pengurusan United dan Van Gaal), jawatan David Moyes selaku pengurus United sebenarnya berada dalam bahaya. Tidak perlu saya sebutkan secara panjang lebar di sini siapa Van Gaal kerana apa yang perlu anda lakukan hanyalah meneliti rekod beliau sebagai jurulatih/pengurus serta pengalaman yang ada pada beliau baik di peringkat kelab mahupun skuad kebangsaan. Jika segala rekod dan pencapaian Van Gaal sudah anda teliti, saya yakin anda pasti tidak akan terkejut jika benar pihak pengurusan United bertemu beliau tiga hari yang lalu. Tujuan pertemuan itu masih kabur, tetapi tidak sukar untuk kita meneka bahawa jika pertemuan itu sudah berlaku, United sebenarnya sedang berusaha mencari pengganti Moyes bagi menghadapi cabaran musim depan.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Mirror Sport itu, delegasi United turut disertai salah seorang anggota keluarga Glazer dan pertemuan berlaku di sebuah lokasi yang dirahsiakan. Ketika Moyes sudah berkira-kira melakukan perancangan untuk musim depan selain diberitakan akan menghabiskan sekitar £200 juta bagi membina semula pasukan mengikut acuan beliau sendiri, berita dari Mirror Sport ini sebenarnya agak mengejutkan. Bagaimanapun selepas meneliti semula rekod Moyes sejak beliau mengambilalih tugas dari Sir Alex Ferguson sembilan bulan lalu, perkembangan terbaru ini ada logik dan kebenarannya. Prestasi United di peringkat domestik yang turun dengan begitu drastik hingga berdepan kemungkinan gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan serta disingkir Bayern Munich di peringkat suku akhir (Liga Juara-Juara) menambahkan lagi tekanan terhadap Moyes. Itu belum lagi saya senaraikan 'rekod-rekod' yang berjaya dipecahkan beliau walaupun belum semusim duduk di kerusi pengurus United. Ironinya Everton yang ditinggalkan Moyes kini sembilan mata di depan United dan berpeluang cerah layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Sekadar mengimbas kembali apa yang berlaku penghujung musim lalu, pemilihan Moyes sebenarnya tidak mengejutkan saya walaupun ada di kalangan penyokong-penyokong United pada awalnya membayangkan bahawa Pep Guardiola, Jose Mourinho, Jurgen Klopp atau Jupp Heynckes akan menggantikan Sir Alex. Walaupun saya pernah menulis tentang spekulasi bahawa Guardiola atau Mourinho adalah calon paling utama yang akan mengambilalih posisi Sir Alex, tetapi naluri saya kuat mengatakan bahawa individu yang akhirnya akan dipilih ialah Moyes. Spekulasi yang sudah bertiup sejak bulan Disember 2012 bahawa Moyes akan menggantikan tempat Sir Alex menyebabkan saya tidak terkejut ketika nama beliau diumumkan sebagai pengurus baru United. Pemilihan Moyes tidak mengejutkan saya tetapi cara beliau dipilih mengisi jawatan pengurus United yang dikosongkan Sir Alex sebenarnya yang agak mengejutkan saya. Moyes saya kira cukup beruntung kerana tidak perlu berdepan proses penilaian dan pemantauan ketat oleh lembaga pengarah sepertimana yang terpaksa dilalui oleh mana-mana calon pengurus/jurulatih untuk kelab-kelab besar lain.

Perlantikan beliau dibuat cukup sekadar berdasarkan kepada pandangan, penilaian dan pemilihan yang dilakukan Sir Alex, tanpa mengambilkira reputasi dan rekod yang beliau miliki sebelum ini (maaf jika fakta yang saya sebutkan ini salah). Kerana gah dan besarnya jenama Manchester United, kerusi pengurus adalah jawatan yang menjadi idaman buat mana-mana jurulatih bolasepak di seluruh dunia. Untuk itu pemilihan mana-mana individu bagi mengisi jawatan tersebut sepatutnya dibuat menerusi penilaian dan saringan yang ketat, bukan hanya berdasarkan cadangan dari Sir Alex atas kemampuan Moyes mengemudi Everton memberikan saingan secara konsisten di pentas domestik biarpun diberikan peruntukkan terhad setiap musim. Pemilihan Moyes sebagai pengurus United pada saya dilakukan dengan cukup simple, malah Moyes sendiri tidak menyangka bahawa beliau akan dipilih hinggalah beliau menerima panggilan dari Sir Alex semasa sedang bersantai di rumah.

“Perkara pertama yang beliau (Sir Alex) katakan kepada saya ialah beliau akan bersara. Saya bertanya bila? Kerana saya tidak pernah membayangkan beliau akan bersara dalam tempoh terdekat. Tetapi beliau berkata minggu hadapan. Kata-kata beliau berikutnya ialah saya adalah pengurus United seterusnya. Saya tidak berpeluang untuk mengatakan “Ya” atau “Tidak” kerana kata-kata beliau itu bagi saya itu sudah cukup jelas”, kata Moyes semasa di wawancara Sky Sports Jun lalu. Jika dinilai kata-kata Moyes, anda sepatutnya sudah cukup jelas bagaimana pemilihan untuk jawatan yang paling diimpikan oleh mana-mana jurulatih di dunia itu dibuat. Maaf jika apa yang saya katakan ini agak keras kerana saya juga pada mulanya berharap bahawa Moyes adalah pengganti yang tepat untuk jawatan pengurus United dan Sir Alex tidak melakukan kesilapan ketika memilih beliau sebagai penggantinya. Sir Alex memang seorang lagenda dan individu hebat tetapi beliau tetap seorang manusia biasa yang pada bila-bila masa boleh melakukan kesilapan besar.

Mungkin juga memilih Moyes sebagai pengganti beliau antara kesilapan besar yang pernah dilakukan Sir Alex sepanjang hidupnya. Atau mungkin juga Moyes adalah pilihan yang tepat dan bakal membuktikan kemampuan sebenarnya selaku pengendali musim depan selepas belajar dari pengalaman berharga di sebalik kejatuhan United musim ini. Selepas lebih dua dekad kita dihiburkan dengan kejuaraan demi kejuaraan yang di bawa ke kabinet trofi Old Trafford, United musim ini berdepan kemungkinan menamatkan saingan liga di tangga ketujuh, kedudukan terburuk sejak musim 1989-90. Walaupun masih terdapat sebahagian besar penyokong-penyokong United teguh berdiri di belakang Moyes, berita yang diterbitkan Mirror Sport ini (bahawa ada pertemuan antara pihak pengurusan United dan Van Gaal) tidak mengejutkan saya. Sir Alex mendapat sokongan dan kepercayaan sepenuhnya dari pihak pengurusan United walaupun prestasi kelab sepanjang tempoh empat tahun pertama beliau di Old Trafford terumbang-ambing, tetapi itu tidak bermakna Moyes akan diberikan layanan yang sama.

Sebelum kehadiran Sir Alex, United juga bukanlah kelab yang terlalu kebal dalam hal memecat pengurus. Dalam tempoh 15 tahun selepas era Sir Matt Busby dan sebelum tibanya Sir Alex di Old Trafford, Frank O'Farrel, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson silih berganti duduk di kerusi pengurus. Malah ada juga kisah yang mengatakan bahawa gol kemenangan Mark Robins ketika berdepan Oldham Athletic di peringkat separuh akhir Piala FA (1989-90) menyelamatkan Sir Alex dari dipecat. Seperti yang saya sebutkan tadi berita yang diterbitkan Mirror Sport masih kabur kebenarannya tetapi kita tidak perlu terkejut jika memang benar berlakunya pertemuan antara pihak pengurusan United dan Van Gaal. Walaupun sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke White Hart Lane, sebarang kemungkinan untuk Van Gaal  menggantikan Moyes adalah cukup besar.berdasarkan kepada rekod kejayaan dan pengalaman beliau dalam bidang kejurulatihan. Selain dari deretan kejayaan yang pernah diraih Van Gaal selaku jurulatih, bukan sedikit juga pemain-pemain hebat yang pernah bermain di bawah kendalian beliau seperti Rivaldo, Patrick Kluivert, Frank de Boer, Luis Figo, Franck Ribery, Jari Litmanen, Edwin Van der Sar serta ramai lagi.

Jika benar pihak pengurusan United bertemu Van Gaal, itu adalah kerana beliau masih antara jurulatih berprofil tinggi di dunia selain pengalaman dan kejayaan yang pernah diraihnya sepanjang tempoh 28 tahun di bidang kejurulatihan. Berita ini saya anggap masih sekadar spekulasi kerana tiada pengesahan rasmi yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak, manakala Moyes pula masih lagi pengurus United dan segalanya belum berakhir buat beliau. Meskipun hampir mustahil, Moyes masih memiliki baki lima perlawanan yang tinggal untuk membuktikan kemampuannya dengan membawa United beraksi di Liga Juara-Juara musim depan atau meletakkan kelab di kedudukan lebih baik (berbanding tangga ketujuh) sebaik musim berakhir nanti. Bagaimanapun perlu juga saya ingatkan bahawa usaha United untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan bukan hanya bergantung kepada kemampuan mereka menang kesemua baki lima perlawanan selepas ini tetapi turut ditentukan keputusan perlawanan yang melibatkan Everton, Arsenal dan Tottenham Hotspurs.

Secara peribadi saya adalah peminat Jurgen Klopp (jurulatih Borussia Dortmund) kerana kepintaran beliau menyusun taktikal dan strategi permainan selain kemampuan beliau memaksimakan potensi yang ada pada setiap pemain-pemainnya. Saya meminati Klopp tetapi Van Gaal pula lebih berpengalaman dan sudah terbukti kemampuannya baik di peringkat kelab mahupun ketika bersama skuad kebangsaan Belanda. Jadi saya tidak akan terkejut andainya musim panas nanti Moyes terpaksa mengosongkan pejabatnya dan memberikan laluan kepada pengurus baru yang lebih berpengalaman menggantikan tempat beliau. Bagaimanapun segalanya belum muktamad, ada kemungkinan Moyes akan terus kekal menerajui United, ada kemungkinan Van Gaal menggantikan tempat beliau atau ada kemungkinan juga terdapat nama-nama lain yang sedang diintai pihak pengurusan. Sama ada Moyes kekal atau tidak, atau akan ada pengganti yang dilantik untuk mengambilalih tempat beliau nanti, satu-satunya harapan saya untuk musim depan hanyalah mahu melihat Manchester United yang lebih baik berbanding musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

10 April 2014

TIADA RUNGUTAN, TIADA SESALAN

Berakhir sudah misi Manchester United di pentas Liga Juara-Juara musim ini selepas anak-anak buah David Moyes tewas kepada Bayern Munich di peringkat suku akhir menerusi aggregat 2-4 awal pagi tadi. Tiada rungutan di sebalik kekalahan semalam kerana saya memang sejak awal lagi mengakui bahawa Bayern skuad yang lebih bagus berbanding United. Dari posisi penjaga gol hinggalah kepada penyerang, juara Bundesliga itu memiliki pemain-pemain kelas dunia di setiap posisi dan dikendalikan pula oleh Pep Guardiola seorang jurulatih yang sudah pun terbukti kredibilitinya dengan memenangi berbagai trofi di peringkat tertinggi bersama Barcelona sebelum ini. Jika anda berpegang kepada hakikat bahawa United dan Bayern dipisahkan dengan jurang yang begitu besar, kegagalan layak ke peringkat separuh akhir kali ini sepatutnya tidak perlu diratapi. Seperti yang diramalkan, strategi bermain secara defensif digunakan Moyes pagi tadi hingga menyebabkan Bayern terpaksa bergelut menyusup masuk ke dalam kawasan penalti. Bagaimanapun berdepan lawan yang punya kualiti seperti Bayern, memang sukar untuk terus fokus bertahan sepanjang 90 minit permainan dan akhirnya biarpun gol Patrice Evra memberikan kita sedikit harapan, lawan kemudiannya pantas bangkit menyamakan kedudukan tidak sampai seminit selepas itu menerusi Mario Mandzukic. Turning point pada perlawanan pagi tadi sudah tentu gol penyamaan Mandzukic, dan gol inilah sebenarnya yang meragut peluang United untuk melakar kejutan di Allianz Arena. Saya percaya ketika kegembiraan pemain-pemain United masih belum reda menyambut jaringan Evra, Bayern tidak menunggu lama untuk bangit dan pantas merentap semangat barisan The Red Devils.

Saya yakin situasi tidak akan sama jika gol penyamaan Mandzukic tidak berlaku sepantas ini kerana Bayern akan lebih tertekan bagi mencari gol penyamaan sekaligus menganggu rentak sebenar permainan mereka. Jaringan Evra tidak 'mematikan' Bayern sepertimana yang saya sangkakan tetapi sebaliknya mereka bangkit menampilkan karakter hebat hingga berjaya menghasilkan tiga gol selepas itu. Mungkin juga kerana hilang konsentrasi, United membenarkan lawan memadamkan kelebihan mereka dalam masa yang begitu singkat dan sudah tentu itu merupakan satu kerugian yang cukup besar dalam perlawanan yang penting seperti ini. Walaupun pahit saya terpaksa mengakui bahawa reaksi balas mereka (pemain-pemain Bayern) selepas pintu gol Manuel Neuer dibolosi cukup mengagumkan. Sebelum sepak mula lagi segalanya tampak tidak menyebelahi United kerana Moyes terpaksa mempertaruhkan kecergasan Wayne Rooney yang 'dipaksa' bermain dalam keadaan diri beliau tidak cergas sepenuhnya. Saya akui kehadiran Rooney amat penting buat pasukan tetapi keputusan untuk menurunkannya dalam keadaan beliau tidak cergas 100%, saya kira bukanlah satu langkah yang tepat terutamanya ketika berdepan pasukan sehebat Bayern. Pada pandangan saya ada baiknya jika Javier Hernandez digunakan terlebih dahulu selaku penggempur utama memandangkan pemain itu dalam mood terbaik selepas berjaya menjaringkan gol dalam saingan liga Sabtu lalu, manakala Rooney pula digunakan di separuh masa kedua sebagai senjata sulit untuk memerangkap Bayern. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kelibat Rooney di Allianz Arena pagi tadi bukanlah Rooney yang kita lihat semasa aksi di Old Trafford Rabu lalu.

Di babak pertama Rooney menerima peluang terbaik tapi kelihatan ragu-ragu untuk mengambil keputusan segera ketika bola berada di kakinya. Rooney akhirnya melepaskan percubaan walaupun ketika itu beliau sepatutnya melakukan hantaran kepada Shinji Kagawa yang berada pada posisi lebih baik untuk menjaringkan gol. Pagi tadi Moyes menggunakan Rooney selama 90 minit, mungkin disebabkan reputasi penyerang England itu boleh memberikan kesan psikologi kepada lawan, tetapi hakikat sebenarnya Rooney gagal memberikan ancaman yang benar-benar serius kepada benteng pertahanan Bayern. Saya tidak salahkan Rooney kerana kecederaan yang dialami beliau mungkin menjadi penyebab mengapa sumbangannya kurang berkesan. Statistik selepas perlawanan menunjukkan sepanjang 90 minit, Rooney menyentuh bola sebanyak 51 kali, ketepatan hantarannya hanya mencapai 64% dan melepaskan tiga percubaan tetapi satupun tidak menepati sasaran. Pemilihan Patrice Evra dalam kesebelasan utama kali ini juga boleh dibahaskan terutamanya selepas melihat sumbangan keseluruhan Alexander Buttner pada perlawanan pertama minggu lalu. Evra menjaringkan gol dan memberikan kita kegembiraan sementara tetapi kemudiannya melakukan kesilapan hingga membolehkan tuan rumah menjaringkan tiga gol selepas itu. Kealpaan Evra dan kegagalan beliau memberikan tekanan kepada Mandzukic membolehkan penyerang itu mudah menanduk masuk gol penyamaan tuan rumah. Kesilapan sekali lagi dilakukan Evra apabila beliau memberikan terlalu banyak ruang dan masa untuk Arjen Robben melakukan hantaran hingga terhasilnya gol kedua yang disempurnakan Thomas Muller.

Akhirnya Evra sekali lagi dihukum Robben yang dilihat begitu mudah melepasi kawalannya, mencari ruang terbuka dan kemudiannya melepaskan rembatan rendah ke sebelah kanan gawang bagi gol ketiga tuan rumah sekaligus menamatkan terus sisa-sisa perjuangan The Red Devils. Saya bukan mahu menyalahkan bek Perancis itu 100% tetapi prestasi yang dipamerkan Buttner pada perlawanan pertama di Old Trafford sepatutnya membolehkan beliau terus diberikan kepercayaan selaku 'pengawal' Robben pagi tadi. Evra masih pemain penting buat United tetapi kita juga perlu mengakui bahawa kepantasannya sudah semakin menurun berbanding tiga atau empat tahun yang lalu. Jadi tugas untuk mengawal pemain yang cukup licik seperti Robben sudah tentulah satu beban yang cukup besar buat seorang pemain yang sudah berusia hampir 33 tahun itu. Selepas Muller menjaringkan gol kedua Bayern, peluang untuk ke separuh akhir tetap ada kerana kelebihan tuan rumah boleh dipadamkan andainya United mampu menjaringkan gol penyamaan dan seterusnya mara menerusi peraturan gol tempat lawan. Atas sebab itulah Moyes cuba menambah sengat di barisan serangan dengan mengeluarkan Darren Fletcher dan memasukkan Javier Hernandez (diminit ke-74). Fletcher seperti yang anda lihat berjaya memainkan peranannya dalam menutup ruang buat barisan hadapan Bayern sepanjang 74 minit aksinya di tengah padang, tetapi perjudian terpaksa dilakukan pengurus untuk memasukkan penyerang tambahan bagi mencari gol penyamaan.

Perjudian Moyes tidak berhasil, di mana selepas dua minit Fletcher meninggalkan padang, Robben menjaringkan gol ketiga tuan rumah sekaligus menandakan berakhirlah sudah perjuangan United di Liga Juara-Juara musim ini. Keputusan Moyes memasukkan Adnan Januzaj ketika permainan sebenar berbaki 9 minit untuk ditamatkan dan dalam keadaan pintu ke separuh akhir sudah tertutup rapat buat United saya kira sudah terlambat. Dengan tempoh sebegitu singkat, tiada apa yang mampu dilakukan Januzaj selain menikmati baki masa permainannya di pentas tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Akhirnya United tersingkir di peringkat suku akhir dengan aggregat 2-4 oleh Bayern, tetapi itu bukanlah satu keputusan yang terlalu teruk. Memang sukar untuk mengakui kehebatan lawan tetapi jika mereka memang benar-benar bagus mengapa saya perlu kedekut untuk memberikan pujian terhadap mereka. Bayern adalah sebuah pasukan yang fantastis di tambah pula dengan adanya Pep Guardiola selaku pengatur strategi mereka. Disingkir pasukan sehebat Bayern bukanlah sesuatu yang patut kita kesalkan dan andainya Die Roten berjaya mempertahankan kejuaraan mereka musim ini sekaligus muncul pasukan pertama melakukannya sejak era Liga Juara-Juara diperkenalkan saya turut rasa berbangga. Berbangga kerana United hampir berjaya mengejutkan mereka, berjaya membuatkan pengendali yang begitu tenang seperti Guardiola resah memikirkan bahaya yang mampu dihadirkan barisan The Red Devils walaupun prestasi mereka musim ini sering diperlekehkan dan berbangga kerana United disingkirkan oleh sebuah pasukan yang akhirnya mencipta sejarah menjulang trofi Liga Juara-Juara dua musim berturut-turut buat pertama kali sejak 1992. Semoga berjaya Die Roten…Glory Glory Manchester United!!! – A.J