Manchester United boleh menjadikan filem Slumdog
Millionaire, kisah yang cukup terkenal di layar perak suatu ketika dulu dan pernah
memenangi empat anugerah Gloden Globe satu realiti di dunia nyata. Rajib Roy, yang
berusia 16 tahun dari petempatan setinggan daerah Sonagachi di Kolkata, India
bertuah kerana beliau antara 11 remaja yang terpilih menjalani ujian selama dua
minggu di Old Trafford bermula hujung minggu ini. Bakat Rajib berjaya dikesan
pencari bakat United ketika beliau menyertai salah satu kejohanan peringkat
kebangsaan yang menghimpunkan pemain-pemain muda berbakat dari seluruh India. Paling
menariknya ialah kebanyakkan remaja yang bakal menjalani ujian pemilihan ini adalah
dari golongan berada serta fasih berbahasa Inggeris, manakala Rajib pula menghabiskan
masa lapangnya dengan bermain bolasepak di lorong-lorong kotor sekitar petempatan
setinggan terbesar di Asia itu. Sonagachi yang terletak di pinggir bandar dihuni
hampir 12 ribu pekerja seks termasuklah ibunya, Rekha di mana mereka tinggal
dalam apartmen kecil bersama seorang adik lelakinya. Pemain Chelsea, Oscar merupakan
idola Rajib jadi tidak hairanlah jika poster pemain itu menghiasi dinding kediamannya.
Kedua-dua individu ini memiliki latar belakang kehidupan ketika remaja yang
hampir sama di mana Oscar juga pernah mengasahkan bakat bolasepaknya di lorong-lorong
kejiranan miskin di Brazil. Ketika ramai rakan-rakan sebayanya terjebak dengan
masalah dadah dan jenayah, bakat serta kebolehan semulajadinya dalam bolasepak
berjaya menghindarkan Rajib dari masalah sosial itu.
Kehidupan Rajib sebenarnya mula berubah
selepas ibunya menghantar beliau ke sekolah Rahul Vidya Niketan yang ditubuhkan
oleh Durbar Mahila Samanwaya Committee (DMSC) khas untuk anak-anak pekerja seks.
Pengasas sekolah berkenaan, Dr Samarjit Jana menubuhkan pasukan bolasepak di
sekolah tersebut empat tahun lalu kerana pada pandangan beliau sukan adalah
cara paling berkesan untuk menghubungkan anak-anak ini dengan masyarakat luar. Terima
kasih kepada Dr Samarjit kerana bermula dari inisiatif beliaulah remaja
berbakat seperti Rajib berpeluang mempamerkan kebolehannya di mana pada awal
tahun ini, Rajib berjaya membantu West Bengal memenangi kejohanan peringkat
umur di Nagpur. Bulan lalu pula Rajib bersama 30 lagi bakat dari DMSC terpilih
untuk bermain dalam kejohanan sekolah-sekolah seluruh India di Goa dan dari
kejohanan inilah kelibatnya berjaya mencuri perhatian pencari bakat United. Menerusi
kejohanan sekolah-sekolah di Goa, Rajib berjaya memikat perhatian pencari bakat
United namun beliau sebenarnya hampir sahaja gagal menyertai rakan-rakannya dan
terlepas kejohanan ini kerana tiba lewat. “Bulan lepas saya terpilih
bersama-sama dengan 30 yang lain (dari DMSC) untuk kejohanan di Goa. Saya tiba
lewat kerana terpaksa menggunakan keretapi berbanding rakan-rakan lain yang menggunakan
penerbangan”, kata Rajib. Remaja ini turut mengakui bahawa dia sering membelanjakan
sedikit wang yang diberikan ibunya untuk makan tengahari bagi menonton perlawanan-perlawanan
bolasepak di sekitar bandar.
Menurut Dr Samarjit, impian Rajib ialah
menjadi pemain bolasepak yang berjaya suatu hari nanti dan bermain di Liga
Perdana manakala pasukan kegemarannya ialah Manchester United. Di Old Trafford,
bakat dan kebolehan Rajib bukan sahaja akan diuji tetapi beliau juga diberikan
pakej lawatan ke Theatre of Dreams
yang biasanya bernilai £20 iaitu bersamaan dengan pendapatan bulanan keluarganya.
Jika berjaya dalam ujian pemilihan tersebut, nasib Rajib bakal berubah secara drastik
dan jalan hidup remaja ini pula hampir sama dengan watak Jamal Malik dalam filem
Slumdog Millionaire yang meraih empat anugerah Golden Globe itu. Jika di sini program
“Mencari Ramli” sudah masuk musim ketiga, di Old Trafford pula Rajib Roy akan mempamerkan
bakat dan kebolehannya untuk cuba merebut peluang yang mungkin hanya datang
sekali dalam hidupnya iaitu diterima menjadi salah seorang pelajar di Akademi
Bolasepak Manchester United. Sama ada Rajib berjaya atau tidak itu soal kedua
tetapi saya tertarik melihat bakat seperti beliau lahir di bumi India yang
lebih terkenal dengan sukan hoki dan kriketnya. Hoki India sudah melahirkan Dhanraj
Pillay sebagai lagenda mereka manakala Sachin Tendulkar pula untuk sukan kriket.
Adakah selepas ini giliran bolasepak pula melahirkan lagenda India menerusi
remaja bernama Rajib Roy yang mula mengasah bakatnya di celah-celah lorong
sempit petempatan setinggan Sonagachi? Benarlah kata pepatah bahawa permata
berharga kadangkala tertanam jauh didalam lumpur yang kotor. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan