13 April 2014

VAN GAAL KE OLD TRAFFORD? BENAR ATAU SEKADAR SPEKULASI?


Perkhabaran bahawa satu pertemuan telah berlaku antara pihak pengurusan Manchester United dan Louis Van Gaal 3 hari lalu mungkin berita yang menggemparkan anda. Saya tidak pasti tentang kebenaran berita yang diterbitkan oleh Mirror Sport ini, tetapi jika memang benar kedua-dua pihak sudah bertemu (pengurusan United dan Van Gaal), jawatan David Moyes selaku pengurus United sebenarnya berada dalam bahaya. Tidak perlu saya sebutkan secara panjang lebar di sini siapa Van Gaal kerana apa yang perlu anda lakukan hanyalah meneliti rekod beliau sebagai jurulatih/pengurus serta pengalaman yang ada pada beliau baik di peringkat kelab mahupun skuad kebangsaan. Jika segala rekod dan pencapaian Van Gaal sudah anda teliti, saya yakin anda pasti tidak akan terkejut jika benar pihak pengurusan United bertemu beliau tiga hari yang lalu. Tujuan pertemuan itu masih kabur, tetapi tidak sukar untuk kita meneka bahawa jika pertemuan itu sudah berlaku, United sebenarnya sedang berusaha mencari pengganti Moyes bagi menghadapi cabaran musim depan.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Mirror Sport itu, delegasi United turut disertai salah seorang anggota keluarga Glazer dan pertemuan berlaku di sebuah lokasi yang dirahsiakan. Ketika Moyes sudah berkira-kira melakukan perancangan untuk musim depan selain diberitakan akan menghabiskan sekitar £200 juta bagi membina semula pasukan mengikut acuan beliau sendiri, berita dari Mirror Sport ini sebenarnya agak mengejutkan. Bagaimanapun selepas meneliti semula rekod Moyes sejak beliau mengambilalih tugas dari Sir Alex Ferguson sembilan bulan lalu, perkembangan terbaru ini ada logik dan kebenarannya. Prestasi United di peringkat domestik yang turun dengan begitu drastik hingga berdepan kemungkinan gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan serta disingkir Bayern Munich di peringkat suku akhir (Liga Juara-Juara) menambahkan lagi tekanan terhadap Moyes. Itu belum lagi saya senaraikan 'rekod-rekod' yang berjaya dipecahkan beliau walaupun belum semusim duduk di kerusi pengurus United. Ironinya Everton yang ditinggalkan Moyes kini sembilan mata di depan United dan berpeluang cerah layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Sekadar mengimbas kembali apa yang berlaku penghujung musim lalu, pemilihan Moyes sebenarnya tidak mengejutkan saya walaupun ada di kalangan penyokong-penyokong United pada awalnya membayangkan bahawa Pep Guardiola, Jose Mourinho, Jurgen Klopp atau Jupp Heynckes akan menggantikan Sir Alex. Walaupun saya pernah menulis tentang spekulasi bahawa Guardiola atau Mourinho adalah calon paling utama yang akan mengambilalih posisi Sir Alex, tetapi naluri saya kuat mengatakan bahawa individu yang akhirnya akan dipilih ialah Moyes. Spekulasi yang sudah bertiup sejak bulan Disember 2012 bahawa Moyes akan menggantikan tempat Sir Alex menyebabkan saya tidak terkejut ketika nama beliau diumumkan sebagai pengurus baru United. Pemilihan Moyes tidak mengejutkan saya tetapi cara beliau dipilih mengisi jawatan pengurus United yang dikosongkan Sir Alex sebenarnya yang agak mengejutkan saya. Moyes saya kira cukup beruntung kerana tidak perlu berdepan proses penilaian dan pemantauan ketat oleh lembaga pengarah sepertimana yang terpaksa dilalui oleh mana-mana calon pengurus/jurulatih untuk kelab-kelab besar lain.

Perlantikan beliau dibuat cukup sekadar berdasarkan kepada pandangan, penilaian dan pemilihan yang dilakukan Sir Alex, tanpa mengambilkira reputasi dan rekod yang beliau miliki sebelum ini (maaf jika fakta yang saya sebutkan ini salah). Kerana gah dan besarnya jenama Manchester United, kerusi pengurus adalah jawatan yang menjadi idaman buat mana-mana jurulatih bolasepak di seluruh dunia. Untuk itu pemilihan mana-mana individu bagi mengisi jawatan tersebut sepatutnya dibuat menerusi penilaian dan saringan yang ketat, bukan hanya berdasarkan cadangan dari Sir Alex atas kemampuan Moyes mengemudi Everton memberikan saingan secara konsisten di pentas domestik biarpun diberikan peruntukkan terhad setiap musim. Pemilihan Moyes sebagai pengurus United pada saya dilakukan dengan cukup simple, malah Moyes sendiri tidak menyangka bahawa beliau akan dipilih hinggalah beliau menerima panggilan dari Sir Alex semasa sedang bersantai di rumah.

“Perkara pertama yang beliau (Sir Alex) katakan kepada saya ialah beliau akan bersara. Saya bertanya bila? Kerana saya tidak pernah membayangkan beliau akan bersara dalam tempoh terdekat. Tetapi beliau berkata minggu hadapan. Kata-kata beliau berikutnya ialah saya adalah pengurus United seterusnya. Saya tidak berpeluang untuk mengatakan “Ya” atau “Tidak” kerana kata-kata beliau itu bagi saya itu sudah cukup jelas”, kata Moyes semasa di wawancara Sky Sports Jun lalu. Jika dinilai kata-kata Moyes, anda sepatutnya sudah cukup jelas bagaimana pemilihan untuk jawatan yang paling diimpikan oleh mana-mana jurulatih di dunia itu dibuat. Maaf jika apa yang saya katakan ini agak keras kerana saya juga pada mulanya berharap bahawa Moyes adalah pengganti yang tepat untuk jawatan pengurus United dan Sir Alex tidak melakukan kesilapan ketika memilih beliau sebagai penggantinya. Sir Alex memang seorang lagenda dan individu hebat tetapi beliau tetap seorang manusia biasa yang pada bila-bila masa boleh melakukan kesilapan besar.

Mungkin juga memilih Moyes sebagai pengganti beliau antara kesilapan besar yang pernah dilakukan Sir Alex sepanjang hidupnya. Atau mungkin juga Moyes adalah pilihan yang tepat dan bakal membuktikan kemampuan sebenarnya selaku pengendali musim depan selepas belajar dari pengalaman berharga di sebalik kejatuhan United musim ini. Selepas lebih dua dekad kita dihiburkan dengan kejuaraan demi kejuaraan yang di bawa ke kabinet trofi Old Trafford, United musim ini berdepan kemungkinan menamatkan saingan liga di tangga ketujuh, kedudukan terburuk sejak musim 1989-90. Walaupun masih terdapat sebahagian besar penyokong-penyokong United teguh berdiri di belakang Moyes, berita yang diterbitkan Mirror Sport ini (bahawa ada pertemuan antara pihak pengurusan United dan Van Gaal) tidak mengejutkan saya. Sir Alex mendapat sokongan dan kepercayaan sepenuhnya dari pihak pengurusan United walaupun prestasi kelab sepanjang tempoh empat tahun pertama beliau di Old Trafford terumbang-ambing, tetapi itu tidak bermakna Moyes akan diberikan layanan yang sama.

Sebelum kehadiran Sir Alex, United juga bukanlah kelab yang terlalu kebal dalam hal memecat pengurus. Dalam tempoh 15 tahun selepas era Sir Matt Busby dan sebelum tibanya Sir Alex di Old Trafford, Frank O'Farrel, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson silih berganti duduk di kerusi pengurus. Malah ada juga kisah yang mengatakan bahawa gol kemenangan Mark Robins ketika berdepan Oldham Athletic di peringkat separuh akhir Piala FA (1989-90) menyelamatkan Sir Alex dari dipecat. Seperti yang saya sebutkan tadi berita yang diterbitkan Mirror Sport masih kabur kebenarannya tetapi kita tidak perlu terkejut jika memang benar berlakunya pertemuan antara pihak pengurusan United dan Van Gaal. Walaupun sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke White Hart Lane, sebarang kemungkinan untuk Van Gaal  menggantikan Moyes adalah cukup besar.berdasarkan kepada rekod kejayaan dan pengalaman beliau dalam bidang kejurulatihan. Selain dari deretan kejayaan yang pernah diraih Van Gaal selaku jurulatih, bukan sedikit juga pemain-pemain hebat yang pernah bermain di bawah kendalian beliau seperti Rivaldo, Patrick Kluivert, Frank de Boer, Luis Figo, Franck Ribery, Jari Litmanen, Edwin Van der Sar serta ramai lagi.

Jika benar pihak pengurusan United bertemu Van Gaal, itu adalah kerana beliau masih antara jurulatih berprofil tinggi di dunia selain pengalaman dan kejayaan yang pernah diraihnya sepanjang tempoh 28 tahun di bidang kejurulatihan. Berita ini saya anggap masih sekadar spekulasi kerana tiada pengesahan rasmi yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak, manakala Moyes pula masih lagi pengurus United dan segalanya belum berakhir buat beliau. Meskipun hampir mustahil, Moyes masih memiliki baki lima perlawanan yang tinggal untuk membuktikan kemampuannya dengan membawa United beraksi di Liga Juara-Juara musim depan atau meletakkan kelab di kedudukan lebih baik (berbanding tangga ketujuh) sebaik musim berakhir nanti. Bagaimanapun perlu juga saya ingatkan bahawa usaha United untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan bukan hanya bergantung kepada kemampuan mereka menang kesemua baki lima perlawanan selepas ini tetapi turut ditentukan keputusan perlawanan yang melibatkan Everton, Arsenal dan Tottenham Hotspurs.

Secara peribadi saya adalah peminat Jurgen Klopp (jurulatih Borussia Dortmund) kerana kepintaran beliau menyusun taktikal dan strategi permainan selain kemampuan beliau memaksimakan potensi yang ada pada setiap pemain-pemainnya. Saya meminati Klopp tetapi Van Gaal pula lebih berpengalaman dan sudah terbukti kemampuannya baik di peringkat kelab mahupun ketika bersama skuad kebangsaan Belanda. Jadi saya tidak akan terkejut andainya musim panas nanti Moyes terpaksa mengosongkan pejabatnya dan memberikan laluan kepada pengurus baru yang lebih berpengalaman menggantikan tempat beliau. Bagaimanapun segalanya belum muktamad, ada kemungkinan Moyes akan terus kekal menerajui United, ada kemungkinan Van Gaal menggantikan tempat beliau atau ada kemungkinan juga terdapat nama-nama lain yang sedang diintai pihak pengurusan. Sama ada Moyes kekal atau tidak, atau akan ada pengganti yang dilantik untuk mengambilalih tempat beliau nanti, satu-satunya harapan saya untuk musim depan hanyalah mahu melihat Manchester United yang lebih baik berbanding musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

1 ulasan:

  1. Sebagai penyokong..menerima seadanya dan terus menyokong tanpa berbelah bahagi..
    #selamanya Manchester United

    BalasPadam