Berakhir sudah misi Manchester United di
pentas Liga Juara-Juara musim ini selepas anak-anak buah David Moyes tewas
kepada Bayern Munich di peringkat suku akhir menerusi aggregat 2-4 awal pagi
tadi. Tiada rungutan di sebalik kekalahan semalam kerana saya memang sejak awal
lagi mengakui bahawa Bayern skuad yang lebih bagus berbanding United. Dari
posisi penjaga gol hinggalah kepada penyerang, juara Bundesliga itu memiliki
pemain-pemain kelas dunia di setiap posisi dan dikendalikan pula oleh Pep
Guardiola seorang jurulatih yang sudah pun terbukti kredibilitinya dengan
memenangi berbagai trofi di peringkat tertinggi bersama Barcelona sebelum ini.
Jika anda berpegang kepada hakikat bahawa United dan Bayern dipisahkan dengan
jurang yang begitu besar, kegagalan layak ke peringkat separuh akhir kali ini sepatutnya
tidak perlu diratapi. Seperti yang diramalkan, strategi bermain secara defensif
digunakan Moyes pagi tadi hingga menyebabkan Bayern terpaksa bergelut menyusup
masuk ke dalam kawasan penalti. Bagaimanapun berdepan lawan yang punya kualiti
seperti Bayern, memang sukar untuk terus fokus bertahan sepanjang 90 minit
permainan dan akhirnya biarpun gol Patrice Evra memberikan kita sedikit
harapan, lawan kemudiannya pantas bangkit menyamakan kedudukan tidak sampai seminit
selepas itu menerusi Mario Mandzukic. Turning
point pada perlawanan pagi tadi sudah tentu gol penyamaan Mandzukic, dan
gol inilah sebenarnya yang meragut peluang United untuk melakar kejutan di
Allianz Arena. Saya percaya ketika kegembiraan pemain-pemain United masih belum
reda menyambut jaringan Evra, Bayern tidak menunggu lama untuk bangit dan
pantas merentap semangat barisan The Red
Devils.
Saya yakin situasi tidak akan sama jika gol penyamaan Mandzukic tidak berlaku sepantas ini kerana Bayern akan lebih tertekan bagi mencari gol penyamaan sekaligus menganggu rentak sebenar permainan mereka. Jaringan Evra tidak 'mematikan' Bayern
sepertimana yang saya sangkakan tetapi sebaliknya mereka bangkit menampilkan
karakter hebat hingga berjaya menghasilkan tiga gol selepas itu. Mungkin juga
kerana hilang konsentrasi, United membenarkan lawan memadamkan kelebihan mereka
dalam masa yang begitu singkat dan sudah tentu itu merupakan satu kerugian yang
cukup besar dalam perlawanan yang penting seperti ini. Walaupun pahit saya
terpaksa mengakui bahawa reaksi balas mereka (pemain-pemain Bayern) selepas
pintu gol Manuel Neuer dibolosi cukup mengagumkan. Sebelum sepak mula lagi
segalanya tampak tidak menyebelahi United kerana Moyes terpaksa mempertaruhkan
kecergasan Wayne Rooney yang 'dipaksa' bermain dalam keadaan diri beliau tidak
cergas sepenuhnya. Saya akui kehadiran Rooney amat penting buat pasukan tetapi
keputusan untuk menurunkannya dalam keadaan beliau tidak cergas 100%, saya kira
bukanlah satu langkah yang tepat terutamanya ketika berdepan pasukan sehebat
Bayern. Pada pandangan saya ada baiknya jika Javier Hernandez digunakan
terlebih dahulu selaku penggempur utama memandangkan pemain itu dalam mood terbaik selepas berjaya
menjaringkan gol dalam saingan liga Sabtu lalu, manakala Rooney pula digunakan di
separuh masa kedua sebagai senjata sulit untuk memerangkap Bayern. Tidak
keterlaluan jika saya katakan bahawa kelibat Rooney di Allianz Arena pagi tadi
bukanlah Rooney yang kita lihat semasa aksi di Old Trafford Rabu lalu.
Di babak pertama Rooney menerima peluang
terbaik tapi kelihatan ragu-ragu untuk mengambil keputusan segera ketika bola
berada di kakinya. Rooney akhirnya melepaskan percubaan walaupun ketika itu beliau
sepatutnya melakukan hantaran kepada Shinji Kagawa yang berada pada posisi
lebih baik untuk menjaringkan gol. Pagi tadi Moyes menggunakan Rooney selama 90
minit, mungkin disebabkan reputasi penyerang England itu boleh memberikan kesan
psikologi kepada lawan, tetapi hakikat sebenarnya Rooney gagal memberikan
ancaman yang benar-benar serius kepada benteng pertahanan Bayern. Saya tidak
salahkan Rooney kerana kecederaan yang dialami beliau mungkin menjadi penyebab
mengapa sumbangannya kurang berkesan. Statistik selepas perlawanan menunjukkan
sepanjang 90 minit, Rooney menyentuh bola sebanyak 51 kali, ketepatan
hantarannya hanya mencapai 64% dan melepaskan tiga percubaan tetapi satupun
tidak menepati sasaran. Pemilihan Patrice Evra dalam kesebelasan utama kali ini
juga boleh dibahaskan terutamanya selepas melihat sumbangan keseluruhan
Alexander Buttner pada perlawanan pertama minggu lalu. Evra menjaringkan gol dan
memberikan kita kegembiraan sementara tetapi kemudiannya melakukan kesilapan
hingga membolehkan tuan rumah menjaringkan tiga gol selepas itu. Kealpaan Evra
dan kegagalan beliau memberikan tekanan kepada Mandzukic membolehkan penyerang
itu mudah menanduk masuk gol penyamaan tuan rumah. Kesilapan sekali lagi
dilakukan Evra apabila beliau memberikan terlalu banyak ruang dan masa untuk
Arjen Robben melakukan hantaran hingga terhasilnya gol kedua yang disempurnakan
Thomas Muller.
Akhirnya Evra sekali lagi dihukum Robben yang
dilihat begitu mudah melepasi kawalannya, mencari ruang terbuka dan kemudiannya
melepaskan rembatan rendah ke sebelah kanan gawang bagi gol ketiga tuan rumah
sekaligus menamatkan terus sisa-sisa perjuangan The Red Devils. Saya bukan mahu menyalahkan bek Perancis itu 100%
tetapi prestasi yang dipamerkan Buttner pada perlawanan pertama di Old Trafford
sepatutnya membolehkan beliau terus diberikan kepercayaan selaku 'pengawal'
Robben pagi tadi. Evra masih pemain penting buat United tetapi kita juga perlu
mengakui bahawa kepantasannya sudah semakin menurun berbanding tiga atau empat
tahun yang lalu. Jadi tugas untuk mengawal pemain yang cukup licik seperti
Robben sudah tentulah satu beban yang cukup besar buat seorang pemain yang sudah
berusia hampir 33 tahun itu. Selepas Muller menjaringkan gol kedua Bayern,
peluang untuk ke separuh akhir tetap ada kerana kelebihan tuan rumah boleh
dipadamkan andainya United mampu menjaringkan gol penyamaan dan seterusnya mara
menerusi peraturan gol tempat lawan. Atas sebab itulah Moyes cuba menambah
sengat di barisan serangan dengan mengeluarkan Darren Fletcher dan memasukkan
Javier Hernandez (diminit ke-74). Fletcher seperti yang anda lihat berjaya memainkan
peranannya dalam menutup ruang buat barisan hadapan Bayern sepanjang 74 minit
aksinya di tengah padang, tetapi perjudian terpaksa dilakukan pengurus untuk
memasukkan penyerang tambahan bagi mencari gol penyamaan.
Perjudian Moyes tidak berhasil, di mana
selepas dua minit Fletcher meninggalkan padang, Robben menjaringkan gol ketiga
tuan rumah sekaligus menandakan berakhirlah sudah perjuangan United di Liga
Juara-Juara musim ini. Keputusan Moyes memasukkan Adnan Januzaj ketika permainan
sebenar berbaki 9 minit untuk ditamatkan dan dalam keadaan pintu ke separuh akhir sudah tertutup rapat buat United saya kira sudah terlambat. Dengan tempoh sebegitu singkat,
tiada apa yang mampu dilakukan Januzaj selain menikmati baki masa permainannya di
pentas tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Akhirnya United tersingkir di
peringkat suku akhir dengan aggregat 2-4 oleh Bayern, tetapi itu bukanlah satu
keputusan yang terlalu teruk. Memang sukar untuk mengakui kehebatan lawan
tetapi jika mereka memang benar-benar bagus mengapa saya perlu kedekut untuk
memberikan pujian terhadap mereka. Bayern adalah sebuah pasukan yang fantastis
di tambah pula dengan adanya Pep Guardiola selaku pengatur strategi mereka.
Disingkir pasukan sehebat Bayern bukanlah sesuatu yang patut kita kesalkan dan andainya
Die Roten berjaya mempertahankan
kejuaraan mereka musim ini sekaligus muncul pasukan pertama melakukannya sejak
era Liga Juara-Juara diperkenalkan saya turut rasa berbangga. Berbangga kerana
United hampir berjaya mengejutkan mereka, berjaya membuatkan pengendali yang
begitu tenang seperti Guardiola resah memikirkan bahaya yang mampu dihadirkan
barisan The Red Devils walaupun
prestasi mereka musim ini sering diperlekehkan dan berbangga kerana United
disingkirkan oleh sebuah pasukan yang akhirnya mencipta sejarah menjulang trofi Liga Juara-Juara dua musim berturut-turut buat pertama kali sejak 1992. Semoga berjaya Die Roten…Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Yeay setuju Bro AJ..bangga dgn kecekalan DM dan juga player...mereka memberi 100% komitmen pd game itu...ttg rooney sy tiada ragu2 ntk memberi kredit atas semangat mahu bermain wlpn injured.Meskipun tidak 100% sumbangan tp semangat yg ditunjukkan memberi gambaran ttg sygnya Wazza pada pasukan.Apapun tiada apa yg dikesalkan dan rasa sgt berbangga menyokong dan menjadi sebahagian yg penting dalam hidup dengan menjadi penyokong Manchester United
BalasPadam