27 November 2016

MICHAEL CARRICK...WATAK PENTING TETAPI KEHADIRANNYA SERING TIDAK DISEDARI

Lagenda Arsenal, Thierry Henry pernah menyebut bahawa “Anda tidak akan pernah menyedari peranan besar yang dimainkan Michael Carrick hinggalah selepas ketiadaannya”, manakala Carlos Queiroz pula menganggap United tanpa kelibat Carrick di atas padang umpama mendaki gunung Everest tanpa bekalan oksigen. Begitulah pentingnya peranan yang dimainkan veteran United itu dalam pasukan sejak beliau ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Tottenham Hotspurs lebih sepuluh tahun lalu.

Carrick kini sudah berusia 35 tahun tetapi sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau untuk United masih lagi diakui dan diiktiraf. Mourinho mengakui akan hakikat itu kerana peranan Carrick sebenarnya turut mempengaruhi permainan Pogba. Ketenangan Carrick mengawal permainan sebagai pemain tengah bertahan membolehkan Paul Pogba lebih bebas bergerak ke hadapan ketika menyerang. Beberapa hari lalu Jose Mourinho mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mahukan agar Carrick kekal semusim lagi di Old Trafford.

Menentang Arsenal merupakan penampilan ketiga Carrick dalam saingan liga dan yang ketujuh dalam semua kejohanan setakat ini. Antonio Valencia dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan United/Arsenal tetapi sumbangan Carrick mengemudi jentera tengah tetap memukau. Agak menarik menyaksikan bagaimana Carrick `meneutralkan’ pergerakan Mesut Ozil sepanjang perlawanan di Old Trafford Sabtu lalu hingga memaksa playmaker Arsenal itu bergerak lebih jauh ke tepi.

Carrick bukan sekadar pemain tengah bertahan tetapi lebih dari itu beliau dianggap sebagai pemain yang bertanggungjawab mengawal tempo permainan United. Ketenangan ketika menguasai bola, bijak membaca permainan, tahu ke mana arah bola yang sepatutnya beliau hantar, bijak mengekalkan posisi bagi melindungi rakan di benteng pertahanan dan berada di posisi tepat ketika memintas hantaran lawan merupakan aset berharga kepada permainan Carrick.

Apa yang beliau lakukan ketika berdepan West Ham dalam perlawanan ulangan Piala FA di Boleyn Ground musim lalu adalah contoh terbaik dan paling hampir mengapa saya cukup mengagumi Carrick. Sepuluh minit pertama aksi menentang West Ham itu, Carrick berjaya memintas dua gerakan lawan yang berpotensi menghasilkan gol. Mungkin tidak ramai menyedari hal tersebut tetapi dua detik penting yang berlaku di awal permainan sebenarnya berjaya mengubah keputusan keseluruhan perlawanan.

Boleyn Ground menjadi satu lagi bukti bahawa Carrick sering sahaja melakukan kerja-kerja `sederhana’ seperti itu kerana beliau memang seorang pemain yang cukup bijak membaca gerakan lawan. Dan kerana `kerja-kerja sederhana’ yang sering dilakukannya itu jugalah United akhirnya berjaya menewaskan West Ham (2-1) untuk layak ke separuh akhir dan seterusnya menjulang Piala FA di pentas final buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Awal dekad 2000, saat Gilberto Silva memainkan peranan penting untuk Arsenal dan Claude Makelele untuk Chelsea, United pula masih tercari-cari pengganti Roy Keane yang kian berada di penghujung karier. Anehnya ketika Silva dan Makelele sudah membuktikan betapa pentingnya peranan seorang pemain tengah bertahan, Sir Alex pula melakukan eksperimen dengan meletakkan Alan Smith (seorang penyerang) di posisi yang ditinggalkan Roy Keane.

Ketiadaan pemain berpengaruh seperti Keano jelas dirasai dan Smith bukanlah pengganti sepadan kepada Captain Marvel itu di bahagian tengah. Pada pertengahan musim 2005-06, Sir Alex melakukan kejutan dengan menandatangani Patrice Evra dan Nemanja Vidic berbanding mencari pemain baharu sebagai pengganti Keano. Ya memang benar, menerusi kekuatan di benteng pertahanan, United menamatkan saingan liga di tangga kedua tetapi itu juga bermakna mereka sudah tiga musim ketandusan gelaran liga.

Menyaksikan Chelsea mendominasi saingan selama dua musim berturut-turut, penyokong-penyokong pula mula tertanya-tanya apakah langkah yang bakal dilakukan Sir Alex untuk meletakkan kelab kembali di tempat teratas. Akhirnya pada musim panas 2006, Sir Alex mendapatkan seorang pemain tengah bertahan bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Keano dan pemain yang saya maksudkan ialah Michael Carrick. Carrick juga satu-satunya pemain baharu yang ditandatangani Sir Alex pada musim panas 2006.

Kedatangan Carrick rupa-rupanya tidak mampu meredakan kegelisahan penyokong-penyokong kerana mereka sebenarnya mengharapkan agar Sir Alex membawa masuk pemain yang memiliki reputasi setaraf Keano. Kegelisahan penyokong-penyokong United ketika itu mudah difahami kerana Carrick dan Keano begitu kontra, baik dari segi personaliti mahupun corak permainan di atas padang.

Carrick tidak memiliki permainan keras dengan emosi meledak-ledak seperti Keano malah fizikalnya juga bukanlah tandingan kepada Silva atau Makelele yang lebih berotot. Jadi apa yang menyebabkan Sir Alex menawarkan £18 juta kepada Spurs untuk mendapatkan tandatangan Carrick ketika itu? Jawapannya ialah apa yang mampu ditawarkan Carrick di atas padang berbeza berbanding Keano, Silva dan Makelele.

Seperti Makelele, Carrick juga gemar bergerak secara terus ke hadapan tetapi jangkauan umpanan-umpanan yang dilakukannya lebih luas dan tepat berbanding bekas pemain Chelsea itu. Kerana kemampuan membaca gerak bola yang bagus, gaya bertahan Carrick juga berbeza berbanding Keano, Silva dan Makelele. Carrick lebih gemar memintas hantaran lawan (intercept) berbanding melakukan terjahan-terjahan keras dalam usaha merebut kembali bola dari penguasaan lawan.

Pendekatan permainan Carrick menyaksikan beliau mencatatkan purata jumlah hantaran, ketepatan hantaran dan intercept yang lebih tinggi berbanding mana-mana pemain tengah Inggeris hampir setiap musim. Musim pertamanya di Old Trafford, Carrick berjaya membantu United kembali menjulang trofi Liga Perdana  (2006-07) sekaligus menghapus keraguan di kalangan penyokong-penyokong tentang kemampuan beliau mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan Keano.

Ketika Arsenal dan Chelsea masih bergelut mencari pengganti Silva dan Makelele, United yang diperkuatkan Carrick serta Paul Scholes di bahagian tengah berjaya menjulang kejuaraan liga musim berikutnya (2007-08 dan 2008-09) selain trofi Liga Juara-Juara edisi 2008. Sejak itu, Sir Alex mengiktiraf sumbangan dan peranan yang dimainkan Carrick untuk United dengan melabelkan beliau sebagai pemain tengah terbaik di England.

Musim lalu United menang 14 perlawanan mereka ketika Carrick bermain tetapi malangnya hal yang sama tidak berlaku musim ini kerana beliau lebih banyak direhatkan kerana faktor kecederaan. Faktor usia mungkin mempengaruhi kecergasan Carrick tetapi usia juga tidak pernah memudarkan visi permainan beliau. Menyedari kemampuan dan pentingnya peranan Carrick, Mourinho menurunkan beliau selama 90 minit dalam tiga perlawanan terakhir United.

Kejayaan Itali menjulang trofi Piala Dunia 2006 bukan hanya dibantu faktor ampuhnya pertahanan mereka, tetapi kerana adanya deep-lying playmaker seperti Andrea Pirlo yang berperanan sebagai regista. Dalam skuad Itali pimpinan Marcelo Lippi ketika itu, Pirlo boleh diumpamakan seperti seorang `komposer’ di hadapan garisan pertahanan Itali. Xabi Alonso dan Sergio Busquets pula memainkan peranan penting di sebalik kejayaan Sepanyol menjulang tiga kejuaraan besar (Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012).

Alonso dan Busquets diiktiraf antara pemain tengah bertahan terbaik dalam era bolasepak moden dan sudah memenangi hampir semua trofi kejuaraan utama dalam karier mereka. Jika Itali memiliki Pirlo, Sepanyol ada Alonso serta Busquets, Jerman pula beruntung kerana memiliki Bastian Schweinsteiger yang berada di kemuncak prestasi ketika membantu Die Mannschaft menjulang trofi Piala Dunia 2014.

Jika bukan kerana `ikhsan’ FIFA yang memberikan anugerah pemain terbaik kejohanan (Piala Dunia 2014) kepada Lionel Messi, Basti saya kira adalah calon paling layak memenanginya. Messi mungkin pemain paling sempurna tetapi prestasi cemerlang Basti sepanjang kejohanan Piala Dunia 2014 sepatutnya melayakkan beliau dianugerahkan sebagai pemain terbaik kejohanan empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun nasib Carrick tidak sebaik Pirlo, Alonso, Busquets mahupun Basti. Carrick cemerlang di peringkat kelab menerusi peranan dan sumbangan yang dimainkan beliau bersama United tetapi sering `dilupakan’ dalam skuad Three Lions. Ketika Pirlo, Alonso, Busquets dan Basti menjadi watak penting kepada skuad kebangsaan masing-masing dalam kejohanan-kejohanan besar, Carrick pula menghabiskan musim panasnya dengan bercuti saat Piala Dunia atau Euro rancak berlangsung.

Saya masih mengingati bagaimana meriahnya media-media Inggeris memberikan puji-pujian atas kejayaan England layak ke Piala Dunia 2014 selepas mereka menewaskan Poland (2-0) dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan di Wembley. Kebanyakan pujian-pujian tersebut juga terarah kepada Carrick sambil mereka meletakkan beliau sebagai calon terbaik mengemudi bahagian tengah Three Lions di Brazil nanti.

Bagaimanapun nasib Carrick seperti sudah boleh diramal dan akhirnya nama beliau tercicir dari penerbangan ke Brazil. Saya tidak terkejut dengan keputusan Roy Hodgson mengugurkan nama Carrick kerana memang lumrah bagi kebanyakan pengurus berbangsa Inggeris yang lebih gemar menggunakan pemain dengan emosi meluar-luap, sanggup berlari dari pintu gol sendiri ke pintu gol lawan dan melakukan terjahan tanpa kompromi sebagai pilihan mereka.

Carrick bukan jenis pemain seperti itu kerana cara beliau bermain lebih teknikal dan taktikal. Beliau tidak memerlukan kelajuan atau menunjukkan emosi yang meluap-luap di atas padang seperti kebanyakkan pemain Inggeris lain tetapi cukup dengan keupayaannya membaca gerak lawan, hantaran-hantaran tepat ke kawasan lawan dan visi permainan yang mengagumkan. Jadi ada sebab mengapa Andrew Murray dari Four Four Two meletakkan beliau sebagai pemain yang memiliki kemampuan teknikal paling bagus berbanding mana-mana pemain Inggeris.

Sepertimana kata Xabi Alonso, bolasepak Inggeris memang sukar difahami kerana mereka sering meminggirkan pemain berkemahiran seperti Carrick, pemain yang mampu membuatkan pasukan dan rakan-rakannya bermain dengan baik. Benarlah kata Alonso kerana ketika Carrick sedang menghabiskan tempoh cuti musim panasnya di pantai Barbados, skuad England pula terpaksa pulang awal apabila mereka sekadar berada di tangga tercorot Kumpulan D di Brazil.

Walaupun pada 2014 Daily Mail pernah melabelkan Carrick sebagai `Andrea Pirlo England’ tetapi saya tidak mahu berlebihan dalam mengiktiraf sumbangan beliau. Mungkin Carrick sebagus Pirlo, mungkin juga tidak tetapi apa yang saya tahu, beliau merupakan salah seorang pemain tengah terbaik United pernah saya saksikan. Ketepikan dahulu tentang spekulasi masa depan Carrick kerana buat masa ini saya hanya mahu menikmati aksi `wira tidak didendang’ ini sementara beliau masih menyarung jersi United...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

20 November 2016

ANGGAP SAJALAH TUAH MASIH TIDAK MENYEBELAHI KITA

Sejak dilantik menggantikan tempat Louis Van Gaal sebagai pengurus Manchester United, Jose Mourinho sudah mengharungi 22 perlawanan (termasuk perlawanan pra musim) setakat ini. Dari jumlah tersebut, beliau berjaya membawa United menang sebanyak 11 perlawanan, tewas lima kali dan seri empat kali. Dalam saingan liga pula, United sekadar berada di tangga keenam selepas mengharungi 12 perlawanan, ketinggalan lapan mata di belakang Liverpool selaku pendahulu.

Paling perit dan luka yang pastinya masih berdarah ialah kekalahan besar 0-4 kepada Chelsea di Stamford Bridge 23 Oktober lalu. Kekalahan besar ini tentunya mencetuskan tandatanya sejauh mana kemampuan United di bawah kendalian Mourinho mencabar kejuaraan liga musim ini. Ditangani oleh seorang pengurus lagenda dan berprofil tinggi seperti Mourinho, dengan deretan bakat-bakat bolasepak hebat dalam kesebelasan utama, apa lagi yang kurang hinggakan United terpaksa bergelut sebegini rupa di awal musim?

Mourinho saya yakin tidak menjangka keadaan akan menjadi begitu sukar buatnya di awal musim dan tiga kekalahan serta empat keputusan seri dalam saingan liga bukanlah permulaan yang bagus. Setakat ini saya masih beranggapan bahawa United di bawah kendalian Mourinho sebenarnya kurang bernasib baik atau lebih tepatnya tuah tidak menyebelahi mereka dalam beberapa perlawanan hingga tercicir beberapa mata penting.

United boleh menjaringkan tiga atau empat gol ketika menentang Stoke City tetapi mereka akhirnya sekadar menamatkan perlawanan di gelanggang sendiri dengan hanya satu mata. Begitu juga halnya ketika berdepan Burnley. United menguasai perlawanan secara total (menentang Burnley) tetapi tetap hampa apabila sekadar mengutip satu mata. Tuah sekali lagi tidak memihak United semalam apabila jaringan lewat permainan Oliver Giroud menafikan peluang buat The Red Devils memungut mata penuh di gelanggang sendiri.

Tiada apa yang kurangnya kepada persembahan United semalam selain faktor tuah yang tidak menyebelahi anak-anak buah Mourinho. Mereka menguasai statistik di atas padang, melakukan beberapa percubaan yang berpotensi menghasilkan gol, sentiasa memberikan tekanan kepada lawan tetapi akhirnya tetap gagal meraih mata penuh. Selepas ini tugas berat menanti Mourinho bagi memastikan United tidak terus ketinggalan dari kelompok pasukan yang berada di tangga teratas liga.

Semalam riak wajah Mourinho jelas tidak seceria berbanding ketika beliau mengendalikan United buat pertama kali ketika berdepan Wigan Athletic dalam perlawanan pra musim Julai lalu. Pada perlawanan `salam perkenalannya’ itu, Mourinho menggunakan formasi 4-2-3-1 yang menitikberatkan penguasaan bola dengan memberikan peranan selaku pemain nombor 10 kepada Henrikh Mkhitaryan.

Corak permainan United ketika berdepan Wigan lebih mirip kepada apa yang pernah diterapkan Louis Van Gaal tetapi penguasaan bola mereka lebih direct dan dalam tempo yang tinggi. Pemain-pemain muda United warisan Van Gaal pula bermain dengan baik dalam perlawanan tersebut sekaligus menghadirkan harapan kepada Mourinho bahawa musim pertamanya di Old Trafford akan berjalan dengan lancar.

Tapi itu cerita empat bulan lalu kerana Mourinho kini saya yakin mula menyedari betapa sukarnya menguruskan kelab bernama Manchester United. Masalah sebenar Mourinho bukan sekadar taktikal, tuah dan ketatnya persaingan di Liga Perdana tetapi bagaimana caranya beliau mahu menghakis bayang-bayang Sir Alex Ferguson dari `tubuh’ Manchester United. Hal inilah yang gagal dilakukan David Moyes dan Van Gaal hingga mengakibatkan mereka terpaksa disingkirkan.

Selepas penyingkiran Van Gaal, United memberikan kontrak lumayan selama tiga tahun kepada Mourinho apatah lagi ketika itu beliau masih menganggur selepas dipecat sebagai pengurus Chelsea. Dibekalkan dengan dana yang cukup besar, Mourinho tanpa berlengah menandatangani Eric Bailly, Henrikh Mkhitaryan, Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba sambil merombak susunan staf kejurulatihan kelab.

Van Gaal dan Mourinho keluar dari kebiasaan Sir Alex apabila mereka membelanjakan wang yang begitu banyak untuk membeli pemain-pemain baharu. Semasa era Sir Alex sebagai pengurus, adalah satu keajaiban jika beliau membelanjakan £70 hingga £90 juta hanya untuk seorang pemain tetapi itulah yang dilakukan Van Gaal serta Mourinho. Van Gaal membelanjakan lebih £60 juta untuk sosok bernama Angel Di Maria manakala Mourinho pula memecahkan rekod dunia bila beliau membawa pulang Paul Pogba ke Old Trafford.

Jika dilihat rekod silam Van Gaal dan Mourinho, mereka memang dianggap orang yang tepat bagi menggalas tugas besar selaku penerus legasi gemilang yang pernah ditinggalkan Sir Alex. Baik Van Gaal mahupun Mourinho, mereka memiliki jejak kejayaan yang mengagumkan serta punya falsafah bolasepak sendiri yang menjadikan mereka sebagai antara pengurus paling berjaya.

Ricardo Carvalho yang juga merupakan bekas anak didik Mourinho percaya, beliau mampu mengembalikan semula kegemilangan United malah lebih dari itu Carvalho meletakkan bekas mentornya itu sebagai `Sir Alex Ferguson Baru’. Benarkah begitu? Jika dilihat rekod kejayaan Mourinho sebagai pengurus, saya tanpa ragu akan mengatakan bahawa beliaulah orang yang tepat bagi mengembalikan semula kegemilangan yang hilang selama tiga musim sejak persaraan Sir Alex.

Menyaksikan cara United bermain di bawah kendalian Mourinho setakat ini, saya akui ada perubahan besar berbanding skuad United di bawah kendalian Van Gaal. Cuma seperti yang saya sebutkan tadi, hanya tuah yang masih tidak menyebelahi United meskipun mereka bermain dengan baik. Semalam (menentang Arsenal) perkara yang sama berlaku lagi apabila United dinafikan dari memungut tiga mata penuh meskipun mereka bermain baik sepanjang perlawanan.

Bayangkan di mana kedudukan United dalam carta liga sekiranya mereka berjaya mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Stoke, Burnley dan Arsenal? Akhirnya kita terpaksa mengakui dalam bolasepak selain prestasi baik di atas padang, faktor tuah adakalanya turut memainkan peranan besar dalam menentukan nasib sesebuah pasukan. Itulah yang terpaksa Mourinho dan anak-anak buahnya hadapi sekarang sambil berharap tuah akan segera mendampingi mereka semula dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.

Masih terlalu awal untuk Mourinho dihakimi dan masih terlalu awal juga untuk menafikan peluang United kembali mencabar kejuaraan liga yang kali terakhir mereka menangi pada 2013. Walaupun sedikit kecewa dengan satu lagi keputusan seri semalam namun saya kekal optimis bahawa United akan bangkit dan kembali mencapai kemenangan. Sambil itu berharaplah agar tuah tidak akan lagi menjauhi Mourinho dan anak-anak buahnya selepas ini...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

08 September 2016

PERMUSUHAN MOURINHO DAN GUARDIOLA YANG BAKAL MEMBAKAR MANCHESTER DERBY

Hujung minggu ini (10 September ini), kota Manchester akan menjadi saksi bukan sahaja kepada pertembungan derby ke 148 antara dua kelab setempat tetapi juga membabitkan pertembungan antara Jose Mourinho dan Pep Guardiola. Mourinho dan Guardiola bukan sahaja dianggap antara pengurus berprofil tinggi ketika ini, tetapi permusuhan antara kedua-duanya juga pasti menyebabkan Manchester Derby kali ini lebih menarik, tegang dan mendebarkan.

Sejak persaraan Sir Alex Ferguson di Old Trafford dan berakhirnya era hampir empat tahun Roberto Mancini di Stadium Etihad pada 2013, perlawanan-perlawanan membabitkan United dan City dalam tiga musim terakhir juga seperti hilang serinya. David Moyes, Louis Van Gaal dan Manuel Pellegrini tidak mampu membangkitkan semula `ketegangan’ Manchester Derby hinggakan saya sendiri terlupa bahawa beberapa musim sebelumnya pertembungan United dan City pernah dilabel sebagai El Clasico versi Inggeris.

Kini dengan adanya Mourinho dan Guardiola sebagai pengendali baharu kedua-dua kelab, anda boleh mengharapkan perlawanan Manchester Derby kembali tegang, kembali diberikan perhatian dan kembali diiktiraf sebagai perlawanan blockbuster di Liga Perdana. Sabtu ini, suasana kota Manchester akan lebih panas dari sebelumnya dan Old Trafford akan menjadi saksi dua musuh yang seolah-olah tidak mungkin dapat didamaikan kembali bertarung merangka strategi bagi membuktikan siapa di antara mereka yang lebih genius.

Bermulanya Permusuhan Mourinho & Guardiola

Melihat apa yang berlaku antara Mourinho dan Guardiola sekarang, siapa sangka bahawa mereka pernah akrab dan saling bekerjasama dalam satu pasukan ketika Barcelona ditangani mendiang Sir Bobby Robson pada 1996/97. Namun api perseteruan dipercayai mula tercetus pada 2008 saat pihak pengurusan Barca melakukan kejutan dengan memilih Guardiola sebagai pengganti Frank Riijkaard berbanding Mourinho yang lebih berpengalaman.

Kecewa dengan keputusan yang diambil pihak pengurusan Barca, Mourinho kemudiannya memilih menyertai Inter Milan di mana peluang untuk beliau membalas dendam akhirnya tiba apabila kedua-dua kelab (Barca dan Inter) diletakkan dalam satu kumpulan pada saingan Liga Juara-Juara musim 2009-10. Pertempuran pertama Mourinho dan Guardiola sebagai pengurus menghasilkan perlawanan yang menarik.

Keputusan perlawanan pertama (peringkat kumpulan) di San Siro berkesudahan seri 0-0 manakala pertemuan selanjutnya di Nou Camp memihak Guardiola bila skuad bimbingannya menang 2-0. Meskipun tewas, Mourinho berjaya mengesan kelemahan Barca dan sedia berdepan Guardiola sekali lagi. Keinginan beliau tercapai bila Inter dan Barca dipertemukan di peringkat separuh akhir pula dan kali ini Mourinho lebih bersedia bagi memerangkap Guardiola.  

Meskipun menang 3-1 pada aksi pertama di San Siro, Mourinho dan Inter memerlukan lebih dari keajaiban untuk layak ke final mengingatkan bahawa Barca di bawah kendalian Guardiola dianggap kesebelasan paling `sempurna’ ketika itu. Aksi di Nou Camp memang dijangka panas selepas Guardiola menyindir Mourinho dengan panggilan `hanya seorang penterjemah’ (Mourinho bertugas sebagai penterjemah kepada mendiang Sir Bobby Robson di Nou Camp pada musim 1996-97).

Sindiran Guardiola kemudiannya dibalas dengan cukup `kejam’ oleh Mourinho menerusi kejayaan beliau menyingkirkan Barca di pentas separuh akhir. Meskipun kekurangan seorang pemain selepas Thiago Motta dilayangkan kad merah (minit ke-28), strategi Mourinho meletakkan sembilan pemain di hadapan gawangnya bagi mengekang asakan Barca berhasil. Gol tunggal perlawanan menerusi Gerard Pique (minit ke-84) hadir terlalu lewat untuk menghalang Inter dari mara ke final.

Mourinho Berpindah Ke La Liga

Persaingan antara Mourinho dan Guardiola memasuki episod baru pada 2010 selepas The Special One dinamakan sebagai pengurus baharu Real Madrid menggantikan posisi Manuel Pellegrini. Dua musim berikutnya, persaingan antara dua kelab saling bermusuhan di Sepanyol itu menjadikan api perseteruan antara Mourinho dan Guardiola juga semakin memuncak. Kedua-dua pengurus ini bertemu dalam perlawanan el clasico buat pertama kali pada 30 November 2010 yang menyaksikan Mourinho diaibkan selepas Real tewas 0-5 kepada Barca.

Kekalahan besar di Nou Camp itu juga merupakan kekalahan pertama yang dialami Mourinho sebagai pengurus Real dan kekalahan besar kepada seteru paling dibenci sudah pasti amat menyakitkan. Selepas tamat perlawanan, Guardiola melemparkan sindiran tajam dengan mengatakan bahawa kemenangan besar pasukannya disebabkan Barca bermain bolasepak sebenar manakala Mourinho pula meletakkan faktor pengadilan yang buruk dan kurang bernasib baik sebagai punca kekalahan besar El Galacticos.

Ketegangan antara Mourinho dan Guardiola kembali tercetus apabila kedua-dua gergasi La Liga itu bertemu di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2010-11. Berang dengan perang saraf yang dilancarkan Mourinho sebelum aksi pertama di Bernabeu menyebabkan Guardiola hilang kawalan di hadapan wartawan.

“Di luar padang dia sudah menjuarainya musim lalu tetapi di sini (Bernabeu) dia seorang f**king boss dan dalam hal itu saya memang tidak mampu bersaing dengannya. Jika Barca perlukan seorang yang mampu bersaing dengan kami, mereka (Real) perlu mencari pengurus baharu”, tegas Guardiola. Barca menewaskan Real 2-0 dalam perlawanan itu menerusi gol menarik dari Lionel Messi dan di penghujung musim mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara di Rome selepas menewaskan Manchester United (3-1).

Barcelona memulakan musim baharu (2011-12) dengan langkah kanan menerusi kejayaan mereka menjulang Piala Super Sepanyol. Kemenangan 3-2 Barca ke atas Real dalam perlawanan itu bagaimanapun dicemari dengan insiden kekecohan di luar padang. Bermula dengan kekasaran yang dilakukan Marcelo ke atas Cecs Fabregas kemudiannya merebak hingga membabitkan perkelahian antara staf dan pemain-pemain simpanan kedua-dua pasukan di tepi padang.

Bila bercakap tentang insiden yang sudah berlaku lima tahun lalu ini, tidak sah kiranya anda tidak menyebut tentang aksi `cucuk mata’ yang dilakukan Mourinho terhadap Tito Vilanova dari belakang. Ketika ditanya wartawan tentang insiden `cucuk mata’ itu, Mourinho segera menjawab secara sinis, “Saya tidak tahu siapa Pito Villanova”.

Ini bukanlah kesilapan ejaan atau salah pendengaran dari wartawan kerana Mourinho sebenarnya menang sengaja menyebut nama pertama Villanova sebagai “Pito” dan bukannya “Tito”. Dalam bahasa Sepanyol, “Pito” boleh membawa maksud wisel dan alat sulit lelaki. Jadi yang mana satu dimaksudkan Mourinho? Terserah kepada anda untuk menilainya.

Walaupun Guardiola memulakan musim (2011-12) dengan langkah kanan menerusi kejayaan Barca menjulang Piala Super Sepanyol, tetapi di penghujung musim beliau gagal menghalang Mourinho dari membawa Real keluar sebagai juara liga yang baharu. Kemenangan 2-1 ke atas Barca di Nou Camp pada 22 April 2012 mengesahkan kejuaraan liga buat Real sekaligus menamatkan dominasi selama tiga musim kelab Catalan itu di La Liga.

Tiga hari selepas kejayaan Real mengesahkan kejuaraan La Liga mereka di Nou Camp, Guardiola yang semakin lelah dengan tekanan mengumumkan pengundurannya sebagai pengendali Barca atas alasan ingin melupakan dunia bolasepak buat seketika. Pengunduran Guardiola ini juga menandakan berakhirnya berseteruan epik selama dua musim antara beliau dan Mourinho di Sepanyol.

Manchester Derby Yang Bakal Berbeza

Dari segi catatan head to head antara kedua-dua pengurus ini, Guardiola lebih unggul apabila beliau berjaya mengatasi Mourinho sebanyak tujuh kali dari 15 pertemuan mereka (manakala Mourinho pula cuma menang empat kali). Bagaimanapun dari segi jumlah koleksi medal kejuaraan yang pernah mereka menangi, Mourinho lebih unggul. Setakat ini Mourinho sudah memenangi 17 kejuaraan manakala Guardiola pula 14.

Mourinho serta Guardiola memang memiliki kredibiliti serta karisma tersendiri sebagai seorang pengurus dan kini pengikut-pengikut Liga Perdana bakal menyaksikan kedua-duanya membuka lembaran baharu kepada permusuhan panjang mereka. Sudah pastinya juga dengan kehadiran dua pengurus ini di kota yang sama, Manchester Derby akan jauh berbeza berbanding tiga musim terakhir.

Meskipun Mourinho dan Guardiola hingga setakat ini masih `membisu’ menjelang pertempuran mereka, tetapi percayalah sikap provokatif The Special One tidak akan mampu dibendung. Akan ada kata-kata pedas yang hanya menanti masa untuk keluar dari mulut Mourinho dan ketika itu Guardiola tidak akan duduk diam. Sabtu ini, Theatre of Dreams akan menjadi gelanggang pertama kepada lembaran baharu pertempuran dua musuh abadi ini, jadi bersedialah untuk menghadapi 90 minit yang penuh ketegangan...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

07 September 2016

MANCHESTER DERBY....DARI PERLAWANAN PERTAMA HINGGALAH KE KASUT KHAS POGBA


Bilakah Kali Pertama Kedua-Dua Pasukan Bertemu?

Kedua-dua pasukan bertemu buat kali pertama pada 1881 di mana United ketika itu masih dikenali sebagai Newton Heath manakala City pula menggunakan nama St Mark’s (West Gorton).

Derby Pertama Di Peringkat Liga

Kedua-dua kelab bertemu buat pertama kali dalam saingan Football League (sekarang Premier League) pada musim 1894-95. Newton Heath menewaskan St Marks 5-2 dalam perlawanan itu.

Dari City Ke United Dan Kembali Semula Ke City

Bermain untuk City dari 1894 hingga 1906, berpindah ke United pula dari 1906 hingga 1921 dan kemudian kembali ke pangkuan City pada 1921 menjadikan Billy Meredith satu-satunya pemain yang pernah melakukannya untuk kedua-dua kelab.

Pemain Pertama Dilayangkan Kad Merah

Sandy Turnbull (pemain United) merupakan pemain pertama yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan Manchester Derby.

Gol Denis Law Menyebabkan United Tersingkir Ke Divisyen 2

Derby tahun 1974 mungkin antara perlawanan Manchester Derby paling terkenal kerana jaringan Denis Law (bekas pemain United) menyebabkan United tersingkir ke Divisyen 2. Benarkah Law menangis selepas gol jaringannya menyebabkan United tersingkir seperti yang didakwa? Tidak, Law tidak pernah menangis meratapi penyingkiran United.

Gol Pertama Ryan Giggs Dalam Kariernya

Manchester Derby yang berlangsung pada 4 Mei 1991 merupakan perlawanan cukup istimewa buat Ryan Giggs kerana pada perlawanan inilah beliau menjaringkan gol pertama dalam karier profesionalnya.

Manchester Derby Pertama Di Liga Perdana

Perlawanan pertama Manchester Derby di Liga Perdana berlangsung pada 6 Disember 1992 di Old Trafford. United menewaskan City (2-1) dalam perlawanan itu menerusi gol jaringan Paul Ince dan Mark Hughes manakala gol tunggal City dijaringkan Niall Quinn.

Gol Ke-100 Goater

Shaun Goater menjaringkan gol ke-100 beliau untuk City dalam perlawanan Manchester Derby pada November 2002 di Maine Road.

Dendam Roy Keane

Terjahan keras Roy Keane kerana dendam lama ke atas Alf Inge Haaland dalam perlawanan Manchester Derby pada 21 April 2001 menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang. Gagal pulih dari kecederaan serius yang dialaminya, Haaland akhirnya bersara pada 2003. Ketika ditanya wartawan selepas insiden tersebut, Keano menjawab...”Saya sudah lama menantikan detik ini”.

Penjaring Terbanyak

Wayne Rooney muncul penjaring terbanyak dalam sejarah Manchester Derby dengan 11 gol. Sudah tentu jaringan menarik beliau menerusi tendangan bicycle kick pada 12 Februari 2011 kekal sebagai jaringan tercantik dalam sejarah Manchester Derby.

Penjaring 3 Gol Di Old Trafford

Andrei Kanchelskis, Eric Cantona, Paul Scholes dan Wayne Rooney memegang rekod sebagai pemain yang pernah menjaringkan tiga gol dalam perlawanan Manchester Derby yang dilangsungkan di Old Trafford.

Penerima Kad Merah Di Old Trafford

Roy Keane, Alan Smith dan Jonny Evans merupakan pemain yang pernah dilayangkan kad merah dalam perlawanan Manchester Derby yang dilangsungkan di Old Trafford sepanjang era Liga Perdana.

Rekod Pertemuan Di Old Trafford

Setakat ini 19 perlawanan Manchester Derby sudah dilangsungkan di Old Trafford sepanjang sejarah Liga Perdana. Dari jumlah tersebut United menang 10 perlawanan, seri 5 dan tewas 4 kali.

Mr Adidas

Adidas ACE16+Purecontrol Viper Pack merupakan boots khas yang dikeluarkan Adidas untuk digunakan Paul Pogba dalam perlawanan Manchester Derby Sabtu ini.

31 Ogos 2016

BELAJARLAH UNTUK KEMBALI MENYAYANGI FELLA

Ketika mula-mula menjejakkan kakinya di Old Trafford sebagai pemain United, Marouane Fellaini berazam menggantikan peranan Roy Keane di bahagian tengah tetapi hakikatnya beliau gagal bersinar di era David Moyes dan Louis Van Gaal. Prestasi Fella dikritik penyokong-penyokong hinggakan ramai yang mahukan supaya beliau dijual.

Kedatangan Mourinho semakin menguatkan desas-desus bahawa Fellaini antara pemain yang bakal dilepaskan musim ini selain Juan Mata, Daley Blind, Matteo Darmian dan beberapa pemain lagi. Bagaimanapun hakikatnya tidak terjadi begitu, malah Fella kini antara nama yang wajib ada dalam line up permulaan United.

Mourinho sendiri mengakui bahawa Fella kini antara pemain penting dalam skuadnya kerana kemampuan beliau bermain bersama Michael Carrick atau Ander Herrera, malah kedatangan Paul Pogba menjadikan penampilan Fella di atas padang kini jauh lebih bagus berbanding dahulu.

Apa yang menyebabkan Fella kini pemain yang jauh berbeza berbanding musim-musim sebelumnya? Jawapannya ialah kerana peranan sebagai pemain tengah bertahan yang diberikan Mourinho kepada beliau. Di era Moyes dan Van Gaal, Fella sering dikerah untuk bermain lebih ke hadapan sebagai pemain tengah menyerang.

Fella mengakui peranan sebagai pemain tengah menyerang tidak sesuai dengan dirinya hingga gagal memaksimakan potensi yang beliau miliki. Beliau cuba menyesuaikan diri dengan tugas yang diberikan Moyes dan Van Gaal tetapi ternyata Fella memang tidak cocok memainkan peranan yang lebih offensive.

Menurut Fella, beliau lebih gemar memainkan peranan sebagai box to box midfielder dan Mourinho akhirnya merealisasikan apa yang beliau impikan. Kesilapan yang dilakukannya ketika berdepan Leicester City dalam perlawanan merebut Perisai Komuniti dikritik penyokong tetapi Mourinho nampaknya tidak langsung terkesan dengan komen-komen negatif yang dilemparkan kepada Fella.

Jika dilihat kepada reputasi Mourinho dan sikap tiada kompromi beliau terhadap kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan pemain-pemainnya, saya jangkakan sukar untuk Fella merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama United selepas kesilapan yang dilakukan beliau di Wembley 7 Ogos lalu. Bagaimanapun jangkaan saya meleset dan Fella masih terus menjadi sandaran utama Mourinho di bahagian tengah.

Setakat ini Fella tersenarai dalam kesebelasan utama United sebanyak empat kali (termasuk ketika saingan merebut Perisai Komuniti), sesuatu yang mungkin tidak pernah anda jangka jika diambilkira khabar angin pra musim bahawa beliau antara pemain yang bakal terkeluar dari perancangan Mourinho.

Ketika berdepan Bournemouth dalam perlawanan pembukaan liga musim ini, Fella berhasil melakukan 6 tackle bersih dari 10 yang dilakukannya serta melakukan empat clearance. Ketika berdepan Southampton pula, kehadiran Fella cukup dirasai menerusi kemampuan beliau dalam perebutan bola tinggi.

Fella menang empat dari enam perebutan bola di udara (ketika berdepan Southampton) dan kerap melakukan hantaran terus kepada Anthony Martial di sebelah kiri atau Juan Mata di sebelah kanan sekaligus melancarkan pergerakan United ketika melakukan serangan.

Kekerapan bertarung dalam situasi bola tinggi dikatakan punca utama kecederaan belakang yang dialami Fella ketika berdepan Hull City. Selepas menyaksikan sumbangan dan peranan yang dimainkan Fella dalam perlawanan-perlawanan awal United musim ini, tidak hairanlah mengapa Mourinho sedikit gusar bila mengetahui kecederaan yang dialami tonggak tengah skuadnya itu.

Jelas kini kelibat Fella amat penting di mata Mourinho bukan hanya kerana kekuatan fizikal dimiliki pemain ini yang sesuai dengan corak permainan diterapkan beliau tetapi juga pengalaman yang ada dalam diri Fella. Lapan musim bermain di Liga Perdana, Fella sudah tentu faham benar dengan segala sepak terajang bolasepak Inggeris.

Sesuai dengan perancangan taktikal Mourinho dan keinginan Fella, kini kelibatnya dalam petak penalti lawan semakin jarang anda lihat kerana beliau lebih senang memainkan peranan sebagai `pelindung’ kepada empat pertahanan yang berada di belakangnya.

United memulakan musim 2016/17 dengan cukup baik, begitu juga halnya dengan Fella. Jika dahulu prestasinya di atas padang dicemuh penyokong sendiri manakala potongan rambut terbarunya dijadikan bahan ejekan, kini penyokong-penyokong United sepatutnya mula belajar untuk kembali menyayangi Fella sepertimana ketika mereka menyambut kedatangannya di Old Trafford tiga tahun lalu. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

29 Ogos 2016

APA YANG PERLU DILAKUKAN MOURINHO JIKA MAHU MEMENANGI TROFI LIGA PERDANA

Tiga kemenangan dari tiga perlawanan awal liga musim ini satu permulaan yang cukup bagus buat Manchester United selepas mengharungi tiga musim yang tidak menentu sebelum ini. Prestasi bagus di awal musim juga saya anggap satu amaran buat pencabar-pencabar domestik yang lain bahawa United di bawah kendalian Jose Mourinho skuad yang cukup berbeza berbanding apa yang mereka lihat dalam tempoh tiga musim terakhir.

Ditambah dengan pembelian bintang-bintang hebat seperti Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Henrikh Mkhitaryan dan Eric Bailly, United nampaknya sudah melaungkan amaran awal bahawa mereka kini jauh lebih bersedia untuk merampas kembali kejuaraan liga. Ya, selepas menyaksikan kelab berbelanja besar membawa empat bintang ternama ini, sedikit sebanyak penyokong juga menaruh harapan tinggi terhadap barisan kendalian Mourinho agar mereka mampu merampas kembali trofi Liga Perdana.

Terlepas slot ke Liga Juara-Juara musim ini, kejuaraan Liga Perdana kini sasaran penting yang patut United menangi dan misi yang sepatutnya diberikan keutamaan bermula sekarang. Sukar tapi bukan mustahil jika United mahu membolot semua trofi domestik dan Eropah (Liga Europa), tapi dengan ketatnya persaingan dan padatnya jadual perlawanan kita juga seebnarnya patut bersikap lebih realistik.

Menjulang trofi Liga Perdana dan kemudian layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan lebih manis berbanding kejayaan memenangi trofi Liga Europa tapi di akhir musim kelab sekadar menamatkan saingan di tangga kedua, ketiga atau keempat liga. Seperti yang saya sebutkan tadi, dengan jadual perlawanan yang padat dan ketatnya persaingan di Liga Perdana, United perlu memilih sasaran yang mereka inginkan dan mengorbankan apa yang mereka kurang perlukan.

Sudah tentu trofi Liga Perdana adalah sasaran utama Mourinho dan beliau juga faham bukan mudah untuk trofi ini dimenangi berbanding ketika beliau berada di Serie A ataupun La Liga. Jadi jika mahu mengembalikan semula trofi Liga Perdana ke Old Trafford, apa yang harus dilakukan Mourinho bagi meralisasikan harapan tinggi penyokong dan juga pihak pengurusan kelab? Berikut adalah langkah yang mungkin diambil Mourinho demi mencapai sasaran utamanya iaitu meletakkan kembali United sebagai raja di Liga Perdana.

Penggiliran Pemain

Berdepan jadual padat dan persaingan yang sentiasa sengit setiap musim, Mourinho perlu bijak melakukan penggiliran pemain-pemainnya demi memastikan mereka sentiasa cergas bagi menghadapi musim yang panjang. Bagaimanapun dalam sesebuah pasukan, penting juga bagi seorang pengurus memiliki formasi kesebelasan terbaiknya atau `winning team’. Mourinho sudah menunjukkan gambaran pemain mana yang bakal memikul peranan sebagai `key player’ beliau musim ini menerusi tiga aksi awal dalam saingan liga setakat ini.

Zlatan Ibrahimovic, Wayne Rooney, David De Gea, Paul Pogba, Eric Bailly, Antonio Valencia dan Luke Shaw saya kira akan memainkan watak penting dalam kesebelasan utama Mourinho. Itu belum lagi diambilkira potensi yang ada di bangku simpanan United terutamanya menerusi kelibat Henrikh Mkhitaryan. Dengan musim yang masih panjang, penting bagi Mourinho menentukan pemain mana yang patut diturunkan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya bagi memastikan `key player’ beliau sentiasa cergas dan bebas dari kecederaan.

Abaikan Liga Europa

Saya yakin ada di antara anda tidak bersetuju dengan pendapat ini, tetapi jika Mourinho mahu membawa United menjulang kembali trofi Liga Perdana, beliau perlu melupakan saingan Liga Europa. Mungkin kenyataan ini seperti sedikit angkuh, tetapi kelab sekelas Manchester United tidak perlu berhabis-habisan hanya kerana mahu menjuarai kejohanan `kelas dua’ seperti Liga Europa. Pentas pertarungan sebenar United ialah di Liga Juara-Juara dan mereka sepatutnya menumpukan usaha untuk kembali ke sana.

Bermain pada awal pagi Jumaat dan kemudiannya turun menentang lawan domestik pada perlawanan hujung minggu pula pasti melelahkan. Itu belum lagi diambil kira jadual padat bulan Disember yang memerlukan pemain bermain enam hingga tujuh perlawanan liga sebulan. Dan sudah tentu Mourinho juga tidak mahu melihat pemain-pemain utamanya tewas satu demi satu akibat kecederaan kesan dari jadual padat yang boleh menjejaskan misi menjulang trofi Liga Perdana.

Pemain seperti Ander Herrera memasang impian mahu menjulang trofi Liga Europa tetapi percayalah persaingan yang cukup sengit di Liga Perdana tidak memungkinkan mana-mana kelab England menjulang dua trofi sekaligus (Liga Europa dan Liga Perdana). Jadi adalah lebih bijak sekiranya Mourinho memastikan pemain-pemain terbaiknya sentiasa kekal cergas, fokus dan sedia bertarung hingga ke perlawanan terakhir dalam usaha mereka mengembalikan semula trofi Liga Perdana ke Old Trafford.

Menjadikan Theatre of Dreams Kembali Digeruni Lawan

Jika mahu muncul kembali sebagai juara Liga Perdana, Mourinho perlu memastikan skuadnya meraih sebanyak mungkin mata ketika beraksi di gelanggang sendiri. Musim lalu, United tewas sebanyak dua kali dan mencatatkan lima keputusan seri ketika bermain di Old Trafford. Kemenangan-kemenangan yang dicapai mereka ketika melayan kunjungan kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga pula menerusi margin jaringan yang cukup tipis serta kurang menyakinkan.

Keciciran 16 mata dari aksi di gelanggang sendiri sepertimana yang berlaku musim lalu sepatutnya tidak lagi berulang dan menjadikan aksi di Theatre of Dreams mimpi buruk kepada lawan juga tugas yang sangat penting bagi Mourinho. Rekod 77 perlawanan tanpa kalah di gelanggang sendiri sepanjang Mourinho mengendalikan Chelsea dari 2004 hingga 2007 dan kemudiannya kembali semula ke Stamford Bridge pada 2013 menyakinkan saya bahawa United di bawah kendalian beliau akan lebih kebal bila mereka bermain di Old Trafford.

Elak Kekalahan Ketika Berdepan Kelab-Kelab Pencabar Kejuaraan

Salah satu faktor mengapa Leicester City berjaya menjulang kejuaraan liga musim lalu ialah kerana konsistensi mereka menerusi keputusan positif yang dicapai ketika berdepan kelab-kelab besar Liga Perdana. Hanya Arsenal satu-satunya pasukan dari kelompok lima teratas yang mampu menewaskan skuad Claudio Ranieri itu sebanyak dua kali dalam saingan liga. Ketika berdepan kelab-kelab besar yang lain seperti United, Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Tottenham Hotspurs pula, Leicester berjaya mengutip 17 mata.

Selaku pengurus yang cukup berpengalaman dalam persaingan Liga Perdana, Mourinho pastinya tahu bahawa United tidak boleh tewas bila berdepan Manchester City, Chelsea, Arsenal, Tottenham Hotspurs dan Liverpool sambil waspada dengan ancaman yang mampu diberikan Southampton, Everton, West Ham dan juara bertahan Leicester City. Jika mahu muncul juara, United perlu menewaskan kelab-kelab pencabar kejuaraan yang lain atau sekurang-kurangnya mengelak dari mengalami kekalahan bila berdepan mereka.

Memotivasikan Para Pemainnya

Dalam hal ini saya tidak pernah meragui kemampuan Mourinho sebagai pengurus. Beliau sudah membuktikannya ketika bersama FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid sebelum ini. Mourinho sentiasa ada kata-kata keramat untuk memotivasikan pemain-pemainnya yang mampu mempengaruhi aksi mereka ketika di atas padang. Lihat sahaja aksi menentang Hull City tempohari sebagai bukti paling hampir.

Ketika barisan The Red Devils kebuntuan dalam percubaan mereka memecah benteng lawan yang bertahan dengan cukup berdisiplin, Mourinho pula tanpa jemu sentiasa memberikan arahan dan kata-kata perangsang dari tepi padang. Beliau berjaya meniup api perjuangan dalam diri pemain-pemainnya yang menghujani pintu gol lawan menerusi percubaan demi percubaan hingga ke penghujung perlawanan sebelum akhirnya Marcus Rashford meledak gol kemenangan.

Situasi ini sebenarnya sudah agak lama tidak kita lihat sejak persaraan Sir Alex Ferguson lebih tiga tahun lalu dan lebih penting sepanjang tempoh itu juga barisan pemain-pemain United dilihat kurang memiliki kemahuan yang kuat untuk memenangi kejuaraan liga. Kini saya berharap Mourinho mampu menjadikan pemain-pemainnya lebih bermotivasi di atas padang, ada kemahuan untuk menang dan tidak pernah jemu mengasak biarpun lawan bermain secara negatif sepertimana yang mereka pamerkan ketika berdepan Hull tempohari.

Apakah Misi Sebenar Mourinho

Mourinho sudah menjelaskan bahawa beliau mahu kembali berada di atas podium kejuaraan dengan membawa United menjulang trofi Liga Perdana musim ini. Kemenangan ke atas Hull bukan sekadar kemenangan ketiga berturut-turut United di awal musim dan yang pertama berjaya mereka lakukan sejak 2011, tetapi lebih penting penyokong boleh mengharapkan penampilan lebih segar dan bermaya dipamerkan barisan The Red Devils musim ini.

Meskipun dilimpahi dengan pemain ternama dan kualiti ada dalam pasukan, bersikap realistiklah bahawa United tidak akan memenangi semua kejohanan musim ini. Jika berjaya memenuhi misinya dengan membawa United menjulang trofi Liga Perdana, itu merupakan satu penamat sempurna pada musim pertama Mourinho di Old Trafford. Buktikan kepada kami Mourinho bahawa anda memang seorang `Yang Istimewa’ dengan meletakkan United kembali sebagai juara...Glory Glory Manchester United!!! - AJ