13 Mei 2017

ANTARA TUAH, TANGISAN, MISI YANG PERLU DISELESAIKAN DAN TIKET KE LIGA JUARA-JUARA



Sebelum perlawanan, Jose Mourinho berjanji yang Celta Vigo akan digempur habis-habisan bagi memastikan skuadnya layak beraksi di pentas final di Friends Arena, 25 Mei nanti. Bagaimanapun hal itu tidak berlaku kerana United akhirnya terpaksa mengharapkan `keajaiban’ di sebalik penguasaan wakil Sepanyol itu sebelum berjaya mara ke pentas akhir Liga Europa buat kali pertama.

“Bernasib baik”...itu antara perkataan paling tepat kerana di Old Trafford, United tidak bermain sepertimana dijanjikan Mourinho. United memilih untuk mara ke final dengan cara yang sedikit hambar terutamanya selepas melihat aksi mereka sepanjang 90 minit permainan meskipun Mourinho menurunkan `skuad terkuatnya’ berbanding barisan yang beraksi di Stadium Emirates, Ahad lalu.

Apa yang dipamerkan United dalam aksi kedua pusingan separuh akhir itu membayangkan bahawa banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Mourinho dalam usaha beliau mempersiapkan skuadnya menjelang aksi final. Jika mahu menjulang trofi Liga Europa dan layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan, United perlu bermain sepuluh kali lebih baik di Friends Arena nanti berbanding aksi mereka ketika menentang Celta Vigo.

Celta Menguasai Permainan Tapi United Yang Menjaringkan Gol...

Mourinho melakukan lapan perubahan dalam kesebelasan utamanya berbanding skuad yang beliau turunkan ketika berdepan Arsenal dalam saingan liga manakala Eduardo Berizzo pula memilih menurunkan kesebelasan sama ketika mereka melayan kunjungan United pada perlawanan pertama di Balaidos minggu lalu.

Pelawat menguasai permainan di babak pertama menerusi 61% penguasaan bola yang dilakukan mereka selain mencipta peluang seawal minit keempat menerusi Iago Aspas. Bagaimanapun faktor `effectivity’ tetap merupakan elemen penting dalam permainan bolasepak `ala Mourinho’ dan hasilnya Marouane Fellaini berjaya menembusi pintu gol lawan di minit ke-17.

Fella `Pakar’ Separuh Akhir...

Menyaksikan gol yang beliau jaringkan semalam, mungkin tiada siapa pernah menyangka bahawa inilah pemain yang hampir lima bulan lalu dikritik hebat oleh penyokong-penyokong sendiri kerana kesilapan yang dilakukannya menyebabkan United terlepas tiga mata berharga di Goodison Park.

Anehnya, Mourinho yang sebelumnya sangat terkenal dengan reputasi beliau yang gemar mengkritik pemain-pemainnya secara terbuka sebaliknya bertindak mempertahankan Fella selepas `insiden di Goodison Park’ itu. Kepercayaan dan sokongan Mourinho sekali lagi di bayar Fella menerusi gol penting yang dijaringkan beliau ke gawang Celta Vigo.

Ini bukanlah kali pertama Fella menjaringkan gol penting untuk United di peringkat separuh akhir, kerana ketika aksi menentang Hull City dalam saingan Piala Liga Januari lalu, beliau turut melakukan hal yang sama. Gol yang beliau jaringkan ke gawang Eldin Jakupovic di minit ke-87 pada aksi separuh akhir kedua di Old Trafford memastikan United layak ke Wembley dan kemudiannya menjulang trofi (Piala Liga) di sana.

Jika fakta ini masih tidak mencukupi, imbas kembali apa yang beliau lakukan musim lalu ketika membantu United mara ke final saingan Piala FA. Ketika berdepan Everton di peringkat separuh akhir kejohanan tersebut, Fella turut menyumbangkan jaringannya untuk United. Skuad kendalian Louis Van Gaal kemudiannya mara ke final dan akhirnya menjulang kejuaraan Piala FA buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Tangisan Celta Vigo...

Seperti yang saya sebutkan di awal tadi, Celta Vigo merupakan pasukan yang lebih baik berbanding United sepanjang tempoh 90 minit aksi di Old Trafford. Menurut statistik yang dikeluarkan Squawka, Celta menguasai 60% penguasaan bola selain mencipta 14 peluang jaringan gol berbanding sembilan oleh United.

Bagaimanapun dalam bolasepak, elemen tuah kadangkala memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan pemenang dalam sesebuah perlawanan. Mereka bermain baik, menguasai permainan, sentiasa memberikan tekanan dan menjaringkan gol di Old Trafford, tetapi akhirnya terpaksa melepaskan tiket final kepada pasukan yang bermain secara bertahan.

Agak mengejutkan melihat bagaimana pasukan besar seperti United membenarkan lawan menguasai permainan ketika mereka beraksi di gelanggang sendiri. Mujur peluang terakhir pelawat di penghujung babak kedua gagal disempurnakan John Guidetti kerana jika tidak United terpaksa mengharapkan keajaiban pada baki tiga perlawanan liga musim ini untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Sebaik Ovidou Hafegan meniup wisel penamat, tangisan pemain-pemain Celta mengiringi tamatnya perjuangan mereka di Liga Europa musim ini. Selepas bermain baik dan menguasai permainan di Old Trafford, kegagalan mara ke Friends Arena tentunya sesuatu yang tidak adil buat mereka. Tetapi itulah bolasepak, adakalanya sangat kejam hanya disebabkan faktor tuah yang tidak menyebelahi sesebuah pasukan walaupun mereka bermain baik sepanjang perlawanan.

Faktor Mourinho...

14 tahun lalu, Mourinho pada musim pertamanya di Estadio do Dragao berjaya mengemudi FC Porto menjulang kejuaraan Piala UEFA (sekarang Liga Europa) selepas mereka menewaskan Celtic di final. Semusim selepas itu, beliau sekali lagi menempa nama selaku prospek pengurus/jurulatih terbaik dunia menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara di Gelsenkirchen pula.

Kini selepas 14 tahun, Mourinho berpeluang melakukan pencapaian sama selepas United mara ke final Liga Europa buat pertama kali dalam sejarah kelab. Ketika skuadnya berdepan kemungkinan gagal menamatkan saingan liga di posisi empat teratas, kejuaraan Liga Europa peluang terbaik buat Mourinho meletakkan kembali United bersaing di pentas Liga Juara-Juara.

Antara Bailly Dan Rashford...

Dua watak berbeza dari dua posisi berbeza dan tentunya nasib kedua-dua pemain ini juga berbeza kerana seorang bakal menggalas tugas besar mengetuai jentera serangan United di Friends Arena nanti manakala seorang lagi sekadar memerhati aksi rakan-rakan sepasukan dari tempat duduk penonton.

Dalam aksi di Old Trafford semalam, Rashford sekali lagi membuktikan bahawa beliau mampu mengisi posisi Zlatan Ibrahimovic selaku penyerang tengah United. Prestasi terpuji Rashford ketika kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan pertama di Balaidos diteruskan beliau semalam menerusi sumbangan satu assist yang membawa kepada gol jaringan Marouane Fellaini.

Rashford kini telah terlibat dengan empat gol terakhir United di Liga Europa menerusi dua gol dan dua assist yang disumbangkan beliau. Ketika Rashford mempamerkan ketenangan di barisan hadapan, Bailly pula tewas dengan emosi sendiri akibat provokasi lawan.

Tanpa kelibat Bailly di pentas final merupakan satu kerugian buat United memandangkan peranan besar yang sudah dimainkan beliau di benteng pertahanan skuad Mourinho musim ini. Dengan Marcos Rojo yang sudah tersisih dari baki saingan musim ini, Mourinho perlu memikirkan gandingan sesuai untuk beliau letakkan di benteng tengah pasukannya ketika berdepan Ajax di final nanti.

Satu Kebanggaan Bila Layak Ke Final...

Ketepikan sebarang persepsi tentang taraf kejohanan ini kerana kejayaan layak ke perlawanan akhir mana-mana kejohanan tetap sesuatu yang membanggakan tambahan pula United sendiri tidak pernah memenangi trofi Liga Europa dalam sejarah mereka. Ini juga merupakan kali ketujuh United berjaya mara ke final kejohanan Eropah di mana kali terakhir mereka beraksi di pentas final ialah pada 2011 (di Liga Juara-Juara).

Sekiranya United gagal menamatkan saingan liga musim ini di posisi empat teratas, trofi Liga Europa akan menjadi penawar kepada kegagalan menyempurnakan misi di liga  domestik. Mourinho sedar akan hal tersebut kerana itulah beliau meletakkan sasaran memenangi Liga Europa sebagai keutamaan pada baki saingan musim ini ketika pintu beraksi di Liga Juara-Juara menerusi tiket empat pasukan teratas Liga Perdana semakin tertutup rapat.

Walaupun auranya mungkin tidak sama ketika kita menyaksikan barisan United melangkah ke Nou Camp, Luzhniki, Stadio Olimpico atau Wembley sebelum ini, perhitungan di Friends Arena pada 25 Mei nanti tetap ditunggu dengan penuh rasa teruja.

Apatah lagi ganjaran untuk pemenang pertarungan nanti ialah tiket beraksi di Liga Juara-Juara selain prospek berdepan sama ada Juventus atau Real Madrid di Philip II Arena, Skopje untuk perebutan Piala Super UEFA. Semoga misi ini berjaya disempurnakan barisan Mourinho dan semoga trofi Liga Europa berjaya di bawa pulang ke Old Trafford...Glory Glory Manchester United!!!

09 Mei 2017

ERIC CANTONA: BERMULA SEBAGAI `REBEL', BERAKHIR SEBAGAI `RAJA'



Eric Cantona dilabel sebagai `pembelian terbaik’ yang pernah dilakukan Sir Alex Ferguson sepanjang karier beliau selaku pengendali Manchester United. Kepala angin, angkuh, sukar diramal, mulut celupar dan panas baran...itu antara sisi negatif yang ada dalam diri Cantona bila kita bercakap tentang beliau.

Anda boleh senaraikan berdozen-dozen cerita kontroversi yang menyelubungi karier Cantona tetapi dalam masa sama juga anda tidak boleh menafikan betapa genius dan istimewanya sosok yang memiliki nama penuh Eric Daniel Pierre Cantona ini ketika beliau beraksi di atas padang.

Rekod disiplin Cantona memang buruk, jadi tidak hairanlah mengapa timbul keraguan yang bukan sedikit bila Fergie memutuskan mahu membawa `Si Kepala Angin’ ini ke Old Trafford selepas Cantona berjaya membantu Leeds United menjulang trofi Liga Divisyen 1 pada musim 1991/92.

DNA Rebel Yang Mengalir Dalam Diri Cantona...

Di atas padang anda sering melihat sikap seorang `rebel’ dalam diri Cantona dan beliau juga umpama bom jangka yang sangat sukar diramal kerana kemampuannya meledak pada bila-bila masa. Di negaranya, selain sentuhan-sentuhan indahnya di atas padang, Cantona juga membina reputasi sebagai `budak jahat’ bolasepak Perancis.

Beliau tidak pernah gentar berkonfrontasi dengan mana-mana pemain lawan, pengadil perlawanan hatta mencabar kesabaran organisasi sebesar Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) sekalipun. Apa yang menyebabkan Cantona begitu? Mungkin darah seorang pemberontak yang mengalir dari dalam tubuh datuknya sedikit sebanyak mempengaruhi tindak tanduk Cantona di atas padang.

Pere Raurich (datuk beliau) sebenarnya pernah terlibat dalam memerangi tentera Jeneral Franco dalam perang saudara di Sepanyol pada 1938. Kecederaan dalam pertempuran memaksa Raurich berundur ke Perancis bagi mendapatkan rawatan dan tinggal di Saint-Priest, Ardeche sebelum memilih menetap di Marseille.

Insiden Yang Membawa Cantona Ke England....

Tindakan Cantona membaling bola ke arah pengadil dalam satu aksi Liga Divisyen 1 Perancis pada Disember 1991 menyebabkan beliau di gantung selama sebulan oleh Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF). Tidak cukup dengan itu, hukuman ke atas Cantona ditambah sebulan lagi kerana tindakan beliau menghina Jawatankuasa Disiplin FFF.

Dengan segala beban dari hukuman yang diterimanya, Cantona secara drastik mengumumkan `persaraan’ dari dunia bolasepak pada 12 Disember 1991 dan Nimes menjadi kelab terakhir yang beliau wakili di Perancis. Bagaimanapun Michel Platini berjaya memujuk Cantona untuk keluar dari `persaraan’ dan menyarankan agar beliau berpindah ke England untuk membersihkan namanya.

Ditolak Souness...

Michel Platini pernah menyarankan kepada Graeme Souness supaya membawa Cantona ke Anfield namun cadangan tersebut ditolak oleh bekas pengurus Liverpool itu. Menyedari rekod disiplin buruk dimiliki Cantona selain sikap kepala anginnya, Souness tidak mampu menanggung sebarang risiko yang boleh menjejaskan keharmonian bilik persalinan The Reds.

Pada Januari 1992, Cantona menjalani trial bersama Sheffield Wednesday tetapi beliau akhirnya menyertai Leeds United selepas kelab tersebut bersetuju membayar pampasan berjumlah £900,000 kepada Nimes. Bermulalah episod baharu dalam karier bolasepak Cantona, dan di England sentuhan magis beliau berjaya membantu Leeds menjulang trofi Liga Divisyen 1 buat pertama kali dalam tempoh 18 tahun.

Leeds Mahukan Irwin, Tapi United Dapat Cantona...

Bill Fotherby (bekas Pengarah Urusan Leeds United) ialah individu yang bertanggungjawab `menyerahkan’ Cantona ke Old Trafford. Semuanya bermula ketika Fotherby menghubungi Martin Edwards (Pengerusi United) untuk bertanyakan tentang kemungkinan United mahu menjual Denis Irwin selepas Leeds berdepan masalah kecederaan yang melanda fullback mereka, Mel Sterland.

Percubaan Leeds bagaimanapun gagal selepas Fergie meletakkan tanda `bukan untuk dijual’ kepada Irwin. Daripada minat Leeds mendapatkan Irwin, perbualan antara Edwards dan Fotherby akhirnya bertukar kepada keinginan United mendapatkan tandatangan Cantona yang kemudiannya membuka jalan kepada pemain `kepala angin’ itu berpindah ke Old Trafford.

Laluan Ke Old Trafford...

Tewas pada Leeds United menerusi perbezaan hanya empat mata dalam perebutan kejuaraan Liga Divisyen 1 (musim 1991-92) sukar diterima Fergie. United semakin hampir menamatkan kemarau panjang kejuaraan liga tetapi dalam masa sama Fergie juga tahu bahawa mereka masih tidak cukup bagus untuk melakukannya.

Perubahan perlu dilakukan segera terutamanya di barisan hadapan di mana Fergie harus mencari pasangan baharu Mark Hughes kerana Brian McClair dalam proses beralih posisi ke bahagian tengah. Untuk itu, Fergie mengimpikan kelibat Alan Shearer atau David Hirst untuk beliau letakkan di barisan hadapan skuadnya bagi menghadapi cabaran musim baharu.

Bagaimanapun Shearer memilih menyertai Blackburn Rovers selepas beliau mengambil keputusan meninggalkan Southampton, manakala Hirst pula memilih kekal bersama Sheffield Wednesday. Takdir sudah tertulis, kerana di Elland Road pula Cantona mendapati bahawa permainannya tidak cocok dengan falsafah kick and rush yang diterapkan Howard Wilkinson dalam permainan Leeds.

Secara diam-diam beliau sangat mengagumi corak permainan United di bawah kendalian Fergie hinggalah akhirnya perbincangan antara Martin Edwards dan Bill Fotherby membuka laluan perpindahan Cantona ke Old Trafford. Fergie gagal menandatangani sasaran awalnya, tapi United akhirnya mendapat seorang pemain yang jauh lebih genius berbanding Shearer atau Hirst.

Era Emas United Bermula....

Ditandatangani Fergie pada 27 Novermber 1992 dan sembilan hari selepas itu Cantona melakukan penampilan pertamanya untuk United dalam saingan liga ketika kelab berdepan seteru setempat, Manchester City di Old Trafford. Cantona gagal mencetuskan impak besar pada penampilan pertamanya di Manchester Derby, tetapi musim pertama beliau di Old Trafford merupakan musim yang cukup sempurna untuk Cantona.

Apa tidaknya kerana pada musim inilah (1992-93), beliau membantu kelab muncul pasukan pertama menjulang trofi Liga Perdana (selepas bertukar format dari Liga Divisyen 1), selain menamatkan kemarau 26 tahun tanpa kejuaraan liga sejak kali terakhir barisan Sir Matt Busby melakukannya pada musim (1966-67).  

Kekecewaan Fergie pada musim sebelumnya kerana tewas tipis kepada Leeds dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga tertebus, dan dengan Cantona berada dalam kesebelasan utamanya, lawan mendapati barisan The Red Devils kendalian beliau kali ini sangat berbeza berbanding musim sebelumnya.

Selepas perpindahannya dari Leeds, Cantona bermain 23 perlawanan dan menjaringkan sembilan gol manakala dalam tempoh tersebut juga United hanya tewas dua kali. Kehadiran Cantona menerusi gol-gol serta umpanan-umpanannya juga menyaksikan United secara perlahan-lahan mula menghambat kedudukan Aston Villa selaku pendahulu liga.

Dua gol jaringan Steve Bruce ketika aksi menentang Sheffield Wednesday yang dilangsungkan di Old Trafford pada 10 April 1993 akhirnya mengesahkan kejuaraan liga buat United. Kejayaan ini juga menamatkan penantian 26 tahun kejuaraan liga di Old Trafford sekaligus menandakan bermulanya era emas United di bawah kendalian Fergie.

`King Eric’ Yang Sukar Diramal...

Ada kebenarannya tentang sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa “individu hebat seringkali memiliki karakter yang unik dan sukar diramal”. Cantona adalah salah seorang yang dimaksudkan dan contoh terbaik. Konfrantasi dengan rakan sepasukan dan jurulatih, kad merah, penggantungan perlawanan, terjahan keras yang dilakukannya terhadap pemain lawan serta bermacam lagi kontroversi umpama `santapan harian’ Cantona sepanjang kariernya.

Tetapi insiden paling terkenal yang dicetuskan Cantona hingga menyebabkan seluruh dunia `terpaku’ tentunya ketika beliau melepaskan tendangan `kungfu’ ke arah penyokong Crystal Palace, Matthew Simmons. Insiden yang berlaku pada 25 Januari 1995 itu sangat sinonim bila anda bercakap tentang Cantona. Dan hingga sekarang pun insiden di Selhurst Park itu masih menjadi topik hangat untuk dibincangkan setiap kali tibanya detik 25 Januari setiap tahun.

Cantona memang sangat terkenal dengan sikap panas barannya tetapi dalam masa yang sama tiada siapa pun pernah terfikir bahawa beliau akan melakukan tindakan spontan seperti itu yang tercetus dari provokasi melampau Simmons. Selain tendangan kungfu-nya terhadap Simmons, siapa boleh melupakan lagak angkuhnya sebaik sahaja beliau menewaskan Lionel Perez menerusi satu sepakan lambung bijak ketika United dan Sunderland bertemu pada 21 Disember 1996.

Jangan Pernah Cari Pasal Dengan `Sang Raja’...

Simmons dan Perez adalah contoh terbaik bagaimana seorang `Raja’ menggunakan kuasa mutlaknya untuk menghukum lawan. Tiada `perbicaraan’...yang ada hanyalah hukuman secara terus. Simmons memilih orang yang salah ketika beliau melakukan provokasi ke atas Cantona di Selhurst Park dan akhirnya menerima `hukuman’ setimpal.

Akibat dari tindakan bodohnya, Simmons dimalukan sedemikian rupa dan sehingga kini beliau masih dipersalahkan atas insiden yang dimulakannya sendiri. Perez pula dimalukan hanya disebabkan keengganan beliau memberikan sebarang reaksi ketika `Sang Raja’ menyapa. Apa yang dilakukan Cantona kepada Perez dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford pada 21 Disember 1996 itu?

Ketika United selesa mendahului 3-0, Cantona yang pada mulanya seperti sudah `hilang minat’ bermain, tiba-tiba bagaikan dirasuk selepas sapaannya tidak dijawab Perez. Akhirnya bermula dari satu gerakan solo menarik, Perez dihukum Cantona menerusi satu lambungan bijak yang melepasi jangkaun penjaga gol Sunderland itu.

Sebaik sahaja gawang Perez dibolosi dengan cara sedemikian rupa, lihat bagaimana lagak angkuh Cantona meraikan jaringan tersebut. Perez mendedahkan jika beliau lebih ramah dan menjawab sapaan Cantona, pastinya gol seperti itu tidak akan terhasil dan beliau juga tidak akan dimalukan seperti itu.

Simmons dan Perez ialah dua contoh terbaik mengapa anda jangan sesekali cari pasal dengan `Sang Raja’ ini. Cantona tidak perlu menunggu bertahun-tahun sebelum memilih masa sesuai melunaskan dendamnya, tapi cukup dengan satu tindakan spontan yang kekal diingati hingga ke hari ini, sama ada oleh Simmons, Perez dan kita sendiri sebagai penyokong United.

Hampir `Bersara’ Buat Kali Kedua....

Insiden tendangan kungfu ke atas Matthew Simmons menyaksikan Cantona dikenakana hukuman pengantungan selama lapan bulan dari sebarang aktiviti bolasepak dan didenda £10,000, malahan beliau juga hampir disumbat ke penjara. FIFA kemudiannya turut mengesahkan bahawa hukuman ke atas Cantona berkuatkuasa di seluruh dunia.

Ada juga versi cerita yang mengatakan bahawa pihak Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) cuba mempengaruhi FA supaya mengenakan hukuman penggantungan seumur hidup kepada Cantona. Bagaimanapun FA menolak kerana mereka dikatakan sangat menghargai bakat Cantona meskipun dalam masa sama imej sebagai `budak jahat’ dalam dunia bolasepak sudah sinonim dalam diri beliau.

Ketiadaan Cantona pada baki saingan musim 1994-95 menyaksikan United terpaksa menyerahkan mahkota kejuaraan Liga Perdana yang mereka menenangi dua musim berturut-turut kepada Blackburn Rovers. Tambah memeritkan bila dalam masa yang sama, mereka juga gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas tewas 0-1 kepada Everton di final.

Penggantungan buat tempoh yang panjang menjejaskan karier dan psikologi Cantona hingga mendorong beliau mempertimbangkan kemungkinan untuk bersara. Menyedari bahawa kelab bakal kehilangan antara bakat terhebat pernah disaksikan, Fergie melancarkan misi memujuk Cantona yang akhirnya menyaksikan beliau bersetuju menyambung kontrak baharu di Old Trafford sekaligus menepis khabar angin tentang perpindahannya ke Inter Milan.

`Raja’ Kembali Ke Takhta...

Lapan bulan selepas menjalani tempoh penggantungan, Cantona akhirnya kembali di atas padang memimpin barisan muda United selepas Fergie melakukan `pembersihan’ ke atas skuadnya hasil dari kekecewaan kerana gagal memenangi sebarang trofi pada musim sebelumnya (1994-95).

Teriakan “Ohhh.....Ahhhhh....Cantona” bergema di seluruh Old Trafford menyambut kembalinya `Sang Raja’ dalam aksi liga menentang Liverpool pada tanggal 1 Oktober 1995. Walaupun keputusan perlawanan berakhir seri 2-2, Cantona melaungkan amaran kehadiran semulanya selepas lapan bulan menerusi satu gol dan satu assist yang disumbangkan beliau.

Musim 1995-96 menyaksikan Fergie melepas tiga pemain utamanya (Mark Hughes, Andrei Kanchelskis dan Paul Ince) namun beliau tidak membawa masuk seorang pun pemain setaraf sebagai pengganti. Jadi satu tugas berat buat Cantona ketika itu yang diamanahkan untuk mengetuai misi barisan muda United merampas semula kejuaraan Liga Perdana dari tangan Blackburn Rovers.

Ketika United mendapati mereka ketinggalan 10 mata di belakang Newcastle United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga sebaik bermulanya tahun baharu, Cantona pula muncul menerusi gol-gol pentingnya sepanjang fasa kedua liga yang menyaksikan kedudukan The Magpies kian dihambat secara perlahan-lahan.

Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan Cantona ke gawang Pavel Srnicek dalam aksi di St James Park pada 4 Mac 1996 merobek sama sekali ego barisan mahal kendalian Kevin Keegan. Tiga mata yang berjaya dikutip dari St James Park dianggap `turning point’ kepada kejatuhan Newcastle yang ketika itu dibarisi nama-nama besar seperti David Ginola, Peter Beardsley, Faustino Asprilla, David Batty, John Beresford, Warren Barton, Phillipe Albert dan Les Ferdinand.

Lima hari selepas itu, gol penyamaan Cantona di Loftus Road menyaksikan United memintas kedudukan Newcastle selaku pendahulu liga buat pertama kali menerusi perbezaan jaringan gol. Akhirnya kegagalan mengawal tekanan menyebabkan Newcastle United terpaksa menyerah kalah dalam pemburuan kejuaraan liga yang menyaksikan United diketuai Cantona kembali ke podium juara.

Gol Terbaik Cantona...

Selain gol jaringan hasil dari gerakan penuh seni beliau ke gawang Sunderland yang memalukan Lionel Perez, saya memilih voli ketika aksi final Piala FA edisi 1996 menentang Liverpool sebagai antara gol terbaik pernah dihasilkan Cantona. Selepas kejayaan menjulang trofi tersebut pada 1994, United yang diketuai Cantona sekali lagi berjaya mara ke Wembley.

Jika dua tahun sebelumnya United mudah menjulang trofi Piala FA selepas mereka membenam Chelsea 4-0 di final, lawan kali ini pula ialah musuh tradisi mereka, Liverpool. Perlawanan di Wembley itu berlangsung penuh dramatik, dan ketika kedudukan masih terikat 0-0 hingga minit ke-85, muncullah Cantona menerusi sentuhan ajaibnya.

Tendangan voli yang dilepaskan Cantona itu seolah-olah seperti sudah diukur ketika ia melepasi Jamie Redknapp dan kemudiannya melalui celah-celah antara Mark Wright dan John Scales sebelum menerjah jaring walaupun Ian Rush pada awalnya cuba menutup ruang. Gol itu kekal diingati hingga sekarang kerana ia dijaringkan ke gawang Liverpool di pentas final, sekaligus melengkapkan status Cantona sebagai legenda.

Keghairahan Cantona Yang Mula Menurun...

Kejayaan membantu United menjulang kejuaraan berganda (Liga Perdana dan Piala FA) musim 1995-96 selepas beliau kembali dari penggantungan saya anggap kemuncak kepada karier Cantona bersama United. Meskipun pada musim terakhirnya di Old Trafford (1996-97), beliau berjaya memenangi medal kejuaraan Liga Perdana buat kali keempat bersama United, keghairahan Cantona terhadap bolasepak kian menurun.

Kegagalan United mara ke final Liga Juara-Juara selepas disingkir Borussia Dortmund di peringkat separuh akhir (menerusi aggregat 2-0) turut dikatakan sebagai punca utama mengapa semangat Cantona semakin malap. Bagi Cantona cukuplah dengan lima medal kejuaraan liga yang sudah dimenanginya di England dan kini tibalah masanya untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bolasepak.

Akhirnya selepas membantu kelab menamatkan musim 1996-97 sebagai juara liga, Cantona mengumumkan persaraannya. Pada usia 31 tahun, Cantona masih terlalu muda untuk menggantung boot dan apa yang lebih disesalkan ialah dua tahun selepas persaraannya, United yang bertunjangkan kekuatan dari generasi Class of 92 mara ke final Liga Juara-Juara dan menjulang kejuaraan tersebut di Nou Camp.

Meskipun kariernya di Old Trafford cuma berjalan selama lima musim, peranan yang sudah dimainkan Cantona di sebalik kebangkitan semula United di awal era 90an tidak perlu disangsikan lagi. Selepas `Si Genius’ ini bersara ada sederet pemain-pemain United yang berjaya mengatasi pencapaian beliau dari segi koleksi medal kejuaraan namun satu hakikat yang nyata tiada seorangpun mampu dibandingkan dengan Cantona.

Zlatan Ibrahimovic boleh melabelkan diri beliau sebagai `Indiana Jones’, `Singa’, `Benjamin Button’, `Dewa’ atau apa sahaja gelaran tapi hanya seorang `Raja’ yang kekal bertakhta di Old Trafford dari dahulu hingga sekarang. `Raja yang takhtanya tidak mampu disentuh oleh mana-mana bintang United biarpun eranya sudah lama berakhir.

`Raja’ yang dimaksudkan siapa lagi jika bukan Eric Camtona...pemain yang menerima layanan cukup istimewa dari Fergie hinggakan pada satu ketika memaksa beliau mengirimkan pesan kepada pemain-pemainnya sendiri...“Jika anda mahu menerima layanan sama seperti dia...bermainlah seperti Cantona”. Glory Glory Manchester United!!!

25 April 2017

KETIKA IBRA TERSISIH..BOLEHKAH UNITED BERGANTUNG HARAP KEPADA RRM?



Apa yang paling ditakuti kini akhirnya menjadi kenyataan. Ketika kita merayakan kejayaan Manchester United mara ke peringkat separuh akhir Liga Europa, dalam masa yang sama kita juga terpaksa menelan hakikat pahit bahawa kelab akan meneruskan baki saingan musim ini tanpa sentuhan tajam Zlatan Ibrahimovic. Masih ada enam baki perlawanan liga yang perlu dihabiskan United, manakala di pentas Liga Europa pula mereka bakal mengharungi tiga lagi perlawanan (jika berjaya mara hingga ke final).

Walaupun prestasi Ibra sedikit merosot sejak aksi menentang Anderlecht pada perlawanan pertama suku akhir Liga Europa hingga mengundang kritikan pedas Jose Mourinho, kemudiannya beliau diketepikan pula ketika United berdepan Chelsea di Old Trafford dalam saingan liga, saya secara peribadi berpendapat ini bukanlah waktu terbaik untuk Mourinho kehilangan sentuhan Ibra di barisan hadapan.

Ramai yang skeptikal bila bercakap tentang kemampuan Ibra ketika beliau memutuskan menyertai United dari Paris St Germain musim panas lalu. Pada usia 35 tahun, tidak banyak harapan yang boleh diletakkan di bahu Ibra untuk membantu United bangkit semula dari kekecewaan terutamanya sepanjang tempoh dua musim kelab di bawah kendalian Louis Van Gaal. Atau lebih tepatnya, Old Trafford cumalah destinasi terakhir Ibra menghabiskan sisa-sisa penghujung kerjayanya sebelum bersara.

Bagaimanapun Ibra tidak memerlukan masa yang lama untuk segera menutup mulut para pengkritiknya. Beliau menjaringkan gol kemenangan ketika membantu United menjulang trofi Perisai Komuniti Ogos tahun lalu dan kemudiannya meledak tiga gol lagi pada tiga penampilan pertama di Liga Perdana. Musim ini Ibra menjaringkan 17 gol untuk United dalam saingan liga dan secara keseluruhannya beliau sudahpun meledak 28 gol dalam semua peringkat kejohanan.

Sukar Untuk United Bersaing Tanpa Ibra?...

Kebergantungan United kepada Ibra menerusi gol-gol yang dihasilkannya musim ini memang tidak boleh dipertikaikan. Ketika United sedang berjuang keras untuk posisi empat teratas Liga Perdana, selain berpeluang mencipta sejarah menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali, kecederaan Ibra yang menyaksikan beliau diketepikan hingga ke penghujung musim memang wajar dibimbangi.

Ketiadaan Ibra di barisan hadapan satu kehilangan besar, bukan sahaja kerana ketajaman penyudahnya, tetapi United juga hilang sosok seorang pemimpin di tengah padang kerana segudang pengalaman yang dimilikinya. Memang benar prestasinya agak merosot dalam tiga penampilan terakhirnya, tetapi secara peribadi saya berpendapat itu cumalah bersifat sementara.

Pemain yang sarat pengalaman seperti Ibra sentiasa tahu bagaimana mahu bangkit ketika berdepan detik sukar, dan itulah yang dilakukannya tahun lalu selepas beliau kemarau gol hampir sebulan. Gagal menjaringkan sebarang gol dalam tujuh perlawanan liga, Ibra akhirnya meledak dua gol ketika United membenam Swansea City di Stadium Liberty.

Selepas itu gol demi gol dijaringkannya untuk United hinggakan pada satu ketika timbul perdebatan bagaimanakah agaknya nanti jika sesuatu yang buruk berlaku kepada beliau dan kelab tidak dapat menggunakan khidmatnya untuk tempoh panjang. Akhirnya apa yang ditakuti dan apa yang dirisaukan selama ini menjadi kenyataan kerana Ibra tidak akan lagi bermain hingga ke akhir musim akibat dari kecederaan serius yang dialaminya ketika berdepan Anderlecht tempohari.

Bagaimanakah agaknya peluang United merealisasikan misi mereka menamatkan musim ini di kelompok empat teratas Liga Perdana selain memenuhi potensi menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali tanpa sentuhan dan kepimpinan Ibra? Memang ada keraguan serta kerisauan tentang hal ini tetapi saya percaya Marcus Rashford sudah bersedia memikul beban selaku penggempur utama sepanjang ketiadaan Ibra.

Siapa Pengganti Ibra?...

Setakat ini nama paling hangat yang disebut-sebut mampu memikul beban berat selaku penggempur utama sepanjang ketiadaan Ibra ialah Marcus Rashford. Selama 82 minit aksinya di atas padang ketika United berdepan Chelsea 16 April lalu, Rashford umpama mimpi ngeri buat Gary Cahill dan David Luiz. Prestasi terpuji Rashford diteruskan beliau ketika United menyingkirkan Anderlecht dari saingan Liga Europa menerusi gol kemenangan yang dijaringkannya di masa tambahan.

Di bangku simpanan United, Mourinho masih memiliki nama-nama lain seperti Anthony Martial dan Wayne Rooney sebagai pengganti. Jika kriteria pengalaman menjadi pilihan utama Mourinho, Rooney saya percaya pada bila-bila masa sedia mengambilalih posisi Ibra selaku penyerang tengah. Manakala Martial sepertimana Rashford pula mampu menawarkan kelajuan sambil dibantu skill kawalan bola menarik untuk memecah benteng pertahanan lawan.

Tersisihnya Ibra umpama satu berkah buat pemain seperti Rooney dan Martial. Prestasi Martial menerusi satu gol dan satu assist yang dihasilkannya di Turf Moor bakal memeningkan kepala Mourinho dalam memilih siapa antara Rooney, Rashford dan Martial yang difikirkan layak mengetuai jentera serangan skuadnya. Tatkala Rooney sudah kembali manakala Rashford pula mempamerkan prestasi terpuji ketika berdepan Chelsea dan Anderlecht, Martial pula perlu lebih konsisten jika mahu menambat hati Mourinho.

Radar Kini Terarah Kepada Rooney...

Penampilan Marcus Rashford sejak kebelakangan ini memang mempersonakan tetapi dalam masa yang sama timbul persoalan sejauh mana kemampuan bintang muda ini dalam menyerap tekanan. Dengan perlumbaan merebut posisi empat teratas semakin sengit dan dalam masa sama juga United bakal berdepan fasa penting dalam pemburuan trofi Liga Europa, adakah pemain semuda Rashford mampu memikul beban serta tekanan sebagai penggempur utama?

Ketika inilah pandangan kita kembali terarah kepada kelibat Wayne Rooney. Saat Ibra sudah tersisih, Rooney pula sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan. Aksi menentang Burnley di Turf Moor merupakan penampilan pertama Rooney dalam saingan liga sejak 1 April lalu. Statistik Rooney di Turf Moor menyaksikan beliau melakukan tiga percubaan, mencipta tiga peluang dan menjaringkan satu gol.

Kerja-kerja yang dilakukan beliau ketika menentang Burnley membuktikan mengapa Rooney boleh memainkan peranan penting sepanjang ketiadaan Ibra. Prospek menjulang trofi Liga Europa selaku kapten United dan membantu kelab menamatkan musim ini di kelompok empat teratas juga mungkin boleh menjadi motivasi terbaik buat Rooney jika ditakdirkan ini mungkin menjadi musim terakhir beliau di Old Trafford.

Ayuh Buktikan Wenger Silap...

Baru-baru ini Wenger melabelkan bahawa United `tiada apa-apa tanpa Ibra’. Memang menyakitkan tapi bila diimbas kembali statistik jaringan Ibra dan berapa banyak gol-gol pentingnya yang menyelamatkan United musim ini, memang ada kebenarannya apa yang dikatakan Wenger itu. Bagaimanapun kemenangan yang diraih di Turf Moor menerusi gol jaringan Martial dan Rooney saya harap menjadi petunjuk awal bahawa United masih mampu `hidup’ tanpa Ibra.

Burnley pernah menewaskan Liverpool dan memaksa Chelsea berkongsi mata ketika mereka beraksi di Turf Moor selain fakta bahawa United juga tidak pernah menjaringkan gol di sini sejak kali terakhir Lou Macari melakukannya pada 19 April 1976. Jadi tiga mata yang berjaya dikutip di Turf Moor satu permulaan bagus dan mungkin jawapan paling tepat kepada sebarang keraguan yang dilemparkan Wenger.

Penamat Karier Ibra?...

Kecederaan ini sebenarnya bukan sahaja memberikan kesan besar kepada kerjaya Ibra bersama United tetapi juga karier bolasepak beliau. Laporan ESPN menyebut bahawa Ibra dijangka hanya akan kembali ke padang pada Januari 2018. Jika laporan itu benar, United nampaknya terpaksa mempertimbangkan segala pilihan yang ada, sama ada mereka mahu terus mengekalkan Ibra atau sudah boleh mencongak siapa pemain yang bakal di bawa masuk sebagai pengganti.

Dengan peratusan untuk Wayne Rooney meninggalkan kelab musim panas nanti juga semakin besar, sangat menarik untuk menanti apa perancangan Mourinho dan siapa yang beliau fikirkan sesuai untuk mewarisi posisi dua pemain itu. Secara peribadi saya masih mahu melihat kelibat Ibra mengetuai jentera serangan United musim depan apatah lagi beliau juga menegaskan bahawa kecederaan ini bukanlah penghalang untuknya dari terus bermain.

Sebagai pejuang, menyerah bukanlah pilihan Ibra, dan saya yakin jiwa pejuang yang ada dalam dirinya akan menjadikan beliau lebih `buas` bila kembali semula ke padang nanti. Musim ini sudah berakhir lebih awal buat Ibra...tetapi musim depan kembalilah untuk menjadikan United lebih kuat. Bantu United bawa pulang semula trofi Liga Perdana sebelum anda memikirkan persaraan....bukankan itu penamat lebih yang sempurna Ibra? Glory Glory Manchester United!!! 

22 April 2017

KETIKA FRIENDS ARENA SEMAKIN MENGGAMIT, KETIKA AROMA FINAL SEMAKIN KUAT...HANYA CELTA VIGO YANG MENJADI PENGHALANG


Manchester United memilih cara yang sukar untuk menempah tempat ke peringkat separuh akhir Liga Europa dan kejayaan mereka mengetepikan Anderlecht juga terpaksa dibayar harga yang mahal apabila Jose Mourinho berdepan kemungkinan kehilangan khidmat Marcos Rojo dan Zlatan brahimovic untuk tempoh lama kerana kecederaan lutut yang dialami mereka.

Ketika kita menjangkakan United bakal diberikan laluan mudah berbanding aksi pertama di Constant Vanden Stock minggu lalu, Anderlecht pula sebaliknya memberikan cabaran berbeza. Mereka hampir sahaja melakar kejutan jika tidak kerana jaringan kemenangan Marcus Rashford di minit ke-107 masa tambahan yang akhirnya mengesahkan kemaraan United ke separuh akhir.

Ketika tiket separuh akhir Liga Europa dalam genggaman dan ketika lawan yang bakal di hadapi (di separuh akhir) juga sudah kita ketahui, bagaimanakah agaknya nanti jika United terpaksa mengharungi baki saingan musim ini tanpa kelibat Rojo di benteng pertahanan dan juga Ibra yang merupakan sosok penting di barisan hadapan menerusi ledakan 28 gol yang dihasilkannya dalam semua kejohanan.

Krisis Di Benteng Pertahanan...

Ketika Chris Smalling dan Phil Jones masih lagi menjalani terapi di bilik rawatan, Mourinho terpaksa berdepan kemungkinan kehilangan seorang lagi tonggak pertahanannya buat tempoh panjang. Ada perasaan bercampur baur ketika melihat Marcos Rojo diusung keluar padang memandangkan United kini sedang berdepan fasa penting dalam misi mereka mengejar kelompok empat teratas di liga domestik dan sasaran menjulang trofi Liga Europa di Friends Arena, Mei nanti.

Buat masa ini tiada pengesahan rasmi tentang tahap sebenar kecederaan yang dialami Rojo, tetapi jika (kecederaan) itu serius, anda sepatutnya sudah boleh membayangkan gandingan pemain mana yang bakal dibentuk Mourinho untuk mengisi posisi pertahanan tengah skuadnya. Rojo antara pemain yang posisinya `tidak boleh digantikan’ oleh mana-mana pemain, jadi berharaplah agar beliau mampu pulih dalam waktu yang singkat dan kembali beraksi di atas padang.

Ketiadaan Ibra Satu Berkah?...

Selepas prestasinya di Constant Vanden Stock menjadi sasaran kritikan Mourinho, kemudiannya disisihkan pula ketika United berdepan Chelsea dalam aksi liga, malam aksi kedua suku akhir Liga Europa menentang Anderlecht merupakan malam yang malang buat Ibra. Sepanjang 90 minit aksinya di atas padang, Ibra gagal berfungsi sepertimana biasa dalam memberikan ancaman serius kepada benteng pertahanan lawan.

Gagal mendarat dengan kemas selepas berlaku `duel’ di udara membabitkan beliau dengan Kara Mbodji akhirnya menamatkan perjuangan Ibra sepanjang 90 minit di Old Trafford. Tahap sebenar kecederaan Ibra sudah dipastikan apabila beliau dilaporkan tidak akan memperkuatkan Unted hingga ke penghujung musim. Kini inilah masanya untuk Anthony Martial membuktikan bahawa beliau masih lagi antara pemain yang istimewa di Old Trafford.

Jika musim lalu Martial sering mengagumkan kita kerana kelicikannya menusuk jantung pertahanan lawan menerusi kelajuan dan skill kawalan bola memukau, kini di era Mourinho beliau bergelut merebut posisinya dalam kesebelasan utama United. Mourinho menyedari potensi besar yang dimiliki Martial, jadi tidak hairanlah mengapa beliau menegaskan bahawa pemain itu masih berada dalam plan jangka panjangnya di Old Trafford. Adakah kecederaan Ibra satu berkah buat Martial?

Kualiti Rashford Yang Tak Perlu Diragukan...

Ahad lalu beliau hanya memerlukan tujuh minit untuk menembusi gawang Chelsea dan ketika berdepan Anderlecht, Rashford sekali lagi membuktikan bahawa beliau adalah penggempur masa depan United. Masih belum lengkap sepenuhnya untuk menjadi penyerang seunggul Dwight Yorke, Andy Cole, Ole Gunnar Solakjaer atau Ruud Van Nistelrooy, tetapi dengan umur yang baru mencecah 19 tahun `masa berada di tangan’ beliau.

Kali terakhir Rashford meledak gawang lawan dalam saingan liga ialah pada 24 September 2016, ketika United membenam Leicester City 4-1 di Old Trafford. Akhirnya selepas kemarau gol hampir tujuh bulan, beliau kembali menemui sentuhan gol ketika United meraih tiga mata penuh di Stadium of Light, 9 April lalu. Seminggu selepas itu giliran gawang Chelsea pula dirobeknya.

Aksi menentang Anderlecht sekali lagi menjadi medan kepada Rashford membuktikan bahawa sudah tiba masanya untuk kita lebih mempercayai kemampuan beliau selaku penggempur biarpun United beraksi tanpa Ibra. Ketika lawan sudah berkira-kira mengheret United ke penentuan sepakan penalti, Rashford muncul penyelamat menerusi penyudah dari kaki kirinya yang sangat penting.

Gol itu merupakan gol kemenangan yang meletakkan United di separuh akhir, tetapi lebih daripada itu saya sangat tertarik melihat kualiti jaringan tersebut. Ketika tekanan kian memuncak dan ketika tempoh perlawanan semakin menuju ke penghujung, Rashford pula sangat tenang ketika beliau menewaskan `pengawalnya’ (Leander Dendoncker), mengambil sedikit masa sebelum melepaskan rembatan di sebelah kanan pintu gol lawan biarpun Kara Mbodji cuba menutup ruang.

Mengapa Fellaini Tiba-Tiba Muncul Pemain Penting United...

Selain Paul Pogba, inilah pemain yang teruk dikritik penyokong-penyokong United musim ini. Pengkritik atau penyokong boleh melemparkan apa sahaja pendapat negatif mereka tentang Fella tetapi sebagai pengendali, Mourinho berkuasa penuh menurunkan mana-mana pemain yang difikirkan sesuai dengan strategi yang bakal beliau gunakan ketika perlawanan.

Lima aksi terakhir liga, Fella diturunkan selama 90 minit tetapi apa yang memeranjatkan apabila melihat Mourinho menyerahkan `armband’ ketua pasukan kepada beliau ketika United bertandang ke Stadum of Light. Aksi menentang Sunderland 9 April lalu, Fella melakukan satu intercept serta dua clearance ketika bertahan manakala ketika United menguasai bola beliau mencipta tiga peluang jaringan gol, melakukan 66 hantaran dengan ketepatan hantarannya mencapai 91%.

Dilabel tidak memiliki visi permainan tinggi, kaku dan kurang kreativiti, tetapi `pokok’ inilah yang banyak melindungi bahagian tengah United sejak kebelakangan ini. Aksi menentang Anderlecht kelmarin, Fella cuma diturunkan ketika perlawanan sudah memasuki minit ke-60. Bagaimanapun kehadiran beliau mula memberikan tekanan kepada dua centre back lawan (Ivan Obradovic dan Kara Mbodji) bila United mula menjadikan kepala Fella sebagai sasaran menerusi hantaran-hantaran bola tinggi.

Sepanjang 60 minit beliau di atas padang, Fella melakukan empat tackle, satu percubaan tepat, tiga kali memenangi perebutan bola, melakukan 34 hantaran dengan tiga daripadanya merupakan `key passes’ dan lebih penting `assist’ dari beliau yang disudahkan Marcus Rashford membawa United ke separuh akhir. Agak ironi bila memikirkan pemain yang dahulunya `tidak dikehendaki’ penyokong kini antara watak penting di bahagian tengah.

Di Era Mourinho, United Sukar Dikalahkan...

Kejayaan menewaskan Anderlecht menyaksikan rekod tanpa kalah United ketika bermain di Old Trafford juga semakin panjang. Sejak kekalahan kepada Manchester City dalam aksi liga September tahun lalu, United sudah mengharungi 26 perlawanan (dalam semua kejohanan) di Old Trafford tanpa sebarang kekalahan. Dari jumlah tersebut mereka menang 17 perlawanan dan seri 9 kali.

Masalah utama United musim ini jelas terlihat sepanjang aksi mereka menentang Anderlecht kelmarin. Sebelum Rashford menjaringkan gol kemenangan United diminit ke-107, mereka melakukan lebih 15 percubaan ke arah pintu gol lawan, jadi tidak hairanlah mengapa musim ini United banyak mencatatkan keputusan seri. Bagaimanapun dari sudut positifnya, United di bawah era Mourinho sangat sukar dikalahkan.

Mourinho bukan pengendali yang mendewakan permainan bolasepak menarik kerana bagi beliau apa yang penting pasukannya keluar sebagai pemenang di akhir perlawanan. Bagaimanapun masalah penyudah barisan hadapan skuadnya yang kurang efisien tetap perlu diberikan perhatian oleh beliau jika mahu melihat United muncul pasukan yang lebih mencabar musim hadapan.

Lepasi Dulu Celta Vigo....

Di babak separuh akhir nanti United diundi berdepan wakil dari La Liga, Celta Vigo. Berbanding United, Ajax Amsterdam dan Olympique Lyon, barisan kendalian Eduardo Berizzo merupakan satu-satunya pasukan yang mengharungi `perlawanan mudah’ di peringkat suku akhir.

`Celticos’ tidak perlu bermain hingga ke masa tambahan sepertimana yang dilalui United dan Ajax atau mengharungi penentuan sepakan penalti seperti Lyon apabila mereka menghantar pulang satu lagi wakil Belgium, KRC Genk menerusi kemenangan aggregat 4-3.

Di atas kertas Celta Vigo bukanlah lawan yang perlu digeruni, kerana mereka bukanlah setanding gergasi Sepanyol yang lain seperti Real Madrid, Barcelona atau Atletico Madrid. Bagaimanapun jangan pernah sesekali meremehkan peluang mereka mencipta kejutan atau tertipu dengan kedudukan terkini mereka dalam carta La Liga.

Fakta bahawa peluang mereka untuk tembus ke saingan Eropah musim depan hampir tertutup selepas sekadar berada di tangga ke-10 liga mungkin boleh dijadikan senjata atau motivasi tambahan ketika berdepan United nanti.

Berbanding United yang masih memiliki peluang layak ke Liga Juara-Juara menerusi posisi empat teratas Liga Perdana, Celta pula melihat trofi Liga Europa sebagai satu-satunya peluang paling realistik untuk mereka beraksi di pentas Eropah musim depan.

Kejayaan mereka mara hingga ke peringkat separuh akhir Liga Europa merupakan satu kejutan jika dilihat prestasi semasa mereka di La Liga. Jadi mara ke final juga mungkin satu kejutan yang tidak terduga mampu dilakukan mereka jika United tidak berhati-hati atau memandang rendah kemampuan barisan kendalian Berizzo ini.

Eduardo Berizzo perlukan lebih dari keajaiban untuk memimpin pasukannya ke final 25 Mei nanti, manakala Jose Mourinho perlu memikirkan apa sahaja cara untuk memadam keajaiban yang mungkin boleh dilakukan `Celticos’. Jika mahu mengimpikan bingitnya Friends Arena, jika mahu menghidu `wanginya aroma’ final dan jika mahu melihat jalan ke Solna terbuka luas, ayuh United!!!...ketepikan dulu Celta Vigo. Glory Glory Manchester United!!!