09 Mei 2017

ERIC CANTONA: BERMULA SEBAGAI `REBEL', BERAKHIR SEBAGAI `RAJA'



Eric Cantona dilabel sebagai `pembelian terbaik’ yang pernah dilakukan Sir Alex Ferguson sepanjang karier beliau selaku pengendali Manchester United. Kepala angin, angkuh, sukar diramal, mulut celupar dan panas baran...itu antara sisi negatif yang ada dalam diri Cantona bila kita bercakap tentang beliau.

Anda boleh senaraikan berdozen-dozen cerita kontroversi yang menyelubungi karier Cantona tetapi dalam masa sama juga anda tidak boleh menafikan betapa genius dan istimewanya sosok yang memiliki nama penuh Eric Daniel Pierre Cantona ini ketika beliau beraksi di atas padang.

Rekod disiplin Cantona memang buruk, jadi tidak hairanlah mengapa timbul keraguan yang bukan sedikit bila Fergie memutuskan mahu membawa `Si Kepala Angin’ ini ke Old Trafford selepas Cantona berjaya membantu Leeds United menjulang trofi Liga Divisyen 1 pada musim 1991/92.

DNA Rebel Yang Mengalir Dalam Diri Cantona...

Di atas padang anda sering melihat sikap seorang `rebel’ dalam diri Cantona dan beliau juga umpama bom jangka yang sangat sukar diramal kerana kemampuannya meledak pada bila-bila masa. Di negaranya, selain sentuhan-sentuhan indahnya di atas padang, Cantona juga membina reputasi sebagai `budak jahat’ bolasepak Perancis.

Beliau tidak pernah gentar berkonfrontasi dengan mana-mana pemain lawan, pengadil perlawanan hatta mencabar kesabaran organisasi sebesar Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) sekalipun. Apa yang menyebabkan Cantona begitu? Mungkin darah seorang pemberontak yang mengalir dari dalam tubuh datuknya sedikit sebanyak mempengaruhi tindak tanduk Cantona di atas padang.

Pere Raurich (datuk beliau) sebenarnya pernah terlibat dalam memerangi tentera Jeneral Franco dalam perang saudara di Sepanyol pada 1938. Kecederaan dalam pertempuran memaksa Raurich berundur ke Perancis bagi mendapatkan rawatan dan tinggal di Saint-Priest, Ardeche sebelum memilih menetap di Marseille.

Insiden Yang Membawa Cantona Ke England....

Tindakan Cantona membaling bola ke arah pengadil dalam satu aksi Liga Divisyen 1 Perancis pada Disember 1991 menyebabkan beliau di gantung selama sebulan oleh Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF). Tidak cukup dengan itu, hukuman ke atas Cantona ditambah sebulan lagi kerana tindakan beliau menghina Jawatankuasa Disiplin FFF.

Dengan segala beban dari hukuman yang diterimanya, Cantona secara drastik mengumumkan `persaraan’ dari dunia bolasepak pada 12 Disember 1991 dan Nimes menjadi kelab terakhir yang beliau wakili di Perancis. Bagaimanapun Michel Platini berjaya memujuk Cantona untuk keluar dari `persaraan’ dan menyarankan agar beliau berpindah ke England untuk membersihkan namanya.

Ditolak Souness...

Michel Platini pernah menyarankan kepada Graeme Souness supaya membawa Cantona ke Anfield namun cadangan tersebut ditolak oleh bekas pengurus Liverpool itu. Menyedari rekod disiplin buruk dimiliki Cantona selain sikap kepala anginnya, Souness tidak mampu menanggung sebarang risiko yang boleh menjejaskan keharmonian bilik persalinan The Reds.

Pada Januari 1992, Cantona menjalani trial bersama Sheffield Wednesday tetapi beliau akhirnya menyertai Leeds United selepas kelab tersebut bersetuju membayar pampasan berjumlah £900,000 kepada Nimes. Bermulalah episod baharu dalam karier bolasepak Cantona, dan di England sentuhan magis beliau berjaya membantu Leeds menjulang trofi Liga Divisyen 1 buat pertama kali dalam tempoh 18 tahun.

Leeds Mahukan Irwin, Tapi United Dapat Cantona...

Bill Fotherby (bekas Pengarah Urusan Leeds United) ialah individu yang bertanggungjawab `menyerahkan’ Cantona ke Old Trafford. Semuanya bermula ketika Fotherby menghubungi Martin Edwards (Pengerusi United) untuk bertanyakan tentang kemungkinan United mahu menjual Denis Irwin selepas Leeds berdepan masalah kecederaan yang melanda fullback mereka, Mel Sterland.

Percubaan Leeds bagaimanapun gagal selepas Fergie meletakkan tanda `bukan untuk dijual’ kepada Irwin. Daripada minat Leeds mendapatkan Irwin, perbualan antara Edwards dan Fotherby akhirnya bertukar kepada keinginan United mendapatkan tandatangan Cantona yang kemudiannya membuka jalan kepada pemain `kepala angin’ itu berpindah ke Old Trafford.

Laluan Ke Old Trafford...

Tewas pada Leeds United menerusi perbezaan hanya empat mata dalam perebutan kejuaraan Liga Divisyen 1 (musim 1991-92) sukar diterima Fergie. United semakin hampir menamatkan kemarau panjang kejuaraan liga tetapi dalam masa sama Fergie juga tahu bahawa mereka masih tidak cukup bagus untuk melakukannya.

Perubahan perlu dilakukan segera terutamanya di barisan hadapan di mana Fergie harus mencari pasangan baharu Mark Hughes kerana Brian McClair dalam proses beralih posisi ke bahagian tengah. Untuk itu, Fergie mengimpikan kelibat Alan Shearer atau David Hirst untuk beliau letakkan di barisan hadapan skuadnya bagi menghadapi cabaran musim baharu.

Bagaimanapun Shearer memilih menyertai Blackburn Rovers selepas beliau mengambil keputusan meninggalkan Southampton, manakala Hirst pula memilih kekal bersama Sheffield Wednesday. Takdir sudah tertulis, kerana di Elland Road pula Cantona mendapati bahawa permainannya tidak cocok dengan falsafah kick and rush yang diterapkan Howard Wilkinson dalam permainan Leeds.

Secara diam-diam beliau sangat mengagumi corak permainan United di bawah kendalian Fergie hinggalah akhirnya perbincangan antara Martin Edwards dan Bill Fotherby membuka laluan perpindahan Cantona ke Old Trafford. Fergie gagal menandatangani sasaran awalnya, tapi United akhirnya mendapat seorang pemain yang jauh lebih genius berbanding Shearer atau Hirst.

Era Emas United Bermula....

Ditandatangani Fergie pada 27 Novermber 1992 dan sembilan hari selepas itu Cantona melakukan penampilan pertamanya untuk United dalam saingan liga ketika kelab berdepan seteru setempat, Manchester City di Old Trafford. Cantona gagal mencetuskan impak besar pada penampilan pertamanya di Manchester Derby, tetapi musim pertama beliau di Old Trafford merupakan musim yang cukup sempurna untuk Cantona.

Apa tidaknya kerana pada musim inilah (1992-93), beliau membantu kelab muncul pasukan pertama menjulang trofi Liga Perdana (selepas bertukar format dari Liga Divisyen 1), selain menamatkan kemarau 26 tahun tanpa kejuaraan liga sejak kali terakhir barisan Sir Matt Busby melakukannya pada musim (1966-67).  

Kekecewaan Fergie pada musim sebelumnya kerana tewas tipis kepada Leeds dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga tertebus, dan dengan Cantona berada dalam kesebelasan utamanya, lawan mendapati barisan The Red Devils kendalian beliau kali ini sangat berbeza berbanding musim sebelumnya.

Selepas perpindahannya dari Leeds, Cantona bermain 23 perlawanan dan menjaringkan sembilan gol manakala dalam tempoh tersebut juga United hanya tewas dua kali. Kehadiran Cantona menerusi gol-gol serta umpanan-umpanannya juga menyaksikan United secara perlahan-lahan mula menghambat kedudukan Aston Villa selaku pendahulu liga.

Dua gol jaringan Steve Bruce ketika aksi menentang Sheffield Wednesday yang dilangsungkan di Old Trafford pada 10 April 1993 akhirnya mengesahkan kejuaraan liga buat United. Kejayaan ini juga menamatkan penantian 26 tahun kejuaraan liga di Old Trafford sekaligus menandakan bermulanya era emas United di bawah kendalian Fergie.

`King Eric’ Yang Sukar Diramal...

Ada kebenarannya tentang sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa “individu hebat seringkali memiliki karakter yang unik dan sukar diramal”. Cantona adalah salah seorang yang dimaksudkan dan contoh terbaik. Konfrantasi dengan rakan sepasukan dan jurulatih, kad merah, penggantungan perlawanan, terjahan keras yang dilakukannya terhadap pemain lawan serta bermacam lagi kontroversi umpama `santapan harian’ Cantona sepanjang kariernya.

Tetapi insiden paling terkenal yang dicetuskan Cantona hingga menyebabkan seluruh dunia `terpaku’ tentunya ketika beliau melepaskan tendangan `kungfu’ ke arah penyokong Crystal Palace, Matthew Simmons. Insiden yang berlaku pada 25 Januari 1995 itu sangat sinonim bila anda bercakap tentang Cantona. Dan hingga sekarang pun insiden di Selhurst Park itu masih menjadi topik hangat untuk dibincangkan setiap kali tibanya detik 25 Januari setiap tahun.

Cantona memang sangat terkenal dengan sikap panas barannya tetapi dalam masa yang sama tiada siapa pun pernah terfikir bahawa beliau akan melakukan tindakan spontan seperti itu yang tercetus dari provokasi melampau Simmons. Selain tendangan kungfu-nya terhadap Simmons, siapa boleh melupakan lagak angkuhnya sebaik sahaja beliau menewaskan Lionel Perez menerusi satu sepakan lambung bijak ketika United dan Sunderland bertemu pada 21 Disember 1996.

Jangan Pernah Cari Pasal Dengan `Sang Raja’...

Simmons dan Perez adalah contoh terbaik bagaimana seorang `Raja’ menggunakan kuasa mutlaknya untuk menghukum lawan. Tiada `perbicaraan’...yang ada hanyalah hukuman secara terus. Simmons memilih orang yang salah ketika beliau melakukan provokasi ke atas Cantona di Selhurst Park dan akhirnya menerima `hukuman’ setimpal.

Akibat dari tindakan bodohnya, Simmons dimalukan sedemikian rupa dan sehingga kini beliau masih dipersalahkan atas insiden yang dimulakannya sendiri. Perez pula dimalukan hanya disebabkan keengganan beliau memberikan sebarang reaksi ketika `Sang Raja’ menyapa. Apa yang dilakukan Cantona kepada Perez dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford pada 21 Disember 1996 itu?

Ketika United selesa mendahului 3-0, Cantona yang pada mulanya seperti sudah `hilang minat’ bermain, tiba-tiba bagaikan dirasuk selepas sapaannya tidak dijawab Perez. Akhirnya bermula dari satu gerakan solo menarik, Perez dihukum Cantona menerusi satu lambungan bijak yang melepasi jangkaun penjaga gol Sunderland itu.

Sebaik sahaja gawang Perez dibolosi dengan cara sedemikian rupa, lihat bagaimana lagak angkuh Cantona meraikan jaringan tersebut. Perez mendedahkan jika beliau lebih ramah dan menjawab sapaan Cantona, pastinya gol seperti itu tidak akan terhasil dan beliau juga tidak akan dimalukan seperti itu.

Simmons dan Perez ialah dua contoh terbaik mengapa anda jangan sesekali cari pasal dengan `Sang Raja’ ini. Cantona tidak perlu menunggu bertahun-tahun sebelum memilih masa sesuai melunaskan dendamnya, tapi cukup dengan satu tindakan spontan yang kekal diingati hingga ke hari ini, sama ada oleh Simmons, Perez dan kita sendiri sebagai penyokong United.

Hampir `Bersara’ Buat Kali Kedua....

Insiden tendangan kungfu ke atas Matthew Simmons menyaksikan Cantona dikenakana hukuman pengantungan selama lapan bulan dari sebarang aktiviti bolasepak dan didenda £10,000, malahan beliau juga hampir disumbat ke penjara. FIFA kemudiannya turut mengesahkan bahawa hukuman ke atas Cantona berkuatkuasa di seluruh dunia.

Ada juga versi cerita yang mengatakan bahawa pihak Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) cuba mempengaruhi FA supaya mengenakan hukuman penggantungan seumur hidup kepada Cantona. Bagaimanapun FA menolak kerana mereka dikatakan sangat menghargai bakat Cantona meskipun dalam masa sama imej sebagai `budak jahat’ dalam dunia bolasepak sudah sinonim dalam diri beliau.

Ketiadaan Cantona pada baki saingan musim 1994-95 menyaksikan United terpaksa menyerahkan mahkota kejuaraan Liga Perdana yang mereka menenangi dua musim berturut-turut kepada Blackburn Rovers. Tambah memeritkan bila dalam masa yang sama, mereka juga gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas tewas 0-1 kepada Everton di final.

Penggantungan buat tempoh yang panjang menjejaskan karier dan psikologi Cantona hingga mendorong beliau mempertimbangkan kemungkinan untuk bersara. Menyedari bahawa kelab bakal kehilangan antara bakat terhebat pernah disaksikan, Fergie melancarkan misi memujuk Cantona yang akhirnya menyaksikan beliau bersetuju menyambung kontrak baharu di Old Trafford sekaligus menepis khabar angin tentang perpindahannya ke Inter Milan.

`Raja’ Kembali Ke Takhta...

Lapan bulan selepas menjalani tempoh penggantungan, Cantona akhirnya kembali di atas padang memimpin barisan muda United selepas Fergie melakukan `pembersihan’ ke atas skuadnya hasil dari kekecewaan kerana gagal memenangi sebarang trofi pada musim sebelumnya (1994-95).

Teriakan “Ohhh.....Ahhhhh....Cantona” bergema di seluruh Old Trafford menyambut kembalinya `Sang Raja’ dalam aksi liga menentang Liverpool pada tanggal 1 Oktober 1995. Walaupun keputusan perlawanan berakhir seri 2-2, Cantona melaungkan amaran kehadiran semulanya selepas lapan bulan menerusi satu gol dan satu assist yang disumbangkan beliau.

Musim 1995-96 menyaksikan Fergie melepas tiga pemain utamanya (Mark Hughes, Andrei Kanchelskis dan Paul Ince) namun beliau tidak membawa masuk seorang pun pemain setaraf sebagai pengganti. Jadi satu tugas berat buat Cantona ketika itu yang diamanahkan untuk mengetuai misi barisan muda United merampas semula kejuaraan Liga Perdana dari tangan Blackburn Rovers.

Ketika United mendapati mereka ketinggalan 10 mata di belakang Newcastle United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga sebaik bermulanya tahun baharu, Cantona pula muncul menerusi gol-gol pentingnya sepanjang fasa kedua liga yang menyaksikan kedudukan The Magpies kian dihambat secara perlahan-lahan.

Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan Cantona ke gawang Pavel Srnicek dalam aksi di St James Park pada 4 Mac 1996 merobek sama sekali ego barisan mahal kendalian Kevin Keegan. Tiga mata yang berjaya dikutip dari St James Park dianggap `turning point’ kepada kejatuhan Newcastle yang ketika itu dibarisi nama-nama besar seperti David Ginola, Peter Beardsley, Faustino Asprilla, David Batty, John Beresford, Warren Barton, Phillipe Albert dan Les Ferdinand.

Lima hari selepas itu, gol penyamaan Cantona di Loftus Road menyaksikan United memintas kedudukan Newcastle selaku pendahulu liga buat pertama kali menerusi perbezaan jaringan gol. Akhirnya kegagalan mengawal tekanan menyebabkan Newcastle United terpaksa menyerah kalah dalam pemburuan kejuaraan liga yang menyaksikan United diketuai Cantona kembali ke podium juara.

Gol Terbaik Cantona...

Selain gol jaringan hasil dari gerakan penuh seni beliau ke gawang Sunderland yang memalukan Lionel Perez, saya memilih voli ketika aksi final Piala FA edisi 1996 menentang Liverpool sebagai antara gol terbaik pernah dihasilkan Cantona. Selepas kejayaan menjulang trofi tersebut pada 1994, United yang diketuai Cantona sekali lagi berjaya mara ke Wembley.

Jika dua tahun sebelumnya United mudah menjulang trofi Piala FA selepas mereka membenam Chelsea 4-0 di final, lawan kali ini pula ialah musuh tradisi mereka, Liverpool. Perlawanan di Wembley itu berlangsung penuh dramatik, dan ketika kedudukan masih terikat 0-0 hingga minit ke-85, muncullah Cantona menerusi sentuhan ajaibnya.

Tendangan voli yang dilepaskan Cantona itu seolah-olah seperti sudah diukur ketika ia melepasi Jamie Redknapp dan kemudiannya melalui celah-celah antara Mark Wright dan John Scales sebelum menerjah jaring walaupun Ian Rush pada awalnya cuba menutup ruang. Gol itu kekal diingati hingga sekarang kerana ia dijaringkan ke gawang Liverpool di pentas final, sekaligus melengkapkan status Cantona sebagai legenda.

Keghairahan Cantona Yang Mula Menurun...

Kejayaan membantu United menjulang kejuaraan berganda (Liga Perdana dan Piala FA) musim 1995-96 selepas beliau kembali dari penggantungan saya anggap kemuncak kepada karier Cantona bersama United. Meskipun pada musim terakhirnya di Old Trafford (1996-97), beliau berjaya memenangi medal kejuaraan Liga Perdana buat kali keempat bersama United, keghairahan Cantona terhadap bolasepak kian menurun.

Kegagalan United mara ke final Liga Juara-Juara selepas disingkir Borussia Dortmund di peringkat separuh akhir (menerusi aggregat 2-0) turut dikatakan sebagai punca utama mengapa semangat Cantona semakin malap. Bagi Cantona cukuplah dengan lima medal kejuaraan liga yang sudah dimenanginya di England dan kini tibalah masanya untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bolasepak.

Akhirnya selepas membantu kelab menamatkan musim 1996-97 sebagai juara liga, Cantona mengumumkan persaraannya. Pada usia 31 tahun, Cantona masih terlalu muda untuk menggantung boot dan apa yang lebih disesalkan ialah dua tahun selepas persaraannya, United yang bertunjangkan kekuatan dari generasi Class of 92 mara ke final Liga Juara-Juara dan menjulang kejuaraan tersebut di Nou Camp.

Meskipun kariernya di Old Trafford cuma berjalan selama lima musim, peranan yang sudah dimainkan Cantona di sebalik kebangkitan semula United di awal era 90an tidak perlu disangsikan lagi. Selepas `Si Genius’ ini bersara ada sederet pemain-pemain United yang berjaya mengatasi pencapaian beliau dari segi koleksi medal kejuaraan namun satu hakikat yang nyata tiada seorangpun mampu dibandingkan dengan Cantona.

Zlatan Ibrahimovic boleh melabelkan diri beliau sebagai `Indiana Jones’, `Singa’, `Benjamin Button’, `Dewa’ atau apa sahaja gelaran tapi hanya seorang `Raja’ yang kekal bertakhta di Old Trafford dari dahulu hingga sekarang. `Raja yang takhtanya tidak mampu disentuh oleh mana-mana bintang United biarpun eranya sudah lama berakhir.

`Raja’ yang dimaksudkan siapa lagi jika bukan Eric Camtona...pemain yang menerima layanan cukup istimewa dari Fergie hinggakan pada satu ketika memaksa beliau mengirimkan pesan kepada pemain-pemainnya sendiri...“Jika anda mahu menerima layanan sama seperti dia...bermainlah seperti Cantona”. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan