Sebelum perlawanan, Jose Mourinho berjanji
yang Celta Vigo akan digempur habis-habisan bagi memastikan skuadnya layak
beraksi di pentas final di Friends Arena, 25 Mei nanti. Bagaimanapun hal itu
tidak berlaku kerana United akhirnya terpaksa mengharapkan `keajaiban’ di
sebalik penguasaan wakil Sepanyol itu sebelum berjaya mara ke pentas akhir Liga
Europa buat kali pertama.
“Bernasib baik”...itu antara perkataan paling
tepat kerana di Old Trafford, United tidak bermain sepertimana dijanjikan
Mourinho. United memilih untuk mara ke final dengan cara yang sedikit hambar terutamanya
selepas melihat aksi mereka sepanjang 90 minit permainan meskipun Mourinho
menurunkan `skuad terkuatnya’ berbanding barisan yang beraksi di Stadium
Emirates, Ahad lalu.
Apa yang dipamerkan United dalam aksi kedua
pusingan separuh akhir itu membayangkan bahawa banyak lagi kerja yang perlu
dilakukan Mourinho dalam usaha beliau mempersiapkan skuadnya menjelang aksi
final. Jika mahu menjulang trofi Liga Europa dan layak ke saingan Liga Juara-Juara
musim depan, United perlu bermain sepuluh kali lebih baik di Friends Arena
nanti berbanding aksi mereka ketika menentang Celta Vigo.
Celta
Menguasai Permainan Tapi United Yang Menjaringkan Gol...
Mourinho melakukan lapan perubahan dalam
kesebelasan utamanya berbanding skuad yang beliau turunkan ketika berdepan
Arsenal dalam saingan liga manakala Eduardo Berizzo pula memilih menurunkan
kesebelasan sama ketika mereka melayan kunjungan United pada perlawanan pertama
di Balaidos minggu lalu.
Pelawat menguasai permainan di babak pertama
menerusi 61% penguasaan bola yang dilakukan mereka selain mencipta peluang
seawal minit keempat menerusi Iago Aspas. Bagaimanapun faktor `effectivity’ tetap merupakan elemen
penting dalam permainan bolasepak `ala Mourinho’ dan hasilnya Marouane Fellaini
berjaya menembusi pintu gol lawan di minit ke-17.
Fella
`Pakar’ Separuh Akhir...
Menyaksikan gol yang beliau jaringkan semalam,
mungkin tiada siapa pernah menyangka bahawa inilah pemain yang hampir lima
bulan lalu dikritik hebat oleh penyokong-penyokong sendiri kerana kesilapan
yang dilakukannya menyebabkan United terlepas tiga mata berharga di Goodison
Park.
Anehnya, Mourinho yang sebelumnya sangat
terkenal dengan reputasi beliau yang gemar mengkritik pemain-pemainnya secara
terbuka sebaliknya bertindak mempertahankan Fella selepas `insiden di Goodison
Park’ itu. Kepercayaan dan sokongan Mourinho sekali lagi di bayar Fella
menerusi gol penting yang dijaringkan beliau ke gawang Celta Vigo.
Ini bukanlah kali pertama Fella menjaringkan
gol penting untuk United di peringkat separuh akhir, kerana ketika aksi
menentang Hull City dalam saingan Piala Liga Januari lalu, beliau turut
melakukan hal yang sama. Gol yang beliau jaringkan ke gawang Eldin Jakupovic di
minit ke-87 pada aksi separuh akhir kedua di Old Trafford memastikan United
layak ke Wembley dan kemudiannya menjulang trofi (Piala Liga) di sana.
Jika fakta ini masih tidak mencukupi, imbas
kembali apa yang beliau lakukan musim lalu ketika membantu United mara ke final
saingan Piala FA. Ketika berdepan Everton di peringkat separuh akhir kejohanan
tersebut, Fella turut menyumbangkan jaringannya untuk United. Skuad kendalian
Louis Van Gaal kemudiannya mara ke final dan akhirnya menjulang kejuaraan Piala
FA buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.
Tangisan
Celta Vigo...
Seperti yang saya sebutkan di awal tadi,
Celta Vigo merupakan pasukan yang lebih baik berbanding United sepanjang tempoh
90 minit aksi di Old Trafford. Menurut statistik yang dikeluarkan Squawka,
Celta menguasai 60% penguasaan bola selain mencipta 14 peluang jaringan gol
berbanding sembilan oleh United.
Bagaimanapun dalam bolasepak, elemen tuah
kadangkala memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan pemenang dalam
sesebuah perlawanan. Mereka bermain baik, menguasai permainan, sentiasa
memberikan tekanan dan menjaringkan gol di Old Trafford, tetapi akhirnya
terpaksa melepaskan tiket final kepada pasukan yang bermain secara bertahan.
Agak mengejutkan melihat bagaimana pasukan
besar seperti United membenarkan lawan menguasai permainan ketika mereka
beraksi di gelanggang sendiri. Mujur peluang terakhir pelawat di penghujung
babak kedua gagal disempurnakan John Guidetti kerana jika tidak United terpaksa
mengharapkan keajaiban pada baki tiga perlawanan liga musim ini untuk layak ke
saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.
Sebaik Ovidou Hafegan meniup wisel penamat,
tangisan pemain-pemain Celta mengiringi tamatnya perjuangan mereka di Liga
Europa musim ini. Selepas bermain baik dan menguasai permainan di Old Trafford,
kegagalan mara ke Friends Arena tentunya sesuatu yang tidak adil buat mereka.
Tetapi itulah bolasepak, adakalanya sangat kejam hanya disebabkan faktor tuah
yang tidak menyebelahi sesebuah pasukan walaupun mereka bermain baik sepanjang
perlawanan.
Faktor
Mourinho...
14 tahun lalu, Mourinho pada musim pertamanya
di Estadio do Dragao berjaya mengemudi FC Porto menjulang kejuaraan Piala UEFA
(sekarang Liga Europa) selepas mereka menewaskan Celtic di final. Semusim
selepas itu, beliau sekali lagi menempa nama selaku prospek pengurus/jurulatih
terbaik dunia menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara di
Gelsenkirchen pula.
Kini selepas 14 tahun, Mourinho berpeluang
melakukan pencapaian sama selepas United mara ke final Liga Europa buat pertama
kali dalam sejarah kelab. Ketika skuadnya berdepan kemungkinan gagal menamatkan
saingan liga di posisi empat teratas, kejuaraan Liga Europa peluang terbaik
buat Mourinho meletakkan kembali United bersaing di pentas Liga Juara-Juara.
Antara
Bailly Dan Rashford...
Dua watak berbeza dari dua posisi berbeza dan
tentunya nasib kedua-dua pemain ini juga berbeza kerana seorang bakal menggalas
tugas besar mengetuai jentera serangan United di Friends Arena nanti manakala
seorang lagi sekadar memerhati aksi rakan-rakan sepasukan dari tempat duduk
penonton.
Dalam aksi di Old Trafford semalam, Rashford
sekali lagi membuktikan bahawa beliau mampu mengisi posisi Zlatan Ibrahimovic
selaku penyerang tengah United. Prestasi terpuji Rashford ketika kedua-dua
pasukan bertemu pada perlawanan pertama di Balaidos diteruskan beliau semalam
menerusi sumbangan satu assist yang
membawa kepada gol jaringan Marouane Fellaini.
Rashford kini telah terlibat dengan empat gol
terakhir United di Liga Europa menerusi dua gol dan dua assist yang disumbangkan beliau. Ketika Rashford mempamerkan
ketenangan di barisan hadapan, Bailly pula tewas dengan emosi sendiri akibat
provokasi lawan.
Tanpa kelibat Bailly di pentas final
merupakan satu kerugian buat United memandangkan peranan besar yang sudah
dimainkan beliau di benteng pertahanan skuad Mourinho musim ini. Dengan Marcos
Rojo yang sudah tersisih dari baki saingan musim ini, Mourinho perlu memikirkan
gandingan sesuai untuk beliau letakkan di benteng tengah pasukannya ketika
berdepan Ajax di final nanti.
Satu
Kebanggaan Bila Layak Ke Final...
Ketepikan sebarang persepsi tentang taraf
kejohanan ini kerana kejayaan layak ke perlawanan akhir mana-mana kejohanan
tetap sesuatu yang membanggakan tambahan pula United sendiri tidak pernah memenangi
trofi Liga Europa dalam sejarah mereka. Ini juga merupakan kali ketujuh United
berjaya mara ke final kejohanan Eropah di mana kali terakhir mereka beraksi di
pentas final ialah pada 2011 (di Liga Juara-Juara).
Sekiranya United gagal menamatkan saingan
liga musim ini di posisi empat teratas, trofi Liga Europa akan menjadi penawar
kepada kegagalan menyempurnakan misi di liga
domestik. Mourinho sedar akan hal tersebut kerana itulah beliau meletakkan
sasaran memenangi Liga Europa sebagai keutamaan pada baki saingan musim ini
ketika pintu beraksi di Liga Juara-Juara menerusi tiket empat pasukan teratas
Liga Perdana semakin tertutup rapat.
Walaupun auranya mungkin tidak sama ketika
kita menyaksikan barisan United melangkah ke Nou Camp, Luzhniki, Stadio
Olimpico atau Wembley sebelum ini, perhitungan di Friends Arena pada 25 Mei nanti
tetap ditunggu dengan penuh rasa teruja.
Apatah lagi ganjaran untuk pemenang
pertarungan nanti ialah tiket beraksi di Liga Juara-Juara selain prospek
berdepan sama ada Juventus atau Real Madrid di Philip II Arena, Skopje untuk
perebutan Piala Super UEFA. Semoga misi ini berjaya disempurnakan barisan
Mourinho dan semoga trofi Liga Europa berjaya di bawa pulang ke Old Trafford...Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan