29 Disember 2020

PRA PERLAWANAN: MANCHESTER UTD vs WOLVES

 


H2H

 

  • United tidak pernah tewas dalam sepuluh pertemuan terakhir liga menentang Wolves di Old Trafford (menang tujuh kali dan seri tiga kali) sejak kekalahan (0-1) mereka pada Februari 1980.

 

  • Wolves masih belum tewas ketika berdepan United sejak kembali ke Liga Perdana pada 2018.

 

Manchester United

 

  • Selepas mengharungi enam perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan di Old Trafford (sejak musim lalu), United tidak tewas dalam tiga aksi terakhir liga mereka di gelanggang sendiri.

 

  • United menjaringkan enam gol ketika mereka menewaskan Leeds United (6-2) di Old Trafford pada 21 Disember lalu. Jumlah (enam) gol ini menyamai jaringan mereka dalam lapan penampilan terakhir mereka di gelanggang sendiri dalam saingan liga.

 

  • United tidak pernah tewas dalam aksi terakhir mereka di penghujung tahun dalam tempoh lapan musim (menang lima perlawanan dan seri tiga kali).

 

  • Edinson Cavani sudah menjaringkan tiga gol dan mencipta dua assist dari tujuh penampilan beliau sebagai pemain gantian di Liga Perdana.

 

Wolves

 

  • Jika tewas perlawanan ini, Wolves bakal mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut di gelanggang lawan buat kali pertama sejak April 2012.

 

  • Tiga gol terakhir Wolves dihasilkan mereka dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan

 

  • Jika tewas perlawanan ini, Wolves bakal mencatatkan lima kekalahan dalam aksi terakhir mereka di penghujung tahun dalam tempoh lima musim berturut-turut untuk pertama kali sejak 1985.

 

  • Empat dari lima gol terakhir yang dijaringkan Romain Saiss dalam saingan liga dihasilkan beliau menerusi tandukan.

 

Glory Glory Manchester United!!!


25 Disember 2020

PRA PERLAWANAN: LEICESTER CITY vs MANCHESTER UTD

 


Rekod Pertemuan

 

  • Satu-satunya kemenangan yang dilakar Leicester City ke atas United dari 14 pertemuan terakhir mereka berlaku pada 21 September 2014. Dalam aksi yang dilangsungkan di King Power Stadium itu, Leicester menewaskan United (5-3). Secara keseluruhannya dari 14 perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan, Liecester menang sekali, seri empat kali dan tewas sembilan kali.

 

  • Leicester tewas 19 perlawanan mereka di gelanggang sendiri ketika berdepan United dalam saingan liga. Jumlah ini meletakkan United selaku kesebelasan paling banyak menewaskan Leicester di King Power Stadium berbanding mana-mana pasukan.

 

Leicester City

 

  • Leicester tewas lima dari enam aksi liga mereka di `Boxing Day’ sejak dipromosikan ke liga utama pada 2014. Satu-satunya kemenangan mereka di `Boxing Day’ ialah ketika menewaskan Manchester City pada 2018.

 

  • Dari 14 penampilan liga mereka setakat ini, Leicester tewas empat kali di gelanggang sendiri. Jumlah ini menyamai catatan kekalahan mereka di gelanggang sendiri sepanjang musim lalu.

 

  • Jamie Vardy sudah menjaringkan 43 gol dalam saingan liga sejak penampilan pertama Brendan Rodgers selaku pengurus Leicester pada bulan Mac 2019. Jumlah ini merupakan jaringan terbanyak berbanding mana-mana pemain sepanjang tempoh tersebut.

 

  • Vardy juga gagal menjaringkan sebarang gol dalam enam penampilannya untuk Leicester di `Boxing Day’.

 

Manchester United

 

  • Sejak kekalahan 0-2 kepada Liverpool di Anfield pada 20 Januari 2020, United sudah mengharungi 13 aksi di gelanggang lawan dalam saingan liga tanpa tewas (menang 11 kali dan seri dua kali).

 

  • Sejak keputusan seri menentang Tottenham Hotspurs pada Jun 2020 juga, United mengharungi sepuluh perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan dengan rekod 100%.

 

  • United menang enam perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan dalam saingan liga selepas mereka ketinggalan terlebih dahulu. Mereka melakukannya ketika berdepan Brighton, Newcastle United, Everton, Southampton, West Ham dan Sheffield United.

 

  • United menjaringkan purata 2 gol dari sepuluh penampilan terakhir mereka di gelanggang lawan.

 

  • United menang 21 perlawanan liga di `Boxing Day’, yang juga merupakan jumlah kemenangan terbanyak berbanding mana-mana pasukan sepanjang era Liga Perdana. Dua kekalahan United di `Boxing Day’ ialah kepada Middlesbrough pada 2002 dan Stoke City pada 2015.

 

  • Bruno Fernandes terlibat secara langsung dalam separuh gol yang sudah dihasilkan United di Liga Perdana sejak penampilan pertamanya pada bulan Februari. Bruno menjaringkan 17 gol dan mencipta 12 bantuan gol.

 

Glory Glory Manchester United!!!

24 Disember 2020

DEMI SEBUAH TROFI

 


Ketika kebanyakkan penyokong-penyokong lebih gemar bercakap tentang potensi untuk memenangi trofi Liga Perdana atau sekurang-kurangnya meraih salah satu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan, awal pagi tadi di Goodison Park, Manchester United mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan separuh akhir Piala Liga selepas mereka menundukkan Everton (2-0) menerusi gol jaringan Edinson Cavani dan Anthony Martial.

 

Bagi penyokong yang bersikap sinikal, apalah sangat dengan prestij Piala Liga berbanding trofi Liga Perdana dan Piala FA di peringkat domestik atau Liga Europa dan Liga Juara-Juara di pentas Eropah. Jika kebanyakkan penyokong kelab-kelab bolasepak Inggeris melabel Piala Liga ini sebagai `Piala Mickey Mouse’, Ole Gunnar Solskjaer dan Carlo Ancelotti pula melihat trofi (Piala Liga) ini sebagai trofi yang perlu mereka menangi.

 

Ancelotti melihat Piala Liga sebagai jalan pintas untuk Everton beraksi di Liga Europa, selain potensi untuk skuad kendalian beliau menjulang trofi pertama mereka dalam tempoh 26 tahun sejak kejayaan The Toffees menundukkan United di pentas final Piala FA edisi 1995 di Wembley. Manakala bagi Solskjaer pula, beliau melihat trofi ini sebagai antara kejuaraan pertama yang paling realistik untuk beliau menangi selaku pengurus United.

 

“Sudah pasti ketika ini kami bercakap tentang soal memenangi trofi. Sudah lama kelab ini tidak memenangi kejuaraan sejak kali terakhir mereka menjulang Piala FA pada 1995. Atas sebab itu, kami akan berusaha memenangi trofi ini untuk kelab” kata Carlitto menjelang aksi suku akhir Piala Liga menentang United awal pagi tadi. Sudah tentu selepas melangkah ke pusingan suku akhir, sasaran paling hampir bagi Everton menjulang kejuaraan ialah Piala Liga.

 

Bagaimanapun seperti yang anda tahu, perjalanan Everton dalam kejohanan Piala Liga musim ini terhenti selepas mereka disingkirkan United menerusi dua gol lewat permainan jaringan Cavani dan Martial. Ini juga merupakan kekalahan kedua berturut-turut yang dialami Everton kepada United di Goodison Park musim ini dalam semua peringkat kejohanan. Untuk rekod pada 7 November lalu, United berjaya menewaskan Everton (3-1) dalam saingan liga.

 

Jika anda perhatikan pendekatan kelab-kelab besar Inggeris sejak akhir-akhir ini, Piala Liga sebenarnya bukan lagi pentas untuk mereka melakukan eksperimen taktikal atau memperjudikan nasib dengan menurunkan hampir sebahagian besar pemain-pemain muda dalam kesebelasan utama mereka bagi menghadapi kejohanan ini. Atau lebih tepatnya, Piala Liga kini bukan lagi saingan `yang dilepaskan’ oleh kelab-kelab besar agar mereka tidak terperangkap dengan jadual yang padat.

 

Demi sebuah trofi, Pep Guardiola menurunkan hampir kesemua pemain-pemain terbaiknya ketika Manchester City menyingkirkan Burnley di pusingan keempat, manakala Frank Lampard pula mempertaruhkan Thiago Silva, Cesar Azpilicueta, Mateo Kovacic, Tammy Abraham, Kai Havertz, Ben Chilwell, Oliver Giroud dan Kurt Zouma ketika Chelsea menyingkirkan Barnsley, kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan di pusingan ketiga.

 

Jika Ancelotti melihat Piala Liga sebagai trofi yang patut Everton menangi, begitu juga halnya dengan Solskjaer. Mungkin pada pandangan anda kejayaan memenangi trofi ini tidak sebanding dengan prestij United sebagai antara kelab besar di England, namun ia setidak-tidaknya boleh menamatkan kemarau tiga tahun tanpa kejuaraan di Old Trafford sejak kali terakhir Jose Mourinho mengemudi kelab menjulang trofi Liga Europa dan Piala Liga pada musim 2016/17.

 

“Trofi ini memang harus kami menangi tanpa mengira statusnya. Saya masih ingat ketika Evra dan Vidic memenangi kejuaraan ini pada 2006, ia secara tidak langsung menanam sikap dahagakan kejuaraan dalam diri mereka. Ketika mentaliti itu mula terbentuk, anda akan ketagih untuk terus menjulang kejuaraan. Bagi kami memenangi Piala Liga tetap satu pencapaian yang fantastis”, kata Solskjaer.

 

Dalam edisi saingan musim ini, United nampaknya sekali lagi ditakdirkan berdepan jiran Manchester mereka di pusingan separuh akhir. Sepertimana United, (Manchester) City juga berjaya mara ke pusingan separuh akhir selepas mereka menundukkan Arsenal (4-1) di gelanggang lawan. Adakah kali ini nasib United akan berubah berbanding musim lalu apabila mereka terkandas dalam tiga aksi semi final’?

 

Ketika kelab-kelab besar seperti City, Chelsea dan Spurs tidak lagi malu menurunkan key player mereka bagi menghadapi kejohanan ini demi sebuah trofi, tetap menjadi satu kebanggaan jika United berjaya mara ke final dan menjulang trofi ini di Wembley pada bulan April nanti. Bagi Solskjaer, trofi ini mungkin menjadi penyelamat untuk kariernya, manakala bagi penyokong pula, menjulang `Piala Mickey Mouse’ ini jauh lebih baik berbanding melihat kelab menamatkan musim tanpa sebarang kejuaraan. Glory Glory Manchester United!!!

22 Disember 2020

TIGA PEMAIN UNITED YANG MEMILIKI CATATAN MINIT PERMAINAN PALING TINGGI

 


Tiga pemain Manchester United tersenarai dalam kelompok sepuluh pemain (non goalkeeper) yang paling banyak mengumpul minit permainan sepanjang 2020. Dalam senarai yang dikeluarkan oleh CIES Football Obs itu, Liga Perdana memiliki wakil paling ramai menerusi empat pemain yang tersenarai, La Liga pula memiliki tiga wakil, satu dari Serie A (Itali), satu dari Liga Perdana Scotland dan satu dari Serie A (Brazil).

 

Berikut adalah sepuluh pemain yang paling banyak mengumpul minit permainan sepanjang tahun 2020 (setakat ini):

 

Harry Maguire (Man United): 4745 minit

Ruben Dias (Man City): 4344 minit

Lionel Messi (Barcelona): 4293 minit

Bruno Fernandes (Man United): 4164 minit

Bruno Pacheco (Ceara SC): 4162 minit

Romelu Lukaku (Inter Milan): 4144 minit

Victor Lindelof (Man United): 4142 minit

Raphael Varane (Real Madrid): 4123 minit

Jesus Navas (Sevilla): 4110 minit

Callum McGregor (Celtic): 4106 minit

 

Di kemuncak senarai tentunya anda dapat melihat nama Harry Maguire selaku pemain paling banyak mengumpul minit permainan (4745), jauh meninggalkan Ruben Dias yang berada ditangga kedua dengan jurang 401 minit permainan. Tidak dapat dinafikan bahawa Maguire, Lindelof dan Bruno merupakan tiga tonggak di posisi masing-masing yang sering diturunkan Ole Gunnar Solskjaer dalam kesebelasan utamanya. Jadi tidak hairanlah mengapa United mendominasi senarai yang dikeluarkan oleh CIES Football Obs ini menerusi keberadaan Maguire, Lindelof dan Bruno.

 

Meskipun benteng pertahanan United sering dijadikan sasaran kritikan, namun dalam masa yang sama anda juga tidak boleh menafikan sumbangan keseluruhan yang diberikan oleh Maguire dan Lindelof selaku pasangan di bahagian tengah pertahanan mereka. Atau mungkin lebih tepatnya, Solskjaer berasa `lebih selamat’ jika beliau meletakkan kombinasi Maguire dan Lindelof selaku gandingan pertahanan tengah berbanding mana-mana kombinasi pemain yang beliau miliki ketika ini.

 

Mengikut catatan dari Daily Mail, Maguire tidak pernah terlepas walau sekalipun aksi dalam saingan liga untuk United sejak beliau berpindah ke Old Trafford pada musim panas 2019 yang lalu. Setakat musim ini pula, kapten United itu cuma terlepas dua perlawanan dalam semua peringkat kejohanan (dalam aksi menentang PSG di Liga Juara-Juara dan juga Brighton & Hove Albion di kejohanan Piala Liga).

 

Bagi Victor Lindelof pula, beliau adalah `peneman setia’ untuk Maguire di jantung pertahanan United. Kali terakhir Lindelof diletakkan di bangku simpanan ialah ketika United dibelasah (1-6) dalam aksi liga menentang Tottenham Hotspurs pada 4 Oktober lalu. Selepas itu, Lindelof disenaraikan Solskjaer dalam kesebelasan utama pada 15 aksi terakhir beliau untuk United dalam semua peringkat kejohanan.

 

Apa lagi yang mampu anda katakan tentang sumbangan Bruno Fernandes sejak beliau menyertai United pada Januari lalu. Tiada siapa boleh menyangkal fakta bahawa United memang sangat bergantung kepada keberadaan Bruno dalam menggerakan jentera tengah mereka. Atau lebih tepatnya Bruno sering dijadikan objektif utama Solskjaer untuk menembusi benteng pertahanan lawan menerusi visi hantaran-hantarannya atau menerusi penyudah yang dilakukannya.

 

Lelaki Portugal berusia 26 tahun ini boleh dikatakan terlibat dalam hampir kesemua gol-gol yang dihasilkan barisan The Red Devils, manakala dalam saingan liga musim ini pula beliau merupakan penjaring terbanyak United menerusi sembilan gol yang sudah dijaringkannya selain mencipta lima bantuan gol. Sukar untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku kepada United jika mereka beraksi tanpa Bruno kerana suka atau tidak anda terpaksa mengakui bahawa  beliau umpama `nyawa’ kepada permainan The Red Devils.

 

Ketika tahun 2020 semakin menuju ke penghujung, manakala mentari 2021 bakal menjengah dalam beberapa hari lagi, nama Maguire, Lindelof dan Bruno nampaknya akan terus mendominasi senarai kesebelasan utama United pada perlawanan-perlawanan mendatang. Maguire dan Lindelof antara pemain yang sering dijadikan sasaran kritikan, tetapi ironinya nasib United sebenarnya turut bergantung kepada dua pemain ini dalam memastikan agar benteng mereka kekal kukuh.

 

Bruno pula umpama ahli sihir yang berjaya mengubah nasib kelab sejak ketibaannya di Old Trafford hampir 11 bulan yang lalu. Anda masih boleh berdebat tentang isu konsistensi United di era Solskjaer, tetapi dalam masa yang sama suara-suara keyakinan tentang peluang The Red Devils mencabar kejuaraan liga musim ini juga semakin kuat kedengaran selepas aksi menentang Leeds tempohari. Ketika aura optimistik semakin kuat terasa, berharaplah agar Maguire, Lindelof dan Bruno mampu terus memainkan peranan penting dalam perjalanan United pada baki saingan musim ini. Glory Glory Manchester United!!!



20 Disember 2020

PRA PERLAWANAN: MANCHESTER UTD vs LEEDS UTD

 


  • Manchester United tidak pernah tewas dalam 15 pertemuan terakhir menentang Leeds United di Old Trafford dalam saingan liga. Kekalahan terakhir United di gelanggang sendiri ketika berdepan Leeds berlaku pada Februari 1981.

 

  • Ini adalah merupakan pertemuan liga pertama antara kedua-dua pasukan dalam tempoh 16 tahun. Pertemuan terakhir liga antara United dan Leeds berlaku di Old Trafford pada Februari 2004 dimana perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri (1-1).

 

  • United cuma tewas sekali dari 13 pertemuan terakhir mereka menentang Leeds di Liga Perdana (menang 8, seri 4 dan tewas sekali). Kekalahan (0-1) tersebut berlaku di Elland Road pada September 2002.

 

  • Paul Pogba melakukan debut untuk skuad utama United pada usia 18 tahun dalam kejohanan Piala Liga pada September 2011 menentang Leeds. Ketika itu beliau masuk menggantikan Ryan Giggs di separuh masa kedua. United berjaya menewaskan Leeds (3-0) dalam perlawanan tersebut.

 

  • Leeds berjaya menewaskan United dalam aksi terakhir mereka di Old Trafford dalam kejohanan Piala FA. Gol tunggal perlawanan jaringan Jermaine Beckford menyaksikan Leeds berjaya menyingkirkan United dari saingan tersebut pada Januari 2010.

 

  • Leeds berjaya menewaskan Newcastle United (5-2) pada aksi terakhir liga mereka. Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 17 tahun Leeds berjaya menjaringkan lima gol di Liga Perdana sejak kejayaan mereka menundukkan Charlton (6-1) pada April 2003.

 

  • Kejayaan menewaskan Newcastle United (5-2) ini juga merupakan kali ketiga Leeds menjaringkan lima gol dalam saingan liga sebelum mereka berdepan United. Ironinya kedua-dua kemenangan sebelum ini dilakar mereka keatas pasukan yang sama, iaitu Newcastle (5-2 pada 1929 dan 5-0 pada 1966).

 

  • Sepanjang karier kejurulatihannya, Marcelo Bielsa berjaya mengalahkan United sebanyak dua kali. Kedua-dua kemenangan itu dilakar Bielsa ketika beliau mengendalikan Athletic Bilbao dalam saingan Liga Europa musim 2011/12. Bilbao berjaya menyingkirkan United di pusingan 16 pasukan menerusi kemenangan (3-2 di gelanggang sendiri dan 2-1 di Old Trafford).

 

  • Patrick Bamford sudah menjaringkan sembilan gol dari 13 penampilan beliau di Liga Perdana untuk Leeds. Bamford cuma memerlukan satu lagi gol untuk meletakkan dirinya selaku pemain Inggeris pertama yang berjaya mencecah angka jaringan 10 gol hanya dari 14 penampilan untuk Leeds. Bagaimana pun rekod 10 gol paling pantas untuk Leeds masih dipegang Mark Viduka. Viduka berjaya menjaringkan 10 gol hanya dari sembilan penampilan liga pada musim 2000/01.

 

Glory Glory Manchester United!!!



04 Disember 2020

MENANG...KALAH...TERTEKAN DAN KEMUDIAN MENANG SEMULA

 


Perjalanan Manchester United dalam kempen Liga Juara-Juara mereka musim ini boleh diumpamakan seperti `roller coaster’, sekejap naik sekejap turun menjunam. Masih ingat lagi dengan ramalan-ramalan yang diberikan selepas undian peringkat kumpulan selesai dilangsungkan pada 1 Oktober lalu di Geneva, Switzerland? Mengambilkira prestasi kelab dalam saingan domestik ketika itu, ramai `pakar bolasepak media sosial’ meramalkan bahawa United bakal menjadi `lauk’ kepada RB Leipzig dan Paris St Germain, semi finalis dan finalis dalam saingan musim lalu.

 

Bagaimanapun prestasi United dalam dua perlawanan awal mengejutkan pengkritik mereka apabila barisan The Red Devils berjaya menewaskan dua pasukan yang diletakkan selaku favourite untuk mara ke pusingan kalah mati. Di Paris, mereka menewaskan Paris St Germain (2-1) dan kemudiannya dengan bergaya membelasah Leipzig (5-0) di Old Trafford. Selepas itu apa yang terjadi? Mereka tewas (1-2) kepada Istanbul Basaksehir di gelanggang lawan, yang juga merupakan satu-satunya kemenangan wakil Turki itu dari lima aksi mereka dalam Kumpulan H.

 

Meskipun berjaya menebus kekalahan mereka kepada Basaksehir menerusi kemenangan menyakinkan (4-1) di Old Trafford minggu lalu, kita terpaksa berdepan realiti pahit apabila United tewas sekali lagi pada penampilan mereka di gelanggang sendiri, dan kali ini kepada PSG pula. Kekalahan ini merupakan kekalahan keempat United pada penampilan mereka di gelanggang sendiri musim ini dalam semua peringkat kejohanan. Paling pahit kekalahan ini juga menyebabkan peluang untuk mereka mara ke pusingan kalah mati nanti turut terancam.

 

Ironinya dari kesebelasan yang memiliki peluang besar untuk lolos ke pusingan kalah mati hasil dari dua kemenangan awal mereka di peringkat kumpulan, United kini berada di dua persimpangan, sama ada terus kekal dalam saingan Liga Juara-Juara atau kembali terhumban ke saingan Liga Europa. Pilihan yang ada pada aksi terakhir mereka nanti ialah pulang dari Red Bull Arena dengan sekurang-kurang satu mata kerana kekalahan bakal menyaksikan United muncul satu-satunya wakil Inggeris yang terkandas di peringkat kumpulan.

 

Dengan reputasi Leipzig selaku kesebelasan yang berada di tangga kedua Bundesliga, United bakal berdepan misi sukar dalam kunjungan mereka di Jerman pada 9 Disember nanti. Kekalahan (1-3) yang dialami United kepada PSG juga bukanlah bermakna gergasi Perancis itu terlalu unggul atau barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer beraksi di bawah par. Secara keseluruhannya, United bermain dengan baik dan Thomas Tuchel turut mengakui bahawa tuah menyebelahi skuadnya untuk keluar sebagai pemenang.  

 

Selepas gol pertama PSG terhasil menerusi sentuhan Neymar, barulah United bangkit kembali menerusi gerakan-gerakan yang dilakukan mereka ke kubu lawan dan mencipta beberapa peluang terbaik. Selepas gol penyamaan Marcus Rashford terhasil, United semakin optimis manakala lawan pula cuma menunggu peluang untuk melakukan counter attack. Bagaimanapun inisiatif United untuk mencari gol kedua dibatasi isu ketajaman barisan hadapan mereka ketika berada di hadapan pintu gol lawan.

 

Contoh terbaik lihat sahaja bagaimana `gelojohnya’ Anthony Martial hingga beliau terlepas peluang terbaik untuk mencipta nama selaku penjaring gol dalam perlawanan ini menerusi percubaan liar yang dilakukannya diminit ke-48 meskipun pintu gol lawan sudah terbuka luas. Gol Marquinhos diminit ke-69 menambah tekanan kepada United dan peluang mereka untuk melakukan kebangkitan boleh dianggap tertutup sama sekali sebaik sahaja Fred dilayangkan kad kuning keduanya.

 

Membiarkan Fred terus berada di atas padang selepas beliau dilayangkan kad kuning pertamanya satu perjudian yang besar dilakukan Solskjaer. Fred memang diakui antara pemain terbaik yang ada dalam skuad Solskjaer, dan beliau juga pemain terbaik United dalam melakukan tugasnya memberikan tekanan kepada pemain lawan ketika mereka menguasai bola. Bagaimanapun dengan corak permainan keras yang dimiliki beliau, pengadil sebenarnya cuma menunggu masa yang sesuai untuk melayangkan kad kuning kedua kepada Fred.

 

Akhirnya harga mahal terpaksa dibayar Solskjaer menerusi `keberanian’ beliau untuk terus membiarkan Fred beraksi selama 47 minit selepas layangkan kad kuning pertama yang diterimanya di minit ke-23. Disebalik kekalahan ini, peluang United masih lagi terbuka biarpun misi sukar bakal menanti mereka di bumi Jerman pada 9 Disember nanti. United dibawah kendalian Solskjaer masih belum mampu keluar dari isu konsistensi dan itulah yang mereka sajikan kepada kita awal pagi kelmarin.

 

Senario yang sama masih terus berulang, mereka menang tiga atau empat perlawanan, kemudian tewas, tertekan, kedudukan Solskjaer selaku pengendali kembali dipersoalkan dan kemudiannya mereka bangkit kembali. Suara-suara yang mahukan Solskjaer dipecat kembali kedengaran, dan jika diambilkira senario-senario yang berlaku sebelum ini, itu sebenarnya satu petanda yang baik menjelang kunjungan United ke Stadium London hujung minggu ini dan Red Bull Arena pertengahan minggu hadapan. Kenapa? Kerana United biasanya akan bangkit semula ketika Solskjaer diberikan tekanan dan posisinya selaku pengendali kembali terancam. Glory Glory Manchester United!!!



03 Disember 2020

PASCA PERLAWANAN: UNITED PILIH JALAN SUKAR

 


United cuma perlukan keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara, tetapi mereka memilih jalan yang sukar apabila tewas (1-3) kepada PSG dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan awal pagi tadi. Kekalahan ini juga menyaksikan United, PSG dan RB Leipzig mengumpul jumlah mata yang sama selepas masing-masing menang tiga perlawanan dan tewas dua kali.

 

Bagaimanapun United masih kekal selaku pendahulu Kumpulan H menerusi perbezaan jaringan berbanding PSG di tangga kedua dan Leipzig di tangga ketiga. PSG pulang ke kota Paris dengan tiga mata penuh menerusi dua gol yang dijaringkan Neymar dan satu sumbangan Marquinhos, tetapi jika barisan hadapan United lebih klinikal dalam menyudahkan peluang, keputusan perlawanan mungkin tidak berakhir seperti ini.

 

Antara momen paling menarik dalam pertembungan di Old Trafford awal pagi tadi ialah layangan kad merah yang diterima Fred diminit ke-70. Fred sebenarnya bernasib baik kerana masih kekal di atas padang selama 47 minit meskipun insiden membabitkan beliau dengan  Leandro Paredes diminit ke-23 menyaksikan pengadil cuma melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain.

 

Membiarkan Fred terus bermain selama 47 minit selepas beliau dilayangkan kad kuning pertamanya antara harga yang perlu dibayar Ole Gunnar Solskjaer tatkala skuadnya melepaskan peluang terbaik mereka untuk mara ke pusingan kalah mati lebih awal. Ramai pihak mempersoalkan mengapa Solskjaer tidak melakukan pertukaran sedangkan di bangku simpanan, beliau memiliki Donny Van de Beek dan Paul Pogba sebagai pengganti.

 

Fred sebenarnya memang bernasib baik kerana masih kekal di atas padang walaupun insiden membabitkan beliau dengan Leandro Paredes itu sepatutnya berakhir dengan layangan kad merah. Dan selaku pemain yang ditugaskan untuk merosakkan tempo permainan lawan, Fred memang dituntut untuk melakukan terjahan-terjahan keras sesuai dengan corak permainan yang dimiliki beliau.

 

Jadi keputusan Solskjaer untuk terus mengekalkan Fred di atas padang juga adalah satu perjudian yang besar. Akhirnya satu lagi terjahan yang dilakukan Fred ke atas Ander Herrera diminit ke-70 menyaksikan United kekurangan seorang pemain selepas mereka ketinggalan buat kali kedua menerusi gol yang dijaringkan Marquinhos, hanya seminit sebelum Fred dilayangkan kad merah.

 

Tiada peluang untuk United bangkit sepertimana yang mereka lakukan di babak pertama dan segala sisa-sisa harapan akhirnya dipadam Neymar menerusi gol kedua peribadi beliau dalam perlawanan ini yang dijaringkannya di masa kecederaan. Daripada cuma keputusan seri yang diperlukan untuk mereka layak ke pusingan kalah mati, United sebaliknya memilih jalan sukar dan nasib mereka bakal ditentukan pada perlawanan terakhir menentang Leipzig di gelanggang lawan.

 

Peluang masih terbuka buat tiga pasukan (United, PSG dan Leipzig) untuk meraih dua slot ke pusingan kalah mati nanti, tetapi dalam situasi ini PSG berada dalam posisi lebih baik kerana mereka bakal berdepan Istanbul Basaksehir di gelanggang sendiri pada perlawanan terakhir. Manakala perhitungan terakhir di Red Bull Arena pada 9 Disember nanti bakal penjadi perhitungan hidup dan mati antara United dan Leipzig. Glory Glory Manchester United!!!