Perjalanan
Manchester United dalam kempen Liga Juara-Juara mereka musim ini boleh
diumpamakan seperti `roller coaster’, sekejap naik sekejap turun menjunam.
Masih ingat lagi dengan ramalan-ramalan yang diberikan selepas undian peringkat
kumpulan selesai dilangsungkan pada 1 Oktober lalu di Geneva, Switzerland?
Mengambilkira prestasi kelab dalam saingan domestik ketika itu, ramai `pakar
bolasepak media sosial’ meramalkan bahawa United bakal menjadi `lauk’ kepada RB
Leipzig dan Paris St Germain, semi finalis dan finalis dalam saingan musim
lalu.
Bagaimanapun
prestasi United dalam dua perlawanan awal mengejutkan pengkritik mereka apabila
barisan The Red Devils berjaya menewaskan dua pasukan yang diletakkan
selaku favourite untuk mara ke pusingan kalah mati. Di Paris, mereka
menewaskan Paris St Germain (2-1) dan kemudiannya dengan bergaya membelasah
Leipzig (5-0) di Old Trafford. Selepas itu apa yang terjadi? Mereka tewas (1-2)
kepada Istanbul Basaksehir di gelanggang lawan, yang juga merupakan satu-satunya
kemenangan wakil Turki itu dari lima aksi mereka dalam Kumpulan H.
Meskipun
berjaya menebus kekalahan mereka kepada Basaksehir menerusi kemenangan
menyakinkan (4-1) di Old Trafford minggu lalu, kita terpaksa berdepan realiti
pahit apabila United tewas sekali lagi pada penampilan mereka di gelanggang
sendiri, dan kali ini kepada PSG pula. Kekalahan ini merupakan kekalahan
keempat United pada penampilan mereka di gelanggang sendiri musim ini dalam
semua peringkat kejohanan. Paling pahit kekalahan ini juga menyebabkan peluang
untuk mereka mara ke pusingan kalah mati nanti turut terancam.
Ironinya
dari kesebelasan yang memiliki peluang besar untuk lolos ke pusingan kalah mati
hasil dari dua kemenangan awal mereka di peringkat kumpulan, United kini berada
di dua persimpangan, sama ada terus kekal dalam saingan Liga Juara-Juara atau
kembali terhumban ke saingan Liga Europa. Pilihan yang ada pada aksi terakhir
mereka nanti ialah pulang dari Red Bull Arena dengan sekurang-kurang satu mata
kerana kekalahan bakal menyaksikan United muncul satu-satunya wakil Inggeris
yang terkandas di peringkat kumpulan.
Dengan
reputasi Leipzig selaku kesebelasan yang berada di tangga kedua Bundesliga, United
bakal berdepan misi sukar dalam kunjungan mereka di Jerman pada 9 Disember
nanti. Kekalahan (1-3) yang dialami United kepada PSG juga bukanlah bermakna
gergasi Perancis itu terlalu unggul atau barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer
beraksi di bawah par. Secara keseluruhannya, United bermain dengan baik dan Thomas
Tuchel turut mengakui bahawa tuah menyebelahi skuadnya untuk keluar sebagai
pemenang.
Selepas
gol pertama PSG terhasil menerusi sentuhan Neymar, barulah United bangkit kembali
menerusi gerakan-gerakan yang dilakukan mereka ke kubu lawan dan mencipta
beberapa peluang terbaik. Selepas gol penyamaan Marcus Rashford terhasil,
United semakin optimis manakala lawan pula cuma menunggu peluang untuk
melakukan counter attack. Bagaimanapun inisiatif United untuk mencari
gol kedua dibatasi isu ketajaman barisan hadapan mereka ketika berada di
hadapan pintu gol lawan.
Contoh
terbaik lihat sahaja bagaimana `gelojohnya’ Anthony Martial hingga beliau
terlepas peluang terbaik untuk mencipta nama selaku penjaring gol dalam
perlawanan ini menerusi percubaan liar yang dilakukannya diminit ke-48 meskipun
pintu gol lawan sudah terbuka luas. Gol Marquinhos diminit ke-69 menambah tekanan
kepada United dan peluang mereka untuk melakukan kebangkitan boleh dianggap
tertutup sama sekali sebaik sahaja Fred dilayangkan kad kuning keduanya.
Membiarkan
Fred terus berada di atas padang selepas beliau dilayangkan kad kuning
pertamanya satu perjudian yang besar dilakukan Solskjaer. Fred memang diakui
antara pemain terbaik yang ada dalam skuad Solskjaer, dan beliau juga pemain
terbaik United dalam melakukan tugasnya memberikan tekanan kepada pemain lawan
ketika mereka menguasai bola. Bagaimanapun dengan corak permainan keras yang
dimiliki beliau, pengadil sebenarnya cuma menunggu masa yang sesuai untuk
melayangkan kad kuning kedua kepada Fred.
Akhirnya
harga mahal terpaksa dibayar Solskjaer menerusi `keberanian’ beliau untuk terus
membiarkan Fred beraksi selama 47 minit selepas layangkan kad kuning pertama
yang diterimanya di minit ke-23. Disebalik kekalahan ini, peluang United masih
lagi terbuka biarpun misi sukar bakal menanti mereka di bumi Jerman pada 9
Disember nanti. United dibawah kendalian Solskjaer masih belum mampu keluar
dari isu konsistensi dan itulah yang mereka sajikan kepada kita awal pagi
kelmarin.
Senario
yang sama masih terus berulang, mereka menang tiga atau empat perlawanan,
kemudian tewas, tertekan, kedudukan Solskjaer selaku pengendali kembali
dipersoalkan dan kemudiannya mereka bangkit kembali. Suara-suara yang mahukan
Solskjaer dipecat kembali kedengaran, dan jika diambilkira senario-senario yang
berlaku sebelum ini, itu sebenarnya satu petanda yang baik menjelang kunjungan
United ke Stadium London hujung minggu ini dan Red Bull Arena pertengahan minggu
hadapan. Kenapa? Kerana United biasanya akan bangkit semula ketika Solskjaer
diberikan tekanan dan posisinya selaku pengendali kembali terancam. Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan