Ketika
kebanyakkan penyokong-penyokong lebih gemar bercakap tentang potensi untuk
memenangi trofi Liga Perdana atau sekurang-kurangnya meraih salah satu slot ke
saingan Liga Juara-Juara musim depan, awal pagi tadi di Goodison Park, Manchester
United mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan separuh akhir Piala Liga selepas
mereka menundukkan Everton (2-0) menerusi gol jaringan Edinson Cavani dan
Anthony Martial.
Bagi
penyokong yang bersikap sinikal, apalah sangat dengan prestij Piala Liga
berbanding trofi Liga Perdana dan Piala FA di peringkat domestik atau Liga Europa
dan Liga Juara-Juara di pentas Eropah. Jika kebanyakkan penyokong kelab-kelab
bolasepak Inggeris melabel Piala Liga ini sebagai `Piala Mickey Mouse’, Ole
Gunnar Solskjaer dan Carlo Ancelotti pula melihat trofi (Piala Liga) ini sebagai
trofi yang perlu mereka menangi.
Ancelotti
melihat Piala Liga sebagai jalan pintas untuk Everton beraksi di Liga Europa, selain
potensi untuk skuad kendalian beliau menjulang trofi pertama mereka dalam
tempoh 26 tahun sejak kejayaan The Toffees menundukkan United di pentas
final Piala FA edisi 1995 di Wembley. Manakala bagi Solskjaer pula, beliau
melihat trofi ini sebagai antara kejuaraan pertama yang paling realistik untuk beliau
menangi selaku pengurus United.
“Sudah
pasti ketika ini kami bercakap tentang soal memenangi trofi. Sudah lama kelab
ini tidak memenangi kejuaraan sejak kali terakhir mereka menjulang Piala FA
pada 1995. Atas sebab itu, kami akan berusaha memenangi trofi ini untuk kelab”
kata Carlitto menjelang aksi suku akhir Piala Liga menentang United awal pagi
tadi. Sudah tentu selepas melangkah ke pusingan suku akhir, sasaran paling
hampir bagi Everton menjulang kejuaraan ialah Piala Liga.
Bagaimanapun
seperti yang anda tahu, perjalanan Everton dalam kejohanan Piala Liga musim ini
terhenti selepas mereka disingkirkan United menerusi dua gol lewat permainan
jaringan Cavani dan Martial. Ini juga merupakan kekalahan kedua berturut-turut
yang dialami Everton kepada United di Goodison Park musim ini dalam semua
peringkat kejohanan. Untuk rekod pada 7 November lalu, United berjaya
menewaskan Everton (3-1) dalam saingan liga.
Jika
anda perhatikan pendekatan kelab-kelab besar Inggeris sejak akhir-akhir ini,
Piala Liga sebenarnya bukan lagi pentas untuk mereka melakukan eksperimen
taktikal atau memperjudikan nasib dengan menurunkan hampir sebahagian besar
pemain-pemain muda dalam kesebelasan utama mereka bagi menghadapi kejohanan
ini. Atau lebih tepatnya, Piala Liga kini bukan lagi saingan `yang dilepaskan’
oleh kelab-kelab besar agar mereka tidak terperangkap dengan jadual yang padat.
Demi
sebuah trofi, Pep Guardiola menurunkan hampir kesemua pemain-pemain terbaiknya
ketika Manchester City menyingkirkan Burnley di pusingan keempat, manakala
Frank Lampard pula mempertaruhkan Thiago Silva, Cesar Azpilicueta, Mateo
Kovacic, Tammy Abraham, Kai Havertz, Ben Chilwell, Oliver Giroud dan Kurt Zouma
ketika Chelsea menyingkirkan Barnsley, kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan di
pusingan ketiga.
Jika
Ancelotti melihat Piala Liga sebagai trofi yang patut Everton menangi, begitu
juga halnya dengan Solskjaer. Mungkin pada pandangan anda kejayaan memenangi
trofi ini tidak sebanding dengan prestij United sebagai antara kelab besar di England,
namun ia setidak-tidaknya boleh menamatkan kemarau tiga tahun tanpa kejuaraan
di Old Trafford sejak kali terakhir Jose Mourinho mengemudi kelab menjulang
trofi Liga Europa dan Piala Liga pada musim 2016/17.
“Trofi
ini memang harus kami menangi tanpa mengira statusnya. Saya masih ingat ketika Evra
dan Vidic memenangi kejuaraan ini pada 2006, ia secara tidak langsung menanam sikap
dahagakan kejuaraan dalam diri mereka. Ketika mentaliti itu mula terbentuk,
anda akan ketagih untuk terus menjulang kejuaraan. Bagi kami memenangi Piala
Liga tetap satu pencapaian yang fantastis”, kata Solskjaer.
Dalam
edisi saingan musim ini, United nampaknya sekali lagi ditakdirkan berdepan
jiran Manchester mereka di pusingan separuh akhir. Sepertimana United, (Manchester)
City juga berjaya mara ke pusingan separuh akhir selepas mereka menundukkan Arsenal
(4-1) di gelanggang lawan. Adakah kali ini nasib United akan berubah berbanding
musim lalu apabila mereka terkandas dalam tiga aksi semi final’?
Ketika kelab-kelab besar seperti City, Chelsea dan Spurs tidak lagi malu menurunkan key player mereka bagi menghadapi kejohanan ini demi sebuah trofi, tetap menjadi satu kebanggaan jika United berjaya mara ke final dan menjulang trofi ini di Wembley pada bulan April nanti. Bagi Solskjaer, trofi ini mungkin menjadi penyelamat untuk kariernya, manakala bagi penyokong pula, menjulang `Piala Mickey Mouse’ ini jauh lebih baik berbanding melihat kelab menamatkan musim tanpa sebarang kejuaraan. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan