United
cuma perlukan keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati 16
pasukan Liga Juara-Juara, tetapi mereka memilih jalan yang sukar apabila tewas
(1-3) kepada PSG dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan awal pagi tadi. Kekalahan
ini juga menyaksikan United, PSG dan RB Leipzig mengumpul jumlah mata yang sama
selepas masing-masing menang tiga perlawanan dan tewas dua kali.
Bagaimanapun
United masih kekal selaku pendahulu Kumpulan H menerusi perbezaan jaringan berbanding
PSG di tangga kedua dan Leipzig di tangga ketiga. PSG pulang ke kota Paris
dengan tiga mata penuh menerusi dua gol yang dijaringkan Neymar dan satu
sumbangan Marquinhos, tetapi jika barisan hadapan United lebih klinikal dalam
menyudahkan peluang, keputusan perlawanan mungkin tidak berakhir seperti ini.
Antara
momen paling menarik dalam pertembungan di Old Trafford awal pagi tadi ialah
layangan kad merah yang diterima Fred diminit ke-70. Fred sebenarnya bernasib
baik kerana masih kekal di atas padang selama 47 minit meskipun insiden
membabitkan beliau dengan Leandro
Paredes diminit ke-23 menyaksikan pengadil cuma melayangkan kad kuning kepada
kedua-dua pemain.
Membiarkan
Fred terus bermain selama 47 minit selepas beliau dilayangkan kad kuning
pertamanya antara harga yang perlu dibayar Ole Gunnar Solskjaer tatkala skuadnya
melepaskan peluang terbaik mereka untuk mara ke pusingan kalah mati lebih awal.
Ramai pihak mempersoalkan mengapa Solskjaer tidak melakukan pertukaran
sedangkan di bangku simpanan, beliau memiliki Donny Van de Beek dan Paul Pogba
sebagai pengganti.
Fred
sebenarnya memang bernasib baik kerana masih kekal di atas padang walaupun
insiden membabitkan beliau dengan Leandro Paredes itu sepatutnya berakhir
dengan layangan kad merah. Dan selaku pemain yang ditugaskan untuk merosakkan
tempo permainan lawan, Fred memang dituntut untuk melakukan terjahan-terjahan
keras sesuai dengan corak permainan yang dimiliki beliau.
Jadi
keputusan Solskjaer untuk terus mengekalkan Fred di atas padang juga adalah
satu perjudian yang besar. Akhirnya satu lagi terjahan yang dilakukan Fred ke
atas Ander Herrera diminit ke-70 menyaksikan United kekurangan seorang pemain
selepas mereka ketinggalan buat kali kedua menerusi gol yang dijaringkan Marquinhos,
hanya seminit sebelum Fred dilayangkan kad merah.
Tiada
peluang untuk United bangkit sepertimana yang mereka lakukan di babak pertama
dan segala sisa-sisa harapan akhirnya dipadam Neymar menerusi gol kedua
peribadi beliau dalam perlawanan ini yang dijaringkannya di masa kecederaan. Daripada
cuma keputusan seri yang diperlukan untuk mereka layak ke pusingan kalah mati,
United sebaliknya memilih jalan sukar dan nasib mereka bakal ditentukan pada
perlawanan terakhir menentang Leipzig di gelanggang lawan.
Peluang
masih terbuka buat tiga pasukan (United, PSG dan Leipzig) untuk meraih dua slot
ke pusingan kalah mati nanti, tetapi dalam situasi ini PSG berada dalam posisi
lebih baik kerana mereka bakal berdepan Istanbul Basaksehir di gelanggang
sendiri pada perlawanan terakhir. Manakala perhitungan terakhir di Red Bull
Arena pada 9 Disember nanti bakal penjadi perhitungan hidup dan mati antara
United dan Leipzig. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan