Tiga
pemain Manchester United tersenarai dalam kelompok sepuluh pemain (non
goalkeeper) yang paling banyak mengumpul minit permainan sepanjang 2020. Dalam
senarai yang dikeluarkan oleh CIES Football Obs itu, Liga Perdana memiliki
wakil paling ramai menerusi empat pemain yang tersenarai, La Liga pula memiliki
tiga wakil, satu dari Serie A (Itali), satu dari Liga Perdana Scotland dan satu
dari Serie A (Brazil).
Berikut
adalah sepuluh pemain yang paling banyak mengumpul minit permainan sepanjang
tahun 2020 (setakat ini):
Harry
Maguire (Man United): 4745 minit
Ruben
Dias (Man City): 4344 minit
Lionel
Messi (Barcelona): 4293 minit
Bruno
Fernandes (Man United): 4164 minit
Bruno
Pacheco (Ceara SC): 4162 minit
Romelu
Lukaku (Inter Milan): 4144 minit
Victor
Lindelof (Man United): 4142 minit
Raphael
Varane (Real Madrid): 4123 minit
Jesus
Navas (Sevilla): 4110 minit
Callum McGregor (Celtic): 4106 minit
Di
kemuncak senarai tentunya anda dapat melihat nama Harry Maguire selaku pemain
paling banyak mengumpul minit permainan (4745), jauh meninggalkan Ruben Dias
yang berada ditangga kedua dengan jurang 401 minit permainan. Tidak dapat
dinafikan bahawa Maguire, Lindelof dan Bruno merupakan tiga tonggak di posisi
masing-masing yang sering diturunkan Ole Gunnar Solskjaer dalam kesebelasan
utamanya. Jadi tidak hairanlah mengapa United mendominasi senarai yang
dikeluarkan oleh CIES Football Obs ini menerusi keberadaan Maguire, Lindelof
dan Bruno.
Meskipun
benteng pertahanan United sering dijadikan sasaran kritikan, namun dalam masa
yang sama anda juga tidak boleh menafikan sumbangan keseluruhan yang diberikan
oleh Maguire dan Lindelof selaku pasangan di bahagian tengah pertahanan mereka.
Atau mungkin lebih tepatnya, Solskjaer berasa `lebih selamat’ jika beliau meletakkan
kombinasi Maguire dan Lindelof selaku gandingan pertahanan tengah berbanding mana-mana
kombinasi pemain yang beliau miliki ketika ini.
Mengikut
catatan dari Daily Mail, Maguire tidak pernah terlepas walau sekalipun aksi dalam
saingan liga untuk United sejak beliau berpindah ke Old Trafford pada musim
panas 2019 yang lalu. Setakat musim ini pula, kapten United itu cuma terlepas
dua perlawanan dalam semua peringkat kejohanan (dalam aksi menentang PSG di
Liga Juara-Juara dan juga Brighton & Hove Albion di kejohanan Piala Liga).
Bagi
Victor Lindelof pula, beliau adalah `peneman setia’ untuk Maguire di jantung
pertahanan United. Kali terakhir Lindelof diletakkan di bangku simpanan ialah
ketika United dibelasah (1-6) dalam aksi liga menentang Tottenham Hotspurs pada
4 Oktober lalu. Selepas itu, Lindelof disenaraikan Solskjaer dalam kesebelasan
utama pada 15 aksi terakhir beliau untuk United dalam semua peringkat
kejohanan.
Apa
lagi yang mampu anda katakan tentang sumbangan Bruno Fernandes sejak beliau
menyertai United pada Januari lalu. Tiada siapa boleh menyangkal fakta bahawa
United memang sangat bergantung kepada keberadaan Bruno dalam menggerakan
jentera tengah mereka. Atau lebih tepatnya Bruno sering dijadikan objektif
utama Solskjaer untuk menembusi benteng pertahanan lawan menerusi visi
hantaran-hantarannya atau menerusi penyudah yang dilakukannya.
Lelaki
Portugal berusia 26 tahun ini boleh dikatakan terlibat dalam hampir kesemua
gol-gol yang dihasilkan barisan The Red Devils, manakala dalam saingan
liga musim ini pula beliau merupakan penjaring terbanyak United menerusi
sembilan gol yang sudah dijaringkannya selain mencipta lima bantuan gol. Sukar
untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku kepada United jika mereka beraksi
tanpa Bruno kerana suka atau tidak anda terpaksa mengakui bahawa beliau umpama `nyawa’ kepada permainan The
Red Devils.
Ketika
tahun 2020 semakin menuju ke penghujung, manakala mentari 2021 bakal menjengah
dalam beberapa hari lagi, nama Maguire, Lindelof dan Bruno nampaknya akan terus
mendominasi senarai kesebelasan utama United pada perlawanan-perlawanan
mendatang. Maguire dan Lindelof antara pemain yang sering dijadikan sasaran
kritikan, tetapi ironinya nasib United sebenarnya turut bergantung kepada dua
pemain ini dalam memastikan agar benteng mereka kekal kukuh.
Bruno
pula umpama ahli sihir yang berjaya mengubah nasib kelab sejak ketibaannya di
Old Trafford hampir 11 bulan yang lalu. Anda masih boleh berdebat tentang isu
konsistensi United di era Solskjaer, tetapi dalam masa yang sama suara-suara keyakinan
tentang peluang The Red Devils mencabar kejuaraan liga musim ini juga
semakin kuat kedengaran selepas aksi menentang Leeds tempohari. Ketika aura optimistik
semakin kuat terasa, berharaplah agar Maguire, Lindelof dan Bruno mampu terus memainkan
peranan penting dalam perjalanan United pada baki saingan musim ini. Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan