13 Februari 2024

SI `SEDERHANA' YANG SENTIASA ADA BILA DIPERLUKAN

 


Semua orang tahu betapa sinonimnya Jose Mourinho dengan label taktik `parkir bas’nya, dan semua orang tahu bahawa beliau merupakan seorang pengendali yang sangat mementingkan soal pemilihan pemain. Dalam `kepala’ Mourinho tiada istilah pemain bintang, kerana jika beliau merasakan bahawa seseorang pemain itu tidak sesuai dengan falsafah bolasepaknya, maka mereka dipersilakan pergi.

 

Di Real Madrid, beliau pernah menyingkirkan Pedro Leon dan Iker Casillas, di Manchester United beliau tidak pernah ragu meletakkan Paul Pogba dan Luke Shaw di bangku simpanan dan ketika tempoh kariernya di Tottenham Hotspurs, Tanguy Ndombele dan Dele Alli menjadi korban.

 

Sepanjang tempoh singkatnya di Old Trafford pula, Mourinho meneruskan pendekatan `kerasnya’ terhadap pemain hingga akhirnya mengorbankan karier beliau sendiri. Begitupun, Mourinho akan sentiasa diingati sebagai pengendali terbaik pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Setidak-tidaknya jika mengambilkira trofi yang berjaya beliau menangi bersama kelab.  

 

Selain dari kejayaan beliau mengemudi United menang kejuaraan Liga Europa, Perisai Komuniti dan Piala Liga, Mourinho juga adalah individu penting yang membuka pintu skuad utama buat Scott McTominay. McTominay bukanlah graduan akademi United yang memiliki kemampuan teknikal tinggi, tetapi Mourinho sangat tertarik dengan `attitude’ dan kerja kerasnya di atas padang.

 

Dalam tempoh 2013 hingga 2016, McTominay sebenarnya kurang diberikan minit permainan bersama skuad bawah umur United. Sepanjang tempoh tiga tahun, beliau hanya bermain sebanyak 12 kali untuk skuad U18, atau purata hanya empat perlawanan semusim. Bagaimanapun perkembangan fizikal beliau akhirnya melonjakkan karier McTominay.

 

Bayangkan dalam tempoh hanya 18 bulan, ketinggian beliau meningkat sebanyak 10 inci. Akhirnya pada musim 2016/17, McTominay diserap ke dalam skuad U21. Pada 2017, Mourinho pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau cuma perlukan tempoh 10 minit untuk membuat keputusan bagi menyerap McTominay ke dalam skuad utama.

 

Rasa percaya Mourinho terhadap kemampuan McTominay sebenarnya agak mengejutkan mengingatkan bahawa beliau bukanlah seorang pengendali yang peduli dengan perkembangan bakat-bakat dari akademi. Selepas diberikan peluang bermain dalam beberapa perlawanan `kurang penting’, McTominay akhirnya disenaraikan Mourinho dalam kesebelasan utama ketika United berdepan Sevilla di pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara pada Februari 2018.

 

Ketika Mourinho dihujani pelbagai kritikan pada musim terakhirnya di Old Trafford, warga Portugal itu sebaliknya memilih karakter McTominay sebagai contoh kualiti `yang semakin pupus’ dalam skuad United. “Dia memiliki karakter yang istimewa, keperibadian yang baik dan contoh pemain yang sebenarnya sangat diperlukan oleh mana-mana pasukan dalam tempoh-tempoh sukar. Adakah pemain saya yang lain memiliki mentaliti seperti dia? Tidak semua”, kata Mourinho.

 

Selepas pemecatan Mourinho, Solskjaer yang menggantikan posisi beliau terus meletakkan McTominay di tempat `yang istimewa’ dalam skuad utama. Solskjaer melabelkan McTominay sebagai `gergasi’ dan menjadikan pemain Scotland itu sebagai pilihan paling ideal bersama Fred dalam sistem `double pivot’nya di bahagian tengah.

 

Meskipun keberadaan `McFred’ kerap dihujani kritikan, jangan lupakan fakta bahawa kombinasi inilah yang membantu United menamatkan saingan liga dikelompok tiga teratas selama dua musim berturut-turut. Pencapaian yang sebenarnya tidak pernah dilakar United selepas persaraan Fergie. Bagaimanapun selepas ketibaan Ten Hag yang membawa falsafah bolasepak berbeza, McTominay bukan lagi pilihan utama dalam kesebelasan United.

 

Menerusi imaginasi bahawa United akan bermain dengan pendekatan penguasaan bola, McTominay bukanlah pemain tengah yang menepati tahap piawaian dikehendaki Ten Hag. Apa yang berlaku selepas Ten Hag berkuasa di Old Trafford ialah, McTominay cuma disenaraikan sebanyak 32 kali dalam kesebelasan utama di semua peringkat kejohanan. Meskipun timbul khabar angin mengatakan bahawa beliau sudah tiada dalam perancangan Ten Hag musim ini, pemain berusia 26 tahun itu sebaliknya masih kekal bertahan.

 

Bagi mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmat beliau, ada harga yang perlu dibayar. Pada bursa perpindahan musim panas lalu, West Ham datang dengan tawaran £30 juta, tetapi di mata Ten Hag nilai McTominay sebenarnya lebih daripada itu. Gaya permainan McTominay sangat sederhana kerana beliau bukanlah pemain tengah yang penuh bergaya seperti Paul Scholes atau Michael Carrick. Beliau juga bukanlah `maestro’ seperti Andrea Pirlo yang mampu memanipulasi masa atau mengawal tempo permainan.

 

Ringkasnya, McTominay adalah pemain tengah bertahan klasik yang tugasnya sentiasa terlibat dalam `duel’ dengan mana-mana pemain lawan ketika bola memasuki zon `middle’ atau `defensive third’. Ketika `fullback’ United mara jauh ke atas, McTominay pula akan menutup ruang yang ditinggalkan sambil sesekali bertindak sebagai opsyen kedua untuk melepaskan percubaan-percubaan dari luar petak penalti.

 

Tujuh gol yang beliau hasilkan dari 21 penampilan dalam saingan liga setakat ini meletakkan McTominay selaku penjaring terbanyak kelab. Manakala dua gol yang beliau ledak dalam tempoh hanya sepuluh minit aksinya di atas padang selaku pemain gantian ketika berdepan Brentford pada 7 Oktober lalu benar-benar momen yang menakjubkan. Selepas lebih tiga bulan penampilan `heroic’nya di Old Traffird itu berlalu, kelmarin McTominay sekali meletakkan dirinya sebagai `game changer’.

 

Gol kemenangan menerusi kepalanya di minit ke-86, akhirnya merubah keseluruhan lanskap perlawanan di Villa Park. Tatkala kita sudah berkira-kira bahawa United akan pulang dengan hanya satu mata, McTominay pula keluar dari bangku simpanan dan menghasilkan gol kemenangan tersebut selepas hanya 13 minit beraksi di atas padang. Apa yang beliau tampilkan tiga bulan lalu dan di Villa Park kelmarin, selain tujuh gol yang sudah dihasilkannya dalam saingan liga adalah sangat mengagumkan.

 

McTominay mungkin bukanlah pemain tengah yang didambakan keberadaannya oleh kebanyakan penyokong United kerana gaya permainan dan kemampuan teknikalnya. Tetapi `attitude’ dan sosok penampilannya di atas padang akan sentiasa mengingatkan kita kepada generasi pemain United terdahulu. Beliau bukanlah pemain tengah yang terlalu `stylish’, tetapi sentiasa ada pada saat-saat diperlukan.

 

Scott McTominay adalah gambaran sebenar Manchester United, pemain yang lahir dari sistem remaja kelab, bermain demi lencana di dadanya, berjuang dari minit ke minit permainan dan memberikan segenap yang ada dari kehidupannya ketika diberikan peluang beraksi. Mungkin inilah contoh yang pernah disebut Mourinho sebagai `kualiti yang semakin pupus’ dalam skuad United pada hari ini. Glory Glory Manchester United!!!



20 Disember 2023

BRUNO `SI PERENGUS'

 


Selepas tamat aksi di Anfield musim lalu yang menyaksikan United tewas 0-7, Chris Sutton mengatakan sudah tiba masanya Manchester United melucutkan `armband’ dari lengan Bruno Fernandes. Manakala Gary Neville pula melabelkan penampilan pemain tengah itu sebagai memalukan. Anda boleh melemparkan apa sahaja kritikan terhadap prestasi Bruno di Anfield, tetapi satu perkara yang pasti ialah Erik Ten Hag tidak mampu kehilangan sentuhan beliau dalam mana-mana perlawanan.


Ketika aksi menentang Real Betis di Old Trafford pada 10 Mac lalu, `tribune’ bergema dengan teriakan Bruno! Bruno! Bruno! selepas beliau menjaringkan gol ketiga United menerusi tandukan. Bruno memang wajar diberikan penghormatan kerana kebangkitan yang dilakukan beliau dari krisis di Anfield dan menjadi inspirasi kepada pasukan. Beliau terlibat dalam proses terhasilnya gol pertama serta kedua, dan kemuncaknya Bruno menjaringkan gol ketiga United diminit ke-58.


Sepanjang 90 minit aksi menentang Betis, Bruno menyentuh bola sebanyak 95 kali, melepaskan lima `key passes’, dua percubaan `on target’, mencipta dua peluang, melakukan tiga `dribble’, menyumbang satu `assist’ dan meledak satu gol. “Dia memainkan peranan sedikit kedalam malam ini. Dari belakang dia melakukan gerakan, melakukan banyak hantaran-hantaran berkualiti dan dari sana kami mencipta banyak peluang. Dia sangat cemerlang dan memimpin pasukan sejak minit pertama”, kata Ten Hag.


Dengan Dan Tanpa Bruno


Musim ini, penampilan Bruno sekali lagi dijadikan sorotan. Apa tidaknya kerana selepas liga berjalan hampir separuh musim, Bruno cuma mampu menjaringkan tiga gol dan mencipta dua bantuan gol berbanding catatan musim lalu (lapan gol dan lapan bantuan gol). Musim paling produktif buat Bruno berlaku pada musim 2020/21, apabila beliau berhasil menjaringkan 18 gol dan mencipta 12 bantuan gol. Secara keseluruhan, Bruno menjaringkan 28 gol dan mencipta 17 bantuan gol dalam semua kejohanan pada musim tersebut.  


Sejak berpindah ke Old Trafford pada Januari 2020, Bruno sudah terlibat dalam 95% perlawanan untuk United, atau 208 penampilan secara keseluruhannya. Dari 208 penampilannya pula, Bruno berjaya membantu United menang 144 perlawanan, seri 43 dan kalah 51. Bagaimana pula rekod United ketika mereka bermain tanpa Bruno? Sepanjang kariernya di Old Trafford, Bruno cuma terlepas 12 perlawanan, dengan yang terbaru ketika kelab berkunjung ke Anfield pada Ahad lalu. Catatan United tanpa Bruno pula ialah mereka menang 8 perlawanan, seri 2 dan kalah 2.


Statistik tanpa Bruno, United menang 73% perlawanan mereka berbanding 55% (ketika Bruno bermain) dan menjaringkan lebih banyak gol (2 gol per perlawanan). Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk perbandingan itu dibuat secara berasingan terhadap seorang pemain yang cuma terlepas sedozen perlawanan sepanjang tempoh hampir empat tahun. Tambahan pula hampir separuh aksi United tanpa Bruno berlaku ketika mereka beraksi di pusingan awal kejohanan piala domestik, atau ketika mereka berdepan perlawanan `yang diramal mampu mereka menangi’. 


Pada 6 November 2022, United bertandang ke Villa Park tanpa kehadiran Bruno dalam saingan liga. Selain kekalahan 1-3 pada penampilan pertama Unai Emery sebagai pengurus Aston Villa ialah, United juga mencatatkan `Expected Goals’ (xG) terendah sepanjang musim 2022/23. Empat hari kemudian, United sekali lagi dijadualkan berdepan Villa dan kali ini di pusingan ketiga Piala Liga pula. Apa yang dapat anda saksikan ialah penampilan berbeza dipamerkan United di Old Trafford apabila Bruno berada dalam skuad.


Bruno bukan sahaja berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu, tetapi apa yang menariknya ialah penglibatan beliau dalam kesemua empat gol yang dihasilkan United. Masih ingat lagi ketika United dibuli Sevilla dalam aksi Liga Europa di Ramon Sanchez Pizjuan pada April lalu? Bruno cuma mampu memerhati dari `tribune’, tetapi apa yang menariknya ialah komen Jose Luis Mendilibar selepas tamat perlawanan. “Ia berjalan lancar untuk kami. Kami menang 3-0 menentang Manchester United yang bermain tanpa Fernandes dan tanpa sebarang ketakutan”.


Sasaran Kritikan


Aksi liga di Anfield pada Ahad lalu, United sekali beraksi tanpa Bruno. Musim lalu, Anfield adalah mimpi ngeri buat Bruno selepas beliau dijadikan `kambing hitam’ atas kekalahan besar 0-7 yang dialami United. Kritikan yang beliau terima selepas `pembantaian’ itu sangat berlebihan terutama dari bekas pemain United sendiri. Sebelum aksi menentang Liverpool pada Ahad lalu berlangsung, Richard Keys dan Michael Owen juga menuduh Bruno sengaja dilayangkan kad kuning ketika berdepan Bournemouth agar beliau terlepas perlawanan ini kerana penggantungan.


Sangat tidak bertanggungjawab bila tuduhan seperti itu dilemparkan ke atas pemain yang sebenarnya memiliki minit permainan paling banyak berbanding mana-mana pemain yang beraksi di liga-liga utama Eropah. Untuk seorang pemain yang sentiasa ada dalam momen-momen buruk kelab, tiada keraguan bahawa Bruno juga sebolehnya tidak mahu terlepas peluang beraksi menentang Liverpool dan mengetuai rakan-rakan sepasukannya di Anfield.


Musim ini beliau memimpin kebangkitan United saat mereka ketinggalan dua gol ketika berdepan Nottingham Forest. Menjaringkan gol kemenangan ketika berdepan Fulham dan juga dominan ketika mengetuai kemenangan United ke atas Everton dan Chelsea. Anda boleh lemparkan segala kritikan ke atas penampilan beliau, tetapi dalam masa sama, anda juga tidak boleh menafikan bahawa dengan lima gol dan lima `assist’ yang disumbangkannya dalam semua kejohanan musim ini, Bruno merupakan pemain United paling produktif.


Penutup


Ketika Bruno tiba di Old Trafford pada Januari 2020, kelab sedang berdepan cemuhan penyokong selepas kekalahan kepada Burnley di gelanggang sendiri. Kekalahan itu juga merupakan kekalahan keempat yang dialami United dari tujuh aksi terakhir liga mereka. Tatkala moral pasukan berada di titik paling rendah, Ole Gunnar Solskjaer sekadar melakukan sedikit penambahbaikan dalam skuadnya dengan membawa masuk Bruno dari Sporting Lisbon pada jendela perpindahan pertengahan musim.


Apa yang berlaku selepas itu, United tidak tewas pada baki 14 perlawanan liga mereka, Bruno meledak tujuh gol dan di penghujung musim, United menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Dalam tempoh hampir empat tahun, Bruno bermain di bawah kendalian tiga pengurus berbeza yang memiliki falsafah bolasepak berlainan. Solskjaer meletakkan Bruno sebagai `playmaker’ utamanya, kerap berperanan sebagai pemain `nombor 8’ di era Ralf Rangnick dan fleksibiliti beliau sering digunakan Ten Hag untuk Bruno bergerak sebagai pemain `nombor 6, 8 dan 10’.


Anda mungkin adakalanya jengkel dengan sikap Bruno yang suka merengus dan mengeluh, tetapi itu sebenarnya adalah sikap kompetitif seorang pemain. Anda mungkin mengatakan bahawa Bruno sudah tidak seperti dulu, tetapi cuba namakan seorang pemain United paling konsisten dalam tempoh empat tahun. Selepas tamat aksi di Anfield tempohari, ada peminat United yang secara sinis mengatakan, “Ada Bruno, United kalah 0-7. Tanpa Bruno, United seri 0-0”. Kasihan Bruno, kerana beliau dihakimi hanya berdasarkan kepada satu perlawanan. Glory Glory Manchester United!!! 

29 November 2023

BUDAK ITU NAMANYA KOBBIE MAINOO

 


Jaringan sensasi Alejandro Garnacho menjadi tajuk utama akhbar, nama Marcus Rashford dan Anthony Martial kembali berada dalam senarai penjaring, dan Manchester United muncul kesebelasan pertama yang mencatatkan angka 500 `cleansheet’ dalam sejarah Liga Perdana adalah antara cerita yang mewarnai kemenangan 3-0 dilakar United ke atas Everton di Goodison Park. Bagaimanapun ada satu nama yang perlu anda sebut, bukan kerana `debut’ nya di Liga Perdana, tetapi kerana penampilan keseluruhan `budak’ berusia 18 tahun itu yang menghidupkan permainan United di Goodison Park.

 

`Budak’ yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Kobbie Mainoo, pemain termuda yang beraksi di atas padang pada Ahad lalu. Jika mengambilkira penampilan Kobbie sepanjang kempen pra musim United, apa yang ditampilkan beliau pada `debut’nya di Liga Perdana bukanlah sesuatu yang mengejutkan, meskipun ramai melabelkan ia sebagai di luar ekspektasi. Pada Julai lalu, Kobbie beraksi dalam kempen pra musim United ketika mereka berdepan Leeds United, Lyon dan Arsenal menerusi catatan keseluruhan 137 minit permainan dalam tiga perlawanan tersebut.

 

Dari tiga penampilan pra musimnya untuk United, Kobbie melepaskan 92 hantaran, mencipta satu `key passes’, 12 `intercept’, satu `assist’, sukses melakukan tiga `dribble’ dari lima percubaan dan memenangi 18 dari 23 `duel’. Bagaimana pula catatan beliau ketika berdepan Everton tempohari? Sepanjang 72 minit penampilannya di Goodison Park, Kobbie memenangi kesemua `tackle’, melakukan 61 sentuhan bola, melepaskan 34 hantaran tepat dari 41 hantaran keseluruhan yang dilakukannya, tiga `ball recoveries’, dua `intercept, satu `clearance’ dan satu `block’.   

 

Krisis kecederaan yang melanda para `midfielder’ mereka menyebabkan kunjungan United ke Goodison Park bukanlah satu tugas yang mudah. Tanpa Casemiro, Mason Mount dan Christian Eriksen, Ten Hag tiada pilihan lain selain memandang ke arah seorang pemain muda yang masih mentah untuk disenaraikan ke dalam kesebelasan utamanya. Masih terlalu awal untuk memuja dan memuji Kobbie, tetapi apa yang beliau pamerkan selama 72 minit di Goodison Park adalah cebisan yang hilang dalam skuad United musim ini, iaitu fungsi sebenar seorang pemain `nombor 6’.    

 

Pada usia yang masih mentah, Kobbie boleh dianggap cukup tenang mengawal zonnya, tahap kepekaan yang bagus, tahu bila waktu yang tepat untuk bertahan dan lihat juga bagaimana beliau memenangi setiap pertembungannya dengan James Garner. Sepertimana yang disebut dalam artikel di Starting Eleven, Kobbie memainkan dua tugas penting ketika berdepan Everton. Iaitu melakukan `covering a huge amount of ground’ dan `filling in gaps all over the pitch’, sekaligus melepaskan Bruno Fernandes untuk memainkan pengaruh yang lebih besar di bahagian hadapan.  

 

Beroperasi di hadapan `backline’, Kobbie antara pemain yang sering menerima hantaran dari Andre Onana ketika United dalam fasa melakukan `build up’. Ketenangan dan keyakinan ketika bola berada di kakinya bermakna Kobbie juga tahu apa yang perlu beliau lakukan untuk menangani `pressing’ dari lawan, atau beliau perlu melakukan `touch and return’ sebelum bola dibawa ke hadapan. Di Goodison Park, hanya ada empat pemain United yang memiliki catatan sentuhan bola lebih tinggi berbanding Kobbie, tetapi harus diingat bahawa keempat-empat mereka bermain selama 90 minit. 

 

Penampilan Kobbie sering dibandingkan dengan Paul Pogba, tetapi Pogba sepanjang fasa kedua kariernya di Old Trafford sering merungut kerana dipaksa untuk bermain lebih ke bawah, sekaligus membataskan potensinya. Jadi bagaimana pula dengan Kobbie? Dalam penampilannya untuk skuad U21 United, Kobbie menunjukkan variasi dalam permainannya. Beliau boleh berperanan dengan sangat baik sebagai pemain `nombor 6, 8 atau 10’. `Serba boleh’ adalah frasa yang sangat disukai Ten Hag bila beliau bercakap tentang seorang pemain tengah, jadi atas sebab itulah mengapa beliau menandatangani Mount pada Julai lalu.

 

Meskipun baru berusia 18 tahun, Kobbie bukan sahaja melangkaui ekspektasi, tetapi juga harapan ramai pihak ketika beliau berpasangan bersama Scott McTominay dalam sistem `double pivot’ yang digunakan United ketika berdepan Everton. Aset utama Kobbie sebagai pemain bukan hanya terbatas dalam soal bakat, tetapi kerana ketenangan yang dimilikinya dalam mengawal situasi, tahap kepekaan kepada persekitaran dan bacaan ruang dalam permainan. Jadi tidak hairanlah mengapa Gary Neville menyebut bahawa, “Pemain berusia 18 tahun berjersi merah itu kelihatan seperti pemain paling berpengalaman di atas padang”. Glory Glory Manchester United!!!



28 September 2023

KEBANGKITAN SEMULA `SLABHEAD'?

 


Kali terakhir anda melihat penampilan Harry Maguire dalam kesebelasan utama United pada perlawanan kompetitif ialah ketika aksi menentang Fulham pada 28 Mei yang lalu. Apa yang berlaku selepas aksi terakhir liga musim lalu itu, Maguire hilang tempat dalam kesebelasan utama, malah lebih malang jawatan beliau sebagai kapten pasukan juga turut dilucutkan. Dengan hanya 16 penampilan liga musim lalu, selain aksi persis bek amatur dibenteng pertahanan United, keputusan Erik Ten Hag melucutkan `armband’ kapten pasukan dari lengan beliau memang sudah dijangka.

 

Musim ini, dari enam aksi awal Liga Perdana, Maguire cuma diturunkan sekali ketika United tewas 1-3 kepada Arsenal. Penampilan selama 24 minit sebagai pemain gantian di Stadium Emirates itu adalah yang pertama dan terakhir dilakukan Maguire dalam tempoh 24 hari, sehinggalah namanya tersenarai kembali dalam kesebelasan utama ketika United berdepan Crystal Palace di pusingan ketiga Piala Liga (Carabao Cup). Selepas tamat perlawanan, rata-rata penyokong bercakap tentang penampilan cemerlang Sofyan Amrabat dan Casemiro selain tiga gol yang dihasilkan United dalam perlawanan itu.

 

Amrabat dan Casemiro memainkan peranan penting di sebalik kejayaan United mara ke pusingan keempat, tetapi penampilan Maguire di benteng pertahanan juga sebenarnya wajar diberikan pujian. Tiada lagi jenaka di atas padang yang sering dilakukan bekas kapten kita itu, tetapi apa yang anda saksikan ialah kerja kerasnya sepanjang 90 minit permainan. Biarlah statistik berbicara, dan biarkan juga statistik menjadi saksi betapa solidnya penampilan Maguire pada perlawanan itu bersama Raphael Varane, Diogo Dalot dan Amrabat di benteng pertahanan.

 

Beliau melakukan 108 hantaran tepat, memenangi kesemua `aerial duel’, menang dua daripada tiga `ground duel’, menang kedua-dua `tackle’, melakukan dua `clearance’ dan dua `intercept’. Maguire juga muncul pemain paling banyak melakukan hantaran dalam perlawanan itu menerusi 116 hantaran yang dilakukannya. `Accuracy’ hantarannya yang mencapai angka 93%, manakala enam dari tujuh hantaran jauh yang dilakukannya menepati sasaran antara faktor yang menghidupkan skema `build from the back’ yang diterapkan Ten Hag dalam sistem permainan United.

 

90 minit penampilannya pada aksi menentang Palace adalah contoh sempurna dalam aspek bertahan yang sangat-sangat diperlukan United, dan statistik di atas adalah saksi yang tidak akan pernah berbohong. Tatkala United berdepan krisis kecederaan yang membelenggu penampilan mereka, Maguire pula memilih saat terbaik untuk memberitahu kepada para pengkritiknya bahawa beliau masih boleh diharapkan. Meskipun selama ini beliau dibuli tanpa henti di ruang siber, Maguire sabar menunggu peluang dan bekerja keras dalam diam demi merebut semula tempatnya dalam kesebelasan utama.

 

Dan tatkala pemain muda seperti Jadon Sancho berdepan isu di dalam dan luar padang, Maguire pula menunjukkan contoh terbaik kepada juniornya itu tentang cara sebenar untuk bangkit semula. Apa yang anda lihat sepanjang 90 minit aksi United menentang Palace adalah Maguire versi `prime’nya ketika di Leicester City. Sukar untuk menjawab pertanyaan, adakah Maguire sudah kembali ke prestasi terbaiknya hanya berdasarkan kepada satu perlawanan. Tetapi setidak-tidaknya penampilan `Slabhead’ ketika berdepan Palace satu isyarat daripadanya kepada kita bahawa di era Ten Hag, beliau masih punya harapan. Glory Glory Manchester United!!!



23 September 2023

ADAKAH ONANA `KEEPER' YANG TERUK?

 


Dari enam penampilan pertama Andre Onana untuk United setakat ini, gawang beliau sudah dibolosi sebanyak 14 kali atau ratio 2.3 gol per perlawanan. `Blunder’ yang dilakukan beliau, hingga membolehkan Leroy Sané menjaringkan gol pertama Bayern ketika aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada Rabu lalu memanjangkan lagi episod buruk penampilan Onana sejak beliau menyertai United pada Julai lalu. Adakah kelab melakukan kesilapan besar dengan melepaskan David De Gea dan membawa Onana sebagai pengganti?

 

Kelab membayar €55 juta kepada Inter bagi mendapatkan khidmat Onana, tetapi prestasi beliau dalam enam penampilan pertama untuk United tidak langsung menggambarkan bahawa inilah antara watak protagonis yang membawa Inter mara ke pentas final Liga Juara-Juara musim lalu selain dua kejuaraan domestik. Jadi tidak hairanlah mengapa penyokong United mula membandingkan penampilan beliau dengan De Gea, legenda kelab yang pernah `memegang kunci’ pintu gol United selama 12 musim.

 

Bolos 14 kali hanya dari enam penampilan merupakan satu statistik yang sangat buruk untuk seorang penjaga gol. Adakah prestasi Onana kali ini lebih buruk dari De Gea pada fasa awal penampilan warga Sepanyol itu Old Trafford 12 tahun lalu? Menurut catatan Transfermarkt, Onana bolos 10 kali dari lima penampilan pertamanya untuk United di Liga Perdana berbanding De Gea yang hanya dibolosi sebanyak 4 kali. Dalam soal `clean sheet’ pula, De Gea juga lebih unggul menerusi dua catatan `clean sheet’ dari lima penampilan pertamanya berbanding Onana.

 

Jika statistik di atas mahu dijadikan perbandingan, tampak seperti kelab sudah melakukan kesilapan besar dengan menandatangani Onana. Bagaimanapun statistik juga menunjukkan bahawa dari lima penampilan pertama Onana di Liga Perdana, beliau berjaya menafikan 29 percubaan `on target’ berbanding 19 yang dilakukan De Gea (musim 2011/12). Bagi seorang `ball playing goalkeeper’ dalam sistem bolasepak moden pula, Onana dituntut untuk mengawal zonnya dengan baik menerusi kemampuan kedua-dua belah kakinya.

 

Walaupun baru beraksi lima perlawanan di Liga Perdana, beliau berjaya melakukan 149 hantaran tepat dari 194 hantaran yang dilakukannya. Dan dari jumlah tersebut 80 hantaran dilakukan beliau ke zon `middle third’. Sebagai seorang `ball playing goalkeeper’, tiada keraguan tentang kemampuan dan `accuracy’ hantaran yang dilakukan Onana, tetapi tidak kepada tindakan-tindakan refleksnya. Bukan hanya Onana yang memiliki kelemahan tersebut, kerana `ball playing goalkeeper’ seperti Ederson Moraes juga berdepan masalah yang sama hinggakan beliau pernah diberikan gelaran `one shot one goal’.

 

Terdapat risiko yang sangat tinggi dalam permainan bagi mana-mana pasukan yang memiliki seorang `ball playing goalkeeper’, dan penyokong United juga sepatutnya sudah menyedari perkara tersebut jika anda melihat statistik Onana di Serie A. Musim lalu, Onana dibolosi sebanyak 24 kali, dan angka tersebut sebenarnya mengatasi catatan xGOT (expected goal on target) beliau iaitu 19.5. Di Liga Perdana pula setakat ini, pintu gol United sudah dibolosi sebanyak sepuluh kali dengan catatan xGOT beliau ialah 8.6.

 

James Horncastle yang juga merupakan seorang `journalist’ bolasepak Eropah dalam tulisannya menyebut bahawa “the lack of stable enviroment" di United antara penyebab mengapa Onana bergelut pada penampilan awalnya bersama kelab. “Musim lalu dia menerima banyak kritikan kerana ramai pihak berpendapat dia sepatutnya mengawal gawang Inter dengan tangan, bukan kakinya. Lama kelamaan kita akan dapat melihat nilai sebenar Onana. Pada masa ini dia berada di Manchester United, kelab yang tidak memiliki `persekitaran yang stabil’” kata Horncastle.

 

Agak tidak adil untuk menghakimi Onana hanya menerusi lima atau enam penampilan awalnya. Kelab menandatangani seorang `ball playing goalkeeper’ seperti beliau kerana Ten Hag mahukan United bermain dengan pendekatan `build from the back’. Apa yang perlu dilakukan Onana selepas ini ialah meningkatkan lagi kemampuan `shot stopping capabilities’ nya. Johan Cryuff pernah berkata, “Dalam sistem permainan saya, penjaga gol adalah penyerang pertama. Manakala penyerang adalah pertahanan pertama”. Glory Glory Manchester United!!!



07 September 2023

LELAKI MAGHRIBI PERTAMA...

  


Maghribi muncul kesebelasan yang penuh dengan kejutan sepanjang kempen pusingan akhir Piala Dunia 2022 yang lalu. Dalam saingan peringkat kumpulan, mereka muncul juara Kumpulan F, sekaligus memadam ramalan awal yang meletakkan Belgium dan Croatia sebagai calon paling berpotensi mara ke pusingan kalah mati. Di pusingan 16 pasukan, ngauman skuad Singa Atlas itu sekali lagi bergema, kali ini menerusi kejayaan mereka menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Pablo Sarabia, Juan Soler dan Sergio Busquets gagal menyempurnakan sepakan penalti kerana ketangkasan Yassine Bounou, tetapi sebelum bekas penjaga gol Sevilla itu diangkat sebagai wira, Maghribi sepatutnya berterima kasih atas penampilan cemerlang yang dipamerkan Sofyan Amrabat di bahagian tengah. Penampilan energetik Amrabat berjaya meneutralkan setiap pergerakan yang cuba diatur Pedri, Gavi atau Busquets, jadi tidak hairanlah mengapa sepanjang perlawanan, Sepanyol cuma mampu melepaskan satu percubaan `on target’.

 

Amrabat adalah mimpi buruk Sepanyol dalam perlawanan itu dan watak penting di sebalik kejayaan Maghribi mara ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia. Amrabat juga menjadi tembok kukuh yang melindungi benteng pertahanan Maghribi dari asakan Sepanyol, dan sepanjang perlawanan beliau melakukan empat `tackle’, satu `clearance’ dan memenangi kesemua `duel’ dengan pemain lawan. Perjalanan epik Maghribi tersekat di peringkat separuh akhir, tetapi penampilan impresif Amrabat membuka mata kelab-kelab besar Eropah.

 

Siapakah Dia?

 

Sepertimana kebanyakkan rakan beliau dalam skuad kebangsaan Maghribi, Amrabat merupakan imigran yang lahir dan membesar di Belanda. Beliau menyertai akademi Utrecht pada 2007 dan tiga tahun kemudian namanya tersenarai dalam skuad U15 Belanda. Bagaimanapun pada 2013, beliau menyertai skuad U17 Maghribi dan beraksi di pentas Piala Dunia U17. Aksi persahabatan menentang Tunisia pada 28 Mac 2017 merupakan penampilan pertama Amrabat untuk skuad senior Singa Atlas dan sejak itu beliau sudah melakukan dua penampilan di pentas Piala Dunia.

 

Akademi Utrecht banyak membentuk gaya dan karakter permainan Amrabat. Gaya permainan beliau yang lebih fizikal dan keras menyaksikan Amrabat sering diberikan tugas untuk berperanan sebagai pemain tengah bertahan, melakukan sedikit kerja-kerja kotor menerusi `tackle’ dan `duel’ yang dilakukannya terhadap pemain lawan. Selepas lapan tahun beraksi di peringkat remaja, Amrabat akhirnya diserap ke skuad senior Utrecht kendalian Erik Ten Hag pada 2014. Sepanjang tiga musim, beliau melakukan 54 penampilan, menjaringkan 10 gol dan mencipta 10 bantuan gol untuk Utrecht dalam semua peringkat kejohanan.

 

Pada musim panas 2017, Amrabat menyertai Feyenoord Rotterdam, dan di De Kuip beliau berjaya memenangi satu kejuaraan Piala KNVB dan dua kali menjulang trofi Perisai Johan Cryuff. Keputusan beliau menyertai Club Brugge selepas hanya semusim di kota Rotterdam menyebabkan karier Amrabat mula berantakan. Potensi besarnya di Belanda mula meredup di bumi Belgium, yang akhirnya menyaksikan beliau dipinjamkan ke kelab Serie A, Hellas Verona pada Ogos 2019. Setahun selepas itu beliau menyertai Fiorentina secara tetap pada musim panas 2020.

 

Berevolusi

 

Ten Hag menandatangani Amrabat bukan disebab faktor beliau pernah bekerjasama dengan pemain itu semasa di Utrecht, tetapi Ten Hag melihat pemain antarabangsa Maghribi itu sudah berevolusi bukan sahaja dari segi pengalaman, tetapi fizikal dan kemampuannya ketika beraksi di atas padang. Dengan ketinggian 1.85m dan postur tubuh yang tegap, Amrabat umpama pelindung kepada rakan di  benteng pertahanan ketika beraksi bersama skuad kebangsaan mahupun kelab. Tipikal pemain tengah bertahan seperti inilah yang tidak dimiliki United dalam tempoh beberapa musim terakhir sebelum kedatangan Casemiro.  

 

Bagi penyokong United, kejayaan kelab menandatangani pemain tengah bertahan seperti Amrabat merupakan satu langkah yang sangat penting, kerana mereka melihat benteng pertahanan United sangat terdedah dengan serangan lawan pada empat aksi awal liga mereka. Atau lebih tepatnya, Amrabat adalah kunci penyelesaian kepada isu kurangnya sokongan kepada Casemiro di `defensive third’. Sepertimana Casemiro, Amrabat juga sangat dikenali kerana reputasinya yang tiada kompromi ketika melakukan duel dengan pemain lawan.

 

Di Qatar, Amrabat berjaya merebut bola dari penguasaan lawan sebanyak 57 kali, sekaligus muncul pemain paling banyak melakukan aksi tersebut sepanjang kempen Piala Dunia yang lalu. Di Fiorentina, peranan Amrabat bagaimanapun sedikit berbeza berbanding ketika beliau menyarung jersi skuad kebangsaan. Vincenzo Italiano tahu tentang kemampuan Amrabat dalam melakukan hantaran, jadi beliau sering mengarahkan pemain itu terlibat dalam setiap sirkulasi bola. Secara purata, Fiorentina mencatatkan 56.4% penguasaan bola per perlawanan, catatan kedua tertinggi selepas Napoli di Serie A.


Dalam tempoh 12 bulan terakhir, Amrabat melepaskan purata 9.6 hantaran progresif dalam setiap perlawanan dengan ketepatan hantaran (progresif) yang dilakukannya mencapai angka 98%. Penampilan Amrabat di peringkat kelab sangat kontras dengan apa yang beliau mainkan untuk Maghribi di Piala Dunia lalu. Statistik 56.4% penguasaan bola per perlawanan yang dilakukan Fiorentina menunjukkan bagaimana kecenderungan mereka untuk menguasai bola. Manakala catatan peratus penguasaan Maghribi pada kempen Piala Dunia mereka pula sekadar 37.8%.

 

Pendekatan permainan Fiorentina yang lebih ofensif membolehkan Amrabat lebih banyak menguasai bola dan menggunakan kemahirannya dalam melakukan hantaran. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau mampu merakamkan ketepatan hantaran sebanyak 89.3% per perlawanan. Untuk rekod, hanya ada empat pemain tengah di Serie A yang memiliki catatan lebih baik berbanding beliau. Secara keseluruhan dalam saingan liga musim lalu, beliau melepaskan 131 hantaran jauh (7.4 hantaran per perlawanan) sekaligus muncul pemain tengah paling banyak melakukan hantaran tersebut.

 

Peratus ketepatan hantaran jauh yang dilakukannya pula ialah sebanyak 79.4%, iaitu catatan kedua tertinggi selepas Stanislav Lobotka (Napoli). Selepas melihat statistik ini, apa yang boleh kita simpulkan ialah Amrabat bukan sekadar tipikal `ball-winning midfielder’ tetapi beliau juga mampu berperanan sebagai `deep-lying playmaker’ untuk Fiorentina. Bersama United, Amrabat bukanlah pesaing Casemiro, tetapi `pendamping’ yang ideal untuk pemain antarabangsa Brazil itu menerusi peranan yang bakal beliau mainkan sebagai `pemain nombor 6’.

 

Pilihan Ideal?

 

Musim lalu Christian Eriksen, Scott McTominay dan Fred pernah diberikan tugas sebagai `deep-lying midfielder’ ketika Casemiro tersisih dari skuad, tetapi tiada seorang pun antara mereka yang mampu berperanan sebagai `volante’ dengan berkesan. Jadi bagaimana dengan Amrabat? Ten Hag sering bercakap tentang bagaimana beliau mahu United bermain, iaitu melakukan intensiti `pressing’ yang tinggi dan kemudiannya `playing out from the back’. Tetapi untuk melakukannya, beliau perlukan seorang pemain yang mampu melakukan proses transisi dengan berkesan.

 

Secara keseluruhannya, United melancarkan 102 serangan secara `direct’ musim lalu, jumlah tertinggi berbanding mana-mana pasukan di Liga Perdana dan berhasil menjaringkan sembilan gol dari situasi tersebut. Amrabat diketahui memiliki kualiti dan julat hantaran jarak pertengahan dan jauh yang bagus. Setidak-tidaknya itu yang sudah beliau tunjukkan di Serie A. Jadi Ten Hag percaya bahawa beliau sudah memiliki pemain yang ideal, bukan sahaja untuk memperkuatkan jentera tengah United tetapi juga pemain yang mampu melakukan proses transisi dengan berkesan.

 

Penutup

 

Amrabat terpaksa menunggu lebih 70 hari sebelum perpindahannya ke Old Trafford dimuktamadkan, sekaligus muncul lelaki pertama dari Maghribi yang beraksi untuk United. Dalam tempoh itu, beliau dikatakan menolak tawaran lumayan yang datang dari Arab Saudi dan kelab sekitar Eropah. Bagi Amrabat, beliau sudah bertekad…jika mahu berpindah destinasinya hanyalah satu, iaitu Old Trafford. Bukan mudah untuk menanti sesuatu yang belum pasti, tetapi untuk United beliau sanggup menunggu dan terus menunggu. Sepertimana kata Fabrizio Romano, dengan apa yang telah beliau lakukan, Amrabat layak mendapat pujian dan penghormatan dari penyokong United. Glory Glory Manchester United!!!



01 September 2023

TIDAK SEPERTI DULU

 


Aksi Liga Perdana minggu keempat bakal menyaksikan pertembungan menarik membabitkan Manchester United dan Arsenal. Aksi yang bakal dilangsungkan di Stadium Emirates itu boleh dikategorikan sebagai perlawanan terbesar di Liga Perdana pada minggu ini. Meskipun dilabel sebagai `perlawanan besar’ minggu ini, `perang’ antara United dan Arsenal tidak lagi sehebat ketika era kemuncak perseteruan mereka terutamanya di penghujung dekad 90an atau ketika awal era millenium. Hakikatnya api perseteruan itu sebenarnya sudah lama malap.

 

Tiada siapa boleh melupakan aura pertembungan antara United dan Arsenal ketika itu. Percakaran antara Roy Keane dan Patrick Vieira serta perang psikologi antara Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger antara elemen yang menjadi penyebab mengapa pertarungan antara United dan Arsenal di atas padang sentiasa dinanti dengan penuh teruja. Jadi tidak hairanlah mengapa hingga sekarang, kita masih sentiasa menyebut dan sentiasa mengimbas kembali puncak perseteruan itu kerana ia adalah simbol kepada masa lalu yang indah. 

 

Seteru

 

Menurut Steve McClaren, Fergie merupakan seorang individu yang suka akan cabaran dan tentangan. Jadi di Liga Perdana ketika itu, beliau perlukan seorang `musuh’ yang boleh diajak berlawan, berkonfrontasi dan bertegang urat leher di tepi padang. Kenny Dalglish dan Kevin Keegan pernah cuba menganggu dominasi Fergie tetapi kegarangan mereka cuma berlangsung semusim. `King’ Kenny pernah memecah dominasi United apabila beliau berjaya mengemudi Blackburn Rovers menjulang kejuaraan liga pada musim 1994/95.

 

Manakala Keegan pula mampu membuatkan Fergie berpeluh sebelum United akhirnya berjaya memintas Newcastle untuk menjulang kejuaraan liga pada musim 1996/97. Bagaimanapun kehadiran Wenger di Highbury pada 1996 benar-benar membuatkan keharmonian Fergie terusik. Pada musim pertama beliau di Liga Perdana, Wenger berjaya mengemudi Arsenal menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Satu pencapaian yang sangat mengagumkan buat seorang pengurus yang datang dari liga bolasepak Jepun.

 

Apa yang Fergie fikirkan ketika itu? Sudah pasti beliau tahu bahawa kini sudah ada individu yang mampu merosakkan dominasi United di England. Kebimbangan Fergie akhirnya menjadi kenyataan, apabila pada musim kedua Wenger di Highbury (1997/98), beliau berjaya mengemudi Arsenal menjulang kejuaraan `double’ menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Perdana dan Piala FA. Ego Fergie bukan sahaja tercalar, tetapi kebangkitan Arsenal di tangan Wenger juga sebenarnya membuatkan beliau lebih bermotivasi.

 

Apa hasilnya? Pada musim berikutnya (1998/99), Fergie membawa United ke dimensi berbeza menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan `treble’. Dalam tempoh 24 tahun, tiada mana-mana kelab England yang berjaya menyamai pencapaian ini sehinggalah Manchester City melakukannya pada musim lalu. Begitupun, Arsenal di tangan Wenger masih sentiasa menjadi lawan yang sangat sukar untuk dihadapi United hinggakan pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan sering diwarnai dengan insiden-insiden panas.

 

Api Sengketa

 

`Battle of Old Trafford’ dan `Battle of the Buffet’ antara insiden yang tidak boleh terlepas dari topik perbualan jika anda mahu mengenang kembali perseteruan membabitkan United dan Arsenal di era Fergie/Wenger. Permusuhan antara United dan Arsenal turut menyebabkan David Beckham terkena tempiasnya. Pada 15 Februari 2003, United dan Arsenal bertembung di pusingan kelima Piala FA yang berlangsung di Old Trafford. Sepertimana aksi-aksi sebelumnya, pertembungan ini turut diwarnai dengan percakaran antara pemain di atas padang.

 

Suhu panas ini akhirnya turut terbawa-bawa hingga ke bilik persalinan dan ketika inilah insiden `boot’ terbang berlaku hingga menyebabkan kening Beckham berdarah. Kemarahan Fergie terhadap ketumpulan barisan hadapannya dalam menyudahkan peluang diterjemahkan beliau menerusi satu rembatan padu pada `boot’ pemain yang kemudiannya melayang hingga mengenai kening Beckham. Keesokkan harinya imej Beckham dengan kening bertampal tular di dada akhbar hingga menutup kisah tentang kekalahan 0-2 United kepada seteru mereka itu.

 

Insiden di bilik persalinan ini satu petanda awal bahawa karier Beckham di Old Trafford bakal berakhir. Di penghujung musim, Arsenal berjaya menjulang kejuaraan Piala FA, manakala Beckham pula menamatkan karier sebelas tahunnya bersama kelab dengan menyertai Real Madrid. Meskipun disingkir dari kempen Piala FA, menutup tirai musim 2002/03 dengan kejayaan merampas semula kejuaraan liga dari tangan Arsenal tetap satu pencapaian yang boleh dibanggakan Fergie. Bagaimanapun Arsenal pada musim berikutnya tampil lebih menggerunkan.

 

Di sebalik kegagalan Arsenal mempertahankan kejuaraan liga mereka (musim 2002/03), Wenger membentuk skuad `The Gunners’ yang lebih solid bagi menghadapi musim baharu. Berbekalkan tonggak sedia ada dan tujuh pemain baharu yang dibawa masuk, Arsenal melakar sejarah baharu bolasepak Inggeris apabila mereka menamatkan saingan liga musim 2003/04 tanpa disentuh sebarang kekalahan. Menjuarai liga dengan status `invincibles’ adalah gambaran betapa menakutkan skuad Arsenal yang dibentuk Wenger ketika itu.

 

Liga Perdana sejak dulu memang diakui sebagai liga paling sukar didunia dan memenanginya tanpa disentuh sebarang kekalahan adalah satu pencapaian yang diluar jangkauan akal fikiran. Selepas lebih setahun beraksi tanpa kalah, Arsenal akhirnya terpaksa akur bahawa catatan epik tersebut akhirnya menujuk ke titik penamat. Ironinya, rentetan catatan 49 perlawanan tanpa kalah Arsenal lebur ditangan United pada 24 Oktober 2004. Di akhir perlawanan ketika pemain kedua-dua pasukan berada di terowong, tercetuslah insiden `Battle of the Buffet’ yang sangat terkenal itu.

 

Kian Malap

 

Sejak 2004, Arsenal tidak lagi dianggap sebagai pencabar kejuaraan, tambahan pula munculnya empayar baharu di barat kota London tercetus dari kuasa wang yang dimiliki Roman Abramovich serta kemunculan Manchester City sebagai kuasa baharu pada 2009. Manakala generasi emas Arsenal seperti Thierry Henry, Patrick Vieira, Marc Overmars, Robert Pires, Dennis Bergkamp, Frederik Ljungberg, Martin Keown, Emmanuel Petit dan Tony Adams satu persatu meninggalkan Highbury. Begitupun United di bawah kendalian Fergie masih mampu memenangi lima lagi kejuaraan liga sehingga 2013.

 

Insiden `Battle of the Buffet’ boleh dianggap sebagai kemuncak kepada perseteruan membabitkan United dan Arsenal. Selepas itu api sengketa itu mula meredup sedikit demi sedikit dek kemunculan Chelsea dan kemudiannya Manchester City sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris. Apa yang berlaku selepas empayar Abramovich dibina ialah Fergie tidak lagi memandang Arsenal sebagai pencabar United dalam perebutan kejuaraan liga. Manakala Wenger pula bukan lagi seteru yang boleh memeningkan kepalanya.

 

Penutup

 

Momen perseteruan antara `The Red Devils’ dan `The Gunners’ di penghujung dekad 90an dan awal era millennium adalah momen terindah untuk dikenang, baik oleh penyokong United mahupun Arsenal. Pada Ahad nanti, United dan Arsenal akan bertembung sekali lagi. Tetapi gejolak adrenalin sudah lama menurun, rasa kemarahan sudah mereda dan keterujaan tidak lagi memuncak seperti ketika era Keano dan Vieira mengetuai pasukan. Di masa lalu, Fergie dan Wenger merupakan `mastermind’ yang menggerakkan api permusuhan antara kedua-dua pasukan.

 

Manakala Keano dan Vieira pula adalah watak antagonis dan protagonis yang menjadikan pertembungan dua kelab ini sentiasa panas, mendebarkan dan adrenalinnya meresap ke seluruh tubuh. Bagaimanapun pertembungan antara United dan Arsenal pada Ahad nanti tetap satu pertembungan yang penting. Meskipun api sengketa sudah malap terlalu lama, tetapi itu bukan bermakna pertembungan terkini United dan Arsenal sudah tidak lagi menarik untuk disaksikan. Nikmati sahaja perlawanan ini kerana api yang sudah lama malap itu tidak akan menghilangkan kehangatan aksi ini. Glory Glory Manchester United!!!