31 Mac 2009

Mourinho Berminat Ke Old Trafford



Jose Mourinho mendedahkan bahawa sukar bagi mana-mana jurulatih menolak peluang untuk melatih kelab hebat seperti Manchester United. Mourinho sejak kebelakangan ini sering dikaitkan sebagai pengganti ideal buat Sir Alex Ferguson sekiranya pengurus paling berjaya dalam sejarah Liga Perdana itu mengumumkan persaraannya. Spekulasi mengenai persaraan Ferguson semakin memuncak apabila minggu lalu Darren, anak lelaki kepada pengurus berbangsa Scotland itu mendedahkan bahawa ayahnya akan bersara penghujung musim hadapan sekiranya United berjaya mengatasi pencapaian Liverpool dalam pungutan gelaran keseluruhan.

Namun Pengarah United yang juga lagenda di Old Trafford, Sir Bobby Charlton percaya Ferguson akan kekal melatih The Red Devils buat beberapa musim lagi. Mourinho yang juga terkenal dengan gelaran "Yang Istimewa" mengatakan United tergolong dalam kelompok kecil kelab di mana tiada siapa akan berkata tidak jika diberi peluang sebagai pengurus. Bagaimanapun Mourinho tidak percaya Ferguson akan bersara dalam masa terdekat memandangkan pengurus yang sudah berada di Old Trafford selama 22 tahun itu dilihat masih ghairah, sihat dan gembira menerajui skuad The Red Devils. Secara peribadi Mourinho mahukan Ferguson meneruskan kariernya memandangkan beliau merupakan seorang individu yang hebat.

25 Mac 2009

Pengadilan Buruk Gamit Ronaldo Ke La Liga

Cristiano Ronaldo

Kebimbangan kini tercetus di kem Manchester United bahawa bintang mereka, Cristiano Ronaldo bakal bertukar haluan ke Primera Liga berikutan layanan buruk yang diterimanya dari pengadil di Liga Perdana Inggeris. Minggu lalu Ronaldo dilayangkan kad kuning oleh Phil Dowd kerana tindakbalasnya ke atas John Pantsil yang sebelum itu tidak dikenakan sebarang tindakan berikutan terjahan keras pertahanan Fulham itu keatasnya. Mutu pengadilan dalam Liga Perdana Inggeris sebelum ini sering menjadi pertikaian pengurus-pengurus pasukan dan terbaru, Pat Crerand bekas lagenda United yang memenangi Piala Eropah 1968 melabel pengadil-pengadil dalam Liga Perdana sebagai paling teruk pernah diciptakan Tuhan.

Penyingkiran Wayne Rooney minggu lalu dilihatnya sebagai karut memandangkan pemain itu sebenarnya ingin mempercepatkan permainan dengan melontar kembali bola kepada Jonny Evans setelah sepakan percuma sebelumnya tidak disahkan oleh pengadil. Bagaimanapun Dowd melayang kad kuning kedua kepada Rooney yang menyebabkan bintang England itu disingkir dari permainan.

Kini terdapat kebimbangan besar, Ronaldo bakal berhijrah ke Real Madrid memandangkan pengadil-pengadil di Primera Liga lebih tegas terhadap terjahan-terjahan keras yang mungkin menarik Pemain Terbaik Dunia itu untuk beraksi di sana. Minggu lalu Ronaldo dilihat bertikam lidah dengan Phil Dowd namun United berpegang kepada pendirian, ketiadaan rasa hormat pemain itu kepada pegawai perlawanan adalah tindak balas terhadap kegagalan mereka untuk melindunginya.

22 Mac 2009

Minggu Malang United Berterusan


Minggu malang bagi Manchester United berterusan apabila tewas pula kepada Fulham 1-2 di Craven Cottage malam tadi. Kekalahan ini dilihat menjejaskan misi United untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut. Lebih malang apabila pemain tengah berpengalaman mereka, Paul Scholes diperintah keluar padang pada minit ke 18 kerana menampan bola tandukan Bobby Zamora di hadapan pintu gol. Fulham dihadiahkan sepakan penalti dan Danny Murphy mudah menewaskan Edwin Van Der Sar untuk meletakkan Fulham mendahului di hadapan.



Babak kedua bersambung dengan United melancarkan serangan bagi mencari gol penyamaan dan biarpun bermain dengan sepuluh pemain Red Devils tampak mendominasi permainan. United hampir menyamakan kedudukan diminit ke 75 apabila Park Ji Sung yang menerima hantaran lintang dari Cristiano Ronaldo gagal menyudahkan peluang itu walaupun hanya berdepan dengan Mark Schwarzer dan bola hasil lantunan itu juga gagal disudahkan oleh Wayne Rooney. Segalanya tampak berakhir buat United apabila diminit ke 87, pemain gantian Zoltan Gera menyempurnakan gol kedua tuan rumah dan dua minit selepas itu United terpaksa bermain dengan sembilan pemain selepas Wayne Rooney diperintah keluar padang oleh pengadil Phil Dowd.

Lain-lain keputusan perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam:-

Portsmouth (2) lwn Everton (1)
Blackburn Rovers (1) lwn West Ham United (1)
Stoke City (1) lwn Middlesbrough (0)
Tottenham (1) lwn Chelsea (0)
West Bromwich (1) lwn Bolton Wanderers (1)
Newcastle United (1) lwn Arsenal (3)

21 Mac 2009

United Mahu Gempur Craven Cottage



Manchester United mahu memadamkan memori buruk minggu lalu dengan merakamkan kemenangan ke atas Fulham di Craven Cottage malam ini sekaligus mengingatkan pencabar-pencabar mereka bahawa skuad Red Devils bersedia untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut. Kekalahan 1-4 kepada Liverpool minggu lalu mahu segera dilupakan oleh anak-anak buah Sir Alex Ferguson dengan menjadikan Fulham sebagai mangsa kebangkitan mereka.

Sejurus tewas kepada Liverpool, Ferguson mahu barisannya bangkit kembali dan walaupun bos United itu seakan-akan kurang yakin United mampu memenangi lima piala musim ini, Cristiano Ronaldo punya pendapat berbeza. Ronaldo tetap optimis pasukannya mampu menjulang lima kejuaraan yang mereka sasarkan dan mereka berada dilandasan yang betul untuk mencipta sejarah itu. Malam ini United bakal turun tanpa bek tengah, Nemanja Vidic yang digantung dua perlawanan setelah menerima kad merah minggu lalu dan tempatnya akan diisi oleh Jonny Evans.

Sementara itu kapten Fulham, Danny Murphy berjanji pasukannya tidak akan memberi laluan mudah kepada United dan berhasrat untuk menyekat laluan Red Devils dalam pemburuan juara liga. Pastinya United akan berdepan tugas getir malam ini di Craven Cottage dan sebarang keputusan selain dari kemenangan akan mencerminkan skuad dari Old Trafford itu sebenarnya dalam keadaan tertekan. Apapun semoga malam ini United akan menemui semula sentuhan kemenangan mereka sekaligus membuktikan bahawa barisan Alex Ferguson itu cukup matang untuk menangani tekanan. Glory Glory Manchester United!!!!

20 Mac 2009

United Bertemu Porto Dalam Suku Akhir Liga Juara-Juara

Sir Alex Ferguson

Manchester United telah diundi bertemu juara Portugal, FC Porto dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. United akan melayan kunjungan Porto pada suku akhir pertama di Old Trafford 7 April ini manakala perlawanan peringkat kedua akan diadakan pada 15 April. Pengurus United, Sir Alex Ferguson jelas berpuas hati dengan undian ini dan beliau berharap pasukannya tidak melepaskan sebarang gol ketika beraksi ditempat sendiri.

United memiliki dua pemain antarabangsa Portugal, Cristiano Ronaldo dan Nani manakala Anderson pula pernah bermain untuk Porto sebelum menyertai Red Devils. Selain itu United juga pernah mendapatkan khidmat Carlos Quieroz yang kini membimbing pasukan kebangsaan Portugal sebagai penolong pengurus di Old Trafford dan atas faktor itu Ferguson berkata, beliau kini lebih memahami bolasepak Portugis.

Lain-lain undian peringkat suku akhir Liga Juara-Juara menemukan dua kelab Inggeris, Liverpool dan Chelsea, juara Bundesliga Bayern Munich akan menentang Barcelona, dan Villareal bertemu Arsenal.

Kami Perlu Lebih Realistik - Ferguson



Alex Ferguson menganggap barisan Manchester United musim ini adalah yang terbaik pernah dipimpinnya sepanjang 22 tahun kerjaya panjang pengurus paling berjaya itu di Old Trafford. United telah memenangi Kejuaraan Kelab Dunia dan Piala Liga serta menjadi pilihan utama untuk memenangi Liga Perdana Inggeris buat musim ketiga berturut-turut. United turut menempah tempat keseparuh akhir Piala FA dan suku akhir Liga Juara-Juara namun Ferguson menganggap situasi terkini sukar diduga.

Ferguson menganggap selain prestasi hebat, setiap pasukan juga memerlukan tuah dan untuk memenangi lima kejuaraan dalam semusim adalah sesuatu yang mustahil. Ferguson berkata pencapaian hebatnya adalah sewaktu memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara pada tahun 1999. Ferguson turut mengakui kesilapan terbesarnya adalah sewaktu melepaskan Jaap Stam berhijrah ke AC Milan sementara kekecewaan terbesar sepanjang kariernya apabila beliau gagal membawa bekas perancang berpengaruh England, Paul Gascoigne ke Old Trafford pada tahun 1989 apabila pemain itu meninggalkan Newcastle United.

Sementara itu Ferguson masih belum memikirkan hasrat untuk bersara dan beliau mengakui masih bersemangat untuk menguruskan skuad Red Devils. Walaupun sudah berumur 67 tahun, Ferguson begitu teruja dengan tugas yang disandangnya sekarang dan masih seronok setiap kali berada di pusat latihan United.

19 Mac 2009

Ronaldo Bakal Menyertai Real Madrid?

Cristiano Ronaldo sends his penalty goalwards

Bekas pengerusi Real Madrid, Ramon Calderon mendedahkan Cristiano Ronaldo bakal menyertai gergasi Sepanyol itu sebaik sahaja musim ini berakhir. Real Madrid yang gagal mendapatkan khidmat Ronaldo tahun lalu dengan tawaran 80 juta pound (RM 408.7 juta) juga cuba membawa kembali David Beckham ke Bernabeu. Calderon dilaporkan sebagai berkata, "Anda harus berterima kasih dengan usaha yang telah saya lakukan sebelum ini. Dia (Ronaldo) akan menyertai pasukan selepas berakhir liga musim ini".

Sementara itu bintang tengah Bayern Munich, Frank Ribery dilaporkan berminat untuk menyertai United musim depan. Sebelum ini kelibat bintang antarabangsa Perancis itu menjadi perhatian kelab-kelab gergasi Eropah ekoran prestasi hebatnya bersama Bayern musim ini. Selain United, Ribery turut menjadi perhatian Barcelona, Real Madrid dan Juventus. Rakan sepasukan Ribery, Daniel Van Buyten mengesahkan perkara itu walaupun tiada perbincangan secara serius selain mengingatkan bahawa Ribery adalah ikon untuk Bayern.

Minggu lalu akhbar-akhbar di England melaporkan bahawa Alex Ferguson berminat untuk membawa Ribery ke Old Trafford. Ferguson melihat Ribery sebagai alternatif terbaik bagi menggantikan Cristiano Ronaldo sekiranya bintang antarabangsa Portugal itu memutuskan untuk berhijrah ke Real Madrid.

18 Mac 2009

Red Devils Diberi Cuti Rehat




MANCHESTER - Barisan Manchester United diberikan cuti rehat sehari walaupun tewas ditangan Liverpool Sabtu lalu. Alex Ferguson memilih untuk tidak memberi tekanan terhadap barisan bintangnya dan berharap cuti rehat itu akan memberi ruang kepada pemainnya meredakan tekanan sebelum berkunjung ke Craven Cottage hujung minggu ini. Sejak menjuarai Kejohanan Kelab Dunia di Jepun Disember lalu, barisan Red Devils ini beraksi tiga perlawanan setiap minggu dan keputusan memberi cuti rehat ini dilihat sebagai program pemulihan untuk pemain setelah mengharungi jadual yang padat.

United menerima khabar gembira apabila bintang tengahnya, Owen Hargreaves semakin pulih dari kecederaan lutut. Hargreaves tidak beraksi hampir keseluruhan musim ini selepas kali terakhir membantu United menjuarai Liga Juara-Juara menewaskan Chelsea di Moscow Mei lalu. Walaupun masih terlalu awal menilai tahap kecergasannya, kehadiran semula pemain tengah England itu diharap dapat membantu United mengharungi baki perlawanan Liga Perdana selepas ini.


17 Mac 2009

Vidic Digantung 2 Perlawanan

Nemanja Vidic is shown the red card by (obscured) referee Alan Wiley

Tonggak pertahanan United, Nemanja Vidic digantung dua perlawanan oleh badan induk bolasepak Inggeris. Bintang pertahanan tengah itu digantung dua perlawanan setelah diperintah keluar padang ketika pertemuan dengan Liverpool Sabtu lalu. Pemain berusia 27 tahun itu melakukan terjahan ke atas kapten Liverpool, Steven Gerrard dan kemudiannya menghalang Gerrard dari menjaringkan gol diminit ke 76.

Vidic bakal terlepas perlawanan menentang Fulham di Craven Cottage Sabtu ini dan Aston Villa di Old Trafford pada 5 April depan. Jonny Evans yang diletakkan di bangku simpanan Sabtu lalu bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Vidic untuk dua perlawanan berikutnya. Pemain berasal dari Ireland Utara itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk memikul tanggungjawab besar yang ditinggalkan oleh Vidic memandangkan beliau juga pernah menggantikan Vidic sewaktu pertemuan pusingan pertama Liga Juara Eropah menentang Inter Milan di San Siro 25 Februari lalu.

16 Mac 2009

Terus Fokus Kehadapan


Alex Ferguson mahukan anak-anak buahnya terus fokus kehadapan dan segera melupakan kekalahan 1-4 kepada seteru tradisi, Liverpool Sabtu lalu. Mengakui masih terkejut dengan kekalahan itu, Ferguson tetap optimis mengenai peluang pasukannya untuk muncul juara Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut. United masih mempunyai kelebihan empat mata berbanding Liverpool dan Chelsea serta kekurangan satu perlawanan.

Melihat kepada kekebalan benteng pertahanannya sejak dua musim kebelakangan ini, Ferguson tidak menyangka United akan dibolosi dengan empat gol. United berjaya mendahului melalui penalti Cristiano Ronaldo namun The Reds berjaya bangkit dengan dua gol melalui Fernando Torres dan Steven Gerrard. Keadaan bertambah buruk buat United apabila tonggak pertahannya, Nemanja Vidic diperintah keluar padang dan Liverpool mengambil kesempatan itu untuk menambah dua gol lagi menerusi Fabio Aurelio dan Andrea Dossena.


United akan berkunjung ke Craven Cottage bagi pertemuan dengan Fulham Sabtu ini dan Ferguson percaya inilah detik terbaik buat anak-anak buahnya bangkit kembali dan membuktikan bahawa United punya kekuatan untuk mengharungi baki sepuluh perlawanan selepas ini. Glory Glory Manchester United!!!!

14 Mac 2009

Bencana Di Old Trafford




\








Old Trafford: Liverpool menamatkan rentetan 12 kemenangan berturut-turut Manchester United apabila menewaskan skuad kendalian Alex Ferguson 4-1 sebentar tadi. Walaupun membuka tirai jaringan melalui penalti Cristiano Ronaldo diminit ke 23 selepas Jose Reina menjatuhkan Park Ji Sung di dalam kotak penalti namun jaringan itu tidak bertahan lama apabila kesilapan Nemanja Vidic dihukum Fernando Torres bagi membolehkan The Reds menyamakan kedudukan diminit ke 28.

Diminit ke 44 Liverpool dihadiahkan sepakan penalti setelah Patrice Evra menjatuhkan Steven Gerrard dan kapten Liverpool itu mudah menewaskan Edwin Van Der Sar untuk meletakkan pasukan pelawat mendahului 2-1. Di separuh masa kedua, United membuat tiga pertukaran dengan mengeluarkan Michael Carrick, Anderson dan Park Ji Sung memasukkan Ryan Giggs, Paul Scholes dan Dimitar Berbatov dalam usaha mencari gol penyamaan namun kesilapan Vidic selepas itu yang menjatuhkan Steven Gerrard mengakibatkan beliau diarahkan keluar padang. Sepakan percuma Fabio Aurelio diminit ke 77 itu berjaya memerangkap Van Der Sar untuk Liverpool mendahului 3-1.

Dengan kekurangan seorang pemain segalanya tampak berakhir buat United dan diminit ke 90, Andrea Dossena yang menerima hantaran jauh bijak melambung bola bagi menewaskan Van Der Sar buat kali keempat. Kekalahan ini bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan United dipersada liga apabila mereka masih mendahului dengan kelebihan 4 mata dan baki satu perlawanan dalam tangan. Semoga kekalahan ini tidak menjejaskan fokus The Red Devils dalam usaha mereka mencatat sejarah meraih lima kejuaraan dalam semusim. Glory Glory Manchester United!!!

Jadual Perlawanan Liga Perdana Inggeris

Sabtu - 14 Mac 2009

Manchester United v Liverpool
Old Trafford

Arsenal v Blackburn Rovers
Emirates Stadium

Bolton Wanderers v Fulham
Reebok Stadium

Everton v Stoke City
Goodison Park

Hull City v Newcastle United
Kingston Comms Stadium

Middlesbrough v Portsmouth
The Riverside Stadium

Sunderland v Wigan Athletic
Stadium of Light

Ahad - 15 Mac 2009

Chelsea v Manchester City
Stamford Bridge

Aston Villa v Tottenham Hotspur
Villa Park

Isnin - 16 Mac 2009

West Ham United v West Bromwich Albion
Boleyn Ground