14 Mac 2009

Tugas Sukar Liverpool Di Old Trafford

Match Pack Liverpool

Malam ini berlaku lagi pertembungan epik antara dua seteru tradisi, Manchester United dan Liverpool. Dua pasukan yang mempunyai tradisi hebat dalam Liga Inggeris dan perlawanan yang memang ditunggu-tunggu oleh penyokong kedua-dua kelab saban tahun. Liverpool berjaya menewaskan United 2-1 dalam pertembungan pusingan pertama liga pada 13 September 2008 di Anfield dan kini skuad Rafael Benitez berdepan tugas berat di Old Trafford dalam usaha mereka mencantas kelebihan United dipersada liga.



United dan Liverpool masih segar dengan kejayaan mereka mara kesuku akhir Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini dan yang pastinya The Reds masih lagi terbuai-buai dengan kejayaan mereka membenam cabaran gergasi Sepanyol, Real Madrid di Anfield Rabu lalu. Bukan hendak memperkecilkan kejayaan Liverpool, tetapi Real Madrid kini bukan lagi pasukan yang perlu digeruni lawan. Prestasi mereka di peringkat Eropah juga tidak begitu baik sejak 3 atau 4 tahun kebelakangan ini. Di peringkat kumpulan mereka tewas 2-1 kepada Juventus di Bernabeu dan juga di Turin.
Ryan Giggs
Pertembungan di Old Trafford malam ini pastinya berbeza buat Liverpool. United bukannya Madrid yang sudah sekian lama hilang sentuhan juara. United kini dalam prestasi terbaik mereka dan pastinya berbeza dengan skuad United yang ditumpaskan oleh Liverpool pada 13 September 2008 yang lalu. United telah merakamkan sebelas kemenangan berturut-turut sejak menewaskan Stoke City pada 26 Disember 2008 hinggalah yang terakhir pada 4 Mac lalu apabila menewaskan Newcastle United 2-1 di St James Park. Pertahanan United yang ditunjangi oleh Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic dilihat begitu kebal apabila hanya melepaskan dua gol dalam enambelas perlawanan, satu faktor yang dilihat mengapa United begitu dominan sejak bermulanya pusingan kedua liga.

Jose Mourinho yang skuadnya disingkirkan oleh United dalam Liga Juara-Juara Khamis lalu turut mengakui bahawa United mampu menyapu bersih lima trofi musim ini. Beliau melihat skuad United telah mencapai kematangan sejak dua musim terakhir dengan membariskan pemain yang sama sejak empat atau lima tahun (kecuali Dimitar Berbatov). Menurutnya United berada dilandasan yang tepat ketika pemain mencapai kemuncak karier mereka.

Apapun Liverpool tidak boleh tewas atau seri malam ini dan tekanan sebenarnya berada dipihak mereka. Dengan United memiliki kelebihan tujuh mata dan satu perlawanan dalam tangan, Liverpool dengan cara apa sekalipun harus menewaskan United jika berhasrat membawa pulang semula trofi Liga Perdana ke Anfield yang gagal mereka menangi sejak sembilanbelas tahun yang lalu. Statistik lapanbelas perlawanan terakhir kedua-dua pasukan jelas memihak kepada United dengan skuad Red Devils itu merakamkan 10 kemenangan, seri 1 dan kalah 7. Ferguson dan Benitez pastinya akan menurunkan kesebelasan terkuat mereka dan berikut adalah barisan kemungkinan yang bakal diturunkan oleh United malam ini.

Manchester United

Edwin Van der Sar
Patrice Evra
Rio Ferdinand
Nemanja Vidic
John O' Shea
Park Ji Sung/Ryan Giggs
Michael Carrick
Paul Scholes
Cristiano Ronaldo
Dimitar Berbatov
Wayne Rooney

Tiada ulasan:

Catat Ulasan