11 Mac 2009

United Pertaruh Peledak Berbisa


Awal pagi nanti Manchester United akan melayan kunjungan Inter Milan dalam perlawanan peringkat kedua kalah mati Liga Juara-Juara. United dan Inter terikat 0-0 di San Siro pada perlawanan peringkat pertama 25 Feb lalu walaupun dilihat mendominasi perlawanan dan mencipta banyak peluang. United dilihat punya kelebihan berbanding skuad Jose Mourinho namun The Red Devils harus waspada dengan ancaman yang bakal hadir dari peledak berbisa lawan, Adriano dan Zlatan Ibrahimovic. Alex Ferguson bakal menurunkan kembali gandingan Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov dan ini bermakna Carlos Tevez yang beraksi cemerlang dalam perlawanan suku akhir Piala FA minggu lalu bakal diletakkan di bangku simpanan.


Cristiano Ronaldo juga bakal kembali memperkuatkan pasukan setelah direhatkan dalam perlawanan Piala FA minggu lalu dan Ferguson berharap bintang antarabangsa Portugal ini akan meledak dibahagian sayap. Apa yang menjadi kebimbangan utama United kini ialah nasib yang menimpa tonggak pertahanan Rio Ferdinand. Ferdinand dilihat terhincut-hincut dipenghujung separuh masa pertama ketika pertembungan dengan Fulham minggu lalu dan Ferguson sedang meneliti perkembangan terkini tonggak pertahanannya itu. Andainya Ferdinand tidak dapat diturunkan, Johnny Evans pastinya akan diberikan tanggungjawab bergandingan dengan Nemanja Vidic di bahagian tengah pertahanan United.


Sementara itu perancangan Jose Mourinho sedikit terjejas apabila benteng pertahanannya agak goyah dengan kecederaan yang menimpa Marco Materrazi dan Nicolas Burdisso manakala Christian Chivu belum pulih dari kecederaan peha. Dengan Juventus telahpun tersingkir awal pagi tadi apabila sekadar seri 2-2 dengan Chelsea, Inter punya tugas berat untuk mengekang dominasi kelab-kelab Inggeris dan kunjungan mereka ke Old Trafford dilihat bukanlah pada waktu yang tepat memandangkan prestasi mengagumkan ditunjukkan oleh anak-anak buah Alex Ferguson ketika ini. Glory-Glory Manchester United!!


KEPUTUSAN PERLAWANAN PERINGKAT KE2 LIGA JUARA-JUARA

(11 MAC 2009)

Juventus (2) lwn Chelsea (2) - Chelsea (menang agregat 3-2)

Bayern Munich (7) lwn Sporting Lisbon (1) (Bayern menang agregat 12-1)

Panathinaikos (1) lwn Villareal (2) (Villareal menang agregat 3-2)

Liverpool (4) lwn Real Madrid (0) (Liverpool menang agregat 5-0)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan