Sir Alex Ferguson tidak mengharapkan kemungkinan Chelsea yang diambang merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris melakukan kesilapan ketika menentang Wigan Athletic malam ini. Ferguson sebaliknya mahukan anak-anak buahnya memberikan persembahan terbaik mereka ketika menanti kunjungan Stoke City dalam perlawanan terakhir liga musim ini di Old Trafford. Kedua-dua perlawanan ini amat penting bagi menentukan siapakah yang bakal menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini. United yang ketinggalan satu mata di belakang Chelsea mengharapkan keajaiban mampu dijelmakan anak-anak buah Roberto Martinez di Stamford Bridge bagi membolehkan mereka menjulang trofi ini buat musim keempat berturut-turut. Walaupun menyedari peluang pasukannya mengekalkan kejuaraan amat tipis, Ferguson bingkas menyatakan bahawa beliau tidak mahu terlalu memikirkan keputusan diakhir perlawanan nanti meskipun jika ia tidak memihak pasukannya.
"Kami berharap menyudahkan perlawanan ini dengan kemenangan. Stoke City bukan lawan yang mudah kerana mereka mengamalkan corak permainan sebagai satu pasukan. Tetapi kami akan bermain di gelanggang sendiri dan ia merupakan perlawanan terakhir kami musim ini. Kami ingin bermain dengan baik dan berusaha mencapai kemenangan", ujar Ferguson. "Kami akan melakukan tugas kami tanpa mengharap apa-apapun dari Chelsea. Saya yakin Wigan akan memberikan persembahan terbaik mereka dan mereka pastinya akan cuba melakukan sesuatu", tambah Ferguson lagi. Sementara itu pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menganggap adalah satu tragedi jika pasukannya gagal mencapai kemenangan dalam perlawanan ini. Pengurus berbangsa Itali itu mahukan agar pasukannya menganggap ini adalah perlawanan akhir dan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. "Untuk menjadi juara kami harus bermain seperti ketika menentang Stoke City dan Liverpool. Kami harus mempertahankan kelebihan kami", ujar Ancelotti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan