Loading...
100%
Perlawanan Liga Perdana menentang Fulham malam ini akan menguji sejauh mana kesannya akibat ketiadaan Wayne Rooney dalam kesebelasan utama United. Rooney digantung dua perlawanan oleh FA England selepas tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat di hadapan kamera saat meraikan jaringan hatriknya ketika menentang West Ham minggu lalu. Ketiadaan Rooney dilihat bakal mendatangkan kesan ke atas pemburuan gelaran ke 19 Liga Perdana Inggeris United, namun Sir Alex Ferguson boleh menyandarkan harapan ke atas bahu penyerang muda mereka, Javier Hernandez dan juga penjaring terbanyak liga setakat ini, Dimitar Berbatov untuk memburu gol. Statistik menunjukkan United menang 14 dari 20 perlawanan (70 %) dengan kehadiran Rooney tetapi skuad The Red Devils hanya memenangi 5 dari 11 perlawanan (45 %) semasa ketiadaan penyerang England itu.
Hukuman penggantungan ke atas Rooney memanjangkan lagi senarai pemain yang tidak boleh diturunkan United pada perlawanan ini. Selain Rooney, Jonny Evans juga digantung kerana layangan kad merah yang diterimanya ketika menentang Bolton Wanderers manakala Darren Fletcher dan Rafael da Silva akibat kecederaan dan jangkitan virus. Ketiadaan beberapa tonggak United ternyata menggembirakan pengurus Fulham, Mark Hughes yang berazam menyukarkan laluan bekas pasukannya itu untuk emraih gelaran ke 19 musim ini. Fulham berjaya memaksa United berkongsi mata pada perlawanan pusingan pertama di Craven Cottage hasil jaringan lewat pertahanan mereka Brede Hangeland. Biarpun tanpa kehadiran Rooney, Ferguson tidak terlalu khuatir kerana masih mempunyai Hernandez dan Berbatov untuk dijadikan sandaran dalam memburu gol di mana masing-masing telah mengumpul 11 dan 20 gol setakat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan