28 September 2011

YOUNG SELAMATKAN UNITED


Gol penyamaan Ashley Young dipenghujung permainan menyelamatkan Manchester United dari kekalahan di gelanggang sendiri kepada FC Basel dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara awal pagi tadi.  United selesa mendahului pelawat 2-0 melalui jaringan Danny Welbeck diminit ke-16 dan 17 namun kelebihan itu dipadamkan anak-anak buah Thorsten Fink di separuh masa kedua.  Fabian Frei merapatkan jurang gol diminit ke-58 dan selang dua minit kemudian giliran Alexander Frei pula menyamakan kedudukan buat pelawat.  The Red Devils berada dalam kedudukan sukar apabila pengadil perlawanan, Paolo Tagliavento menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat selepas Antonio Valencia mengasari Marco Streller dalam petak penati.  Alexander Frei yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan David de Gea.  United berada di ambang kekalahan sehinggalah Young muncul penyelamat selepas dia menanduk masuk hantaran silang Nani diminit ke-90.  

Ini merupakan keputusan seri kedua United dalam kempen Eropah mereka setakat ini selepas sebelumnya diikat 1-1 oleh Benfica di Lisbon 15 September lalu.  Hujung minggu lalu United juga terpaksa berkongsi mata dalam saingan domestik mereka apabila diikat Stoke City 1-1 di gelanggang lawan.  Walaupun pada mulanya United tampak tidak menghadapi masalah tanpa kelibat Wayne Rooney dan Javier Hernandez yang diketepikan kerana masalah kecederaan hasil ledakkan dua gol Welbeck, namun keadaan bertukar sebaliknya di separuh masa kedua.  Persembahan longgar United membolehkan pelawat mencipta beberapa peluang dan gerakan bahaya terutamanya melalui Alexander Frei dan Marco Streller.  Sementara itu Ferguson menyifatkan persembahan terburu-buru dan mudah hilang konsentrasi barisannya adalah penyebab utama United sekadar meraih satu mata di gelanggang keramat mereka.  "Pemain terlalu terburu-buru dah hilang konsentrasi terutamanya di separuh masa kedua.  Kami juga memberikan lawan terlalu banyak ruang mencipta peluang jaringan", kata Ferguson.  Bagi Ferguson, jika sesebuah pasukan hilang konsentrasi dalam saingan seperti Liga Juara-Juara, maka padah pasti akan mereka terima di akhir perlawanan.  Glory Glory Manchester United!!!

27 September 2011

MAN UTD lwn FC BASEL: UNITED HILANG LAPAN PEMAIN


Krisis kecederaan melanda Manchester United menjelang pertembungan dengan FC Basel dalam kempen saingan Kumpulan C Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi nanti.  Selepas berkongsi mata dengan Benfica di Lisbon dua  minggu lalu, United kini tiada pilihan lain selain merakamkan kemenangan ke atas wakil Switzerland itu.  Kelebihan bermain di gelanggang sendiri seharusnya dipergunakan sepenuhnya oleh The Red Devils untuk meraih tiga mata namun situasi terkini dalam pasukan tampak tidak menyebelahi Sir Alex Ferguson.  Ferguson  kehilangan lapan pemain utama menjelang pertembungan ini akibat masalah kecederaan.  Di bahagian hadapan, Ferguson pastinya akan kehilangan sentuhan Wayne Rooney dan Javier Hernandez tetapi harus memilih sama ada Dimitar Berbatov atau Michael Owen untuk digandingkan dengan Danny Welbeck yang baru pulih.  Kelibat Tom Cleverley dan Darron Gibson di bahagian tengah tidak akan kelihatan untuk tempoh beberapa minggu lagi manakala Jonny Evans, Chris Smalling, Nemanja Vidic dan Rafael da Silva menambahkan lagi pemain yang masuk dalam senarai kecederaan United.  Antonio Valencia dijangka akan ditarik ke bawah mengisi kekosongan posisi di sebelah kanan pertahanan.  Sementara itu pemain tengah United, Darren Fletcher tidak mahu memandang mudah pertemuan dengan Basel nanti.  Meskipun bermain di gelanggang sendiri, Fletcher mahukan agar rakan-rakan sepasukan lebih berhati-hati menanti kunjungan anak-anak buah Thorsten Fink itu.  "Selepas Benfica, kami akan menentang dua pasukan yang tidak begitu kami kenali.  Ada yang mengatakan kami akan memenangi perlawanan itu dengan mudah, tetapi di Liga Juara-Juara tiada apa yang mudah buat mana-mana pasukan. Kami harus bermain dengan lebih baik dan berusaha memenangi perlawanan ini", kata Fletcher.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Antonio Valencia, Nani, Anderson, Michael Carrick, Ryan Giggs, Michael Owen & Danny Welbeck

25 September 2011

SEKADAR SERI, FERGIE TETAP PUASHATI


Rekod sempurna Manchester United dalam lima perlawanan awal mereka berakhir apabila dipaksa berkongsi mata dengan Stoke City di Stadium Britannia awal pagi tadi.  United mendahului tuan rumah melalui jaringan Nani namun Peter Crouch berjaya memadam kelebihan itu melalui gol penyamaan seawal minit kedua.  Biarpun menyaksikan pasukannya gagal meneruskan rentak kemenangan, Sir Alex Ferguson tetap berpuashati dengan pesembahan keseluruhan United dan mengangap keputusan ini adil buat kedua-dua pasukan.  "Ada dua perkara yang berlaku dalam perlawanan ini, pertama mereka terus memberikan anda tekanan dan yang paling utama pemain memberikan tindakbalas yang baik atas perkara ini", kata Ferguson.  

Ferguson seperti sudah menjangkakan gol tuan rumah akan terhasil melalui gerakan set piece namun  beliau dilihat agak kurang berpuashati dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan.  Menurut Ferguson, pengadil perlawanan Peter Walton sering membiarkan Crouch melakukan pelanggaran  terhadap pemain pertahanannya dalam situasi perebutan bola tinggi di hadapan gawang.  Ferguson juga tidak teragak-agak mendakwa kemungkinan Crouch  telah melakukan perkara yang sama ke atas Rio Ferdinand semasa menjaringkan gol penyamaan tersebut.  Ketiadaan Wayne Rooney yang tercicir kerana masalah hamstring menjejaskan rentak United dan tambah malang Javier Hernandez terpaksa di bawa keluar seawal minit ketiga dan digantikan dengan penyerang veteran Michael Owen.  Langkah Ferguson membawa masuk Danny Welbeck dan Ryan Giggs di pertengahan separuh masa kedua juga gagal mengubah keputusan perlawanan biarpun Giggs punya peluang baik meletakkan United kembali di depan diminit ke-88.  Keputusan ini juga menyaksikan Stoke berjaya meraih mata pertama mereka ke atas United sejak The Potters menyertai saingan elit Liga Perdana pada 2008.  Glory Glory Manchester United!!!

24 September 2011

STOKE CITY lwn MAN UTD: FERGIE BURU REKOD ATKINSON


Sir Alex Ferguson dalam landasan untuk memecahkan rekod Ron Atkinson yang berjaya membimbing United mencipta sepuluh kemenangan berturut-turut liga yang dicipta semasa musim 1985/86.  Pertemuan dengan Stoke City di Britannia Stadium, tengah malam nanti bakal menjadi kesempatan buat Fergie mendekati rekod Atkinson.  United setakat ini sudah memenangi kesemua lima perlawanan awal mereka dan satu lagi kemenangan bakal menjadikan impian Fergie hampir menjadi kenyataan.  Sejak menyertai saingan elit Liga Perdana pada 2008, Stoke tidak pernah meraih sebarang mata apabila berdepan United malah gawang The Potters bocor 16 kali dan statistik itu tampak akan berpanjangan jika melihat prestasi terkini anak-anak buah Tony Pulis.  Walaupun berjaya mengejutkan Liverpool 1-0, Stoke tewas 0-4 kepada Sunderland minggu lalu dan konsentrasi benteng pertahanan mereka bakal diuji lagi kali ini.  Selepas aksi di Liga Europa menentang Dynamo Kyiv berselang tiga hari, Stoke terpaksa berdepan Sunderland dan kali ini situasi yang sama berulang apabila mereka terpaksa menentang United.  Selepas dipaksa bermain selama 120 minit menentang Tottenham Hotspurs pada aksi Piala Carling mereka, (Stoke menang melalui penentuan penalti) ketahanan benteng Stoke bakal diuji oleh jentera serangan United yang sudahpun merakamkan 21 gol dari lima perlawanan mereka.  Bagi United pula, jika mereka berjaya menjaringkan dua gol di Stadium Britannia, anak-anak buah Ferguson akan memadamkan rekod yang dicatatkan Newcastle United (1994/95) sebagai pasukan paling produktif dalam menghasilkan gol.  Newcastle ketika itu yang diterajui penyerang Alan Shearer menjaringkan 22 gol dalam enam perlawanan awal mereka.  Penyerang tuan rumah, Peter Crouch juga tidak mahu ketinggalan dalam memburu rekod peribadi dalam perlawanan ini.  Jika berjaya menjaringkan gol, Crouch akan menyamai rekod Les Ferdinand, Craig Bellamy, Andy Cole, Nick Barmby dan Marcus Bent yang menjaringkan gol untuk enam pasukan berbeza dalam liga.  Tugas berat pastinya terpaksa dipikul Matthew Upson dan Ryan Shawcross dalam usaha mereka menyekat  usaha Wayne Rooney dari terus melebarkan  penguasaan United di tangga teratas liga.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Phil Jones, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Park Ji-Sung, Michael Carrick, Anderson, Nani, Danny Welbeck & Wayne Rooney 

21 September 2011

PIALA CARLING: UNITED KE PUSINGAN KE-4


Manchester United melangkah ke pusingan ke-4 Piala Liga Inggeris (Carling Cup) selepas berjaya menewaskan Leeds United di Elland Road awal pagi tadi.  Sekalipun menurunkan barisan kedua, United tidak menghadapi masalah mengenepikan cabaran lawan yang bermain di Liga Kejuaraan itu hasil jaringan dua pemain veteran, Michael Owen dan Ryan Giggs.  Owen menyumbangkan dua gol buat United di minit ke-15 dan 32 manakala Giggs pula melengkapkan kejayaan United menerusi jaringannya diminit ke-45.  Kemenangan bergaya 3-0 ke atas Leeds ini juga berjaya menebus kembali kekecewaan disingkirkan lawan yang sama semasa saingan pusingan ke-3 Piala FA pada Januari 2010 hasil jaringan tuggal Jermaine Beckford di Old Trafford.  Sir Alex Ferguson mempertaruhkan formasi `pelik' pada perlawanan pagi tadi dengan meletakkan Michael Carrick dan Antonio Valencia di benteng pertahanan manakala dua penyerang muda, Federico Macheda dan Mame Biram Diouf pula diletakkan di bahagian tengah.  Ferguson merehatkan sebahagian besar pemain-pemain utamanya dalam perlawanan ini sambil memberi penampilan buat beberapa pemain muda seperti Ben Amos, Ezekiel Fryers, Federico Macheda, Mame Biram Diouf, Larnell Cole dan Paul Pogba.  Perlawanan ini juga menyaksikan kembalinya Danny Welbeck dalam pasukan selepas direhatkan selama dua minggu akibat masalah hamstring.  Sekalipun diletakkan di bangku simpanan, Welbeck sempat merasai aksi selama 13 minit apabila dia dibawa masuk menggantikan Biram Diouf diminit ke-77.  

Terasa janggal bila menyaksikan Ryan Giggs yang dulunya bersaing dengan generasi hebat pemain-pemain Leeds  di Liga Perdana seperti David Batty, Jonathan Woodgate, Alan Smith, Ian Harte, Gary McAllister, Gary Speed, Tony Yeboah, Harry Kewell, Lee Bowyer serta lagenda United sendiri iaitu Rio Ferdinand dan Eric Cantona kini berhadapan pula dengan skuad Leeds yang jauh berbeza.  Siapa sangka Leeds yang di awal hingga pertengahan 90an merupakan pencabar utama United untuk persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana, kini sekadar menduduki tangga pertengahan Liga Kejuaraan.  Tiada lagi nama-nama besar dalam skuad Leeds kali ini kecuali penjaga gol simpanan mereka yang juga bekas pemain United sendiri iaitu Paul Rachubka, Michael Brown (bekas pemain Spurs dan Fulham) serta Mikael Forssell (bekas pemain Chelsea).  Masa banyak mengubah penampilan kedua-dua pasukan yang pernah berseteru suatu ketika dulu apabila United terus gah menjulang kejuaraan ke-19 Liga Perdana musim lalu dan kini adalah pendahulu takhta liga musim ini.  Leeds pula yang sejak 2004 tersingkir dari saingan elit Liga Perdana masih bergelut mencari rentak dalam saingan Liga Kejuaraan (Divisyen 2) dan dengan prestasi semasa mereka, Leeds tampak memerlukan beberapa tahun lagi untuk menggapai impian bermain di Liga Perdana Inggeris.  Glory Glory Manchester United!!!

20 September 2011

FERGUSON: NANI TAK AKAN KEMANA-MANA


Sir Alex Ferguson pantas menegaskan beliau tidak akan sesekali melepaskan Nani ke kelab lain selepas menyaksikan prestasi hebat sayap Portugal itu ketika United menewaskan Chelsea Ahad lalu.  Spekulasi bahawa Nani akan berhijrah ke pasukan lain bertiup kencang selepas dia diketepikan dari kesebelasan utama United berdepan Barcelona di final Liga Juara-Juara Mei lalu.  Nani sempat dikaitkan akan berpindah ke Juventus ketika jendela perpindahan musim panas lalu, namun Ferguson memberi jaminan bahawa Nani tidak akan kemana-mana.  "Nani merupakan pemain yang hebat dan matang.  Kami akan mempertahankannya agar dia boleh mempamerkan prestasi terbaiknya selama mungkin", kata Ferguson.  Ahad lalu, Nani menyumbangkan gol kedua buat United melalui rembatan jarak jauh cantik yang gagal diselamatkan Petr Cech.  Sepanjang perlawanan, gerakan-gerakan dan hantaran Nani seringkali mencemaskan benteng Chelsea yang diterajui John Terry dan tidak hairanlah dia dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.  Prestasi hebat Nani dalam perlawanan itu turut mendapat pujian rakan sepasukan namun beliau menganggap rekod sempurna United  (kemenangan kelima dari lima perlawanan) setakat ini adalah adalah hasil kerja keras semua pemain United.  "Semua pemain bekerja keras dan kami bermain dengan penuh keyakinan dalam perlawanan itu.  Kami mampu mempamerkan aksi bolasepak yang fantastik menerusi gerakan satu-dua yang menarik dan menjaringkan banyak gol", kata Nani.  Permulaan United musim ini adalah yang terbaik sejak musim 1985-86.  Pada musim tersebut United menang 10 perlawanan awal liga.  Glory Glory Manchester United!!!

EVRA: UNITED HARUS BERAKSI LEBIH BAIK LAGI


Manchester United mencatat rekod sempurna 100% pada lima perlawanan awal mereka setakat ini namun  prestasi terkini United nampaknya masih belum memberi kepuasan kepada Patrice Evra.  Selepas merakamkan kemenangan ke atas Chelsea Ahad lalu, Evra sebaliknya mengatakan bahawa United seharusnya beraksi dengan lebih baik lagi selepas ini. Lima kemenangan dan menjaringkan 21 gol dalam lima perlawanan awal mereka setakat ini, menjadikan United sebagai calon pilihan mengekalkan kejuaraan Liga Perdana yang mereka menangi musim lalu.  Melihat kepada persembahan United ketika bertemu Chelsea, Evra sebaliknya tegas mengatakan bahawa United perlu melakukan `lebih banyak kerja' jika mahu memenangi kejuaraan liga ke-20 mereka.  "Lima kemenangan adalah permulaan yang bagus tetapi pada perlawanan menentang Stoke City nanti, saya ingin melihat kami melakukan sesuatu yang lebih bagus", kata Evra.  Sekalipun United berjaya menjaringkan 3 gol ketika bertemu pencabar gelaran seperti Chelsea, Evra kurang berpuashati dengan persembahan keseluruhanan United pada perlawanan ini.  Menurut Evra, rakan-rakannya agak gopoh dan sering kehilangan bola terutamanya di bahagian tengah hingga membolehkan Chelsea melancarkan serangan balas ke kubu United.  Pada usia 30 tahun, Evra merupakan pemain paling tua dalam kesebelasan utama ketika bertemu Chelsea dan pemain berpengalaman itu menegaskan, untuk memenangi kejuaraan liga, United harus beraksi lebih baik pada setiap minggu.  Glory Glory Manchester United!!!

19 September 2011

UNITED KEKAL REKOD BERSIH 100%


Manchester United mengekalkan rekod bersih 100% mereka diawal musim selepas berjaya menewaskan Chelsea 3-1 di Old Trafford sebentar tadi.  United membuka tirai jaringan  menerusi tandukan Chris Smalling namun pelawat hampir menyamakan kedudukan melalui Ramires diminit ke-26 tetapi percubaan pemain antarabangsa Brazil itu berjaya ditepis keluar David de Gea.  United kemudiannya melebarkan kedudukan melalui rembatan cantik jarak jauh Nani diminit ke-37 dan selepas itu giliran Wayne Rooney pula memanfaatkan kelemahan benteng Chelsea untuk meletakkan  Red Devils terus selesa mendahului 3-0 di hadapan.  

Memasuki babak kedua perlawanan, Fernando Torres akhirnya berjaya menjaringkan gol sulungnya musim ini apabila mudah menolak masuk bola hantaran Nicolas Anelka untuk kembali meletakkan Chelsea dalam saingan.  Gol ini juga merupakan gol kedua Torres sejak perpindahannya dari Liverpool Januari lalu.  Persembahan United keseluruhannya terutama di separuh masa pertama agak longgar.  Ketiadaan Tom Cleverley di bahagian tengah memang dirasai manakala gerakan Anderson dan Darren Fletcher seringkali mudah dibaca Frank Lampard dan Ramires.  Anderson hampir sahaja menghadiahkan gol saguhati kepada Chelsea diseparuh masa pertama apabila hantarannya berjaya disambar Torres, namun peluang itu gagal dimanfaatkan biarpun beliau cuma berdepan dengan de Gea.  Tindakan Ferguson melakukan pertukaran pemain di separuh masa kedua berjaya memberi nafas baru kepada barisan United.  

Antonio Valencia yang menggantikan Anderson berjaya menghidupkan gerakan di sebelah kanan menerusi larian-larian pantasnya dan United hampir menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Phil Dowd selepas Nani dikasari Jose Bosingwa.  Rooney yang ditugaskan mengambil sepakan itu bagaimanapun sekadar melihat sepakannya jauh tersasar.  Beberapa peluang terbaik selepas itu berjaya diperolehi oleh kedua-dua pasukan namun gagal disempurnakan barisan penyerang masing-masing.  Beberapa peluang terbaik Chelsea untuk merapatkan kedudukan hadir melalui Torres namun gagal disempurnakan bekas penyerang Liverpool itu manakala United pula terlepas beberapa peluang keemasan melalui Rooney dan Dimitar Berbatov terutamanya di penghujung perlawanan.  Pujian harus diberikan kepada barisan `back four' United yang dibarisi tiga pemain muda (Smalling, Jones dan Evans) kerana berjaya menangani asakan barisan berpengalaman Chelsea manakala de Gea pula cemerlang di gawang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan.  Persembahan cemerlang de Gea turut disaksikan lagenda yang juga bekas penjaga gol United, Peter Schmeichel.  Persembahan United kali ini tidaklah sebaik mana, namun apa yang penting misi mencari tiga mana di gelanggang sendiri tetap tercapai.   Kemenangan ke atas pasukan yang dianggap antara pencabar gelaran musim ini dan berpengalaman seperti Chelsea amat penting bagi menyuntik semangat dan keyakinan lebih tinggi kepada barisan muda United.  Glory Glory Manchester United!!!

17 September 2011

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn CHELSEA


Perlawanan besar hujung minggu ini yang menemukan Manchester United dan Chelsea bakal menjadi ujian besar buat skuad bimbingan Sir Alex Ferguson.  Selepas meraih mata maksimum dalam empat perlawanan awal mereka, kehadiran Chelsea di Old Trafford esok bakal menguji sejauh mana karekter yang dimiliki barisan muda United untuk mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.  Meskipun mengakui bahawa skuad berpengalaman Chelsea adalah ujian paling berat yang bakal dihadapi United setakat ini, Ferguson yakin inilah perlawanan yang paling ditunggu-tunggu bukan saja oleh peminat tapi juga barisan muda miliknya untuk membuktikan sesuatu.  Ferguson dijangkan menggunakan formasi yang sama ketika mereka membenam Bolton Wanderers minggu lalu.  Ini bermakna Nani, Ashley Young, Phil Jones, Anderson, David de Gea dan Rio Ferdinand yang tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika United berkunjung ke Lisbon dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah mereka akan kembali semula memperkuatkan pasukan.  Sekalipun Anders Lindegaard beraksi cemerlang mengawal gawang ketika United berhadapan dengan Benfica Khamis lalu,  Ferguson menegaskan bahawa de Gea akan kembali mendapat tempatnya sebagai penjaga gol nombor satu dalam perlawanan ini.  Ketiadaan Tom Cleverley kerana kecederaan ligamen bakal membuka peluang buat Darren Fletcher kembali memperkuatkan bahagian tengah United bersama Anderson.

Berbeza dengan United yang sekadar mencatat keputusan seri di Eropah, Chelsea pula tentunya masih segar dan bersemangat dengan kejayaan mereka menundukkan Bayern Leverkusen di Stamford Bridge. Sepertimana United, anak-anak buah Villas-Boas juga masih belum kalah selepas mengharungi empat perlawanan liga setakat ini.   Cuma kejayaan Stoke City yang berjaya memaksa mereka berkongsi mata pada perlawanan pertama mencalarkan sedikit reputasi Chelsea sebagai pencabar utama kejuaraan liga.  Pemain tumpuan Chelsea pastinya terarah kepada Juan Mata yang berjaya menjaringkan dua gol dari tiga penampilannya bersama skuad The Blues itu setakat ini. Selain itu Fernando Torres yang beraksi baik ketika membantu Chelsea menewaskan Leverkusen juga bakal menjadi tumpuan.  Torres yang hanya menjaringkan satu gol  di peringkat liga sejak menyertai Chelsea dari Liverpool Januari lalu bakal digandingkan dengan Nicolas Anelka dibahagian serangan menggantikan Didier Drogba yang masih cedera. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Chris Smalling, Darren Fletcher, Andeson, Nani, Ashley Young, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Keputusan Lima Perlawanan Terakhir United/Chelsea:

8 Mei 2011: Man Utd 2 - Chelsea 1 (Liga Perdana)
12 April 2011: Man Utd 2 - Chelsea 1 (Liga Juara-Juara)
6 April 2011: Chelsea 0 - Man Utd 1 (Liga Juara-Juara)
1 Mac 2011: Chelsea 2 - Man Utd 1 (Liga Perdana)
8 Ogos 2010: Man Utd 3 - Chelsea 1 (Perisai Komuniti)

16 September 2011

GIGGS TETAP DIGERUNI


Ryan Giggs mungkin sudah menghampiri usia 38 tahun dan dianggap veteran dalam arena bolasepak namun kelibat bintang Manchester United ini terus digeruni di peringkat domestik dan Eropah.  Buktinya, Giggs masih menjadi harapan Sir Alex Ferguson dan pemain penting disebalik kejayaan United memaksa Benfica berkongsi mata dalam kempen mereka di peringkat Eropah.  Jaringan penyamaan Giggs diminit ke-42, pagi Khamis lalu memberikan United satu mata untuk di bawa pulang ke Old Trafford selepas  Oscar Cardozo meletakkan tuan rumah di depan.  Sir Alex Ferguson juga pantas memuji dan menganggap gol jaringan Giggs dalam perlawanan tersebut sebagai gol yang cukup fantastik.  Giggs merupakan satu-satunya pemain yang masih setia sejak menyertai skuad utama United pada tahun 1990.  

Selepas berjaya memecahkan rekod penampilan Sir Bobby Charlton untuk United (758 kali), Giggs terus melebarkan rekod penampilannya buat United dan sehingga 14 September 2011, Giggs sudah mencatat angka 880 kali penampilan untuk skuad The Red Devils.  Selain itu sepanjang karier 22 tahunnya di Old Trafford, Giggs turut menyumbang 160 gol buat United dan angka itu pastinya akan terus bertambah jika mengambilkira kenyataan terbaru Giggs bahawa beliau masih belum terfikir untuk menggantung but.  Penampilan Giggs di Lisbon pagi Khamis lalu, juga merupakan penampilan untuk musim ke 18 beliau bersama United dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu sejak tahun 1993.  Giggs memulakan kempennya dalam Liga Juara-Juara musim 2011/12 dengan jaringan gol.  Gol jaringan Giggs di Lisbon semalam seolah-olah mengimbas kembali ketika beliau dizaman mudanya.  Giggs yang menerima hantaran pendek Antonio Valencia, kemudiannya membawa bola sambil berlari dan sempat melihat kedudukan Artur (penjaga gol Benfica). Belumpun sempat pertahanan lawan menutup ruang, Giggs melepaskan rembatan cantik yang pastinya mustahil untuk diselamatkan bukan saja oleh Artur, malah oleh mana-mana penjaga gol terbaik dunia ketika ini.  Umur nampaknya tidak menghalang Giggs untuk terus berlari dan menjaringkan gol.  Giggs tetap masih bahaya seperti dulu...Glory Glory Manchester United!!!
Trofi Giggs Bersama United:

Liga Perdana Inggeris (12 kali): 1992-93, 1993-94, 1995-96, 1996-97, 1998-99, 1999-00, 2000-01, 2002-03, 2006-07, 2007-08, 2008-09, 2010-11
Liga Juara-Juara Eropah (2 kali): 1999, 2008
Piala Intercontinental (1 kali): 1999
Kejohanan Kelab Dunia FIFA (1 kali): 2008
Piala FA (4 kali): 1994, 1996, 1999, 2004
Perisai Komuniti (2 kali): 2008, 2010
Piala Liga/Carling (2 kali): 2005-05, 2008-09

15 September 2011

SENTUHAN LAGENDA GIGGS


Manchester United memerlukan sentuhan berbisa Ryan Giggs untuk berkongsi mata dengan Benfica dalam perlawanan Kumpulan C, Liga Juara-Juara di Lisbon awal pagi tadi.  United ketinggalan melalui jaringan Oscar Cardozo diminit ke-24 namun Giggs berjaya menyamakan kedudukan buat United diminit ke-42.  Sir Alex Ferguson mengotakan janjinya mahu menurunkan skuad berbeza dengan menyenaraikan Antonio Valencia, Park Ji-Sung, Darren Fletcher, Ryan Giggs, Anders Lindegaard dan Michael Carrick dalam kesebelasan utama sambil merehatkan Phil Jones, David de Gea, Javier Hernandez, Nani dan Anderson manakala Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic diketepikan akibat kecederaan.  
Walaupun statistik menunjukkan United menguasai 61% penguasaan bola namun skuad Red Devils jarang memberikan ancaman kepada Artur di gawang tuan rumah.  Gol penyamaan Giggs menunjukkan betapa sentuhan bintang veteran itu masih berbisa.  Giggs yang menerima hantaran pendek Valencia sempat melihat kedudukan Artur di gawang sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol berasal dari Brazil itu.  Gol dari Giggs ini juga menjadikan beliau  pemegang rekod baru Liga Juara-Juara sebagai pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam 16 musim berbeza.  Rekod sebelum ini dikongsi Giggs bersama lagenda Sepanyol, Raul Gonzalez (15 musim).  Di samping itu, Giggs juga memegang rekod sebagai pemain tertua menjaringkan gol dalam kempen Liga Juara-Juara (37 tahun, 289 hari).  Sementara itu, Ferguson ternyata gembira dengan keputusan yang dicapai pasukannya dalam perlawanan ini.  Sekalipun menurunkan skuad kedua, Fergie gembira United berjaya mendominasi perlawanan dan hampir membawa pulang tiga mata ke Old Trafford namun kurang bernasib baik apabila percubaan Giggs diminit ke-75 sedikit tersasar.  United akan menerima kunjungan wakil Switzerland, FC Basel di Old Trafford 28 September ini untuk perlawanan kedua Kumpulan C...Glory Glory Manchester United!!!

11 September 2011

CLEVERLEY CEDERA, FERGIE KECAM DAVIES


Terjahan `brutal' kapten Bolton Wanderers, Kevin Davies ke atas Tom Cleverley mengundang kecaman keras Sir Alex Ferguson.  Sekalipun mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas lawan, United bakal kehilangan khidmat bintang muda mereka itu untuk jangkamasa lama. Cleverley terpaksa dikeluarkan dipertengahan babak pertama perlawanan selepas menerima terjahan keras dari belakang oleh Davies.  Sekalipun masih belum dapat dipastikan tahap sebenar kecederaan Cleverley, Ferguson menjangkakan dia bakal kehilangan sentuhan bintang mudanya itu untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga bulan.  Ferguson membidas terjahan dari belakang yang dilakukan Davies terhadap Cleverley diminit ke 22 selain mendakwa pasukannya terpaksa bertahan dengan terjahan-terjahan keras lawan sepanjang perlawanan.  "Ini merupakan satu terjahan yang buruk", kata Fergie.  Layangan kad kuning yang diterima Davies oleh pengadil perlawanan Andre Marriner merupakan koleksi ke 100 kapten The Trotters itu dalam kariernya.  Selain Cleverley, United juga bakal kehilangan khidmat Jonny Evans yang mengalami masalah pangkal paha dan Patrice Evra (lutut) ketika kempen mereka di Eropah bermula pertengahan minggu ini.  United dijadualkan bertemu Benfica dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah, di Lisbon pada 15 September ini. Glory Glory Manchester United!!!

MENANG BESAR LAGI


Manchester United benar-benar berada dalam prestasi terbaik mereka selepas sekali lagi mencatat kemenangan besar di awal musim.  Selepas Arsenal melihat gawang mereka dibolosi sebanyak lapan kali, kini giliran penyokong Bolton Wanderers pula menyaksikan pasukan mereka diaibkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.  Tambah menarik, kemenangan besar ini dicatatkan di Stadium Reebok, gelanggang yang sering mendatangkan masalah buat United sejak beberapa musim kebelakangan ini.  Tidak seperti musim lalu, di mana United terpaksa berhempas pulas untuk berkongsi mata di sini, kali ini skuad The Red Devils tidak berdepan laluan sukar untuk meraih tiga mata.  Terima kasih atas sumbangan hatrik dari Wayne Rooney (minit ke-20, 25 dan 67) dan dua gol dari Javier Hernandez (minit ke-5 dan 59).  Kehadiran semula Hernandez dalam kesebelasan utama ternyata tidak menghampakan apabila dia meletakkan United di depan ketika perlawanan baru berusia lima minit.  Gol pendahuluan United itu adalah yang paling menarik dalam perlawanan ini selepas Hernandez melakukan gerakan bijak dari belakang dua pertahanan lawan (Gary Cahill dan Paul Robinson) sebelum mudah menolak masuk bola hantaran  Nani.  Rooney pula ternyata berada pada prestasi terbaiknya apabila sekali lagi menyumbang hatrik buat United selepas melakukannya dua minggu lalu di Old Trafford ketika pertemuan dengan Arsenal.
Kehadiran semula Hernandez menyuntik ketajaman di bahagian hadapan dan gandingannya bersama Rooney sering memberikan masalah kepada benteng The Trotters.  Perlawanan ini juga menyaksikan kemunculan semula Rio Ferdinand menerajui benteng tengah pertahanan bersama Jonny Evans.  Pengalaman Rio di benteng banyak membantu pertahanan muda United beraksi dengan lebih yakin terutamanya David de Gea yang berada di barisan paling belakang.  de Gea terus menjadi tumpuan lensa kamera sepanjang perlawanan namun penjaga gol U-21 Sepanyol itu tampak semakin meningkat dan mempamerkan keyakinan tinggi dalam perlawanan ini.  Walaupun beberapa kali diuji, terutamanya melalui rembatan Ivan Klasnic di separuh masa pertama, de Gea berjaya membuktikan bahawa pelaburan 18 juta Pound ke atas dirinya ternyata berbaloi.  United bagaimanapun terpaksa membayar harga mahal untuk kemenangan ini apabila bakal kehilangan Tom Cleverley dan Jonny Evans untuk tempoh yang lama.  Cleverley terpaksa dibawa keluar diminit ke-24 selepas menerima terjahan keras dari Kevin Davies dan kemudiannya muncul dibangku simpanan United dengan kaki berbalut.  Jonny Evans pula terpaksa dikeluarkan diminit ke-61 apabila mengadu mengalami masalah pangkal paha.  Kemenangan ini  menyaksikan United terus menerajui takhta liga dengan kelebihan jaringan biarpun berkongsi 12 mata dengan Manchester City...Glory Glory Manchester United!!!

10 September 2011

PREVIEW: BOLTON lwn MANCHESTER UTD


Bolton Wanderers tidak pernah menang tiga pertemuan terakhir mereka dengan Manchester United dan apakah pertembungan di Reebok Stadium awal pagi nanti akan menyaksikan rekod tersebut  berterusan.  Sejak musim 2001/02, pertemuan United-Bolton sudah berlangsung sebanyak 10 kali di mana rekod memihak kepada skuad Red Devils yang mencatat 10 kemenangan, 3 seri dan sekali kalah.  Semangat tinggi untuk meneruskan momentum kemenangan dalam diri barisan muda United pastinya sukar disekat dan Bolton tampak akan menjadi mangsa seterusnya.  United sudah mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan awal mereka dan menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris.  Biarpun berkongsi sembilan mata dengan jiran mereka, Manchester City, United memiliki kelebihan jaringan gol berbanding skuad bimbingan Roberto Mancini.  Perlawanan ini juga pastinya menjadi ujian buat barisan muda United terutamanya penjaga gol mereka, David de Gea yang bakal berhadapan dengan asakan-asakan keras dari barisan penggempur lawan yang diketuai Kevin Davies.  Biarpun mempamerkan aksi mantap ketika pertemuan dengan Arsenal dua  minggu lalu, masih ramai yang meragui keupayaan de Gea mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan Edwin van der Sar musim ini.
Kapten Bolton, Kevin Davies pastinya sedar dengan sedikit rasa gugup yang dimiliki pemain muda seperti de Gea, apatah lagi beraksi buat pertama kali dalam saingan liga utama di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris.  Davies sudah membayangkan, kemampuan barisan pertahanan muda United dan de Gea bakal diuji dengan taktik hantaran-hantaran bola tinggi ke kawasan pintu gol, taktik yang memang sudah sinonim dengan pasukan bimbingan Owen Coyle ini.  Perlawanan ini juga bakal menyaksikan kelibat Javier Hernandez kembali dalam kesebelasan utama United.  Hernandez yang diketepikan selama  beberapa minggu kerana mengalami masalah gegaran otak bakal bergandingan semula dengan Wayne Rooney di barisan serangan United.  Kehadiran semula Hernandez yang menyumbangkan 20 gol musim lalu dilihat tepat pada masanya selepas Danny Welbeck terpaksa diketepikan selama lima minggu kerana masalah hamstring.  Perlawanan ini juga bakal menyaksikan apakan sentuhan berbisa gandingan Ashley Young dan Wayne Rooney akan berterusan buat United.  Gandingan Rooney dan Young  sudah menghasilkan tujuh gol buat United setakat ini turut menjadi teras kepada skuad England dalam saingan kelayakan Euro 2012.  Rooney dan Young masing-masing telah menyumbang tiga gol buat England dalam dua perlawanan terakhir skuad Three Lions menentang Bulgaria dan Wales.  Berhadapan dengan lawan seperti Bolton di gelanggang mereka, Stadium Reebok bukanlah satu tugas mudah buat barisan muda United.  Musim lalu United memerlukan jaringan penyamaan dari Michael Owen untuk mengikat Bolton 2-2 di gelanggang ini dan gol tunggal Dimitar Berbatov di penghujung perlawanan pula memastikan United meraih tiga mata di Old Trafford.  Selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut di awal musim, apakah frasa `lambat panas' masih sesuai digunakan untuk barisan United musim ini?  Apa yang nyata, darah muda dalam skuad United kali ini telah memberikan kelainan ketara pada corak saingan mereka di awal musim.  Tidak seperti musim lalu, United begitu garang di awal musim dan semoga akan terus garang hingga ke akhir musim...Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Chris Smalling, Phil Jones, Jonny Evans, Patrice Evra, Ashley Young, Nani, Tom Cleverley, Anderson, Javier Hernandez & Wayne Rooney

09 September 2011

POGBA BAKAL DISERAP KE SKUAD UTAMA


Paul Pogba
Sir Alex Ferguson sudah memberikan isyarat buat pemain muda dalam skuad Remaja Manchester United, Paul Pogba agar bersedia disenaraikan ke dalam skuad utama Red Devils. Ferguson mengatakan bahawa dia bakal memberikan penampilan bertama kepada tonggak utama skuad remaja itu ketika United berhadapan dengan Leeds United di pusingan ketiga Piala Carling.  United dijadualkan berhadapan Leeds pada pada 20 September nanti di Elland Road.  Pogba yang dipancing Ferguson dari kelab Perancis, Le Havre pada tahun 2009 adalah tonggak bahagian tengah United untuk skuad remaja mereka selain kapten skuad U-19 Perancis.  Pogba yang baru berusia 18 tahun dikatakan memiliki corak permainan mirip kepada lagenda Arsenal, Patrick Vieira.  Menurut Ferguson, kempen Piala Carling adalah langkah awal beliau untuk memberi pendedahan kepada Pogba dalam skuad utama United.  Menurut Ferguson, sebagai permulaan, Pogba akan berlatih bersama skuad utama bagi menyesuaikan diri sebelum disenaraikan dalam skuad yang akan berkunjung ke Elland Road nanti.  Untuk rekod, pertemuan terakhir  kedua-dua pasukan ialah pada 3 Januari 2010 dalam kempen pusingan ketiga Piala FA.  Leeds ketika itu berjaya menyingkirkan United hasil jaringan tunggal Jermaine Beckford (minit ke-19) di Old Trafford.  Sejak tahun 2000, kedua-dua pasukan juga sudah bertemu sebanyak sepuluh kali dengan rekod pertemuan memihak kepada United (menang 5, seri 3 dan kalah 2)...Glory Glory Manchester United!!!

08 September 2011

CR7 NAK KEMBALI?


CR7
Cristiano Ronaldo (CR7) dah beri bayangan yang kemungkinan satu hari nanti dia akan balik semula ke Old Trafford.  CR7 secara terbuka mengatakan bahawa walaupun kini sudah memenuhi impian masa kecilnya bermain untuk Real Madrid, dia masih lagi menjaga hubungannya dengan bekas rakan-rakan sepasukan di United dan Alex Ferguson.  Mungkin juga CR7 rindukan gempita sorakan die hard fans di Old Trafford selain suasana persaingan sengit yang dijanjikan oleh Liga Perdana Inggeris berbanding La Liga (saban tahun membabitkan saingan dua penjuru Madrid dan Barca).  Tiada niat nak memperkecilkan persaingan di La Liga namun itulah hakikatnya bila setiap musim perlumbaan merebut kejuaraan hanya membabitkan Madrid dan Barca.  Kelab-kelab lain seperti Valencia, Sevilla, Atletico Madrid dan Villareal pula berlumba-lumba menghabiskan saingan untuk merebut tempat ketiga.  Malaga yang kini dimiliki jutawan Timur Tengah cuba memecah dominasi Madrid/Barca dengan berbelanja besar, tapi nasib mereka juga rasanya tak banyak bezanya dengan kelab-kelab lain yang bersaing untuk menduduki tempat ketiga liga.  
Henrik Larsson
Tak dinafikan La Liga adalah antara liga terbaik di dunia tetapi cukup bosan untuk diikuti hingga ke akhir musim (kecuali bagi penyokong Madrid dan Barca) kerana pengakhiran skrip yang sudah dijangkakan sejak sepak mula perlawanan pertama lagi.  Berbalik kepada CR7, ada kemungkinan sekiranya dia berjaya membantu Madrid memecah dominasi Barca di La Liga, maka di penghujung musim nanti dia akan menimbangkan hasrat untuk keluar dari Bernabeu.  Jika CR7 betul-betul ingin kembali semula ke Old Trafford, dia harus melakukannya dalam tempoh setahun atau dua lagi.  Dengan umurnya dah menjangkau 26 tahun, tempoh dua tahun lagi adalah tempoh yang realistik untuk dia kembali ke pangkuan United.  CR7 juga boleh kembali semula ke Old Trafford pada usia 30 tahun tetapi dengan syarat, jurang prestasinya tidak banyak berubah seperti sekarang atau pada usia 30 tahun nanti dia masih mampu memberikan impak besar sepertimana yang dilakukan Henrik Larsson ketika Ferguson mendapatkan bekas penyerang antarabangsa Sweden itu secara pinjaman dari Helsingborg pada tahun 2007....Glory Glory Manchester United!!!

07 September 2011

BUDAK RED DEVILS TERUS BANTU ENGLAND



`Budak' Red Devils terus memainkan peranan disebalik kejayaan England mengharungi kancah saingan kelayakan Euro 2012.  Awal pagi tadi, `devils' yang berada dalam skuad Three Lions sekali lagi memberikan sumbangan berharga ketika England mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas Wales.  Jaringan tunggal Ashley Young diminit ke-35 memberikan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Fabio Capello yang kini menerajui Kumpulan G dengan 17 mata, enam mata mengatasi saingan terdekat mereka, Montenegro.  Hujung minggu lalu, gandingan `devils' turut memainkan peranan utama ketika England mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bulgaria di Sofia.  Wayne Rooney menjaringkan dua gol buat England, malah gol kedua jaringan Rooney pada perlawanan tersebut adalah hasil kombinasi menarik antara beliau dengan Young.  Selepas ini tumpuan `devils' kembali terarah pada saingan Liga Perdana Inggeris.  United akan berhadapan dengan Bolton Wanderers di Reebok Stadium, pasukan `kelas pertengahan' yang sebelum ini sering memberikan masalah kepada barisan Sir Alex Ferguson...Glory Glory Manchester United!!!

06 September 2011

`WHIZKID' EVERTON DALAM PERHATIAN FERGIE


Ross Barkley

Walaupun pintu perpindahan baru saja ditutup 31 Ogos lalu, Sir Alex Ferguson nampaknya sudah menetapkan sasaran pemain mana yang ingin di bawa masuk ke Old Trafford bulan Januari nanti.  Selera Ferguson terhadap `pucuk muda' nampaknya semakin meluap-meluap selepas menyaksikan `budak-budak mentahnya' mempamer  prestasi baik di Liga Perdana Inggeris setakat ini.  Pintu perpindahan hanya akan dibuka semula pada musim sejuk nanti (Januari), namun Fergie sudah ada sasaran yang ingin dipancing.  Pemain yang dimaksudkan ialah bintang dalam pembikinan di Goodison Park, Ross Barkley.  Barkley  yang baru berusia 17 tahun melakukan debut untuk Everton ketika The Toffees tewas kepada Queens Park Rangers dan mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Blackburn Rovers.  Fergie diberitakan cukup meminati gaya permainan Barkley dan menjangkakan pemain tengah itu akan mengikut jejak Wayne Rooney menyertai United dari Akademi Bolasepak Everton.  Jika impian Fergie tercapai, maka Barkley akan menambahkan lagi koleksi `darah muda' dalam skuad United...Glory Glory Manchester United!!!

05 September 2011

FLETCH KEMBALI KE PADANG



Midfielder Manchester United, Darren Fletcher kembali turun ke padang dalam perlawanan kompetitif pertamanya sejak Mac tahun lalu.  Fletch mengetuai Scotland ketika mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan kelayakan Euro 2012 Sabtu lalu menentang Republik Czech.  Biarpun sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan peringkat tinggi kerana jangkitan virus, Fletch berjaya menyumbang 1 gol untuk Scotland diminit ke-82.  Hanya jaringan penyamaan  bekas penyerang Liverpool, Milan Barros di penghujung permainan merencatkan penampilan semula Fletch.  Fletch nampaknya tidak menghadapi sebarang masalah beraksi selama 90 minit untuk Scotland dan penampilan semula beliau pastinya memeningkan kepada Sir Alex Ferguson.  Apa tidaknya, ketika ini prestasi dua lagi midfielder United (Ando & Claverley) berada pada tahap terbaik hingga memaksa seorang lagi perancang yang pernah digelar `pass master' iaitu Michael Carrick sekadar memanaskan bangku simpanan.  Kehadiran semula Fletch bukan saja memberikan lebih banyak pilihan buat Fergie di bahagian tengah malah pastinya memeningkan kepala beliau.  Ini belum lagi termasuk nama Park Ji-Sung yang sudahpun diturunkan ketika United membelasah Arsenal 8-2 dan Luis Antonio Valencia yang mungkin sudah sedia diturunkan dalam tempoh tiga atau empat minggu lagi.  Apakah kriteria yang menjadi pilihan Fergie nanti?  Kesungguhan dan semangat darah muda milik Cleverley dan Ando atau pengalaman luas milik Fletch?  Glory Glory Manchester United!!!

03 September 2011

ENGLAND SEPARUH UNITED?


Fabio Capello memanggil lima pemain Manchester United ke dalam skuad England bagi menghadapi perlawanan pusingan kelayakan Euro 2012 menentang Bulgaria.  Tom Cleverley, Chris Smalling dan Phil Jones menyertai rakan United mereka yang lebih senior seperti Wayne Rooney serta Ashley Young pada penampilan pertama untuk skuad Three Lions.  Fabio Capello hadir di Old Trafford menyaksikan bagaimana skuad muda United membelasah Arsenal 8-2 minggu lalu dan ternyata, persembahan mantap pemain Inggeris dalam skuad United menarik minat Capello untuk menyenaraikan mereka dalam skuadnya kali ini.  Adakah kali ini kita akan dapat melihat hampir separuh kesebelasan utama England dibarisi pemain-pemain United?  Bukan sesuatu yang mustahil untuk melihat perkara ini berlaku jika diambilkira prestasi terkini mereka bersama United.  Tom Cleverley misalnya membuktikan kepada penyokong-penyokong tegar United bahawa mereka tidak perlu lagi menangisi persaraan Paul Scholes atau kegagalan Sir Alex Ferguson mendapatkan tandatangan Wesley Sneijder dengan prestasi cemerlangnya setakat ini.  Cleverley membuktikan dia memang sudah bersedia menggantikan Scholes memikul beban selaku penggerak utama di bahagian tengah United bersama Anderson.  Siapa sangka Chris Smalling yang selama ini dilabel sebagai pengganti Rio Ferdinand di bahagian pertahanan tengah mampu bergerak selesa di bahagian kanan dan memporak perandakan barisan Manchester City, West Bromwich, Tottenham dan Arsenal melalui overlapping persis Gary Neville.  Ramai juga yang tidak menyangka bahawa Phil Jones yang baru direkrut Ferguson musim ini mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nemanja Vidic di bahagian tengah pertahanan.  

Sebelum ini kehilangan Vidic dan Rio boleh dianggap `bencana besar' atau mimpi ngeri kepada bahagian belakang United, namun Jones pantas menjawab tandatanya sebahagian besar peminat bolasepak, mengapa Ferguson sanggup mengeluarkan 18 juta Pound dari bank hanya untuk mendapatkan pemain berusia 19 tahun.  Prestasi terkini dua lagi pemain United (Rooney dan Young) pasti menyebabkan Capello tiada pilihan lain selain meletakkan mereka dalam kesebelasan utama selain faktor pengalaman luas mereka bersama skuad kebangsaan.  Impian peminat United melihat kelima-lima mereka membarisi kesebelasan utama England mungkin sukar tetapi tidaklah mustahil.  Capello khabarnya bakal memberikan tempat buat Smalling di sebelah kanan  manakala pertimbangan sedang dibuat untuk menggandingkan Jones bersama John Terry di bahagian tengah pertahanan England.  Persoalan yang tinggal kini hanyalah tentang kedudukan Cleverley, samada Capello sudah bersedia memberikan penampilan pertama kepadanya untuk skuad senior.  Berdasarkan prestasi semasa, tiada masalah buat Cleverley mengenepikan Scott Parker, Stewart Downing atau Gareth Barry untuk bergandingan dengan Frank Lampard di bahagian tengah. Satu-satunya faktor yang mungkin dipertimbangkan Capello ialah pengalaman dan jika kriteria ini digunakan pengurus berbangsa Itali itu, Parker mungkin menjadi pilihan utama.  Apapun berdasarkan prestasi semasa, impian untuk melihat lima pemain United beraksi serentak dalam skuad kebangsaan England bukanlah mustahil dan sudah tiba masanya Capello mencuba sesuatu yang baru.  Alex Ferguson sudah membuktikannya, dan sekarang tiba giliran Capello pula...Glory Glory Manchester United!!!