Semalam (29 November) genaplah 40 tahun usia
lagenda hidup Manchester United, Ryan Giggs. Ketika ramai rakan-rakan
seangkatannya sudah menggantung boot,
Giggs sebaliknya masih bernafsu memperagakan aksinya di tengah padang sambil
membiarkan pihak-pihak di luar sana berteka-teki tentang bilakah agaknya beliau
akan mengumumkan persaraannya. Giggs sudah membuktikan betapa beliau masih lagi
antara tonggak utama kelab apabila muncul antara watak penting di sebalik
kemenangan besar 5-0 United ke atas Bayer Leverkusen dalam saingan Liga
Juara-Juara kelmarin. Sejak menyertai United pada 1987 dan melakukan penampilan
pertamanya pada 1991, Giggs sudah memenangi 13 kali pingat kejuaraan Liga
Perdana, 4 kali Piala FA, 2 kali Liga Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia dan
beberapa lagi trofi utama selain penghargaan individu yang dianugerahkan
kepadanya. Selain pingat-pingat kejuaraan yang sudah dimenanginya sebagai
pemain, beraksi di BayArena merupakan penampilan ke-953 beliau untuk United.
Pada usia menjangkau 40 tahun, apa yang dipamerkan Giggs di hadapan
penyokong-penyokong Leverkusen kelmarin saya anggap cukup menakjubkan buat
seorang pemain yang sudah berusia seperti beliau malah David Moyes sendiri
mengakui bahawa Giggs boleh beraksi lebih bagus daripada itu. Paling penting
bukan hanya aksi memukau yang dipamerkannya di tengah padang malah Giggs saya
anggap role model dan sumber
inspirasi kepada pemain-pemain muda United yang lain. Disiplinnya bukan setakat
ketika beraksi di atas padang (Giggs tidak pernah dilayangkan kad merah
sepanjang kariernya) malah komitmennya sebagai pemain dibuktikan ketika sesi
latihan. (Dalam keadaan cergas) Giggs dikatakan satu-satunya pemain United yang
tidak pernah terlepas walau satu haripun sesi latihan sepanjang kariernya.
Giggs bukan sahaja mengagumkan
peminat-peminatnya malah juga lawannya. Wayne Rooney mendedahkan bahawa selepas
tamat perlawanan di BayArena, ada pemain Leverkusen datang mendekatinya
bertanyakan bagaimana Giggs mampu beraksi dengan baik pada usia 40 tahun.
Pemain tengah Chelsea, Juan Mata pula tanpa ragu menyebut Giggs adalah sumber
inspirasinya. “Ketika saya membesar, ada beberapa pemain yang menjadi idola
saya. Antaranya ialah Gianfranco Zola dan Dennis Bergkamp tetapi Ryan Giggs
adalah sumber inspirasi saya. Dia adalah pemain sayap terbaik dunia.
Penampilannya benar-benar mengesankan, bermula dari tackle, larian, gelecekannya hinggalah kepada gaya permainannya”,
kata Mata. Dalam dunia bolasepak moden, tidak ramai pemain mampu bermain di
peringkat tertinggi untuk jangkamasa yang lama. Ketika kudrat semakin terbatas
akibat peningkatan usia, bukan mudah buat seseorang pemain mengekalkan
prestasinya apatah lagi terus bertahan dalam kelab besar seperti United. Walaupun
sudah bergelar 'kuda tua', Giggs memiliki reputasi besar sebagai pemain, jadi
bukan mudah untuk beliau memikirkan persaraan ataupun menyertai kelab lebih
kecil sepertimana yang sering dilakukan bintang-bintang lain ketika mereka di
gerbang persaraan. Ketika Fabio Cannavaro, David Bekcham dan Allesandro del
Pierro umpamanya memilih beraksi di negara-negara yang liga bolasepaknya kurang
kompetitif berbanding Liga Perdana atau Serie A sebelum bersara, lain pula
halnya dengan Giggs yang terus bertahan di Old Trafford. Sudah tentu bukan tugas
mudah buat Giggs merebut tempat dalam kesebelasan utama United pada usia
sekarang, namun faktor utama mengapa beliau mampu terus bersaing begitu lama di
Liga Perdana adalah kerana kemampuannya tampil konsisten setiap musim.
Saya lihat Giggs seperti tidak pernah
kehabisan idea untuk melepasi kawalan lawan biarpun sudah 24 musim bergelumang
dalam kancah saingan tertinggi bolasepak England. Saya pernah terfikir mengapa Giggs
tidak menggunakan reputasi besar miliknya untuk mengaut banyak wang sebelum bersara
dengan menyertai kelab-kelab kaya di Timur Tengah atau bermain sahaja di
Amerika Syarikat sepertimana yang pernah dilakukan bekas bintang-bintang Liga
Perdana seperti Beckham dan Thierry Henry yang menerima bayaran lumayan dengan
bermain di MLS (Major League Soccer). Saya masih ingat, ketika usia Giggs
mencecah angka 30 tahun, ramai pihak meragui kemampuan beliau untuk terus mengekalkan
kepantasannya selaku pemain sayap, sekaligus bakal mengugat tempatnya dalam
skuad utama United. Bagaimanapun Giggs bijak mengadaptasi gaya permainan mengikut
kesesuaian usianya dengan tidak lagi terlalu bergantung kepada kepantasan
semata-mata. Kehadiran Cristiano Ronaldo pada 2003 juga sedikit sebanyak
membantu meringankan tugas Giggs dengan beban ketika melakukan gerakan dari
sebelah tepi tidak lagi dipikul oleh beliau sepenuhnya. Kesetiaannya kepada
kelab amat mengagumkan saya, kerana bukan tidak pernah Real Madrid atau AC
Milan cuba mendapatkan khidmatnya ketika Giggs di puncak karier. Ketika
kelibatnya menjadi buruan gergasi Eropah yang lain, Giggs sebaliknya cekal
menepis godaan dengan memilih untuk kekal menyarung jersi The Red Devils hingga sekarang. Sudah tentu wang bukan keutamaan
buat profesional tulen sepertinya kerana cinta yang mendalam terhadap kelab
menyebabkan beliau kekal di Old Trafford selama lebih 26 tahun. Ketika pemain
lain ghairah memburu tawaran kontrak lumayan, Giggs sebaliknya lebih senang
memikul peranan sebagai pemain senior dengan menjadikan dirinya sebagai
inspirasi kepada bakat-bakat muda United.
Kemampuannya memberikan sumbangan terbaik
pada perlawanan-perlawanan penting juga merupakan salah satu ciri utama yang
dimiliki Giggs dalam dirinya. Saya tidak tahu rahsia apa yang dimiliki Giggs,
tetapi ketika pemain-pemain lain mengalami tekanan berlebihan dalam menghadapi
fasa penting sesuatu kejohanan, beliau sebaliknya tenang memperagakan aksi
terbaiknya. Perlawanan separuh akhir Piala FA edisi 1998-99 menentang Arsenal adalah
bukti terbaik. Ketika pasukan bermain di bawah tekanan kerana kekurangan
seorang pemain selepas Roy Keane dilayangkan kad merah, Giggs memukau ribuan
mata di Villa Park dengan aksi solonya menewaskan kesemua pertahanan The Gunners sebelum melepaskan rembatan
kencang kaki kiri yang sama sekali gagal diselamatkan David Seaman. Gol emas
itu menamatkan terus sisa-sisa perjuangan Arsenal untuk sekurang-kurangnya
mengheret perlawanan kepenentuan sepakan penalti. Apakah rahsia Giggs dalam aspek
kecergasannya hingga mampu bermain di peringkat tinggi pada usia 40 tahun
sedangkan dahulu beliau pernah dibelenggu dengan masalah hamstring yang berulang?
Yoga adalah jawapannya. “Yoga banyak membantu saya. Yoga memberikan saya
fleksibiliti dan kecergasan bukan sahaja untuk berlatih tetapi juga ketika
perlawanan”, kata Giggs semasa diwawancara Gazetta dello Sport tahun lalu.
Seperti yang saya sebutkan di peringkat awal tadi, Giggs merupakan pemain
United yang cukup berdisiplin ketika sesi latihan. Walaupun beliau kini jarang menjadi
pilihan pengurus untuk membarisi kesebelasan utama, Giggs tetap komited menjaga
tahap kecergasannya. Latihan adalah perkara utama dalam rutin hariannya. Jadi
tidak hairanlah apabila khidmatnya diperlukan, Giggs masih mampu memberikan
aksi terbaiknya di atas padang. Statistiknya sepanjang perlawanan menentang
Leverkusen tempohari adalah saksi terbaik.
Sepanjang permainan Giggs melakukan 4 tackle sempurna, 62 hantaran dan 9 hantaran jauh
(tepat), catatan terbanyak berbanding pemain-pemain lain. Pada usia sekarang,
Giggs sudah tentu tidak lagi sepantas dulu. Dari seorang pemain sayap dengan larian
pantas serta kawalan bola menarik, Giggs kini bertukar peranan ke bahagian
tengah yang memerlukan kreativitinya dalam membuka peluang buat rakan-rakan
sepasukan. Dalam saingan musim ini, Giggs hanya diletakkan dalam kesebelasan
utama sebanyak dua kali dalam saingan Liga Perdana, manakala tiga kali pula di
pentas Liga Juara-Juara. Setiap kali diturunkan, Giggs tidak pernah
mengecewakan menerusi aksi yang dipamerkannya, seolah-olah beliau tidak pernah
dimamah usia. Pada usia 40 tahun, Giggs masih lagi mampu bersaing dengan
pemain-pemain yang jauh lebih muda daripadanya. Sudah tentu selama 26 tahun
(sejak menyertai United pada 1987 ketika berusia 14 tahun), nama Ryan Giggs dan
Manchester United begitu sinonim dan tidak dapat dipisahkan. Sejak dari era Sir
Alex hinggalah ke David Moyes, Giggs masih lagi mendapat tempat dalam skuad
United meskipun penampilannya tidak lagi sebanyak dahulu. Deretan trofi
kejuaraan yang pernah dimenanginya menjadikan Giggs pemain paling berjaya dalam
sejarah bolasepak England selain satu-satunya pemain dari senarai Football League 100 Legends yang masih
aktif bermain. Lupakan dahulu skandal yang membabitkan beliau dengan bekas adik
iparnya kerana sebagai pemain bolasepak, Ryan Giggs adalah idola sempurna untuk
dijadikan inspirasi kepada pemain-pemain muda. Saya tidak mahu berteka-teki
bilakah Giggs akan mengumumkan persaraannya kerana segala persoalan itu akan
terjawab apabila tiba waktunya nanti. Buat masa sekarang, selagi Giggs masih terus
bermain, saya hanya mahu menikmati aksi lagenda hidup ini di atas padang.
Selamat Ulang Tahun Ke-40 Ryan Giggs. Glory Glory Manchester United!!! – A.J