15 November 2013

MEREKA YANG PALING LANTANG


Pemain bolasepak sama ada bertaraf dunia atau amatur adalah manusia biasa, sama seperti kita yang memiliki pelbagai karakter. Ada yang pendiam, bengis, suka menonjolkan diri, low profile, agresif, sombong, lantang bersuara dan macam-macam lagi karenah mereka, sesuai sebagai fitrah manusia. Dalam sejarah panjang Manchester United, kelab juga sudah tentu tidak terkecuali dari diwarnai dengan kehadiran pemain-pemain yang memiliki pelbagai karakter unik. Jika mahu bercakap tentang pemain yang memiliki karakter pendiam sudah tentu kita terbayang kelibat Sir Bobby Charlton, Paul Scholes dan Michael Carrick (sekadar menyebut beberapa contoh). Bagaimanapun sebagai pemain bolasepak, anda juga perlu lantang bersuara ketika di atas padang apatah lagi jika anda memakai lilitan kapten di lengan. Bagaimanapun ada juga sesetengah pemain yang lantang bersuara tidak kira sama ada di atas ataupun ketika di luar padang kerana itu memang sudah menjadi sifat semulajadi mereka. Untuk itu, mari kita imbas kembali beberapa pemain United yang pernah dicop sebagai pemain bermulut lantang hingga ada di antara mereka dipaksa meninggalkan kelab akibat dari kelantangan mulut sendiri. Berikut adalah tujuh pemain United yang pernah mengegarkan kelab kerana kelantangan mereka bukan sahaja ketika di atas padang, tetapi juga saat berdepan media dan wartawan.

PAUL INCE

Bagi penyokong-penyokong United dari era 80an, Ince dianggap antara pemain paling 'gila' pernah bermain untuk kelab. Kelantangannya tidak terbatas selama 90 minit aksinya di atas padang ketika mengemudi jentera tengah United tetapi juga terbawa-bawa hingga ke luar padang. Menurut bekas kapten United, Steve Bruce  yang pernah bermain bersama-sama pemain itu, Ince mungkin satu-satunya pemain United yang berani 'melancarkan perang' terhadap Sir Alex Ferguson. Antara kata-kata yang pernah dilemparkan Ince terhadap Sir Alex ialah, “Lebih baik anda berhenti dari memilih saya dan akan lebih baik jika saya bermain pada hari Sabtu”. Selepas prestasinya sepanjang musim 1994/95 dikritik Sir Alex selain terpaksa pula berdepan perang dingin dengan pengendali itu selama beberapa bulan, Ince akhirnya dipaksa angkat kaki meninggalkan Old Trafford dan menyertai Inter Milan pada musim panas 1995.

PADDY CRERAND

Saya tidak pernah menyaksikan aksi Crerand kerana ketika beliau beraksi bersama United dari 1963 hingga 1971, saya belum dilahirkan lagi. Aksi beliau hanya dapat saya saksikan melalui Youtube tetapi melalui beberapa sumber bacaan, Crerand dikenali sebagai pemain United paling lantang terutamanya dalam meniup semangat dan motivasi rakan-rakan sepasukan ketika di atas padang. Tidak hairanlah jika sikap seperti itu ada pada diri beliau kerana Crerand sendiri memang dikenali sebagai individu yang memiliki pegangan agama yang kuat. Kata-kata semangat berbentuk motivasi sering digunakan Crerand untuk meningkatkan moral rakan-rakan sepasukan terutamanya ketika di bilik persalinan.

GORDON McQUEEN

Beraksi di benteng pertahanan buat United dari tahun 1978 hingga 1985, McQueen bukan sahaja dikenali kerana kekebalannya mengemudi bahagian belakang tetapi juga kerana kelantangannya. Ketika zamannya, McQueen cukup terkenal kerana kelantangannya di bilik persalinan dan adakalanya terbawa-bawa ketika beliau berhadapan dengan wartawan. Salah satu perkataan yang cukup terkenal pernah keluar dari mulut beliau ialah, “Jika anda bertanya kepada pemain di negara ini tentang kelab mana yang ingin mereka wakili, maka 99% akan menjawab Manchester United. 1% dari mereka adalah pembohong”.

ERIC CANTONA

Cakaplah apa saja tentang Cantona, daripada kepala angin, baran, celupar dan entah berapa banyak lagi perkara negatif tentang diri pemain ini. Bagaimanapun aksinya di atas padang hingga diiktiraf antara pemain paling genius pernah dilahirkan dalam dunia bolasepak menyebabkan penyokong-penyokong United menolak ketepi semua sisi gelap yang ada dalam diri Cantona. Walaupun hanya bermain selama lima musim di Old Trafford sebelum memutuskan bersara pada usia 31 tahun, Cantona membantu United menjulang empat trofi Liga Perdana, dua Piala FA dan tiga trofi Charity Shield. Jadi tidak hairanlah mengapa penyokong-penyokong United memberikan gelaran 'Raja' buat lagenda dari Perancis ini dan meletakkan namanya dalam dewan kemahsyuran kelab. Seperti yang saya katakan tadi, selain genius di atas padang, Cantona juga dikenali dengan kelantangannya. Salah satu kenyataan kontroversi yang pernah keluar dari mulutnya ialah apabila beliau mengatakan “Tiada apa yang istimewa pada diri Didier Deschamps”, salah satu nama besar dalam bolasepak Perancis dan dunia ketika itu.

PATRICE EVRA

Setiap kali United beraksi buruk, Evra pasti muncul pemain pertama mengakui perkara itu selepas perlawanan. Walaupun kadangkala dilihat agak lantang, Evra tidak melakukannya secara membuta tuli kerana dia hanya mengeluarkan kritikan dan kenyataan berkaitan prestasi pasukan dalam satu-satu perlawanan selepas Sir Alex Ferguson melakukannya di hadapan media terlebih dahulu. Apa yang menariknya, Evra turut menjadikan dirinya sendiri sebagai sasaran sekiranya dia bermain di bawah prestasi sebenar. Mungkin juga apa yang berlaku kepada Roy Keane pada 2005 menyebabkan Evra mengambil pendekatan lebih berhati-hati biarpun adakalanya dia begitu lantang di hadapan wartawan.

GARY NEVILLE

Bekas kapten United ini memang diakui antara pemain yang cukup gemar bercakap di hadapan media. Jadi tidak hairanlah selepas bersara, Neville meneruskan minat 'bercakapnya' sebagai pengulas/penganalisis bolasepak apabila menyertai Sky Sports pada musim 2011/12.  Salah satu kenyataan yang paling terkenal pernah keluar dari mulut Neville ialah mengenai kesetiaannya bersama kelab tetapi dituturkan menerusi ayat yang pada saya agak pelik. “Selamanya saya akan menyarung jersi merah. Tetapi saya tidak tahan dengan Liverpool, saya tidak tahan dengan orang-orang di Liverpool. Saya tidak tahan dengan apapun yang berkaitan dengan mereka”. Adakah terlalu sukar untuk memahami apa yang ingin disampaikan Neville?

ROY KEANE

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Keane adalah pemain United di kedudukan paling atas yang memiliki mulut paling lantang. Tidak sukar untuk memahami mengapa Keane memiliki sikap seperti itu apatah lagi tugasnya sebagai kapten pasukan memerlukan beliau lantang bersuara, selain naluri inginkan kemenangan sentiasa meluap-luap dalam jiwanya. Keane sepertimana yang kita tahu seorang individu yang cukup agresif baik ketika di atas padang mahupun di luar padang. Adakalanya beliau dilihat terlalu jujur hingga tidak ragu-ragu mengeluarkan kenyataan dan kritikan terhadap prestasi rakan-rakan sepasukan jika mereka beraksi di bawah prestasi sebenar. Kenyataan paling terkenal Keane terhadap rakan sepasukan tentunya ketika beliau mengkritik prestasi Darren Fletcher. “Saya tidak faham mengapa orang-orang Scotland begitu menyanjungi Darren Fletcher”, kata Keane pada 2005. Bagaimaapun Fletcher antara bintang muda United ketika itu tidak cepat melatah sebaliknya menjadikan seniornya itu sebagai idola. “Satu sebab mengapa saya ingin menjadi pemain profesional seperti sekarang ialah kerana Roy. Dia telah menetapkan satu standard kepada pemain Manchester United”, balas Fletcher.

Bintang bolasepak adakalanya memiliki karakter unik dalam diri mereka dan salah satunya ialah kelantangan dan keberanian mereka ketika bersuara walaupun adakalanya kurang disenangi individu-individu di sekeliling mereka. Mereka begitu vokal di atas mahupun di luar padang tetapi bolasepak memang memerlukan individu-individu seperti ini sebagai daya tarikan dan menambah seri pada warna bolasepak itu sendiri. Keane adalah contoh terbaik bilamana kelantangannya tidak pernah sedikitpun menganggu prestasinya di atas padang. Mungkinkah Keane pemain berbeza dan tidak sebagus Roy Keane yang kita kenal jika dia bersikap pendiam? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan