17 November 2013

BERADA DALAM RADAR UNITED, MAMPUKAH MANGALA IKUT JEJAK VIDA?


Berbanding Mats Hummels dan Ezequiel Garay, nama Eliaquim Mangala jarang disebut penyokong-penyokong Manchester United biarpun khabar angin tentang minat David Moyes terhadap pertahanan FC Porto itu bertiup kencang sejak beberapa minggu lalu. Mungkin juga Mangala yang baru berusia 22 tahun kurang popular tambahan pula dia hanya memiliki satu caps bersama skuad kebangsaan Perancis. Mangala sebenarnya sudah dikaitkan dengan United sejak musim lalu lagi ketika kelab masih dikendalikan Sir Alex Ferguson. Saya ada terbaca beberapa laporan serta rumours yang mengaitkan minat United terhadap pemain itu sebelum ini dan terbaru datangnya dari portal akhbar  Britain, Express & Star. Jika ditanya kepada kebanyakkan penyokong-penyokong United, impian mereka sudah tentu mahu melihat Hummels atau Garay didatangkan untuk menguatkan benteng pertahanan kelab kerana reputasi dan pengalaman yang dimiliki dua pemain ini. Jika diukur pada pengalaman dan reputasi, sudah tentu saya juga memasang impian mahu melihat dua pemain ini (Garay atau Hummels) menyarung jersi United tetapi dalam masa yang sama, saya harus memandang ke belakang semula dengan meletakkan reputasi di tempat kedua. Tujuh tahun lalu, sebahagian besar antara kita mungkin tidak kenal siapa Nemanja Vidic ketika Sir Alex menandatangani pemain Serbia itu dari Spartak Moscow. Tujuh tahun lalu, siapalah Vidic yang ditandatangani Sir Alex dengan nilai hanya £7 juta. Tetapi hari ini, Vidic adalah kapten pasukan, tonggak pertahanan dan pemain berpengaruh di atas padang hingga kehilangannya untuk tempoh yang panjang akibat kecederaan lutut pada Disember 2011 diratapi penyokong-penyokong United.

Vidic adalah antara contoh pemain United yang berjaya ditandatangani Sir Alex pada harga 'murah' tetapi kemudiannya muncul tonggak kelab selain nama wajib ada dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan. Kebolehan Vidic menyesuaikan dirinya dengan cepat dengan kehidupan baharu di England selain corak permainan Liga Perdana membantu karier pemain itu bersama kelab. Selama tujuh tahun di Old Trafford, Vidic sudah membantu United menang lima kejuaraan Liga Perdana, tiga Piala Liga, Liga Juara-Juara, Kejohanan Kelab Dunia dan Perisai Komuniti. Melihat kepada sumbangan Vidic selama tujuh tahun bersama kelab, sudah tentu £7 juta yang dilaburkan ke atasnya lebih dari berbaloi. Vidic masih lagi pemain penting di bahagian belakang, tetapi dalam masa sama usia yang semakin meningkat mula membataskan pergerakannya selain sering dihambat kecederaan. Persembahan baik yang dipamerkan Jonny Evans, Chris Smalling dan Phil Jones satu petanda bagus tetapi saya berpendapat kelab perlu mendapatkan pelapis baharu di benteng pertahanan ketika pasaran perpindahan pemain bulan Januari dibuka atau selewat-lewatnya Jun nanti. Laporan dari Express & Star menyebut minat United terhadap Mangala dengan Moyes bersedia meletakkan pemain tengah Anderson dalam pakej perjanjian pertukaran. Bagaimanapun bukan mudah buat United mendapatkan khidmat Mangala memandangkan Chelsea dan Barcelona juga dikatakan meletakkan namanya dalam radar mereka selepas pihak FC Porto mengeluarkan kenyataan dua minggu lalu bahawa mereka sedia mendengar mana-mana tawaran ke atas pemain itu.

Dengan ketinggian 6' 2”, Mangala bukan sahaja memiliki persamaan seperti Vidic dari segi fizikal tetapi juga corak permainan kerasnya. Kuat ketika perebutan bola di udara, bijak membaca serangan lawan, kemampuan mengunci dan mematahkan pergerakkan penyerang lawan adalah kualiti biasa yang perlu ada pada pemain pertahanan tengah, tetapi kebolehan Mangala tidak terbatas setakat itu. Tujuh gol dalam semua kejohanan yang dihasilkannya untuk FC Porto musim lalu sudah tentu jumlah yang cukup banyak buat seorang pemain pertahanan sepertinya. Suka atau tidak kita perlu mengakui bahawa Rio Ferdinand dan Vidic yang diiktiraf sebagai antara kombinasi pertahanan terbaik pernah beraksi untuk kelab kini semakin hampir di akhir garisan karier mereka. Rio sendiri berdepan masalah konsistensi sejak akhir-akhir ini, namun selepas melihat prestasi bagus yang dipamerkan pelapis-pelapis di bahagian belakang seperti Jonny Evans, Chris Smalling dan Phil Jones membuatkan saya sedikit lega. Perlu kita akui bahawa kejayaan kelab memenangi tiga kejuaraan liga dalam tempoh lima musim terakhir sebenarnya banyak dibantu kekuatan benteng pertahanan. Jadi apabila melihat Rio dan Vidic berada di ambang penghujung karier mereka, membina semula asas kekuatan pasukan (di benteng pertahanan) tetap satu keperluan yang sepatutnya diberikan keutamaan oleh Moyes. Segala-galanya kini terpulang kepada Moyes, pemain pertahanan mana yang ingin beliau buru Januari ini atau Jun nanti. Tujuh tahun lalu, Vidic sudah membuktikan meskipun dia kurang dikenali dan bukanlah pemain berprofil tinggi, pelaburan £7 juta yang dilakukan Sir Alex untuk mendapatkan khidmatnya cukup menguntungkan. Jika benar ada minat yang ditunjukkan Moyes terhadap Mangala, mampukah pemain ini menjelmakan 'magis' serupa dan mengulangi apa yang telah dilakukan Vidic untuk kelab selama ini? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan