12 November 2013

BADI ATAU MEREKA MEMANG GUGUP?


Arsenal menerima kekalahan kedua mereka dalam saingan liga musim ini selepas jaringan tunggal Robin Van Persie di minit ke-27 pada pertemuan ke-176 antara kedua-dua pasukan kekal sehingga tamat 90 minit permainan. Ini juga merupakan kemenangan ke-76 United ke atas The Gunners dengan 53 daripadanya di catatkan mereka di Old Trafford. Saya tidak mahu mengulas tentang perlawanan kelmarin tetapi lebih tertarik dengan rekod buruk anak-anak buah Arsene Wenger setiap kali beraksi di Theatre of Dreams. Bercakap tentang rekod buruk Arsenal setiap kali berdepan United di Old Trafford, mana mungkin para Gooners boleh melupakan kekalahan 8-2 kelab kesayangan mereka pada 28 Ogos 2011. Benarkah Theatre of Dreams sering menghadirkan mimpi buruk kepada barisan The Gunners? Untuk itu, mari kita lihat rekod barisan kendalian Arsene Wenger setiap kali berdepan United di Old Trafford dalam tempoh sepuluh tahun terakhir. Jaringan tunggal perlawanan yang dihasilkan Emmanuel Adebayor pada 17 September 2006 (dalam saingan liga) masih kekal satu-satunya kemenangan yang dicatatkan Arsenal di Old Trafford, manakala 11 lagi kunjungan mereka berakhir dengan kekalahan sejak Disember 2002. Kunjungan Arsenal ke Old Trafford kelmarin sudah tentu berbekalkan keyakinan tinggi berikutan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan mereka dalam saingan liga setakat ini hingga membolehkan kelab dari kota London itu menguasai tangga teratas liga. Bagaimanapun Theatre of Dreams sekali lagi menghantui Arsenal apabila mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong sekaligus menyaksikan jurang lapan mata yang dimiliki mereka ke atas United sebelumnya kini mengecil kepada lima. Sebelum perlawanan Wenger mengatakan bahawa barisan pimpinannya akan menamatkan rekod buruk mereka di Old Trafford, tetapi sebaik Mike Oliver meniup wisel penamat lain pula ceritanya. Pengendali berpengalaman itu mengatakan bahawa rekod buruk mereka setiap kali bermain di kubu The Red Devils menyebabkan pemain-pemainnya gugup. Kenyataan Wenger itu ada benarnya jika dilihat persembahan keseluruhan pemain-pemainnya terutama di babak pertama perlawanan. “Mungkin disebabkan fakta bahawa kami tidak menang di sini dalam tempoh yang lama serta ini juga merupakan perlawanan yang besar membuatkan kami gugup”, kata Wenger. Selain dari kekalahan kelmarin, mari kita imbas kembali perlawanan-perlawanan yang menyaksikan The Gunners gagal menewaskan United atau terpaksa pulang dengan tangan kosong (saingan liga) pada kunjungan mereka di Old Trafford sejak September 2003.

3 November 2012 (Keputusan: 2-1)

Penjualan Robin Van Persie ke Manchester United merupakan satu tamparan besar buat The Gunners. Penyerang antarabangsa Belanda itu membuktikan mengapa pemergiannya diratapi penyokong-penyokong Arsenal apabila dia hanya memerlukan tempoh tiga minit untuk membolosi gawang bekas kelabnya pada pertemuan liga tahun lalu. Patrice Evra kemudiannya menggandakan kelebihan United sebelum Santi Cazorla menjaringkan gol tunggal pelawat. Kekalahan itu juga menyaksikan Arsenal hanya mengumpul 15 mata dari 10 perlawanan terakhir mereka. Ini juga merupakan rekod terburuk mereka di bawah kendalian Wenger.

28 Ogos 2011 (Keputusan: 8-2)

Kekalahan yang sudah tentu akan diingati sampai bila-bila oleh penyokong-penyokong Arsenal. Ada yang mengatakan bahawa kemenangan besar United ini adalah hasil inspirasi dari jiran mereka (Manchester City) yang membelasah Tottenham 5-1 pada perlawanan sebelumnya. Dengan masalah kecederaan yang melanda beberapa pemain utama mereka selain penghijrahan Cecs Fabregas (ke Barcelona) dan Samir Nasri (ke Manchester City) pada musim panas, kunjungan The Gunners ke Old Trafford kali ini bukanlah waktu yang tepat. Hasilnya gawang mereka bocor sebanyak lapan kali dengan Wayne Rooney mencatat hatrik manakala Wenger sendiri hampir hilang kata-kata selepas tamat perlawanan. “Kekalahan ini begitu menyakitkan”, kata Wenger ringkas.

13 Disember 2010 (Keputusan: 1-0)

Gol tunggal perlawanan jaringan Park Ji-Sung sudah cukup buat United mengekalkan rekod baik mereka setiap kali berdepan Arsenal di gelanggang sendiri. Kemenangan yang dilakar United itu juga membolehkan mereka mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga sebelum sambutan hari Natal ketika itu. Satu-satunya peluang terbaik yang diperolehi Arsenal dalam perlawanan ini ialah menerusi Marouane Chamakh namun penyerang Maghribi itu gagal menyempurnakan peluang bagi menyamakan kedudukan.

29 Ogos 2009 (Keputusan: 2-1)

Cakaplah apa sahaja tentang nasib Arsenal setiap kali berdepan United di Old Trafford. Sama ada United sekadar bernasib baik atau tuah memang tidak menyebelahi The Gunners pada aksi mereka di Old Trafford. Perlawanan ini mungkin salah satu contoh terbaik di mana mereka hampir memenangi perlawanan selepas mendahului menerusi jaringan Andrey Arshavin. Bagaimanapun penalti Wayne Rooney di babak kedua dan jaringan sendiri Abou Diaby lima minit selepas itu memusnahkan hasrat mereka untuk menamatkan badi di Old Trafford. Derita Arsenal dalam perlawanan ini 'lengkap' apabila Arsene Wenger diarah meninggalkan bangku pemain kerana protes kerasnya atas keputusan pengadil membatalkan jaringan penyamaan Robin Van Persie kerana pemain itu dikesan berada pada posisi offside.

16 Mei 2009 (Keputusan: 0-0)

United hanya memerlukan satu mata dalam perlawanan ini untuk mengesahkan kejuaraan liga menjadi milik mereka, manakala misi Arsenal pula sudah tentu mahu menunda pesta The Red Devils. Barisan pemain kendalian Sir Alex akhirnya berjaya melaksanakan misi mereka (untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata) sekaligus memastikan kejuaraan liga ke-18 menjadi milik mereka meskipun saingan musim tersebut masih berbaki satu perlawanan. Kejuaraan liga yang diraih United musim ini juga istimewa kerana The Red Devils berjaya menyamai pencapaian 18 kejuaraan liga milik Liverpool.

13 April 2008 (Keputusan: 2-1)

Satu lagi contoh perlawanan di mana Arsenal hampir sahaja melakarkan kemenangan ke atas United di Old Trafford. Emmanuel Adebayor meletakkan Arsenal di hadapan (minit ke-48), namun gol itu dibantah keras pemain-pemain United kerana ulang tayang jelas menunjukkan bola terlebih dahulu terkena tangan penyerang antarabangsa Togo itu sebelum menerjah jaring. Bagaimanapun United kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi penalti Cristiano Ronaldo lima minit selepas itu. Sepakan percuma dari jarak 23 meter yang berjaya disempurnakan Owen Hargreaves di penghujung perlawanan memastikan Arsenal akhirnya pulang dengan tangan kosong.

9 April 2006 (Keputusan: 2-0)

Gol-gol sumbangan Wayne Rooney dan Park Ji-Sung menyaksikan United menang mudah dalam perlawanan ini selain berjaya memberi tekanan berterusan kepada Chelsea selaku pendahulu liga. Kemenangan yang diraih United ini juga merupakan kemenangan kesembilan berturut-turut dalam aksi liga. Bagaimanapun prestasi baik United di penghujung musim gagal menghalang Chelsea yang ketika itu dikendalikan Jose Mourinho dari menjulang trofi liga bagi musim 2005/06.

24 Oktober 2004 (Keputusan: 2:0)

Antara perlawanan paling tegang pernah kita saksikan membabitkan kedua-dua pasukan. Selepas mencatatkan rekod invincible musim sebelumnya (2003/04) dan meneruskan rentak cemerlang mereka di awal musim baharu, rentetan 49 perlawanan tanpa kalah The Gunners akhirnya lebur di Old Trafford. Penalti kontroversi yang disempurnakan Ruud Van Nistelrooy dan gol lewat permainan oleh Wayne Rooney memadamkan catatan epik skuad kendalian Arsene Wenger tetapi aksi panas di atas padang rupanya-rupanya berlanjutan hingga ke bilik persalinan. Perbalahan pemain kedua-dua pasukan di terowong menyebabkan Sir Alex hampir terkena pizza yang dikatakan dilempar Cecs Fabregas. Insiden Pizzagate ini sudah tentu menjadi 'tanda kekal' kepada permusuhan United dan Arsenal yang akan diingati penyokong kedua-dua pasukan sampai bila-bila.

21 September 2003 (Keputusan: 0-0)

Perlawanan ini pada mulanya berlangsung dengan lancar tanpa ada insiden-insiden 'panas' yang menganggu permainan. Bagaimanapun kekacauan mula tercetus apabila Patrick Vieira dilayangkan kad kuning kedua diminit ke-80 kerana tindakbalas yang dilakukan kapten Arsenal itu ke atas Ruud Van Nistelrooy. Pada minit-minit terakhir permainan, United berpeluang mengutip tiga mata penuh apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti namun Van Nistelrooy yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut gagal menepati sasaran sekaligus membolehkan Arsenal pulang dengan satu mata.

Selain daripada keputusan-keputusan perlawanan liga yang saya senaraikan di atas, Arsenal juga gagal menewaskan United di Old Trafford dalam kejohanan-kejohanan kalah mati di peringkat domestik dan Eropah. Dalam saingan Piala FA 2008, mereka tewas besar 0-4 ketika bertandang ke Old Trafford dan United sekali lagi mengulangi kemenangan mereka ke atas Arsenal pada edisi 2011, kali ini dengan keputusan 2-0. Dalam saingan Piala Liga pula, United pernah menyingkirkan Arsenal 1-0 hasil jaringan tunggal David Bellion pada 1 Disember 2004. Di pentas Eropah, impian mereka untuk ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi 2008/09 pula tersekat di peringkat separuh akhir. Pada perlawanan pertama yang dilangsungkan di Old Trafford, mereka tewas 0-1 hasil jaringan tunggal John O’Shea dan kemudiannya tewas 1-3 pada perlawanan kedua di Stadium Emirates. Selepas menyaksikan deretan rekod buruk Arsenal setiap kali berkunjung ke Old Trafford terutamanya dalam tempoh sepuluh tahun terakhir, apakah memang benar Theatre of Dreams 'kurang mesra' dalam menyambut kehadiran barisan The Gunners? Atau mungkin gelanggang kebanggaan United itu badi buat barisan Arsene Wenger? Kemenangan terbaharu yang dilakar United kelmarin menguatkan lagi andaian bahawa Theatre of Dreams adalah badi dan mimpi ngeri buat anak-anak buah Wenger, tetapi saya lebih cenderung mempercayai bahawa kegugupan adalah penyebab utama mengapa mereka terus gagal setiap kali beraksi di sini (sepertimana kata Wenger). Kegugupan mereka bagus buat United dan semoga mereka akan terus gugup setiap kali beraksi di Theatre of Dreams. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan