Selepas mengharungi 12 perlawanan, AS Roma
masih menguasai takhta liga dengan kelebihan satu mata mengatasi saingan
terdekat mereka, Juventus di tangga kedua (31 mata). Prestasi cukup memberangsangkan
yang dipamerkan Giallorossi agak
mengejutkan memandangkan mereka hanya menduduki tangga keenam liga musim lalu,
25 mata di belakang Juventus selaku juara Scudetto.
Penganalisa bolasepak berpendapat apa yang dipamerkan anak-anak buah Rudi
Garcia setakat ini sebenarnya banyak didorong prestasi memberangsangkan dari pemain
tengah baru mereka Kevin Strootman yang ditandatangani dari PSV Eindhoven Julai
lalu. Bagaimanapun saya bukanlah mahu bercakap tentang prestasi yang dipamerkan
AS Roma di Seria A tetapi lebih menjurus kepada pemain yang 'diabaikan' David
Moyes sepanjang jendela perpindahan pemain dibuka musim panas lalu. Ketika
United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson, Strootman pernah beberapa kali
dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Bagaimanapun selepas persaraan Sir
Alex, impian untuk menyaksikan Strootman menyarung jersi United (terpaksa
dilupakan buat seketika) hinggalah khabar angin tentang minat kelab mendapatkan
pemain itu bertiup kembali. Pada usia baru mencecah 23 tahun, Strootman antara
pemain tengah paling meningkat naik ketika ini, jadi tidak hairanlah mengapa beberapa
kelab elit Eropah meletakkan dirinya sebagai sasaran untuk ditandatangani
selepas Eindhoven sendiri mengumumkan sedia mendengar mana-mana tawaran
terhadap pemain itu. Ketika dirinya berpeluang menyertai kelab-kelab gergasi Eropah
yang lain, keputusan Strootman memilih AS Roma sebagai destinasi terbarunya
agak mengejutkan termasuklah Dick Advocaat, individu yang pernah melatihnya
ketika di Eindhoven musim lalu. Saya agak tertarik dengan kenyataan yang
dikeluarkan Advocaat beberapa hari lalu sekaligus menguatkan lagi spekulasi
tentang masa depan Strootman di ibukota Rome. “Strootman adalah pemain yang
sangat profesional, tetapi keputusannya menyertai AS Roma benar-benar
mengejutkan saya ketika dia sendiri berpeluang menyertai kelab yang lebih
besar. Saya tidak yakin dia akan kekal bersama Roma untuk tempoh yang lama.
Jika Kevin kekal di tahap sekarang, dia akan dijual ke kelab lain dan kelab itu
mestilah sehebat Manchester United”, kata Advocaat.
Seperti yang saya sebutkan tadi, Sir Alex
pernah dikhabarkan berminat mendapatkan tandatangan Strootman tetapi hasrat itu
terbantut selepas beliau mengumumkan persaraannya. Moyes selaku pengganti pula
terlepas pandang kualiti yang ada pada pemain itu ketika beliau sendiri 'menghabiskan
masa' memburu kelibat Cecs Fabregas dan Thiago Alcantara. Bagaimanapun Fabregas
memilih kekal bersama Barca manakala Alcantara pula beralih haluan ke
Bundesliga dengan menyertai Bayern Munich. Ketika jendela perpindahan pemain
musim panas hampir ditutup, Moyes cuba melakukan 'pembelian panik' dengan
mengalihkan tumpuannya kepada pemain tengah Athletic Bilbao, Ander Herrera
namun kecelaruan saat akhir mengagalkan usaha beliau membawa pemain itu menyertai
United. Mujurlah Everton setuju melepaskan Marouane Fellaini ke Old Trafford
sekaligus mengubati sedikit rasa kecewa di kalangan penyokong-penyokong yang
pada ketika itu mula mempersoalkan kelembapan prestasi pihak pengurusan
sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas dibuka. Fellaini didatangkan
dengan nilai £27 juta Pound tetapi Roma hanya membayar £10 juta Pound lebih
rendah untuk seorang pemain tengah dengan kualiti sebagus Strootman. Saya bukan
mahu mempertikaikan pembelian Fellaini kerana saya juga antara yang paling
gembira selepas mengetahui pemain itu sah menjadi milik United. Kehadiran
Fellaini masih belum memberikan impak kepada pasukan tetapi saya percaya bekas
pemain Everton itu hanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak
permainan di kelab baru. Sebagai penyokong, saya cuma sedikit terkilan
menyaksikan United melepaskan peluang terbaik mendapatkan pemain tengah
berkualiti pada harga yang jauh lebih rendah. Mungkinkah Strootman tiada dalam shopping list Moyes kerana beliau
merasakan pemain tengah itu tidak mampu memberikan impak segera kepada
pasukannya sepertimana jika beliau berjaya mendapatkan 'nama besar' seperti
Fabregas atau Alcantara? Di ibukota Rome, Strootman sudah membuktikan kualiti
dirinya dengan memainkan peranan penting di bahagian tengah Roma. Peranan yang
dimainkannya ketika bertahan mahupun menyerang memudahkan Daniele de Rossi
merancang gerakan dari bawah manakala Miralem Pjanic pula lebih bebas
mempamerkan kreativitinya ketika pasukan dalam mode menyerang.
Ringkasnya Rudi Garcia (pengurus Roma) cukup
beruntung kerana berjaya memanipulasi sepenuhnya kualiti milik Strootman hinggakan
prestasi pasukan bimbingannya di awal musim mengejutkan pengkritik-pengkritik
mereka. Statistik Strootman di Serie A
setakat ini sebenarnya tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan
pemain-pemain tengah United yang lain tetapi sumbangannya di atas padang cukup
ketara. Ketepatan hantarannya dalam setiap perlawanan mencapai peratusan 86%,
hampir sama dengan catatan Shinji Kagawa, Tom Cleverley, Michael Carrick dan
Fellaini. Bagaimanapun Strootman sudah menyumbang lima assist dan satu gol dari sebelas perlawanan liga, catatan yang jauh
melebihi mana-mana pemain tengah United. Dalam keadaan defensif pula, Strootman secara puratanya merampas bola
dari penguasaan lawan sebanyak 3.5 kali dan purata 0.9 kali pula berjaya menghadang
percubaan lawan (per perlawanan), satu angka yang turut mengatasi catatan
pemain-pemain tengah United. Memang tidak adil untuk kita membandingkan statistik
yang dicatatkan Strootman dengan pemain-pemain United yang lain disebabkan
tahap saingan serta corak permainan Serie A dan Liga Perdana yang jauh berbeza.
Namun dalam masa yang sama, kita juga perlu mengakui bahawa sumbangan berkesan diberikan
Strootman yang diterjemahkan menerusi statistik-statistik di atas padang itulah
antara penyumbang kepada kebangkitan Roma di Serie A setakat ini. Strootman pada
sidang media pertamanya selepas sah bergelar pemain Roma mengakui bahawa
kesungguhan pihak pengurusan kelab mendapatkan khidmatnya menjadi penyebab
utama dia memilih ibukota Rome sebagai destinasinya. Kesungguhan pihak
pengurusan Roma dibuktikan apabila mereka mengeluarkan semula jersi keramat (nombor
6) dari simpanan kelab yang kali terakhir disarung pemain Brazil, Aldair
sepuluh tahun lalu untuk diberikan kepada Strootman. “Jujur saya katakan bahawa
saya tidak terfikir meninggalkan PSV. Tapi kesungguhan yang ditunjukkan mereka
(Roma) menjadi penyebab utama saya berada di sini”, kata Strootman musim panas
lalu. Melihat bagaimana suksesnya Garcia menggunakan sepenuhnya kualiti dan
potensi milik Strootman dalam melonjakkan prestasi Roma menyebabkan United
kembali dikaitkan dengan pemain antarabangsa Belanda itu. Jika memang benar ada
minat dari United terhadap pemain tengah itu, saya tidak pasti apakah pihak
pengurusan Roma sedia melepaskan Strootman selepas hanya semusim dia beraksi di
Stadio Olimpico. Tetapi apa yang pasti tanda harga yang bakal diletakkan ke
atasnya sudah tentu bukan lagi £17 juta Pound. Glory Glory Manchester United!!!
– A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan