30 November 2013

GIGGSY...YANG MASIH LAGI MEMUKAU


Semalam (29 November) genaplah 40 tahun usia lagenda hidup Manchester United, Ryan Giggs. Ketika ramai rakan-rakan seangkatannya sudah menggantung boot, Giggs sebaliknya masih bernafsu memperagakan aksinya di tengah padang sambil membiarkan pihak-pihak di luar sana berteka-teki tentang bilakah agaknya beliau akan mengumumkan persaraannya. Giggs sudah membuktikan betapa beliau masih lagi antara tonggak utama kelab apabila muncul antara watak penting di sebalik kemenangan besar 5-0 United ke atas Bayer Leverkusen dalam saingan Liga Juara-Juara kelmarin. Sejak menyertai United pada 1987 dan melakukan penampilan pertamanya pada 1991, Giggs sudah memenangi 13 kali pingat kejuaraan Liga Perdana, 4 kali Piala FA, 2 kali Liga Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia dan beberapa lagi trofi utama selain penghargaan individu yang dianugerahkan kepadanya. Selain pingat-pingat kejuaraan yang sudah dimenanginya sebagai pemain, beraksi di BayArena merupakan penampilan ke-953 beliau untuk United. Pada usia menjangkau 40 tahun, apa yang dipamerkan Giggs di hadapan penyokong-penyokong Leverkusen kelmarin saya anggap cukup menakjubkan buat seorang pemain yang sudah berusia seperti beliau malah David Moyes sendiri mengakui bahawa Giggs boleh beraksi lebih bagus daripada itu. Paling penting bukan hanya aksi memukau yang dipamerkannya di tengah padang malah Giggs saya anggap role model dan sumber inspirasi kepada pemain-pemain muda United yang lain. Disiplinnya bukan setakat ketika beraksi di atas padang (Giggs tidak pernah dilayangkan kad merah sepanjang kariernya) malah komitmennya sebagai pemain dibuktikan ketika sesi latihan. (Dalam keadaan cergas) Giggs dikatakan satu-satunya pemain United yang tidak pernah terlepas walau satu haripun sesi latihan sepanjang kariernya.

Giggs bukan sahaja mengagumkan peminat-peminatnya malah juga lawannya. Wayne Rooney mendedahkan bahawa selepas tamat perlawanan di BayArena, ada pemain Leverkusen datang mendekatinya bertanyakan bagaimana Giggs mampu beraksi dengan baik pada usia 40 tahun. Pemain tengah Chelsea, Juan Mata pula tanpa ragu menyebut Giggs adalah sumber inspirasinya. “Ketika saya membesar, ada beberapa pemain yang menjadi idola saya. Antaranya ialah Gianfranco Zola dan Dennis Bergkamp tetapi Ryan Giggs adalah sumber inspirasi saya. Dia adalah pemain sayap terbaik dunia. Penampilannya benar-benar mengesankan, bermula dari tackle, larian, gelecekannya hinggalah kepada gaya permainannya”, kata Mata. Dalam dunia bolasepak moden, tidak ramai pemain mampu bermain di peringkat tertinggi untuk jangkamasa yang lama. Ketika kudrat semakin terbatas akibat peningkatan usia, bukan mudah buat seseorang pemain mengekalkan prestasinya apatah lagi terus bertahan dalam kelab besar seperti United. Walaupun sudah bergelar 'kuda tua', Giggs memiliki reputasi besar sebagai pemain, jadi bukan mudah untuk beliau memikirkan persaraan ataupun menyertai kelab lebih kecil sepertimana yang sering dilakukan bintang-bintang lain ketika mereka di gerbang persaraan. Ketika Fabio Cannavaro, David Bekcham dan Allesandro del Pierro umpamanya memilih beraksi di negara-negara yang liga bolasepaknya kurang kompetitif berbanding Liga Perdana atau Serie A sebelum bersara, lain pula halnya dengan Giggs yang terus bertahan di Old Trafford. Sudah tentu bukan tugas mudah buat Giggs merebut tempat dalam kesebelasan utama United pada usia sekarang, namun faktor utama mengapa beliau mampu terus bersaing begitu lama di Liga Perdana adalah kerana kemampuannya tampil konsisten setiap musim.

Saya lihat Giggs seperti tidak pernah kehabisan idea untuk melepasi kawalan lawan biarpun sudah 24 musim bergelumang dalam kancah saingan tertinggi bolasepak England. Saya pernah terfikir mengapa Giggs tidak menggunakan reputasi besar miliknya untuk mengaut banyak wang sebelum bersara dengan menyertai kelab-kelab kaya di Timur Tengah atau bermain sahaja di Amerika Syarikat sepertimana yang pernah dilakukan bekas bintang-bintang Liga Perdana seperti Beckham dan Thierry Henry yang menerima bayaran lumayan dengan bermain di MLS (Major League Soccer). Saya masih ingat, ketika usia Giggs mencecah angka 30 tahun, ramai pihak meragui kemampuan beliau untuk terus mengekalkan kepantasannya selaku pemain sayap, sekaligus bakal mengugat tempatnya dalam skuad utama United. Bagaimanapun Giggs bijak mengadaptasi gaya permainan mengikut kesesuaian usianya dengan tidak lagi terlalu bergantung kepada kepantasan semata-mata. Kehadiran Cristiano Ronaldo pada 2003 juga sedikit sebanyak membantu meringankan tugas Giggs dengan beban ketika melakukan gerakan dari sebelah tepi tidak lagi dipikul oleh beliau sepenuhnya. Kesetiaannya kepada kelab amat mengagumkan saya, kerana bukan tidak pernah Real Madrid atau AC Milan cuba mendapatkan khidmatnya ketika Giggs di puncak karier. Ketika kelibatnya menjadi buruan gergasi Eropah yang lain, Giggs sebaliknya cekal menepis godaan dengan memilih untuk kekal menyarung jersi The Red Devils hingga sekarang. Sudah tentu wang bukan keutamaan buat profesional tulen sepertinya kerana cinta yang mendalam terhadap kelab menyebabkan beliau kekal di Old Trafford selama lebih 26 tahun. Ketika pemain lain ghairah memburu tawaran kontrak lumayan, Giggs sebaliknya lebih senang memikul peranan sebagai pemain senior dengan menjadikan dirinya sebagai inspirasi kepada bakat-bakat muda United.

Kemampuannya memberikan sumbangan terbaik pada perlawanan-perlawanan penting juga merupakan salah satu ciri utama yang dimiliki Giggs dalam dirinya. Saya tidak tahu rahsia apa yang dimiliki Giggs, tetapi ketika pemain-pemain lain mengalami tekanan berlebihan dalam menghadapi fasa penting sesuatu kejohanan, beliau sebaliknya tenang memperagakan aksi terbaiknya. Perlawanan separuh akhir Piala FA edisi 1998-99 menentang Arsenal adalah bukti terbaik. Ketika pasukan bermain di bawah tekanan kerana kekurangan seorang pemain selepas Roy Keane dilayangkan kad merah, Giggs memukau ribuan mata di Villa Park dengan aksi solonya menewaskan kesemua pertahanan The Gunners sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri yang sama sekali gagal diselamatkan David Seaman. Gol emas itu menamatkan terus sisa-sisa perjuangan Arsenal untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan kepenentuan sepakan penalti. Apakah rahsia Giggs dalam aspek kecergasannya hingga mampu bermain di peringkat tinggi pada usia 40 tahun sedangkan dahulu beliau pernah dibelenggu dengan masalah hamstring yang berulang? Yoga adalah jawapannya. “Yoga banyak membantu saya. Yoga memberikan saya fleksibiliti dan kecergasan bukan sahaja untuk berlatih tetapi juga ketika perlawanan”, kata Giggs semasa diwawancara Gazetta dello Sport tahun lalu. Seperti yang saya sebutkan di peringkat awal tadi, Giggs merupakan pemain United yang cukup berdisiplin ketika sesi latihan. Walaupun beliau kini jarang menjadi pilihan pengurus untuk membarisi kesebelasan utama, Giggs tetap komited menjaga tahap kecergasannya. Latihan adalah perkara utama dalam rutin hariannya. Jadi tidak hairanlah apabila khidmatnya diperlukan, Giggs masih mampu memberikan aksi terbaiknya di atas padang. Statistiknya sepanjang perlawanan menentang Leverkusen tempohari adalah saksi terbaik.

Sepanjang permainan Giggs melakukan 4 tackle sempurna, 62 hantaran dan 9 hantaran jauh (tepat), catatan terbanyak berbanding pemain-pemain lain. Pada usia sekarang, Giggs sudah tentu tidak lagi sepantas dulu. Dari seorang pemain sayap dengan larian pantas serta kawalan bola menarik, Giggs kini bertukar peranan ke bahagian tengah yang memerlukan kreativitinya dalam membuka peluang buat rakan-rakan sepasukan. Dalam saingan musim ini, Giggs hanya diletakkan dalam kesebelasan utama sebanyak dua kali dalam saingan Liga Perdana, manakala tiga kali pula di pentas Liga Juara-Juara. Setiap kali diturunkan, Giggs tidak pernah mengecewakan menerusi aksi yang dipamerkannya, seolah-olah beliau tidak pernah dimamah usia. Pada usia 40 tahun, Giggs masih lagi mampu bersaing dengan pemain-pemain yang jauh lebih muda daripadanya. Sudah tentu selama 26 tahun (sejak menyertai United pada 1987 ketika berusia 14 tahun), nama Ryan Giggs dan Manchester United begitu sinonim dan tidak dapat dipisahkan. Sejak dari era Sir Alex hinggalah ke David Moyes, Giggs masih lagi mendapat tempat dalam skuad United meskipun penampilannya tidak lagi sebanyak dahulu. Deretan trofi kejuaraan yang pernah dimenanginya menjadikan Giggs pemain paling berjaya dalam sejarah bolasepak England selain satu-satunya pemain dari senarai Football League 100 Legends yang masih aktif bermain. Lupakan dahulu skandal yang membabitkan beliau dengan bekas adik iparnya kerana sebagai pemain bolasepak, Ryan Giggs adalah idola sempurna untuk dijadikan inspirasi kepada pemain-pemain muda. Saya tidak mahu berteka-teki bilakah Giggs akan mengumumkan persaraannya kerana segala persoalan itu akan terjawab apabila tiba waktunya nanti. Buat masa sekarang, selagi Giggs masih terus bermain, saya hanya mahu menikmati aksi lagenda hidup ini di atas padang. Selamat Ulang Tahun Ke-40 Ryan Giggs. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

1 ulasan: