03 November 2013

SATU LAGI KEMENANGAN....ADAKAH UNITED SUDAH MULA MENDAPAT RENTAK?


Seperti yang anda tahu, Manchester United berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Craven Cottage semalam selepas mereka menang 3-1 ke atas skuad kendalian Martin Jol. Ini juga merupakan kali pertama United mencatat dua kemenangan (liga) berturut-turut musim ini sekaligus memberikan petanda positif sebelum menanti kunjungan pendahulu liga Arsenal di Old Trafford, 11 November nanti. Kemenangan 3-1 ke atas Fulham sudah tentu satu kelegaan buat kita, tetapi apa yang lebih menariknya ialah melihat bagaimana gol-gol itu dijaringkan. Gol kedua dan ketiga United dihasilkan menerusi gandingan Wayne Rooney dan Robin Van Persie yang menyaksikan kombinasi ini sudah menghasilkan 16 gol dalam semua kejohanan setakat ini. Kedua-dua penyerang ini mencipta assist untuk satu sama lain sekaligus menghadirkan petanda bagus kepada pasukan dalam menghadapi saingan musim ini. Bagaimanapun, saya percaya ujian sebenar kepada kombinasi Rooney/Van Persie akan hadir pertengahan minggu ini apabila United berkunjung ke San Sebastian bagi berdepan Real Sociedad dalam saingan Liga Juara-Juara dan kemudiannya Arsenal seminggu dari sekarang. Walaupun kemenangan semalam tidak mengubah posisi United di tangga kelapan, saya berharap anak-anak buah Moyes sudah menemui rentak sebenar mereka dan mula mendaki carta liga secara perlahan-lahan dalam usaha menempatkan diri di kedudukan empat teratas. Selepas berdepan tempoh sukar di awal musim, dua kemenangan berturut-turut dalam aksi liga adalah satu petanda yang bagus kerana kita sudah tentu tidak mahu melihat pasukan-pasukan yang berada di kelompok empat teratas terus mencipta jurang yang lebih besar. Selain gandingan Rooney/Van Persie, kelibat Adnan Januzaj juga antara yang mencuri tumpuan dan tidak kurang hebatnya.

Musim ini, Januzaj banyak digunakan David Moyes sebagai pemain sayap tetapi saya percaya, wonderkid itu seorang pemain yang versatile dengan kemampuan beraksi di belakang penyerang (peranan no. 10) dan juga sebagai penyerang sepertimana yang pernah dimainkannya ketika bersama skuad simpanan musim lalu. Semalam Januzaj bermain penuh 90 minit dan menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Fulham menerusi kelincahan dan kawalan bola yang mempesonakan. Seperti yang saya katakan tadi, setakat ini Januzaj lebih cenderung digunakan Moyes sebagai pemain sayap, tetapi aksinya di Craven Cottage di mana dia muncul di segenap sudut kawasan lawan menyakinkan kita bahawa pemain ini juga boleh mencetuskan impak andainya Moyes mahu mengubah posisinya  ke bahagian tengah atau sebagai penyerang. Melihat kepada penampilan Januzaj semalam, tidak hairanlah jika Moyes begitu bermurah hati menghamburkan pujian kepada pemain berusia 18 tahun itu atas kerja kerasnya sepanjang tempoh 90 minit permainan. Buat masa ini, adalah terlalu awal untuk kita menyaksikan Januzaj beroperasi di bahagian tengah atau sebagai penyerang, dan saya percaya Moyes juga tidak akan terburu-buru melakukannya. Kelab sudahpun memiliki Rooney yang memikul peranan sebagai pemain nombor 10 dengan menguasai posisinya, jadi adalah lebih bagus buat pemain muda seperti Januzaj, bermula sebagai pemain sayap di kiri atau kanan di mana setakat ini dia berjaya memainkan peranan itu dengan cukup berkesan. Jangan lupakan bahawa Rooney ketika zaman remajanya bersama Everton juga sering digunakan Moyes sebagai pemain sayap. Ketika prestasinya sedang meningkat naik, penting buat Januzaj terus diberikan peluang beraksi dengan lebih kerap tetapi dalam masa yang sama pemain muda sepertinya juga perlu dilindungi.

Sepertimana Cristiano Ronaldo ketika di peringkat awal kariernya bersama United, pemain muda dengan kemahiran tinggi seperti Januzaj sudah tentu akan menerima layanan 'dingin' dari pertahanan lawan. Saya agak bimbang melihat reaksi keterlaluan bek kanan Fulham Sacha Riether di penghujung perlawanan, hingga hampir mencetuskan pergaduhan. Rakaman ulang tayang jelas menunjukkan pemain berusia 30 tahun dari Jerman itu sengaja memijak buku lali Januzaj. Mungkin disebabkan berang selepas 'dibuli' hampir sepanjang perlawanan oleh budak mentah seperti Januzaj, Riether tidak dapat menahan emosinya lantas bertindak persis pemain amatur. Meskipun terlepas dari sebarang layangan kad kerana insiden itu tidak dilihat Lee Probert, saya berharap tindakan tidak profesional yang dilakukan Reither itu mendapat 'layanan' sewajarnya dari FA England. Sebagai pemain yang mula menjadi tumpuan, Januzaj juga perlu lebih bersedia selepas ini dalam menangani sebarang provokasi lawan yang lebih berpengalaman. Apa yang pasti, ketika ini Januzaj antara pemain United yang menjadi tumpuan lawan dan mereka sudah tentu akan melakukan segala usaha untuk menghentikannya. Dalam hal ini saya yakin, sepertimana Ronaldo 'dijaga' Sir Alex dulu, Moyes juga mampu melakukan perkara yang sama ke atas Januzaj kerana pengalaman yang ada pada beliau ketika mengendalikan Rooney di peringkat awal kariernya bersama Everton. Pesta meraikan kemenangan semalam sudahpun berakhir kerana selepas ini kita akan menanti pula aksi seterusnya menentang Real Sociedad di pentas Eropah. Dengan tempoh seminggu sebelum kunjungan Arsenal, Sociedad saya percaya akan menjadi kayu ukur terbaik sebelum United berdepan pendahulu liga itu nanti. Apakah rentak kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut (di semua kejohanan) mampu diteruskan di San Sebastian? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan