01 Disember 2014

DISEMBER DATANG LAGI....

Selepas bermula perlahan, Manchester United kini seolah-olah mula mendapat momentum apabila menang tiga perlawanan terakhir mereka menewaskan Crystal Palace, Arsenal dan Hull City. Sembilan mata maksimum dari tiga perlawanan dan paling penting United kini berjaya meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas. Menentang Crystal Palace dan Hull City, tiada alasan untuk United gagal memungut tiga mata manakala kemenangan ke atas Arsenal di gelanggang lawan pula saya anggap satu kemenangan yang cukup penting. Semoga kejayaan meraih tiga mata di Emirates menjadi tonik mujarab buat barisan Louis Van Gaal melakukan kebangkitan pada baki saingan musim ini.

Selepas dihidangkan dengan ujian getir berdepan Chelsea, Manchester City dan Arsenal dalam tempoh sebulan, kredibiliti barisan Van Gaal sekali lagi bakal teruji sepanjang Disember ini. Disember sentiasa hadir untuk memberikan ujian getir bukan sahaja kepada United malah semua pasukan di Liga Perdana.

Awal pagi Rabu nanti, Stoke City menjadi lawan pertama yang perlu dihadapi United Disember ini, dan seminggu selepas itu ujian getir bakal diberikan Southampton pula di Stadium St Mary. Southampton mengejutkan kita dengan prestasi bagus yang ditunjukkan mereka di awal musim hingga membolehkan anak-anak buah Ronald Koeman meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas.

Walaupun The Saints tewas 0-3 kepada Manchester City di gelanggang sendiri semalam, saya yakin mereka akan bangkit dan sebagai pengendali berpengalaman, Koeman sudah tentu tahu bagaimana mahu menyediakan skuad terbaiknya bagi berdepan United 9 Disember ini.

Akhirnya perlawanan blockbuster yang ditunggu-tunggu tiba jua pada 14 Disember nanti apabila Old Trafford bakal menerima pula kunjungan Liverpool, pasukan yang sentiasa dianggap seteru abadi United sampai bila-bila.

Walaupun berjaya meletakkan diri di kedudukan empat teratas, prestasi United sendiri sebenarnya belum benar-benar menyakinkan manakala Liverpool pula gagal mengulangi prestasi bagus yang mereka pamerkan musim lalu apabila sekadar berada ditangga ke-11 (ketika ini). Memang diakui prestasi Liverpool jauh tersasar berbanding apa yang telah mereka tunjukkan musim lalu, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh diperlekehkan. Sejarah perseteruan yang panjang menyebabkan Battle of the Reds ini sentiasa sengit dan penting buat kedua-dua pasukan, kerana bukan hanya tiga mata yang menjadi rebutan, tetapi maruah juga bakal menjadi pertaruhan.

Pemain-pemain dan penyokong-penyokong kedua-dua kelab faham benar tentang betapa pentingnya pertembungan ini hinggakan atmosphere ketika perlawanan baik di bangku penonton mahupun di tengah padang sentiasa tegang dan mendebarkan. Atas semua faktor itu, United wajib memenangi perlawanan ini tambahan pula ianya dilangsungkan di gelanggang sendiri.

Saya berharap ketika tibanya detik kunjungan Liverpool nanti, Van Gaal akan kembali mendapatkan khidmat beberapa pemain utama yang ketika ini masih dibelenggu kecederaan. Amat penting untuk menyaksikan pemain-pemain seperti Phil Jones, Angel di Maria, Daley Blind, Rafael da Silva dan Luke Shaw segera kembali beraksi di atas padang kerana ketika saingan liga memasuki fasa kedua nanti, United perlu terus mengorak langkah memungut sebanyak mata yang boleh bagi memastikan kelab kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.

Saya gembira melihat Marcos Rojo kembali bermain selepas pulih dari kecederaan bahu lebih awal dari yang dijangkakan kerana pengalaman dan kekuatan beliau di benteng pertahanan amat-amat diperlukan ketika Luke Shaw, Phil Jones dan Rafael da Silva masih berada di bilik rawatan.

Cukup senang juga apabila melihat kelibat Radamel Falcao di jentera serangan kerana sentuhan pemusnah El Tigre bakal menjadikan bahagian hadapan United lebih tajam. Lebih daripada itu, kehadiran semula Falcao juga saya anggap tepat pada waktunya ketika Robin Van Persie seperti sudah hilang sentuhan jaringan ketika berada di hadapan gawang lawan walaupun beliau menyumbang satu gol dan satu assist ketika berdepan Hull City Sabtu lalu.

Selepas direhatkan lebih sebulan kerana kecederaan betis, saya yakin Falcao sudah cukup cergas untuk aksi selama 90 minit jika Van Gaal mahu meletakkan beliau dalam kesebelasan utamanya. Melihat kepada kesungguhan yang dipamerkan Falcao walaupun hanya diturunkan selama 20 minit Sabtu lalu, beliau sebenarnya hanya perlukan masa dan sedikit tuah untuk kembali menggegar gawang lawan selepas kali terakhir melakukannya ketika berdepan Everton 5 Oktober lalu. Tempoh paling getir sepanjang bulan Disember ialah apabila setiap pasukan perlu beraksi tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari. Bermula pada 20 Disember hinggalah 28 Disember, United dijadualkan berdepan Aston Villa (gelanggang lawan), Newcastle United (gelanggang sendiri) dan Tottenham Hotspurs (gelanggang lawan).

Dalam tempoh ini jugalah kita akan melihat ada pasukan-pasukan pilihan yang mula keciciran mata kerana hilang fokus, berlakunya perubahan pada kedudukan carta liga terutamanya yang membabitkan empat kelab di kelompok teratas dan paling menarik ialah calon yang bakal menjuarai liga musim ini sudah boleh dilihat sebaik Disember melabuhkan tirainya.

Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini, memenangi kejuaraan liga bukanlah misi yang perlu dilaksanakan Van Gaal pada musim pertamanya di Old Trafford. Misi paling penting buat Van Gaal ialah membawa kelab di kedudukan empat teratas di penghujung musim nanti kerana itu paling utama berbanding impian mahu melihat trofi Liga Perdana kembali ke Old Trafford.

Selepas mencipta sejarah dengan melakukan perbelanjaan besar musim panas lalu, tiada alasan untuk Van Gaal gagal membawa United kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan, apatah lagi harapan yang diletakkan penyokong-penyokong United ke atas beliau cukup besar berdasarkan pengalaman, pencapaian, kredibiliti dan wang yang sudah dibelanjakan warga Belanda itu.

Hanya ada satu cara jika United mahu kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara, iaitu mereka perlu lebih konsisten menghadapi baki saingan musim ini. Tiada cara dan jalan lain ke arah itu. Jika segalanya kembali normal (krisis kecederaan tidak lagi menghantui United) manakala pemain-pemain pula berjaya menyerap sistem dan gaya taktikal yang digunakan Van Gaal, percayalah United akan tampil berbeza berbanding apa yang mereka pamerkan di awal musim dan tanda-tanda itu sudah mula kelihatan sekarang.

Setakat 13 perlawanan ini, nampaknya hanya Chelsea yang betul-betul konsisten manakala tiga lagi kelab yang berada di kedudukan empat teratas musim lalu (Manchester City, Arsenal dan Liverpool) masih terumbang-ambing dalam mencari rentak. Melihat kepada prestasi semasa, Chelsea agak sukar untuk dihampiri tetapi tiada yang mustahil buat United dan pasukan-pasukan lain seperti Tottenham Hotspurs, Newcastle United dan kini Southampton meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas. Walau bagaimanapun, United sendiri tidak boleh terlalu bergantung kepada prestasi tidak menentu pencabar-pencabar yang lain untuk terus berada di kedudukan empat teratas kerana seperti yang saya katakan tadi, untuk kekal di kedudukan tersebut, Van Gaal wajib menjadikan United lebih konsisten.

Saya yakin United akan kembali bermain di Liga Juara-Juara musim hadapan, bukan kerana Arsenal, Liverpool, Manchester City atau Tottenham tidak konsisten tetapi kerana United sendiri pasukan yang jauh lebih bagus berbanding musim lalu. Paling menarik ialah United di bawah kendalian Van Gaal sudah menunjukkan kembali kemampuan mereka menewaskan kelab besar Liga Perdana saat mereka menewaskan Arsenal di Emirates minggu lalu. Kejayaan menundukkan Arsenal di Emirates tetap satu kejayaan yang besar walaupun saya akui anak-anak buah Arsene Wenger ketika ini tidak berada pada tahap terbaik mereka.

Arsenal punya kualiti yang bagus dan saya tetap menganggap bahawa mereka masih lagi antara kelab besar di England walaupun kedudukan mereka ketika ini di luar zon empat teratas. Menarik juga apabila memikirkan dalam situasi kelab berdepan prestasi tidak konsisten disamping krisis kecederaan yang melanda pemain-pemain utama, The Red Devils masih lagi mampu memaksa sebuah pasukan yang sedang berada di puncak prestasi seperti Chelsea berkongsi mata.

Kekalahan tipis 0-1 kepada Manchester City di Stadium Etihad pula sepatutnya tidak perlu disesalkan jika diambilkira faktor bahawa United bermain dengan sepuluh pemain selama lebih 50 minit. Ini bukan tentang soal berkongsi mata atau kekalahan tipis, kerana lebih daripada itu saya melihat semangat melawan sudah kembali menjelma dalam diri pemain-pemain di mana dua aksi (menentang Chelsea dan City) boleh menjadi rujukan terbaik.

Tidak salah juga rasanya jika saya katakan momentum baik yang dipamerkan United ketika ini turut dibantu prestasi semasa Wayne Rooney. Selepas mempamerkan ketajaman dalam aksi antarabangsa menentang Slovenia dan Scotland, Rooney meneruskan sentuhan pemusnahnya di pentas domestik pula dengan menjadikan gawang Arsenal dan Hull City sebagai sasaran beliau.

Di Emirates, Rooney adalah ancaman buat benteng pertahanan Arsenal ketika Van Persie mempamerkan antara aksi terburuknya saat berdepan kelab yang pernah beliau wakili selama lapan tahun itu. Sabtu lalu ketika melayan kunjungan Hull City, Rooney menambah koleksi jaringannya musim ini kepada 5 gol selepas berjaya menembusi gawang Alan McGregor untuk gol kedua United. Sebelum ini Rooney antara pemain yang teruk dikritik dan kritikan terhadap beliau semakin tajam mengingatkan kepada armband ketua pasukan yang ada dilengannya. Rooney berjaya mengharungi tempoh-tempoh sukarnya dengan cukup cemerlang dan akhirnya kritikan kini bertukar menjadi pujian. Sebagai pemain berpengalaman dan kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan pula, kelibat dan sumbangan Rooney di atas padang memang sentiasa menjadi fokus utama.

Selain Rooney, prestasi beberapa pemain lain seperti Daley Blind, Marouane Fellaini, Michael Carrick dan David de Gea juga menarik untuk diperkatakan. Paling menonjol ialah kelibat De Gea sebagai pemain terakhir di barisan belakang. De Gea sentiasa berada pada masa dan tempat yang tepat untuk menyelamatkan gawang United dari dibolosi dan itulah yang beliau lakukan dalam enam atau tujuh perlawanan terakhir.

Meskipun prestasinya di awal musim sedikit longgar, kini posisi De Gea selaku penjaga gol nombor 1 United nampaknya sukar digugat. Malah bukan itu sahaja, Iker Casillas juga mula merasakan bahawa beliau kini bukan lagi pilihan automatik untuk mengawal gawang Sepanyol.

Disember datang lagi dan sepertimana tahun-tahun sebelumnya, Disember sentiasa menghidangkan cabaran sukar, bukan hanya kepada United tetapi juga kepada mana-mana pasukan. Sepanjang Disember, konsistensi, ketahanan mental dan fizikal pemain-pemain bakal diuji menerusi jadual-jadual perlawanan ketat yang perlu mereka harungi.

Disember juga adalah pentas terbaik untuk kita melihat kemampuan sebenar Van Gaal serta barisan pemain-pemainnya dan jika mereka masih kekal di kelompok empat teratas sebaik Disember berakhir, pentas Liga Juara-Juara musim hadapan sedia menanti buat barisan The Red Devils kembali memperagakan aksi mereka.

United sudah berada di kelompok empat teratas, semoga dipenghujung musim nanti mereka masih kekal di dalam kelompok ini, kelompok yang sentiasa dihuni oleh kelab-kelab terbaik di England dan kelompok di mana United biasanya berada. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

26 November 2014

22 TAHUN YANG LALU....

Dalam dekad terakhir karier pengurusan Sir Alex Ferguson di Old Trafford, beliau telah melakukan beberapa pembelian hebat dengan membawa masuk pemain-pemain seperti Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Ruud Van Nistelrooy. Itu fakta yang memang kita tidak boleh nafikan terutamanya selepas menyaksikan sumbangan yang diberikan pemain-pemain ini selama bertahun-tahun mereka menyarung jersi merah United. Ronaldo dari pemain yang langsung tidak dikenali semasa beliau ditandatangani Sir Alex, kemudiannya memukau mata penyokong-penyokong United menerusi kepantasan dan liuk lenggoknya dengan kawalan bola menarik ketika memecah benteng pertahanan lawan. Van Nistelrooy tiba dari PSV Eindhoven untuk menjadi mesin gol The Red Devils walaupun keputusan Sir Alex mendapatkan khidmat beliau pada mulanya diragui kerana kecederaan lutut serius yang dialami The Flying Dutchman sebelum itu.

Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic berjaya menghadirkan mimpi buruk selama bertahun-tahun kepada penyerang lawan menerusi gandingan ampuh mereka di benteng pertahanan manakala Wayne Rooney pula kini tonggak utama kelab menerusi peranannya sebagai ketua pasukan. Mereka yang saya sebutkan di atas adalah pemain-pemain hebat, lagenda kelab dan nama mereka sudahpun tertulis dengan tinta emas di dewan kemahsyuran United. Walau sehebat mana dan sebesar mana sumbangan mereka sepanjang menyarung jersi kelab, tiada seorangpun diantara mereka yang mampu menandingi `King’ Eric Cantona. Maaf andainya anda tidak setuju dengan apa yang saya katakan tetapi itulah kebenarannya. Saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan Cantona sebagai pembelian terbaik pernah dilakukan Sir Alex kerana sumbangan dan peranan yang beliau mainkan biarpun hanya 5 musim menyarung jersi United.

Ketika karier singkatnya di Elland Road, Cantona berjaya membantu Leeds United menjulang trofi kejuaraan liga pada musim 1991-92 hingga menyebabkan nama beliau tiba-tiba menjadi sebutan peminat-peminat bolasepak di England. Bagaimanapun Cantona sebenarnya bukanlah pilihan pertama Sir Alex ketika beliau cuba menandatangani pemain-pemain baharu bagi memperkuatkan skuadnya dalam menghadapi saingan musim 1992-93. Kekecewaan tewas dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim sebelumnya kepada Leeds menyebabkan Sir Alex meletakkan Alan Shearer dan David Hirst dalam radar buruannya. Bagaimanapun Shearer kemudiannya memilih Blackburn Rovers manakala Hirst pula kekal bersama Sheffield Wednesday hingga 1997. Ketika Sir Alex masih tercari-cari seorang penyerang sebagus Shearer untuk diberikan tanggungjawab selaku penggempur skuadnya, Bill Fotherby (Pengarah Urusan Leeds) pula tiba-tiba menghubungi Martin Edwards untuk bertanyakan kemungkinan United mahu menjual Denis Irwin.

Irwin bukan untuk dijual tetapi kesempatan itu digunakan Sir Alex untuk bertanyakan kepada Fotherby tentang hasrat beliau mahu mendapatkan Cantona. Perbincangan berlangsung dimana akhirnya Leeds melepaskan Cantona ke United dengan nilai perpindahan sebanyak £1.2 juta. Kehadiran Cantona segera mencetuskan impak apabila beliau berjaya membantu kelab muncul pemenang pertama kejuaraan Liga Perdana. Kejayaan pada musim 1992-93 itu juga menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga United selepas kali terakhir barisan Sir Matt Busby menjulang kejuaraan tersebut pada musim 1966-67. Selama 5 musim Cantona berjaya membantu United menjulang 4 kejuaraan liga, 4 kejuaraan Piala FA dan 3 trofi Charity Shields selain menjaringkan 82 gol dari 185 penampilan. Lebih daripada itu, kehadiran Cantona menjadikan United kembali digeruni dan kembali mendominasi bolasepak England. Hari ini 26 November, genaplah 22 tahun Cantona ditandatangani Sir Alex dari Leeds United.


Cantona bukan sahaja berjaya merubah nasib United, bukan sahaja menjaringkan gol demi gol tetapi beliau juga adalah pemimpin sejati ketika di atas padang walaupun `kepala anginnya’ kadangkala sukar diramal. Meskipun kariernya bersama United hanya berjalan selama  5 musim, sumbangan keseluruhan Cantona terhadap kebangkitan kelab di awal era 90an tidak perlu disangsikan lagi. Hanya satu perkara yang saya kesalkan bila bercakap tentang Cantona, bukan kerana insiden tendangan kung fu ke atas Matthew Simmons yang menyebabkan beliau digantung selama 8 bulan, tetapi kekesalan saya ialah kerana beliau mengambil keputusan bersara terlalu awal. Pada usia 30 tahun, Cantona sebenarnya masih mampu bermain 3 atau 4 tahun lagi sambil terus mempamerkan kepintarannya di atas padang, bukan menggantung boot. Selepas persaraan si genius ini pada 1997, ada ramai pemain United yang berjaya mengatasi beliau dari segi koleksi medal kejuaraan dan statistik di atas padang, tetapi tanpa Cantona, adakah United akan berada pada kedudukan sekarang? Persoalan ini sebenarnya sukar dijawab tetapi Cantona jelas berada pada level beliau yang tersendiri, itu saya pasti. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

24 November 2014

KEJAYAAN DI EMIRATES, TITIK KEPADA KEBANGKITAN UNITED?

Gol yang beliau jaringkan di Stadium Emirates kelmarin mengukuhkan lagi reputasi Wayne Rooney sebagai igauan buat barisan Arsenal setiap kali beliau diturunkan berdepan skuad kendalian Arsene Wenger itu. Saya akui Rooney sedang dalam on fire dan juga sedang berada dalam `mood' yang baik ketika ini. Rooney menyempurnakan sepakan penalti ketika berdepan Slovenia dalam kempen kelayakan Euro 2016 yang memberikan gol penyamaan buat England dan tiga hari selepas itu, beliau sekali lagi menemui sentuhan jaringan apabila dua golnya ke gawang Scotland memberikan kemenangan 3-1 buat England ke atas musuh tradisi mereka itu. Ketika prestasi Robin Van Persie sedang diperhatikan manakala Radamel Falcao pula entah bila akan kembali semula menyertai kesebelasan utama, ketajaman Rooney dalam menyudahkan peluang memang ditagih.

Gol diminit ke 85 itu menjadikan jumlah jaringan Rooney ke gawang Arsenal bertambah kepada 13 gol, sekaligus menyaksikan beliau muncul pemain paling banyak membolosi gawang The Gunners berbanding mana-mana pemain dalam sejarah Liga Perdana. Entah apa sebabnya, Arsenal sentiasa `bermurah hati' menghadiahkan rekod demi rekod kepada Rooney setiap kali mereka berdepan kapten United dan England itu di atas padang.  Gol pertama Rooney di pentas Liga Perdana djaringkan beliau ke gawang David Seaman 12 tahun yang lalu dan gol itu juga menamatkan rekod tanpa kalah 30 perlawanan Arsenal. Walaupun selepas berpindah ke Old Trafford, kelibat Rooney masih lagi menghantui barisan pertahanan Arsenal. Jika jaringannya pada 19 Oktober 2002 (ketika bermain untuk Everton) menamatkan rekod 30 perlawanan tanpa kalah Arsenal, dua tahun selepas itu Rooney sekali lagi melakukan perkara yang sama.

Anda tentu masih ingat bukan perlawanan sengit United/Arsenal di Old Trafford pada 24 Oktober 2004 yang menamatkan perjalanan epik Invincibles (49 perlawanan tanpa kalah) The Gunners? Selain Ruud Van Nistelrooy, Rooney juga antara penjaring gol di sebalik kemenangan 2-0 yang dicatat United dalam perlawanan yang dicemari dengan insiden Battle of the Buffet itu. Jangan lupakan juga bahawa gol ke-100 Rooney di Liga Perdana juga dihasilkannya ketika berdepan Arsenal. Bagaimanapun sebelum perlawanan  di Stadium Emirates kelmarin, Rooney sebenarnya hanya mampu menjaringkan dua gol setiap kali berdepan Arsenal di gelanggang lawan, jadi tidak hairanlah juga mengapa saya sedikit bimbang memikirkan kemampuan jentera hadapan United sebelum berlangsungnya aksi minggu ke-12 ini. Untuk rekod, gol pertama Rooney di Stadium Emirates dijaringkan pada 22 Januari 2007 (United tewas 1-2) dan selepas itu beliau terpaksa menunggu selama tiga tahun untuk sekali lagi menggegarkan gawang Arsenal di gelanggang lawan.

Melihat kepada prestasi bagus yang dipamerkan Rooney ketika menyarung jersi England minggu lalu, saya agak optimis beliau mampu melakukan sesuatu biarpun Stadium Emirates sebelum ini sentiasa tidak berpihak kepadanya. Akhirnya semangat ketika bersama skuad The Three Lions diulangi Rooney kelmarin apabila beliau berjaya memimpin United menang perlawanan pertama mereka di luar Old Trafford musim ini dan lebih manis ia berlaku di Stadium Emirates, gelanggang yang sering memberikan masalah kepada beliau. Melihat kepada krisis kecederaan yang seperti tiada kesudahannya menimpa kelab ketika ini, ditambah pula dengan prestasi tidak konsisten sepanjang 11 perlawanan yang lalu, saya yakin tidak ramai di antara kita yang menaruh keyakinan bahawa United akan berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Emirates walaupun prestasi Arsenal sendiri sebenarnya turut menjadi topik perbualan utama penyokong-penyokong mereka setiap minggu.

Atas semua faktor yang saya sebutkan tadi, beban berat sebenarnya terpaksa dipikul Rooney bukan sahaja sebagai ketua pasukan, tetapi juga selaku pemain United paling senior di atas padang. Dalam erti kata lainnya, perlawanan menentang Arsenal menjadi antara ujian paling besar buat Rooney dalam membuktikan bahawa keputusan Van Gaal menyerahkan armband ketua pasukan kepada beliau satu keputusan yang tepat. Kelmarin beliau berjaya mengharungi ujian besar ini dengan cemerlang, bukan sahaja sebagai pemimpin kepada rakan-rakan sepasukan yang lain tetapi turut menjaringkan gol yang cukup penting kepada kelab. Ketika Arsenal ghairah mengasak bagi mencari jaringan penyamaan, gol kedua United menerusi Rooney itu saya anggap penamat kepada perjuangan lawan dalam usaha mereka mengelak dari menerima kekalahan pertama di gelanggang sendiri musim ini.

Ini mungkin keputusan yang tidak adil buat Arsenal terutamanya selepas menyaksikan mereka menguasai permainan di babak pertama dan mencipta peluang-peluang terbaik yang boleh menghasilkan gol. Mereka menguasai permainan tetapi United pula bermain dengan strategi dan taktik yang tepat untuk menang dan itulah yang berlaku kelmarin. Seperti biasa corak permainan menyerang Arsenal memang menarik untuk disaksikan dan seperti biasa juga, ketika mereka sibuk melancarkan serangan, mereka meninggalkan banyak ruang kosong di belakang hingga sering dihukum lawan menerusi serang balas pantas. Berbeza dengan United, Arsenal tidak memiliki pemain yang boleh ditugaskan untuk menutup ruang kosong di kawasan sendiri ketika mereka menyerang dan atas faktor itulah mengapa pentingnya pemain seperti Marouane Fellaini atau Daley Blind dalam sesebuah pasukan.

Saya tiada sebarang rungutan selepas melihat sumbangan keseluruhan Marouane Fellaini dan Michael Carrick di bahagian tengah terutamanya dalam menyaingi kelibat Jack Wilshere, Aaron Ramsey atau Mikel Arteta. Ketika Carrick sibuk merancang permainan dari bawah, Fellaini pula seperti biasa menjalankan tugasnya sebagai `perampas bola' dan `perosak tempo permainan lawan' dengan cukup berkesan. Fellaini memang tidak sekreatif Carrick atau Angel di Maria tetapi kekuatan fizikalnya amat diperlukan di bahagian tengah dan itulah yang dilakukannya setiap kali berdepan Wilshere kelmarin. Saya juga cukup tertarik dengan ketenangan Tyler Blackett dan Paddy McNair di benteng pertahanan ketika menangani kemaraan Alexis Sanchez serta Danny Welbeck walaupun Van Gaal sebenarnya melakukan perjudian cukup besar dengan kembali menggunakan sistem tiga pemain pertahanan.

Jika anda tanyakan kepada saya siapakah pemain yang paling banyak menyelamatkan United sejak akhir-akhir ini, jawapannya sudah tentu ialah David de Gea. Kecergasan De Gea pada mulanya dipersoalkan berikutan kecederaan yang dialami beliau ketika bersama skuad kebangsaan Sepanyol tetapi akhirnya nama bekas penjaga gol Atletico Madrid itu ada dalam kesebelasan utama Van Gaal di Stadium Emirates. Ketika berdepan Everton, tindakbalas hebatnya menafikan percubaan Leon Osman dan Brian Oveido memastikan United meraih tiga mata penuh di Old Trafford hinggakan Roberto Martinez tanpa ragu meletakkan De Gea sebagai pemain yang memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan di scoreboard. Saat berdepan Chelsea pula, De Gea sekali lagi muncul penyelamat apabila menafikan dua peluang terbaik dari Eden Hazard meskipun di penghujung perlawanan jaringan Robin Van Persie memastikan United memungut 1 mata.

Kelmarin ketangkasan De Gea sekali lagi menyebabkan barisan hadapan Arsenal buntu dalam usaha mereka menghasilkan jaringan biarpun dihidangkan dengan deretan peluang keemasan. Walaupun akhirnya beliau tewas menerusi rembatan voli Olivier Giroud di penghujung permainan, sumbangan keseluruhan De Gea di gawang sepanjang 90 minit aksi di Stadium Emirates memang tidak boleh dinafikan. Ketangkasannya menghalang beberapa peluang terbaik Arsenal di separuh masa pertama memberikan lebih keyakinan kepada Smalling, McNair dan Blackett ketika bertahan. De Gea jelas sedang menikmati prestasi terbaiknya, maka tidak hairanlah mengapa kedudukan Iker Casillas sebagai penjaga gol utama La Furia Roja sejak sekian lama mula tergugat. Ketepikan sebentar fakta bahawa penyudah tumpul barisan hadapan Arsenal antara faktor penyumbang kejayaan United membawa pulang tiga mata penuh dari London, kerana lebih daripada itu saya melihat ini kemenangan yang cukup penting. Penting bukan kerana United menewaskan Arsenal tetapi penting kerana ia merupakan kemenangan pertama The Red Devils di gelanggang lawan musim ini. Semoga  kemenangan ini juga bakal menjadi titik kebangkitan untuk United lebih konsisten selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

22 November 2014

API SENGKETA YANG SUDAH TERPADAM

Jika 10 atau 15 tahun yang lalu, pertembungan Manchester United dan Arsenal sentiasa dinanti peminat-peminat bolasepak seluruh dunia kerana perseteruan hebat yang tercetus antara dua kelab gergasi Liga Perdana itu baik ketika di dalam mahupun di luar padang. Seminggu sebelum aksi berlangsung, provokasi dan perang psikologi sudah dilancarkan bukan sahaja oleh pengurus kedua-dua pasukan (Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger), malah pemain dan kakitangan kelab turut tidak mahu ketinggalan memanaskan suasana sebelum perlawanan. Siapa boleh melupakan perseteruan hebat di atas padang selama bertahun-tahun yang tercetus antara Roy Keane dan Patrick Vieira, Battle of the Buffet di bilik persalinan pada 24 Oktober 2004 akibat meletusnya kekecewaan di kalangan pemain-pemain Arsenal kerana perjalanan Invincibles mereka ditamatkan United menerusi jaringan Ruud Van Nistelrooy dan Wayne Rooney serta gelagat pemain-pemain Arsenal yang mengerumuni Van Nistelrooy kerana meraikan kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti.

Itu hanyalah sebahagian dari cerita-cerita panas yang mewarnai tahun-tahun perseteruan hebat United/Arsenal, tidak termasuk `perang' yang cukup panjang berlaku antara Sir Alex dan Arsene Wenger, bukan sahaja di tepi padang tetapi membawa hingga ke dada akhbar. Bagaimanapun itu cerita lama, kerana kini pertembungan United/Arsenal tidak lagi sepanas ketika era Roy Keane dan Patrick Vieira mengetuai pasukan masing-masing di tengah padang. Persaraan Sir Alex juga menyumbang kepada kendurnya perseteruan The Red Devils dan The Gunners kerana kini Wenger nampaknya ada musuh lain yang perlu beliau tangani, siapa lagi jika bukan Jose Mourinho. Pengunduran Sir Alex bukan sahaja menyaksikan Liga Perdana kehilangan sebuah destinasi besar ciptaan Fergie yang begitu dominan menguasai pentas bolasepak Inggeris selama dua dekad tetapi turut melenyapkan salah satu drama perseteruan paling hebat pernah disaksikan antara dua kelab dalam sejarah Liga Perdana.

Jujur saya katakan, kadangkala saya sendiri merindui waktu-waktu di mana United dan Arsenal silih berganti menguasai pentas saingan Liga Perdana, rindukan perang saraf yang dilancarkan Sir Alex ke atas Wenger beberapa hari sebelum perlawanan, percakaran Keane/Vieira di tengah padang dan tengangnya tempo sepanjang 90 minit perlawanan dengan aksi-aksi berbalas serangan disulami dengan terjahan-terjahan keras pemain-pemain dari kedua-dua pasukan. Istilah-istilah seperti The Inivicible, Battle of Old Trafford, Battle of the Buffet dan Pizzagate yang dicipta media-media Inggeris cukup untuk menggambarkan betapa sengitnya perseteruan United/Arsenal ketika itu hinggakan kita yang menonton di hadapan kaca televisyen juga turut merasai bahang pertembungan dua kelab ini. Kemunculan Chelsea pada 2004 hasil revolusi besar-besaran yang dilakukan Roman Abramovich menyebabkan dominasi United dan Arsenal sejak 1997 hingga 2004 berjaya dipecahkan, sekaligus fokus Sir Alex juga kini beralih kepada seteru baharu mereka dari Stamford Bridge itu.

Sejak 2004 juga, Arsenal tidak lagi dianggap pencabar kejuaraan liga ditambah pula dengan faktor berakhirnya era generasi emas pemain-pemain mereka seperti Patrick Vieira, Thierry Henry, Marc Overmars, Dennis Bergkamp, Robert Pires, Tony Adams, Martin Keown, Frederik Ljungberg dan Emmanuel Petit. Sejak kali terakhir kejayaan mereka memenangi kejuaraan liga pada musim 2003-04, skuad kendalian Wenger hanya mampu menjulang dua kejuaraan Piala FA (2004-05 dan 2013-14) dan juga Perisai Komuniti Ogos lalu. Selepas 2004 juga, trofi Liga Perdana silih berganti dijulang United dan Chelsea hinggalah kemunculan Manchester City pada 2008 hasil suntikan dana besar-besaran yang diberikan Abu Dhabi United Group hingga mereka mampu membawa masuk pemain-pemain berprofil tinggi seperti Robinho, Roque Santa Cruz, Emmanuel Adebayor dan Carlos Tevez. Kemunculan City sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris menyebabkan Arsenal semakin terpencil meskipun mereka hampir saban musim berjaya menamatkan saingan liga di kedudukan empat teratas.

Kebangkitan Chelsea dan Manchester City menerusi limpahan wang yang diberikan pemilik kelab menyebabkan perlumbaan merebut kejuaraan liga tidak lagi didominasi oleh dua pasukan tetapi sebaliknya persaingan semakin terbuka. Bermula pada 2010, kejuaraan liga silih berganti jatuh ke tangan tiga pasukan (Chelsea, Manchester United dan Manchester City) manakala Arsenal pula terus kemarau kejuaraan walaupun mereka menunjukkan tanda-tanda kebangkitan pada saingan musim lalu. Bagaimanapun prestasi menarik yang ditunjukkan The Gunners di fasa pertama saingan liga gagal diteruskan hingga membolehkan City, Liverpool dan Chelsea memintas kedudukan mereka. Seperti yang anda tahu, City akhirnya berjaya membawa pulang trofi kejuaraan Liga Perdana ke Stadium Etihad manakala Arsenal pula terus kempunan. Bukan hanya Arsenal, kerana kemampuan United sebagai pencabar kejuaraan liga juga nampaknya semakin diremehkan selepas persaraan Sir Alex dan prestasi jatuh menjunam yang ditunjukkan mereka ketika di bawah kendalian David Moyes musim lalu.

Meskipun kemampuan Arsenal dan United dalam menyaingi Chelsea atau Manchester City bagi perebutan kejuaraan liga sering diremehkan, tetapi setiap pertembungan The Red Devils dan The Gunners tetap ada daya penariknya. Awal pagi esok, kedua-dua kelab akan bertembung antara satu sama lain buat kali ke 178 dalam sejarah pertemuan mereka. Saat ini, Arsenal berada di tangga keenam dalam carta liga, 1 mata mengatasi United di tangga ketujuh. Jika 10 atau 15 tahun yang lalu, pemenang pertembungan United/Arsenal biasanya bakal diletakkan sebagai calon paling hangat untuk menjulang kejuaraan liga tetapi kini situasi sudah jauh berubah. Dengan kedudukan kedua-dua kelab di pertengahan carta liga, tiga mata yang menjadi taruhan bakal meletakkan United atau Arsenal pada kedudukan lebih baik. Jika West Ham dan Swansea City masing-masing tewas dalam aksi mereka pada minggu ke-12 ini, pemenang perlawanan United/Arsenal bakal berada di kedudukan empat teratas.

Musim lalu, ketika prestasi United jatuh menjunam, Wenger pula secara konsisten berjaya meletakkan Arsenal di kedudukan empat teratas selain berjaya memenangi Piala FA yang juga merupakan trofi major pertama yang berjaya mereka julang sejak 2005. Kehadiran Louis Van Gaal sebagai pengganti David Moyes yang pada mulanya diraikan oleh penyokong-penyokong United nampaknya masih belum mendatangkan impak kebangkitan semula The Red Devils. Dari 11 perlawanan liga, United tewas 3 perlawanan, mencatat 4 keputusan seri dan paling diingati sudah tentu kekalahan memalukan 0-4 kepada Milton Keynes Dons di pusingan kedua Piala Liga. Kemenangan tipis 1-0 ke atas Crystal Palace di gelanggang sendiri 8 November lalu meletakkan United kembali di landasan kemenangan selepas hanya mampu mengutip 2 mata dari tiga perlawanan sebelumnya. Bagaimanapun itu bukanlah kemenangan yang menyakinkan dan sehingga perlawanan terakhir menentang Palace, barisan The Red Devils masih kekal dengan prestasi tidak konsisten mereka.

Jika United dihujani kritikan atas prestasi kurang konsisten mereka walaupun Louis Van Gaal berbelanja besar musim panas lalu, Arsenal juga apa kurangnya. Prestasi Arsenal juga ketika ini boleh diibaratkan seperti roller coaster walaupun mereka berjaya mendapatkan Alexis Sanchez dari Barcelona selain adanya pemain-pemain berkualiti lain seperti Mesut Ozil, Jack Wilshere, Theo Walcott dan Aaron Ramsey dalam skuad mereka. Lihat aksi mereka ketika berdepan Anderlecht dalam saingan Liga Juara-Juara 5 November lalu. Ketika selesa mendahului lawan dengan tiga gol, anak-anak buah Wenger sebaliknya membenarkan lawan bangkit memadam kelebihan selesa milik mereka untuk membawa pulang satu mata dari Stadium Emirates. Kesilapan Arsenal tidak terhenti setakat itu apabila lima hari kemudian mereka tewas pula kepada Swansea City dalam saingan liga walaupun Sanchez berjaya meletakkan The Gunners dihadapan diminit ke-67 menerusi gerakan serang balas pantas yang menarik.

Membenarkan lawan bangkit dengan tiga gol satu petanda jelas bahawa anak-anak buah Wenger berdepan masalah konsentrasi dan lebih malang apabila mereka gagal membawa pulang walau satu mata pun dari Stadium Liberty. Situasi yang dialami Arsenal ketika ini hampir sama dengan apa yang ada di kem United. Terus terang saya katakan bahawa prestasi United ketika ini agak mengecewakan saya terutamanya apabila memikirkan bahawa bukan sedikit wang yang sudah dilaburkan Van Gaal bagi memantapkan skuadnya. Mungkin juga nasib tidak menyebelahi Van Gaal terutamanya apabila kelab dilanda krisis kecederaan pemain yang turut menyumbang kepada prestasi keseluruhan pasukannya setakat ini. Jika kita kecewa, para Gooners juga saya yakin turut sama kecewa dengan prestasi yang dipamerkan kelab kesayangan mereka. Cuma apa yang saya harapkan selepas ini ialah beberapa pemain utama segera pulih untuk kembali membantu pasukan manakala Van Gaal pula ada cara bagaimana mahu menjadikan United lebih konsisten berbanding 11 perlawanan yang lalu.

Awal pagi esok, pertembungan di Stadium Emirates bukan lagi berkisar tentang siapa yang bakal merebut kejuaraan liga sepertimana ketika era permusuhan Sir Alex/Wenger dan Keano/Vieira, tetapi tiga mata yang menjadi taruhan bakal meletakkan pemenang di kedudukan lebih baik dalam carta liga. Musim ini masih berbaki 27 perlawanan, dan masih banyak waktu untuk Van Gaal serta Wenger melakukan sesuatu bagi meniup api perjuangan kepada pasukan masing-masing. Bagaimanapun apa yang pasti, aksi di Stadium Emirates nanti tidak akan sepanas ketika era permusuhan United/Arsenal sedang memuncak di penghujung era 90an hinggalah awal dekad millenium. Api permusuhan mungkin sudah terpadam seiring dengan persaraan Sir Alex kerana kini Wenger hanya perlu fokus merangka strategi tanpa perlu menjawab serangan-serangan psikologi yang dilancarkan Fergie ke atasnya sebelum perlawanan. Meskipun api permusuhan sudah terpadam tetapi itu tidak bermakna pertembungan United/Arsenal tidak lagi menarik untuk disaksikan dan semoga api sengketa yang sudah terpadam tidak akan menghilangkan kehangatan perlawanan ini...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

20 November 2014

KENALI LAGENDA: BRIAN MCCLAIR


Nama Brian John McClair tidaklah sehebat Mark Hughes, Brian Robson, Eric Cantona atau Steve Bruce ketika eranya sebagai pemain tetapi itu tidak pernah menghalang untuk beliau diletakkan sebagai lagenda Manchester United. McClair dilahirkan pada 8 Disember 1963, di Belshill, Scotland dan memulakan karier sebagai pemain bolasepak profesional bersama Aston Villa 34 tahun yang lalu. Meskipun Villa muncul juara liga pada musim 1980-81, McClair tidak bermain walau satu perlawanan pun sepanjang musim tersebut hingga menyebabkan beliau kemudiannya memilih untuk kembali ke Scotland dengan menyertai Motherwell. Dua musim di Fir Park, McClair menjaringkan 15 gol dalam saingan liga termasuk hatrik ketika mereka menewaskan Glasgow Rangers di gelanggang sendiri pada 3 Januari 1983. Sebelas hari kemudian, Mc Clair menjadikan Glasgow Celtic pula mangsa seterusnya ketajaman sentuhan beliau apabila dua gol yang dijaringkannya berjaya membantu Motherwell mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas gergasi Scotland itu.

Prestasi bagus yang ditunjukkan McClair bersama Motherwell menarik minat Billy McNeill untuk menandatangani beliau sebagai pengganti kepada Charlie Nicholas yang berhijrah ke Arsenal. Dengan nilai perpindahan sebanyak £ 100,000, McClair akhirnya berpindah ke Celtic Park pada musim panas 1983. McClair menamatkan musim pertamanya bersama The Hoops dengan meledak 32 gol (dalam semua kejohanan) sekaligus membuktikan bahawa McNeill memilih pemain yang tepat untuk mengisi posisi yang ditinggalkan Nicholas. Musim kedua bersama Celtic, McClair membentuk gandingan menggerunkan di barisan hadapan bersama Mo Johnston yang ditandatangani David Hay dari Watford. Sepertimana musim pertamanya, McClair terus produktif dalam menghasilkan gol buat Celtic dan meskipun turut disaingi Alan McInally dan Mark McGhee, kombinasi McClair/Johnston terus diberikan kepercayaan oleh Hay selaku gandingan penggempur utama skuad kendaliannya.

Selepas empat musim di Celtic Park, McClair yang berjaya menjaringkan 99 gol dari 145 penampilan, memenangi medal kejuaraan liga dan Piala Scotland selain  muncul penjaring terbanyak bagi musim 1986-87 dengan 35 gol akhirnya memilih Old Trafford sebagai destinasi seterusnya untuk beliau mengembangkan karienya. Statistik jaringan McClair bersama Celtic menarik minat Sir Alex Ferguson untuk mendapatkan khidmatnya selepas beliau dilantik menggantikan tempat Ron Atkinson selaku pengendali United. Perpindahan McClair ke Old Trafford bagaimanapun diselubungi kontroversi kerana timbul pertikaian antara Celtic dan United tentang yuran perpindahan yang perlu dibayar hingga memaksa campurtangan dari Tribunal Perpindahan Pemain. Jika tidak kerana campurtangan dari tribunal, United mungkin terpaksa membayar  £ 2 juta kepada Celtic sekaligus menjadikan McClair pemain termahal dunia ketika itu. Persetujuan bagaimanapun akhirnya berjaya dicapai di mana Celtic setuju melepaskan McClair dengan nilai perpindahan sebanyak £ 850,000.

Dengan nilai perpindahan sebanyak £ 850,000, McClair akhirnya sekali lagi menjejakkan kaki di bumi England pada bulan Julai 1987, kali ini beliau bukan lagi pemain `kerdil' tetapi memegang reputasi selaku penjaring terbanyak Liga Scotland. Musim pertamanya di Old Trafford, McClair menjaringkan 24 gol dalam saingan liga sekaligus muncul pemain United pertama dalam tempoh 20 tahun yang berjaya menjaringkan lebih 20 gol dalam semusim sejak kali terakhir George Best melakukannya pada musim 1967-68. Gol pertamanya untuk United pula hadir pada perlawanan ketiga menentang Watford di gelanggang sendiri (United menang 2-0). Musim kedua McClair (1988-89) bersama United bukan sahaja merupakan musim paling mencabar buat beliau tetapi juga kelab ekoran prestasi tidak bermaya mereka di pentas liga. Dari 38 perlawanan McClair hanya mampu menjaringkan 10 gol, jauh dari rekod jaringan pada musim pertamanya manakala United pula menamatkan saingan liga di tangga ke-11.

Kembalinya Mark Hughes selepas dua musim beliau meninggalkan Old Trafford menyaksikan kombinasi baharu dibentuk di barisan hadapan United bagi menghadapi musim 1989-90 dengan Peter Davenport yang merupakan gandingan McClair sebelum ini memilih menyertai Middlesbrough. Gandingan McClair/Hughes menyumbang 18 gol dalam saingan liga tetapi United sekali lagi berada di kelompok bawahan liga apabila menamatkan musim 1989-90 di tangga ke-13. Sepertimana United terus tergelincir dalam carta liga begitu jugalah halnya dengan statistik jaringan McClair apabila beliau hanya mampu menjaringkan 5 gol dari 37 perlawanan (liga). Kemunculan penyerang muda seperti Mark Robins yang berjaya menjaringkan 10 gol dari 23 perlawanan juga merupakan satu cabaran buat McClair dalam usaha beliau mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama. Meskipun berdepan tempoh sukar, McClair memenangi kejuaraan pertamanya di Old Trafford apabila United berjaya menewaskan Crystal Palace pada final ulangan di Stadium Wembley hasil jaringan tunggal Lee Martin.

Kejayaan pada 17 Mei 1990 itu juga merupakan kejuaraan pertama yang dimenangi United dalam tempoh empat tahun di bawah kendalian Sir Alex. Selepas kejayaan menjulang Piala FA, musim berikutnya (1990-91) medal kejuaraan sekali lagi hadir dalam karier McClair bersama United. Kejayaan menundukkan Barcelona di final kejohanan Cup Winners Cup pada 15 Mei 1991 membolehkan United sekali lagi menikmati kejuaraan di pentas Eropah sejak kali terakhir barisan Sir Matt Busby menjulang Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) pada 1968. Kejayaan menjulang trofi Cup Winners Cup `91 melayakkan United bersaing merebut kejuaraan UEFA Super Cup menemukan mereka dengan juara Eropah ketika itu, Red Star Belgrade di Old Trafford. Jika semasa final Piala FA edisi 1990 Lee Martin muncul wira buat United menerusi jaringan tunggalnya, kini tiba pula giliran McClair mencipta nama. Jaringan tunggal perlawanan hasil ledakkan McClair di minit ke 67 menyaksikan United menjulang trofi UEFA Super Cup di hadapan penyokong-penyokong sendiri.

Tiga kejuaraan dalam tempoh setahun (Piala FA, Cup Winners Cup dan UEFA Super Cup) rupa-rupanya satu petanda bahawa United bakal kembali sebagai kuasa digeruni di England. Kejayaan tersebut diteruskan pada musim 1991-92, apabila United sekali lagi mara ke final, kali ini Piala Liga (ketika itu dikenali sebagai Rumbelows Cup) pula menjadi buruan barisan The Red Devils. Di pentas final berdepan Nottingham Forest yang ketika itu diperkuatkan Roy Keane, Des Walker, Nigel Clough dan Teddy Sheringham, McClair sekali lagi muncul wira apabila jaringannya diminit ke-14 kekal hingga ke penghujung permainan sekaligus menyaksikan United membawa pulang trofi tersebut buat pertama kali sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1960. Selain kejayaan menjulang Piala Liga, musim 1991-92 juga menyaksikan statistik jaringan McClair kembali meningkat seiring dengan peningkatan prestasi keseluruhan United apabila mereka menamatkan saingan liga di tangga kedua, 4 mata di belakang Leeds United manakala McClair pula berjaya meledak 18 gol dari 42 penampilan.

Penantian selama 26 tahun United untuk menjulang kejuaraan liga berakhir apabila pada musim 1992-93, skuad kendalian Sir Alex akhirnya dinobatkan sebagai penguasa baharu bolasepak England. Semasa bersama Celtic, McClair pernah merasai nikmat menjulang kejuaraan Liga Scotland, kini di England beliau melakukan pencapaian yang sama untuk United pula. Musim 1992-93 mungkin musim paling sukses buat McClair tetapi masa depan beliau bersama kelab pada mulanya pernah menjadi persoalan dan spekulasi akhbar. Selepas tewas kepada Leeds dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga pada musim sebelumnya (1991-92), Sir Alex cuba mendapatkan khidmat David Hirst dari Sheffield Wednesday dan Alan Shearer dari Southampton bagi menghadapi musim baharu hingga timbul cakap-cakap bahawa McClair atau Hughes bakal ditunjukkan jalan keluar. Sir Alex gagal mendapatkan Hirst atau Shearer, tetapi beliau berjaya membawa masuk Eric Cantona dan Dion Dublin dimana kehadiran mereka (terutamanya Cantona) segera mencetuskan impak kepada kebangkitan semula United sebagai kuasa boasepak England.

Kehadiran Cantona menyebabkan peranan McClair dalam skuad Sir Alex berubah sedikit demi sedikit. Fungsinya bukan lagi sebagai penyerang utama tetapi McClair diberikan tugas baharu sebagai pemain tengah. Ini juga bermakna penyokong-penyokong United ketika itu tidak akan dapat lagi menyaksikan McClair menjaringkan 10 atau 20 gol semusim. Pertukaran posisi McClair (ke bahagian tengah) juga menandakan bahawa karier Captain Marvel (Bryan Robson) bersama United kian berada di penghujung. Robson ketika itu lebih banyak digunakan sebagai pemain simpanan berbanding ketika zaman kemuncaknya dimana akhirnya beliau meninggalkan Old Trafford pada musim panas 1994. Pembelian Roy Keane dari Nottingham Forest meyebabkan persaingan merebut tempat di bahagian tengah semakin sengit ditambah pula dengan kemunculan bintang-bintang muda dari Class of 92 seperti Paul Scholes, Phil Neville dan Nicky Butt. Walaupun begitu, McClair masih mampu melakukan lebih 50 penampilan (dalam semua kejohanan) pada musim 1994-95 dan menjaringkan 5 gol dalam saingan liga.

Tiga musim berikutnya, peranan dan sumbangan McClair terhadap pasukan semakin kurang terutamanya selepas Sir Alex melakukan revolusi besar-besaran dalam skuadnya dengan mengetengahkan ramai pemain-pemain muda. Kekecewaan kerana tewas dalam perebutan kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers menerusi perbezaan hanya 1 mata pada musim 1994-95, menyaksikan Sir Alex menyingkirkan beberapa pemain seniornya seperti Paul Ince, Andrei Kanchelskis dan Mark Hughes tetapi khidmat McClair tetap masih diperlukan Fergie. McClair akhirnya menamatkan karier 11 tahunnya di Old Trafford pada musim panas 1998 selepas kelab gagal menjulang sebarang kejuaraan pada musim 1997-98. Sepanjang 11 tahun bersama kelab, McClair melakukan 471 penampilan (dalam semua kejohanan) dan menjaringkan 127 gol, manakala gol terakhirnya pula dihasilkan beliau ketika berdepan Coventry City pada 22 November 1995 (United menang 4-0 perlawanan itu).

Meskipun tidak dianugerahkan dengan skill individu memukau seperti Cristiano Ronaldo atau sentuhan pemusnah setajam Ruud Van Nistelrooy, segala kekurangan tersebut diatasi beliau menerusi kerja keras dan komitmen lebih 100% setiap kali beliau diturunkan. Kemampuan beliau bertahan selama 11 tahun terutamanya ketika kelab berdepan tempoh-tempoh sukar cukup mengagumkan saya. Lee Martin dianggap wira perlawanan akhir Piala FA `90 tetapi tanpa gol sumbangan McClair ketika berdepan Newcastle United (pusingan  ke-5), Sheffield United (pusingan ke-6) dan Oldham Athletic (perlawanan ulangan separuh akhir), United mungkin tidak akan berada di pentas akhir. Begitu juga halnya ketika saingan Cup Winners Cup (musim 1990-91) di mana McClair tidak pernah gagal menjaringkan gol untuk United bermula dari pusingan pertama hinggalah ke peringkat separuh akhir.

Umum lebih mengingati dua gol jaringan Mark Hughes ke gawang Barca yang memberikan kejuaraan Cup Winners Cup `91 kepada United tetapi mereka terlupa sumbangan penting McClair sepanjang saingan tersebut berlangsung. McClair mungkin bukan yang terkenal, mungkin juga bukan yang terbaik tetapi beliau tetap ada tempatnya di hati penyokong-penyokong United terutamanya dari generasi era 80 an hinggalah 90 an. Saya antara penyokong-penyokong United yang bertuah kerana pernah menyaksikan kelibat lagenda ini beraksi secara langsung di atas padang walaupun hanya menerusi kaca televisyen. McClair bukanlah hero, tetapi ketika United berada dalam kedudukan genting beliau sentiasa hadir sebagai penyelamat menerusi gol-gol pentingnya. Beliau juga bukanlah pemain yang terlalu istimewa seperti Cantona dalam skuad United walaupun pernah menyandang gelaran Pemain Terbaik Tahunan Scotland, tetapi beliau jarang mengecewakan Sir Alex setiap kali khidmatnya diperlukan. Jadi jangan tanyakan kepada saya mengapa Choccy mampu bertahan selama 11 tahun di Old Trafford. - A.J

13 November 2014

SEMOGA BERJAYA DI SANA

Selepas gagal bersama Manchester United, David Moyes akhirnya diberikan kesempatan kedua untuk membuktikan bahawa sentuhan kejurulatihannya masih lagi berbisa. Bukan di Liga Perdana, tetapi Moyes sebaliknya memilih Premiera Liga sebagai destinasi seterusnya selepas beliau kembali semula dalam bidang kejurulatihan untuk bersama Real Sociedad. Saya mengikitraf kejayaan Moyes di Goodison Park terutamanya apabila beliau berjaya membawa Everton secara konsisten bersaing di Liga Perdana walaupun saban musim diberikan peruntukkan terhad untuk menguatkan skuad The Toffees. Bersama Everton, Moyes antara pengurus muda berbakat, visinya dalam mengetengahkan bakat-bakat muda tidak perlu dipertikaikan manakala taktikal permainan yang diterapkan beliau di atas padang mampu menumbangkan mana-mana gergasi Liga Perdana.

Melihat segala potensi yang dimiliki beliau, tidak hairanlah apabila musim lalu Moyes dinamakan sebagai pengganti Sir Alex Ferguson selepas lagenda itu mengambil keputusan bersara selepas 27 tahun duduk di kerusi pengurus United. Kehadiran beliau di Old Trafford digembar-gemburkan penyokong-penyokong United hinggakan Moyes diberikan gelaran The Chosen One. Sepertimana anda ketika itu, saya juga agak teruja dengan kehadiran Moyes atas faktor kejayaan beliau menjadikan Everton pesaing yang konsisten di Liga Perdana (walaupun beliau tidak pernah membawa Everton memenangi apa-apa trofi selama 11 tahun di Goodison Park). Bagaimanapun, karier Moyes di Old Trafford hanya mampu bertahan selama 10 bulan walaupun beliau sebelumnya diberikan kontrak selama lima tahun gara-gara kegagalan beliau meletakkan United dalam kelompok pesaing kejuaraan Liga Perdana musim lalu.

Lebih parah, United menamatkan saingan musim lalu ditangga ketujuh liga sekaligus terlepas sebarang aksi di pentas Eropah (Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa). Kesempatan dipilih sebagai pengganti Sir Alex dipersia-siakan begitu sahaja oleh Moyes, bermula daripada kempen pra-musim, penglibatan beliau sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas dibuka, pemilihan pemain hinggalah kepada taktikal permainannya di atas padang. Mungkin ada yang mengatakan bahawa tempoh 10 bulan tidak mencukupi buat Moyes dan beliau patut diberikan peluang untuk terus mengendalikan United sekurang-kurangnya hingga musim ini. Mungkin pendapat ini ada benarnya dan Moyes harus diberikan peluang tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu sedar bahawa bolasepak sudah jauh berbeza berbanding tempoh 10 atau 20 tahun yang lalu.

United memang pernah bersabar ketika detik awal Sir Alex memulakan kariernya di Old Trafford sejak beliau menggantikan tempat Ron Atkinson hinggalah kejuaraan pertama (Piala FA 1990) hadir selepas empat tahun beliau mengendalikan kelab. Itu cerita 28 tahun yang lalu, kerana seperti yang saya katakan tadi, zaman sudah jauh berubah. Baik kelab kecil atau besar, semuanya mahukan keputusan positif segera di atas padang, tiada lagi erti sabar atau peluang 2 hingga 3 tahun patut diberikan kepada jurulatih untuk membuktikan kemampuan mereka. Jika zaman boleh diterbalikkan dan Sir Alex diletakkan di tempat Moyes, saya percaya beliau juga tidak akan terselamat dari pemecatan jika United mempamerkan prestasi buruk seperti itu. United adalah kelab yang besar dan punya sejarah gemilang yang panjang, jadi kegagalan total seperti itu memang sukar diterima terutamanya oleh para penyokong dari generasi muda.

Lihat apa yang berlaku kepada Roberto Di Matteo, hanya selepas lapan bulan sejak kejayaan beliau mengemudi Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada 2012. Di Matteo akhirnya `ditendang' keluar dari Stamford Bridge selepas Chelsea mempamerkan prestasi yang disifatkan sebagai `tidak boleh diterima' oleh Roman Abramovich dalam saingan liga dan juga di pentas Eropah. Itu situasi yang berlaku di kelab besar seperti Chelsea dan di kelab pertengahan seperti Sunderland juga apa kurangnya. Di Stadium of Light, Paolo Di Canio hanya sempat mengemudi Sunderland sebanyak lima perlawanan liga sebelum beliau akhirnya dipecat selepas kelab tersebut hanya mampu mengutip satu mata dari lima perlawanan. Itulah nasib yang menimpa jurulatih-jurulatih dalam era bolasepak moden di mana makna kesabaran sudah lama terhakis bukan sahaja dalam diri pemilik kelab, pihak pengurusan tetapi juga para penyokong.

Meskipun gagal bersama United, kelibat Moyes tetap menarik minat kelab-kelab lain dan Real Sociedad adalah satu diantaranya. Selepas pemecatan Jagoba Arrasate awal bulan ini, presiden kelab, Jokin Aperribay menjadikan Moyes sebagai buruan utama bagi mengisi kekosongan jawatan sebagai ketua jurulatih/pengurus di Anoeta. Mengapa Moyes memilih Real Sociedad sedangkan kebolehan yang dimiliki beliau turut menjadi perhatian beberapa kelab di Liga Perdana? Jawapannya lihat kepada kenyataan beliau pada 2012 ketika ditemubual France Football dan juga wawancaranya bersama Daily Telegraph awal tahun ini. Ketika diwawancara France Football dan Daily Telegraph, Moyes tidak menyembunyikan keinginannya untuk melatih kelab-kelab di luar England dan tawaran Sociedad memang sukar ditolak.

Aperribay juga nampaknya begitu terpikat dengan kemampuan Moyes dalam menggilap bakat-bakat muda untuk diketengahkan ke dalam skuad senior sepertimana yang pernah beliau lakukan di Goodison Park. Moyes pernah mengatakan bahawa dirinya tidak diperlakukan dengan adil kerana tidak diberikan tempoh yang mencukupi untuk membuktikan kemampuannya di Old Trafford. Ya, dakwaan beliau memang ada kebenarannya dan seperti yang saya pernah katakan tadi, bolasepak moden memang kejam buat mana-mana pengurus/jurulatih kerana semuanya perlukan keputusan segera di atas padang, dan United juga tidak terkecuali. Sociedad adalah tempat paling tepat untuk Moyes bangkit kembali kerana di sana tekanan tidaklah sehebat sepertimana di Old Trafford di mana beliau perlu membawa trofi kejuaraan untuk kelab atau setidak-tidaknya bersaing di kedudukan empat teratas secara konsisten.

Situasi di Sociedad hampir sama dengan Everton kerana Moyes akan kembali menikmati ruang dan waktu untuk melakukan tugasnya tanpa tekanan atas faktor bahawa Sociedad bukanlah sebuah kelab yang besar di Sepanyol. Di sini Moyes juga berpeluang mengasah kemahiran beliau menyusun taktikal permainan di atas padang ketika berdepan gergasi La Liga seperti Real Madrid dan Bercelona. Sociedad ketika ini memiliki skuad kompetitif yang mampu bersaing untuk menduduki sekurang-kurangnya kelompok enam teratas di La Liga dan itulah misi yang perlu dilaksanakan Moyes pada musim pertamanya di Anoeta. Terry Venables dan mendiang Sir Bobby Robson pernah mencipta kejayaan di Sepanyol ketika zaman mereka sebagai pengurus dan kini giliran Moyes pula untuk membuktikan kemampuannya. Keputusan Moyes memilih Sociedad saya anggap langkah yang tepat untuk beliau membina kembali reputasinya yang musnah akibat dari kegagalan selama 10 bulan di Old Trafford.

Akhir sekali mungkin ada yang bertanya mengapa kali ini saya menulis tentang Moyes? Jawapannya mudah kerana beliau pernah duduk di kerusi pengurus United, pernah mengendalikan United selama 10 bulan dan dalam tempoh itu juga sudah tentu ada sedikit sebanyak jasa yang ditinggalkan beliau untuk kelab. Biarpun pernah gagal bersama United, Moyes saya anggap masih antara pengurus berbakat dalam dunia bolasepak hari ini dan siapa tahu suatu hari nanti beliau akan kembali ke Old Trafford sebagai pengurus United buat kali kedua. Saya tidak pernah menolak sebarang kemungkinan dan jika itu berlaku, saya berharap Moyes pada masa itu akan lebih bersedia berdepan tekanan, lebih matang, lebih berjiwa besar dan paling penting beliau juga perlu sedar bahawa United merupakan antara kelab terbesar di dunia dengan sejarah gemilang dan tradisi yang cukup panjang. United bukan seperti Everton dan bukan juga seperti Real Sociedad. Semoga anda sukses di sana David Moyes...Glory Glory Manchester United!!! - A.J