20 November 2014

KENALI LAGENDA: BRIAN MCCLAIR


Nama Brian John McClair tidaklah sehebat Mark Hughes, Brian Robson, Eric Cantona atau Steve Bruce ketika eranya sebagai pemain tetapi itu tidak pernah menghalang untuk beliau diletakkan sebagai lagenda Manchester United. McClair dilahirkan pada 8 Disember 1963, di Belshill, Scotland dan memulakan karier sebagai pemain bolasepak profesional bersama Aston Villa 34 tahun yang lalu. Meskipun Villa muncul juara liga pada musim 1980-81, McClair tidak bermain walau satu perlawanan pun sepanjang musim tersebut hingga menyebabkan beliau kemudiannya memilih untuk kembali ke Scotland dengan menyertai Motherwell. Dua musim di Fir Park, McClair menjaringkan 15 gol dalam saingan liga termasuk hatrik ketika mereka menewaskan Glasgow Rangers di gelanggang sendiri pada 3 Januari 1983. Sebelas hari kemudian, Mc Clair menjadikan Glasgow Celtic pula mangsa seterusnya ketajaman sentuhan beliau apabila dua gol yang dijaringkannya berjaya membantu Motherwell mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas gergasi Scotland itu.

Prestasi bagus yang ditunjukkan McClair bersama Motherwell menarik minat Billy McNeill untuk menandatangani beliau sebagai pengganti kepada Charlie Nicholas yang berhijrah ke Arsenal. Dengan nilai perpindahan sebanyak £ 100,000, McClair akhirnya berpindah ke Celtic Park pada musim panas 1983. McClair menamatkan musim pertamanya bersama The Hoops dengan meledak 32 gol (dalam semua kejohanan) sekaligus membuktikan bahawa McNeill memilih pemain yang tepat untuk mengisi posisi yang ditinggalkan Nicholas. Musim kedua bersama Celtic, McClair membentuk gandingan menggerunkan di barisan hadapan bersama Mo Johnston yang ditandatangani David Hay dari Watford. Sepertimana musim pertamanya, McClair terus produktif dalam menghasilkan gol buat Celtic dan meskipun turut disaingi Alan McInally dan Mark McGhee, kombinasi McClair/Johnston terus diberikan kepercayaan oleh Hay selaku gandingan penggempur utama skuad kendaliannya.

Selepas empat musim di Celtic Park, McClair yang berjaya menjaringkan 99 gol dari 145 penampilan, memenangi medal kejuaraan liga dan Piala Scotland selain  muncul penjaring terbanyak bagi musim 1986-87 dengan 35 gol akhirnya memilih Old Trafford sebagai destinasi seterusnya untuk beliau mengembangkan karienya. Statistik jaringan McClair bersama Celtic menarik minat Sir Alex Ferguson untuk mendapatkan khidmatnya selepas beliau dilantik menggantikan tempat Ron Atkinson selaku pengendali United. Perpindahan McClair ke Old Trafford bagaimanapun diselubungi kontroversi kerana timbul pertikaian antara Celtic dan United tentang yuran perpindahan yang perlu dibayar hingga memaksa campurtangan dari Tribunal Perpindahan Pemain. Jika tidak kerana campurtangan dari tribunal, United mungkin terpaksa membayar  £ 2 juta kepada Celtic sekaligus menjadikan McClair pemain termahal dunia ketika itu. Persetujuan bagaimanapun akhirnya berjaya dicapai di mana Celtic setuju melepaskan McClair dengan nilai perpindahan sebanyak £ 850,000.

Dengan nilai perpindahan sebanyak £ 850,000, McClair akhirnya sekali lagi menjejakkan kaki di bumi England pada bulan Julai 1987, kali ini beliau bukan lagi pemain `kerdil' tetapi memegang reputasi selaku penjaring terbanyak Liga Scotland. Musim pertamanya di Old Trafford, McClair menjaringkan 24 gol dalam saingan liga sekaligus muncul pemain United pertama dalam tempoh 20 tahun yang berjaya menjaringkan lebih 20 gol dalam semusim sejak kali terakhir George Best melakukannya pada musim 1967-68. Gol pertamanya untuk United pula hadir pada perlawanan ketiga menentang Watford di gelanggang sendiri (United menang 2-0). Musim kedua McClair (1988-89) bersama United bukan sahaja merupakan musim paling mencabar buat beliau tetapi juga kelab ekoran prestasi tidak bermaya mereka di pentas liga. Dari 38 perlawanan McClair hanya mampu menjaringkan 10 gol, jauh dari rekod jaringan pada musim pertamanya manakala United pula menamatkan saingan liga di tangga ke-11.

Kembalinya Mark Hughes selepas dua musim beliau meninggalkan Old Trafford menyaksikan kombinasi baharu dibentuk di barisan hadapan United bagi menghadapi musim 1989-90 dengan Peter Davenport yang merupakan gandingan McClair sebelum ini memilih menyertai Middlesbrough. Gandingan McClair/Hughes menyumbang 18 gol dalam saingan liga tetapi United sekali lagi berada di kelompok bawahan liga apabila menamatkan musim 1989-90 di tangga ke-13. Sepertimana United terus tergelincir dalam carta liga begitu jugalah halnya dengan statistik jaringan McClair apabila beliau hanya mampu menjaringkan 5 gol dari 37 perlawanan (liga). Kemunculan penyerang muda seperti Mark Robins yang berjaya menjaringkan 10 gol dari 23 perlawanan juga merupakan satu cabaran buat McClair dalam usaha beliau mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama. Meskipun berdepan tempoh sukar, McClair memenangi kejuaraan pertamanya di Old Trafford apabila United berjaya menewaskan Crystal Palace pada final ulangan di Stadium Wembley hasil jaringan tunggal Lee Martin.

Kejayaan pada 17 Mei 1990 itu juga merupakan kejuaraan pertama yang dimenangi United dalam tempoh empat tahun di bawah kendalian Sir Alex. Selepas kejayaan menjulang Piala FA, musim berikutnya (1990-91) medal kejuaraan sekali lagi hadir dalam karier McClair bersama United. Kejayaan menundukkan Barcelona di final kejohanan Cup Winners Cup pada 15 Mei 1991 membolehkan United sekali lagi menikmati kejuaraan di pentas Eropah sejak kali terakhir barisan Sir Matt Busby menjulang Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) pada 1968. Kejayaan menjulang trofi Cup Winners Cup `91 melayakkan United bersaing merebut kejuaraan UEFA Super Cup menemukan mereka dengan juara Eropah ketika itu, Red Star Belgrade di Old Trafford. Jika semasa final Piala FA edisi 1990 Lee Martin muncul wira buat United menerusi jaringan tunggalnya, kini tiba pula giliran McClair mencipta nama. Jaringan tunggal perlawanan hasil ledakkan McClair di minit ke 67 menyaksikan United menjulang trofi UEFA Super Cup di hadapan penyokong-penyokong sendiri.

Tiga kejuaraan dalam tempoh setahun (Piala FA, Cup Winners Cup dan UEFA Super Cup) rupa-rupanya satu petanda bahawa United bakal kembali sebagai kuasa digeruni di England. Kejayaan tersebut diteruskan pada musim 1991-92, apabila United sekali lagi mara ke final, kali ini Piala Liga (ketika itu dikenali sebagai Rumbelows Cup) pula menjadi buruan barisan The Red Devils. Di pentas final berdepan Nottingham Forest yang ketika itu diperkuatkan Roy Keane, Des Walker, Nigel Clough dan Teddy Sheringham, McClair sekali lagi muncul wira apabila jaringannya diminit ke-14 kekal hingga ke penghujung permainan sekaligus menyaksikan United membawa pulang trofi tersebut buat pertama kali sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1960. Selain kejayaan menjulang Piala Liga, musim 1991-92 juga menyaksikan statistik jaringan McClair kembali meningkat seiring dengan peningkatan prestasi keseluruhan United apabila mereka menamatkan saingan liga di tangga kedua, 4 mata di belakang Leeds United manakala McClair pula berjaya meledak 18 gol dari 42 penampilan.

Penantian selama 26 tahun United untuk menjulang kejuaraan liga berakhir apabila pada musim 1992-93, skuad kendalian Sir Alex akhirnya dinobatkan sebagai penguasa baharu bolasepak England. Semasa bersama Celtic, McClair pernah merasai nikmat menjulang kejuaraan Liga Scotland, kini di England beliau melakukan pencapaian yang sama untuk United pula. Musim 1992-93 mungkin musim paling sukses buat McClair tetapi masa depan beliau bersama kelab pada mulanya pernah menjadi persoalan dan spekulasi akhbar. Selepas tewas kepada Leeds dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga pada musim sebelumnya (1991-92), Sir Alex cuba mendapatkan khidmat David Hirst dari Sheffield Wednesday dan Alan Shearer dari Southampton bagi menghadapi musim baharu hingga timbul cakap-cakap bahawa McClair atau Hughes bakal ditunjukkan jalan keluar. Sir Alex gagal mendapatkan Hirst atau Shearer, tetapi beliau berjaya membawa masuk Eric Cantona dan Dion Dublin dimana kehadiran mereka (terutamanya Cantona) segera mencetuskan impak kepada kebangkitan semula United sebagai kuasa boasepak England.

Kehadiran Cantona menyebabkan peranan McClair dalam skuad Sir Alex berubah sedikit demi sedikit. Fungsinya bukan lagi sebagai penyerang utama tetapi McClair diberikan tugas baharu sebagai pemain tengah. Ini juga bermakna penyokong-penyokong United ketika itu tidak akan dapat lagi menyaksikan McClair menjaringkan 10 atau 20 gol semusim. Pertukaran posisi McClair (ke bahagian tengah) juga menandakan bahawa karier Captain Marvel (Bryan Robson) bersama United kian berada di penghujung. Robson ketika itu lebih banyak digunakan sebagai pemain simpanan berbanding ketika zaman kemuncaknya dimana akhirnya beliau meninggalkan Old Trafford pada musim panas 1994. Pembelian Roy Keane dari Nottingham Forest meyebabkan persaingan merebut tempat di bahagian tengah semakin sengit ditambah pula dengan kemunculan bintang-bintang muda dari Class of 92 seperti Paul Scholes, Phil Neville dan Nicky Butt. Walaupun begitu, McClair masih mampu melakukan lebih 50 penampilan (dalam semua kejohanan) pada musim 1994-95 dan menjaringkan 5 gol dalam saingan liga.

Tiga musim berikutnya, peranan dan sumbangan McClair terhadap pasukan semakin kurang terutamanya selepas Sir Alex melakukan revolusi besar-besaran dalam skuadnya dengan mengetengahkan ramai pemain-pemain muda. Kekecewaan kerana tewas dalam perebutan kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers menerusi perbezaan hanya 1 mata pada musim 1994-95, menyaksikan Sir Alex menyingkirkan beberapa pemain seniornya seperti Paul Ince, Andrei Kanchelskis dan Mark Hughes tetapi khidmat McClair tetap masih diperlukan Fergie. McClair akhirnya menamatkan karier 11 tahunnya di Old Trafford pada musim panas 1998 selepas kelab gagal menjulang sebarang kejuaraan pada musim 1997-98. Sepanjang 11 tahun bersama kelab, McClair melakukan 471 penampilan (dalam semua kejohanan) dan menjaringkan 127 gol, manakala gol terakhirnya pula dihasilkan beliau ketika berdepan Coventry City pada 22 November 1995 (United menang 4-0 perlawanan itu).

Meskipun tidak dianugerahkan dengan skill individu memukau seperti Cristiano Ronaldo atau sentuhan pemusnah setajam Ruud Van Nistelrooy, segala kekurangan tersebut diatasi beliau menerusi kerja keras dan komitmen lebih 100% setiap kali beliau diturunkan. Kemampuan beliau bertahan selama 11 tahun terutamanya ketika kelab berdepan tempoh-tempoh sukar cukup mengagumkan saya. Lee Martin dianggap wira perlawanan akhir Piala FA `90 tetapi tanpa gol sumbangan McClair ketika berdepan Newcastle United (pusingan  ke-5), Sheffield United (pusingan ke-6) dan Oldham Athletic (perlawanan ulangan separuh akhir), United mungkin tidak akan berada di pentas akhir. Begitu juga halnya ketika saingan Cup Winners Cup (musim 1990-91) di mana McClair tidak pernah gagal menjaringkan gol untuk United bermula dari pusingan pertama hinggalah ke peringkat separuh akhir.

Umum lebih mengingati dua gol jaringan Mark Hughes ke gawang Barca yang memberikan kejuaraan Cup Winners Cup `91 kepada United tetapi mereka terlupa sumbangan penting McClair sepanjang saingan tersebut berlangsung. McClair mungkin bukan yang terkenal, mungkin juga bukan yang terbaik tetapi beliau tetap ada tempatnya di hati penyokong-penyokong United terutamanya dari generasi era 80 an hinggalah 90 an. Saya antara penyokong-penyokong United yang bertuah kerana pernah menyaksikan kelibat lagenda ini beraksi secara langsung di atas padang walaupun hanya menerusi kaca televisyen. McClair bukanlah hero, tetapi ketika United berada dalam kedudukan genting beliau sentiasa hadir sebagai penyelamat menerusi gol-gol pentingnya. Beliau juga bukanlah pemain yang terlalu istimewa seperti Cantona dalam skuad United walaupun pernah menyandang gelaran Pemain Terbaik Tahunan Scotland, tetapi beliau jarang mengecewakan Sir Alex setiap kali khidmatnya diperlukan. Jadi jangan tanyakan kepada saya mengapa Choccy mampu bertahan selama 11 tahun di Old Trafford. - A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan