Jika 10 atau 15
tahun yang lalu, pertembungan Manchester United dan Arsenal sentiasa dinanti
peminat-peminat bolasepak seluruh dunia kerana perseteruan hebat yang tercetus
antara dua kelab gergasi Liga Perdana itu baik ketika di dalam mahupun di luar
padang. Seminggu sebelum aksi berlangsung, provokasi dan perang psikologi sudah
dilancarkan bukan sahaja oleh pengurus kedua-dua pasukan (Sir Alex Ferguson dan
Arsene Wenger), malah pemain dan kakitangan kelab turut tidak mahu ketinggalan
memanaskan suasana sebelum perlawanan. Siapa boleh melupakan perseteruan hebat
di atas padang selama bertahun-tahun yang tercetus antara Roy Keane dan Patrick
Vieira, Battle of the Buffet di bilik persalinan pada 24 Oktober 2004
akibat meletusnya kekecewaan di kalangan pemain-pemain Arsenal kerana
perjalanan Invincibles mereka ditamatkan United menerusi jaringan Ruud
Van Nistelrooy dan Wayne Rooney serta gelagat pemain-pemain Arsenal yang mengerumuni
Van Nistelrooy kerana meraikan kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti.
Itu hanyalah
sebahagian dari cerita-cerita panas yang mewarnai tahun-tahun perseteruan hebat
United/Arsenal, tidak termasuk `perang' yang cukup panjang berlaku antara Sir
Alex dan Arsene Wenger, bukan sahaja di tepi padang tetapi membawa hingga ke
dada akhbar. Bagaimanapun itu cerita lama, kerana kini pertembungan
United/Arsenal tidak lagi sepanas ketika era Roy Keane dan Patrick Vieira
mengetuai pasukan masing-masing di tengah padang. Persaraan Sir Alex juga
menyumbang kepada kendurnya perseteruan The Red Devils dan The
Gunners kerana kini Wenger nampaknya ada musuh lain yang perlu beliau
tangani, siapa lagi jika bukan Jose Mourinho. Pengunduran Sir Alex bukan sahaja
menyaksikan Liga Perdana kehilangan sebuah destinasi besar ciptaan Fergie yang
begitu dominan menguasai pentas bolasepak Inggeris selama dua dekad tetapi
turut melenyapkan salah satu drama perseteruan paling hebat pernah disaksikan antara dua kelab
dalam sejarah Liga Perdana.
Jujur saya katakan,
kadangkala saya sendiri merindui waktu-waktu di mana United dan Arsenal silih
berganti menguasai pentas saingan Liga Perdana, rindukan perang saraf yang
dilancarkan Sir Alex ke atas Wenger beberapa hari sebelum perlawanan,
percakaran Keane/Vieira di tengah padang dan tengangnya tempo sepanjang 90
minit perlawanan dengan aksi-aksi berbalas serangan disulami dengan
terjahan-terjahan keras pemain-pemain dari kedua-dua pasukan. Istilah-istilah
seperti The Inivicible, Battle of Old Trafford, Battle of the Buffet dan
Pizzagate yang dicipta media-media Inggeris cukup untuk menggambarkan
betapa sengitnya perseteruan United/Arsenal ketika itu hinggakan kita yang
menonton di hadapan kaca televisyen juga turut merasai bahang pertembungan dua
kelab ini. Kemunculan Chelsea pada 2004 hasil revolusi besar-besaran yang
dilakukan Roman Abramovich menyebabkan dominasi United dan Arsenal sejak 1997
hingga 2004 berjaya dipecahkan, sekaligus fokus Sir Alex juga kini beralih
kepada seteru baharu mereka dari Stamford Bridge itu.
Sejak 2004 juga,
Arsenal tidak lagi dianggap pencabar kejuaraan liga ditambah pula dengan faktor
berakhirnya era generasi emas pemain-pemain mereka seperti Patrick Vieira,
Thierry Henry, Marc Overmars, Dennis Bergkamp, Robert Pires, Tony Adams, Martin
Keown, Frederik Ljungberg dan Emmanuel Petit. Sejak kali terakhir kejayaan
mereka memenangi kejuaraan liga pada musim 2003-04, skuad kendalian Wenger
hanya mampu menjulang dua kejuaraan Piala FA (2004-05 dan 2013-14) dan juga
Perisai Komuniti Ogos lalu. Selepas 2004 juga, trofi Liga Perdana silih
berganti dijulang United dan Chelsea hinggalah kemunculan Manchester City pada
2008 hasil suntikan dana besar-besaran yang diberikan Abu Dhabi United Group
hingga mereka mampu membawa masuk pemain-pemain berprofil tinggi seperti
Robinho, Roque Santa Cruz, Emmanuel Adebayor dan Carlos Tevez. Kemunculan City
sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris menyebabkan Arsenal semakin terpencil
meskipun mereka hampir saban musim berjaya menamatkan saingan liga di kedudukan
empat teratas.
Kebangkitan Chelsea
dan Manchester City menerusi limpahan wang yang diberikan pemilik kelab
menyebabkan perlumbaan merebut kejuaraan liga tidak lagi didominasi oleh dua
pasukan tetapi sebaliknya persaingan semakin terbuka. Bermula pada 2010,
kejuaraan liga silih berganti jatuh ke tangan tiga pasukan (Chelsea, Manchester
United dan Manchester City) manakala Arsenal pula terus kemarau kejuaraan
walaupun mereka menunjukkan tanda-tanda kebangkitan pada saingan musim lalu.
Bagaimanapun prestasi menarik yang ditunjukkan The Gunners di fasa
pertama saingan liga gagal diteruskan hingga membolehkan City, Liverpool dan
Chelsea memintas kedudukan mereka. Seperti yang anda tahu, City akhirnya
berjaya membawa pulang trofi kejuaraan Liga Perdana ke Stadium Etihad manakala
Arsenal pula terus kempunan. Bukan hanya Arsenal, kerana kemampuan United
sebagai pencabar kejuaraan liga juga nampaknya semakin diremehkan selepas
persaraan Sir Alex dan prestasi jatuh menjunam yang ditunjukkan mereka ketika
di bawah kendalian David Moyes musim lalu.
Meskipun kemampuan
Arsenal dan United dalam menyaingi Chelsea atau Manchester City bagi perebutan
kejuaraan liga sering diremehkan, tetapi setiap pertembungan The Red Devils
dan The Gunners tetap ada daya penariknya. Awal pagi esok, kedua-dua
kelab akan bertembung antara satu sama lain buat kali ke 178 dalam sejarah
pertemuan mereka. Saat ini, Arsenal berada di tangga keenam dalam carta liga, 1
mata mengatasi United di tangga ketujuh. Jika 10 atau 15 tahun yang lalu,
pemenang pertembungan United/Arsenal biasanya bakal diletakkan sebagai calon
paling hangat untuk menjulang kejuaraan liga tetapi kini situasi sudah jauh
berubah. Dengan kedudukan kedua-dua kelab di pertengahan carta liga, tiga mata
yang menjadi taruhan bakal meletakkan United atau Arsenal pada kedudukan lebih
baik. Jika West Ham dan Swansea City masing-masing tewas dalam aksi mereka pada
minggu ke-12 ini, pemenang perlawanan United/Arsenal bakal berada di kedudukan
empat teratas.
Musim lalu, ketika
prestasi United jatuh menjunam, Wenger pula secara konsisten berjaya meletakkan
Arsenal di kedudukan empat teratas selain berjaya memenangi Piala FA yang juga
merupakan trofi major pertama yang berjaya mereka julang sejak 2005.
Kehadiran Louis Van Gaal sebagai pengganti David Moyes yang pada mulanya
diraikan oleh penyokong-penyokong United nampaknya masih belum mendatangkan
impak kebangkitan semula The Red Devils. Dari 11 perlawanan liga, United
tewas 3 perlawanan, mencatat 4 keputusan seri dan paling diingati sudah tentu
kekalahan memalukan 0-4 kepada Milton Keynes Dons di pusingan kedua Piala Liga.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Crystal Palace di gelanggang sendiri 8 November
lalu meletakkan United kembali di landasan kemenangan selepas hanya mampu
mengutip 2 mata dari tiga perlawanan sebelumnya. Bagaimanapun itu bukanlah
kemenangan yang menyakinkan dan sehingga perlawanan terakhir menentang Palace,
barisan The Red Devils masih kekal dengan prestasi tidak konsisten
mereka.
Jika United
dihujani kritikan atas prestasi kurang konsisten mereka walaupun Louis Van Gaal
berbelanja besar musim panas lalu, Arsenal juga apa kurangnya. Prestasi Arsenal
juga ketika ini boleh diibaratkan seperti roller coaster walaupun mereka
berjaya mendapatkan Alexis Sanchez dari Barcelona selain adanya pemain-pemain
berkualiti lain seperti Mesut Ozil, Jack Wilshere, Theo Walcott dan Aaron
Ramsey dalam skuad mereka. Lihat aksi mereka ketika berdepan Anderlecht dalam
saingan Liga Juara-Juara 5 November lalu. Ketika selesa mendahului lawan dengan
tiga gol, anak-anak buah Wenger sebaliknya membenarkan lawan bangkit memadam
kelebihan selesa milik mereka untuk membawa pulang satu mata dari Stadium
Emirates. Kesilapan Arsenal tidak terhenti setakat itu apabila lima hari
kemudian mereka tewas pula kepada Swansea City dalam saingan liga walaupun
Sanchez berjaya meletakkan The Gunners dihadapan diminit ke-67 menerusi
gerakan serang balas pantas yang menarik.
Membenarkan lawan
bangkit dengan tiga gol satu petanda jelas bahawa anak-anak buah Wenger
berdepan masalah konsentrasi dan lebih malang apabila mereka gagal membawa
pulang walau satu mata pun dari Stadium Liberty. Situasi yang dialami Arsenal
ketika ini hampir sama dengan apa yang ada di kem United. Terus terang saya
katakan bahawa prestasi United ketika ini agak mengecewakan saya terutamanya
apabila memikirkan bahawa bukan sedikit wang yang sudah dilaburkan Van Gaal
bagi memantapkan skuadnya. Mungkin juga nasib tidak menyebelahi Van Gaal
terutamanya apabila kelab dilanda krisis kecederaan pemain yang turut
menyumbang kepada prestasi keseluruhan pasukannya setakat ini. Jika kita kecewa,
para Gooners juga saya yakin turut sama kecewa dengan prestasi yang
dipamerkan kelab kesayangan mereka. Cuma apa yang saya harapkan selepas ini
ialah beberapa pemain utama segera pulih untuk kembali membantu pasukan
manakala Van Gaal pula ada cara bagaimana mahu menjadikan United lebih
konsisten berbanding 11 perlawanan yang lalu.
Awal pagi esok, pertembungan di Stadium Emirates bukan
lagi berkisar tentang siapa yang bakal merebut kejuaraan liga sepertimana
ketika era permusuhan Sir Alex/Wenger dan Keano/Vieira, tetapi tiga mata yang
menjadi taruhan bakal meletakkan pemenang di kedudukan lebih baik dalam carta
liga. Musim ini masih berbaki 27 perlawanan, dan masih banyak waktu untuk Van
Gaal serta Wenger melakukan sesuatu bagi meniup api perjuangan kepada pasukan
masing-masing. Bagaimanapun apa yang pasti, aksi di Stadium Emirates nanti
tidak akan sepanas ketika era permusuhan United/Arsenal sedang memuncak di
penghujung era 90an hinggalah awal dekad millenium. Api permusuhan mungkin
sudah terpadam seiring dengan persaraan Sir Alex kerana kini Wenger hanya perlu
fokus merangka strategi tanpa perlu menjawab serangan-serangan psikologi yang
dilancarkan Fergie ke atasnya sebelum perlawanan. Meskipun api permusuhan sudah
terpadam tetapi itu tidak bermakna pertembungan United/Arsenal tidak lagi
menarik untuk disaksikan dan semoga api sengketa yang sudah terpadam tidak akan menghilangkan kehangatan perlawanan ini...Glory
Glory Manchester United!!! - A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan