13 November 2014

SEMOGA BERJAYA DI SANA

Selepas gagal bersama Manchester United, David Moyes akhirnya diberikan kesempatan kedua untuk membuktikan bahawa sentuhan kejurulatihannya masih lagi berbisa. Bukan di Liga Perdana, tetapi Moyes sebaliknya memilih Premiera Liga sebagai destinasi seterusnya selepas beliau kembali semula dalam bidang kejurulatihan untuk bersama Real Sociedad. Saya mengikitraf kejayaan Moyes di Goodison Park terutamanya apabila beliau berjaya membawa Everton secara konsisten bersaing di Liga Perdana walaupun saban musim diberikan peruntukkan terhad untuk menguatkan skuad The Toffees. Bersama Everton, Moyes antara pengurus muda berbakat, visinya dalam mengetengahkan bakat-bakat muda tidak perlu dipertikaikan manakala taktikal permainan yang diterapkan beliau di atas padang mampu menumbangkan mana-mana gergasi Liga Perdana.

Melihat segala potensi yang dimiliki beliau, tidak hairanlah apabila musim lalu Moyes dinamakan sebagai pengganti Sir Alex Ferguson selepas lagenda itu mengambil keputusan bersara selepas 27 tahun duduk di kerusi pengurus United. Kehadiran beliau di Old Trafford digembar-gemburkan penyokong-penyokong United hinggakan Moyes diberikan gelaran The Chosen One. Sepertimana anda ketika itu, saya juga agak teruja dengan kehadiran Moyes atas faktor kejayaan beliau menjadikan Everton pesaing yang konsisten di Liga Perdana (walaupun beliau tidak pernah membawa Everton memenangi apa-apa trofi selama 11 tahun di Goodison Park). Bagaimanapun, karier Moyes di Old Trafford hanya mampu bertahan selama 10 bulan walaupun beliau sebelumnya diberikan kontrak selama lima tahun gara-gara kegagalan beliau meletakkan United dalam kelompok pesaing kejuaraan Liga Perdana musim lalu.

Lebih parah, United menamatkan saingan musim lalu ditangga ketujuh liga sekaligus terlepas sebarang aksi di pentas Eropah (Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa). Kesempatan dipilih sebagai pengganti Sir Alex dipersia-siakan begitu sahaja oleh Moyes, bermula daripada kempen pra-musim, penglibatan beliau sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas dibuka, pemilihan pemain hinggalah kepada taktikal permainannya di atas padang. Mungkin ada yang mengatakan bahawa tempoh 10 bulan tidak mencukupi buat Moyes dan beliau patut diberikan peluang untuk terus mengendalikan United sekurang-kurangnya hingga musim ini. Mungkin pendapat ini ada benarnya dan Moyes harus diberikan peluang tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu sedar bahawa bolasepak sudah jauh berbeza berbanding tempoh 10 atau 20 tahun yang lalu.

United memang pernah bersabar ketika detik awal Sir Alex memulakan kariernya di Old Trafford sejak beliau menggantikan tempat Ron Atkinson hinggalah kejuaraan pertama (Piala FA 1990) hadir selepas empat tahun beliau mengendalikan kelab. Itu cerita 28 tahun yang lalu, kerana seperti yang saya katakan tadi, zaman sudah jauh berubah. Baik kelab kecil atau besar, semuanya mahukan keputusan positif segera di atas padang, tiada lagi erti sabar atau peluang 2 hingga 3 tahun patut diberikan kepada jurulatih untuk membuktikan kemampuan mereka. Jika zaman boleh diterbalikkan dan Sir Alex diletakkan di tempat Moyes, saya percaya beliau juga tidak akan terselamat dari pemecatan jika United mempamerkan prestasi buruk seperti itu. United adalah kelab yang besar dan punya sejarah gemilang yang panjang, jadi kegagalan total seperti itu memang sukar diterima terutamanya oleh para penyokong dari generasi muda.

Lihat apa yang berlaku kepada Roberto Di Matteo, hanya selepas lapan bulan sejak kejayaan beliau mengemudi Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada 2012. Di Matteo akhirnya `ditendang' keluar dari Stamford Bridge selepas Chelsea mempamerkan prestasi yang disifatkan sebagai `tidak boleh diterima' oleh Roman Abramovich dalam saingan liga dan juga di pentas Eropah. Itu situasi yang berlaku di kelab besar seperti Chelsea dan di kelab pertengahan seperti Sunderland juga apa kurangnya. Di Stadium of Light, Paolo Di Canio hanya sempat mengemudi Sunderland sebanyak lima perlawanan liga sebelum beliau akhirnya dipecat selepas kelab tersebut hanya mampu mengutip satu mata dari lima perlawanan. Itulah nasib yang menimpa jurulatih-jurulatih dalam era bolasepak moden di mana makna kesabaran sudah lama terhakis bukan sahaja dalam diri pemilik kelab, pihak pengurusan tetapi juga para penyokong.

Meskipun gagal bersama United, kelibat Moyes tetap menarik minat kelab-kelab lain dan Real Sociedad adalah satu diantaranya. Selepas pemecatan Jagoba Arrasate awal bulan ini, presiden kelab, Jokin Aperribay menjadikan Moyes sebagai buruan utama bagi mengisi kekosongan jawatan sebagai ketua jurulatih/pengurus di Anoeta. Mengapa Moyes memilih Real Sociedad sedangkan kebolehan yang dimiliki beliau turut menjadi perhatian beberapa kelab di Liga Perdana? Jawapannya lihat kepada kenyataan beliau pada 2012 ketika ditemubual France Football dan juga wawancaranya bersama Daily Telegraph awal tahun ini. Ketika diwawancara France Football dan Daily Telegraph, Moyes tidak menyembunyikan keinginannya untuk melatih kelab-kelab di luar England dan tawaran Sociedad memang sukar ditolak.

Aperribay juga nampaknya begitu terpikat dengan kemampuan Moyes dalam menggilap bakat-bakat muda untuk diketengahkan ke dalam skuad senior sepertimana yang pernah beliau lakukan di Goodison Park. Moyes pernah mengatakan bahawa dirinya tidak diperlakukan dengan adil kerana tidak diberikan tempoh yang mencukupi untuk membuktikan kemampuannya di Old Trafford. Ya, dakwaan beliau memang ada kebenarannya dan seperti yang saya pernah katakan tadi, bolasepak moden memang kejam buat mana-mana pengurus/jurulatih kerana semuanya perlukan keputusan segera di atas padang, dan United juga tidak terkecuali. Sociedad adalah tempat paling tepat untuk Moyes bangkit kembali kerana di sana tekanan tidaklah sehebat sepertimana di Old Trafford di mana beliau perlu membawa trofi kejuaraan untuk kelab atau setidak-tidaknya bersaing di kedudukan empat teratas secara konsisten.

Situasi di Sociedad hampir sama dengan Everton kerana Moyes akan kembali menikmati ruang dan waktu untuk melakukan tugasnya tanpa tekanan atas faktor bahawa Sociedad bukanlah sebuah kelab yang besar di Sepanyol. Di sini Moyes juga berpeluang mengasah kemahiran beliau menyusun taktikal permainan di atas padang ketika berdepan gergasi La Liga seperti Real Madrid dan Bercelona. Sociedad ketika ini memiliki skuad kompetitif yang mampu bersaing untuk menduduki sekurang-kurangnya kelompok enam teratas di La Liga dan itulah misi yang perlu dilaksanakan Moyes pada musim pertamanya di Anoeta. Terry Venables dan mendiang Sir Bobby Robson pernah mencipta kejayaan di Sepanyol ketika zaman mereka sebagai pengurus dan kini giliran Moyes pula untuk membuktikan kemampuannya. Keputusan Moyes memilih Sociedad saya anggap langkah yang tepat untuk beliau membina kembali reputasinya yang musnah akibat dari kegagalan selama 10 bulan di Old Trafford.

Akhir sekali mungkin ada yang bertanya mengapa kali ini saya menulis tentang Moyes? Jawapannya mudah kerana beliau pernah duduk di kerusi pengurus United, pernah mengendalikan United selama 10 bulan dan dalam tempoh itu juga sudah tentu ada sedikit sebanyak jasa yang ditinggalkan beliau untuk kelab. Biarpun pernah gagal bersama United, Moyes saya anggap masih antara pengurus berbakat dalam dunia bolasepak hari ini dan siapa tahu suatu hari nanti beliau akan kembali ke Old Trafford sebagai pengurus United buat kali kedua. Saya tidak pernah menolak sebarang kemungkinan dan jika itu berlaku, saya berharap Moyes pada masa itu akan lebih bersedia berdepan tekanan, lebih matang, lebih berjiwa besar dan paling penting beliau juga perlu sedar bahawa United merupakan antara kelab terbesar di dunia dengan sejarah gemilang dan tradisi yang cukup panjang. United bukan seperti Everton dan bukan juga seperti Real Sociedad. Semoga anda sukses di sana David Moyes...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan