27 Mei 2014

GIGGSY....YANG TIADA PENGGANTINYA

Seminggu yang lalu ada berita suka dan duka hadir serentak. Kita gembira menyambut berita perlantikan Louis Van Gaal sebagai pengurus Manchester United yang baharu tetapi dalam masa yang sama kita juga terpaksa menerima hakikat bahawa tiada lagi kelibat Ryan Giggs di atas padang sebagai pemain musim hadapan. Selepas 24 tahun memerah keringat menyarung jersi United, Giggs akhirnya memilih untuk berundur dan selepas ini bakal memikul peranan baru sebagai pembantu dalam barisan staf kejurulatihan Van Gaal. Sudah lebih dari dua dekad kita menyaksikan aksinya di atas padang, dan sudah tentu sukar untuk kita bayangkan bahawa pemain paling berjaya dalam sejarah bolasepak England ini akhirnya bertemu juga dengan tarikh persaraannya. Giggs tidak pernah menjemukan, baik ketika menyaksikan aksinya di atas padang ataupun jika kita mahu bercerita tentang sejarah panjangnya sebagai pemain. Giggs adalah antara salah seorang one club man dalam dunia bolasepak dan mengingatkan bahawa beliau sudah beraksi lebih dari dua dekad, bermain lebih 1,000 perlawanan sepanjang kariernya serta membantu United menjulang banyak kejuaraan jelas merupakan fakta yang hebat untuk kita mengenang beliau. Sepertimana yang kita tahu, Giggs ketika zaman kemuncaknya merupakan pemain sayap yang menjadi igauan ngeri buat pertahanan kanan dan kiri pasukan lawan, bukan hanya kerana kepantasannya tetapi juga kerana kemahiran individu dan kawalan bola menarik yang dimiliki beliau.

Bagaimanapun disebabkan faktor usia yang semakin meningkat manakala kakinya pula tidak lagi mampu menandingi pemain-pemain muda yang lebih pantas, peranan Giggs sebagai pemain sayap bertukar ke bahagian tengah yang memerlukan kreativiti beliau dalam mengatur gerakan ke kubu lawan. Ketika memasuki fasa terakhir dalam karier beliau, kita tidak lagi dapat menyaksikan aksi Giggs setiap minggu tetapi jika pengurus mahukan beliau bermain, Giggs tidak pernah mengecewakan kita. Perlawanan kedua menentang Olympiakos di peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara pada 20 Mac lalu adalah contoh paling hampir. Sebelum berdepan Olympiakos, kaki beliau tidak pernah menyentuh bola dalam perlawanan-perlawanan kompetitif hampir dua bulan tetapi kelibatnya dalam membantu kebangkitan United bagi memadam kelebihan dua gol yang dimiliki lawan pada perlawanan pertama (di Athens) sungguh menakjubkan. Jika anda mahu mencari makna di sebalik perkataan 'profesional tulen', lihat dalam diri Giggs kerana anda akan menemui jawapannya di sana dan kerana profesionalisme yang tinggi jugalah beliau masih mampu beraksi di pentas tertinggi pada usia mencecah 40 tahun ketika ramai rakan-rakan seangkatannya sudah menggantung boot atau memilih bermain di divisyen yang lebih rendah.

Nama Ryan Giggs memang sudah sinonim dengan sebutan lidah kita tetapi tahukah anda bahawa beliau sebenarnya dilahirkan dengan nama Ryan Joseph Wilson (sempena nama keluarga ayahnya, Danny Wilson). Apabila kedua-dua ibu dan bapa beliau berpisah, Giggs mengambil keputusan mengugurkan nama Wilson dan mula menggunakan nama keluarga ibunya (Lynne Giggs) selepas itu. Akhirnya sehingga ke hari ini, kita mengenali beliau sebagai Ryan Giggs dan bukannya Ryan Wilson. Giggs melakukan penampilan pertamanya bersama skuad senior United pada musim 1990-91 dan ini bermakna beliau sudahpun bermain di peringkat tertinggi dua tahun lebih awal berbanding usia Liga Perdana (Liga Perdana bermula pada musim 1992-93 menggantikan Liga Divisyen 1). Sepanjang tempoh itu juga, kerjaya Giggs di Old Trafford diwarnai dengan berbagai catatan dan rekod yang saya yakin tidak mungkin mampu dipecahkan oleh mana-mana pemain selepas ini. Selepas muncul satu-satunya pemain yang tidak pernah gagal menjaringkan gol sepanjang 21 musim beraksi di Liga Perdana, Giggs gagal meneruskan momentum tersebut pada musim terakhirnya, namun saya percaya tidak akan ada mana-mana pemain mampu menyamai apatah lagi memadamkan pencapaian lagenda itu yang sudahpun tertulis dengan tinta emas dalam lipatan sejarah bolasepak England.

DNA sebagai seorang ahli sukan memang sudah ada dalam diri Giggs kerana ayahnya, Danny Wilson merupakan seorang pemain ragbi yang bermain untuk kelab Cardiff RFC dan pernah mewakili Wales. Semasa zaman kanak-kanaknya, Giggs lebih cenderung pada sukan ragbi berbanding bolasepak hingga pernah bermain dalam liga ragbi di peringkat sekolah. Bagaimanapun bakat Giggs sebagai pemain bolasepak berjaya dikesan Dennis Schofield hingga akhirnya beliau ditawarkan menyertai Manchester City's School of Excellence. Sebelum menyertai City, Giggs bermain untuk Salford FC dan dalam satu perlawanan persahabatan menentang skuad remaja United di The Cliff (padang latihan lama United), Giggs berjaya menjaringkan hatrik. Kebolehan yang ada pada Giggs segera menarik perhatian Sir Alex Ferguson dan pasukan pencari bakatnya, hingga memaksa pengendali lagenda itu melakukan kunjungan peribadi ke kediaman Giggs dalam usaha memujuk ibu dan bapa beliau membenarkan anak mereka menyertai akademi United. Giggs menandatangani kontrak profesionalnya ketika beliau menyambut ulang tahun ke-17 dan melakukan penampilan pada 2 Mac 1991 ketika berdepan Everton dalam saingan liga. Musim tersebut Giggs bermain sebanyak dua kali dan berjaya menjaringkan satu gol.

Potensi Giggs kian terserlah di mana pada musim 1991-92, beliau menikmati musim penuhnya bersama skuad senior, menjaringkan empat gol dan berjaya membantu kelab menamatkan saingan liga di tangga kedua. Selain berjaya membantu kelab menduduki tangga kedua liga, kemenangan ke atas Nottingham Forest di pentas final Piala Liga membolehkan Giggs menjulang trofi major pertamanya bersama skuad senior dan musim cemerlangnya bertambah lengkap selepas beliau dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan (PFA Young Player of the Year). Tewas kepada Leeds United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim 1991-92 menerusi perbezaan empat mata memang amat mengecewakan tetapi dalam masa yang sama ia juga petanda bahawa The Red Devils sudah mula bangkit dari tidur yang panjang. Kejayaan menjulang Piala Liga (musim 1991-92) hanyalah permulaan kepada kejayaan yang lebih besar menanti Giggs manakala kegagalan memenangi trofi liga adalah pelajaran terbaik dalam proses untuk beliau menjadi pemain yang lebih matang. Musim berikutnya (1992-93), United tidak lagi mampu disekat apabila mereka muncul juara pertama di era Liga Perdana sekaligus menamatkan penantian selama 25 tahun kejuaraan liga, manakala Giggs pula dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA buat kali kedua berturut-turut.

Disiplin ialah kunci utama mengapa Giggs begitu sukses dalam kariernya sebagai pemain. Giggs dikatakan antara pemain United yang tidak pernah ponteng sesi latihan, sering menitikberatkan kondisi fizikalnya dan paling menarik ialah bahawa beliau tidak pernah dilayangkan kad merah ketika beraksi bersama United. Satu-satunya kad merah yang diterima Giggs dari 1,027 perlawanan sepanjang kariernya ialah ketika mewakili Wales dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2002 menentang Norway pada 5 September 2001. Selain memiliki tahap profesionalisme tinggi dalam dirinya hingga membolehkan beliau muncul pemain yang berjaya, terima kasih juga atas apa yang sudah dilakukan Sir Alex semasa peringkat awal karier Giggs. Menyedari bahawa beliau memiliki aset berharga dalam pasukannya, Sir Alex bertindak melindungi Giggs dari buruan pemberita dan tahukah anda bahawa beliau mengenakan larangan terhadap Giggs dari bercakap dengan media sebelum pemain itu mencapai usia 20 tahun. Kali pertama Giggs bercakap dengan media ialah ketika beliau ditemuramah Des Lynam dalam rancangan Match of the Day, tiga tahun selepas melakukan penampilan pertamanya bersama skuad senior. Segala rekod cemerlang beliau di peringkat kelab bagaimanapun gagal diteruskan Giggs ketika bersama skuad kebangsaan Wales. Agak malang selepas mengumpul 34 trofi kejuaraan dan bermain lebih 1,000 perlawanan sepanjang kariernya, Giggs tidak pernah sekalipun beraksi di pusingan akhir Piala Dunia, fakta yang cukup menyedihkan buat seorang pemain hebat sepertinya.

Bagaimanapun kekecewaan Giggs sedikit terubat apabila beliau dipilih mengetuai pasukan Great Britain ketika negara tersebut beraksi buat pertama kalinya dalam acara bolasepak pada sukan Olimpik London 2012 yang  lalu. Jika anda tanyakan kepada saya apakah detik paling menarik untuk saya mengingati Giggs sepanjang karier beliau sebagai pemain? Sudah tentu momen ketika beliau meraikan jaringan kemenangannya ke atas Arsenal di masa tambahan dalam perlawanan ulangan separuh akhir Piala FA 1998-99 segar di ingatan saya hingga kini. Memanfaatkan kesilapan hantaran yang dilakukan Patrick Vieira, Giggs melarikan bola dari kawasan sendiri secara solo, melepasi kawalan Lee Dixon, Martin Keown, Tony Adams dan kemudiannya melepaskan rembatan kaki kiri ke penjuru kanan pintu gol David Seaman sekaligus menghantar United ke perlawanan akhir. Selepas berjaya menewaskan Seaman, Giggs membuka jersinya, berlari sepanjang garisan tepi padang sambil disaksikan ribuan penyokong lawan yang seolah-olah tidak percaya dengan apa yang mereka lihat dan kemudiannya beliau diraikan rakan-rakan sepasukan serta penyokong-penyokong United yang lain. Jaringan itu antara yang paling menarik pernah dihasilkan Giggs ketika zaman kemuncaknya, ketika pertahanan lawan tidak mempunyai jawapan bagaimana mahu menghentikan larian-larian pantasnya dengan kawalan bola menarik dari sebelah kiri atau kanan dan ketika Tony Adams sendiri mengakui bahawa jika bola berada di kaki Giggs, Arsenal perlu meletakkan tiga pemain untuk menghentikan pergerakannya.

Persaraan Giggs sebagai pemain adalah satu kehilangan besar, tetapi mujurlah kelibatnya masih mampu kita saksikan berikutan peranan sebagai pembantu Louis Van Gaal yang bakal dimainkan beliau musim hadapan. Pada usia 62 tahun, Van Gaal adalah rancangan jangka pendek di kerusi pengurus dan saya percaya perlantikan beliau lebih kepada usaha pihak pengurusan kelab memperbaiki segala kerosakkan yang berlaku sepanjang musim lalu. Jika perlantikan Van Gaal merupakan rancangan jangka pendek, adanya Giggs dalam barisan staf kejurulatihan pula saya percaya adalah rancangan jangka panjang kelab dalam mencari individu yang sesuai dan mampu meneruskan legasi gemilang yang pernah dilakar Sir Matt Busby serta Sir Alex Ferguson. Kreativiti Giggs sebagai pemain tidak akan dapat kita saksikan lagi tetapi kini kita menagih pula kepintaran beliau sebagai perencana di belakang tabir. Peluang bekerja bersama pengendali berkaliber seperti Van Gaal perlu digunakan sepenuhnya oleh Giggs untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman. Van Gaal adalah guru yang bagus buat beliau, dan jika segalanya berjalan lancar dan beliau sudah bersedia sepenuhnya nanti, saya percaya Giggs adalah calon masa depan pengurus Manchester United. Bercakap tentang Giggs tidak akan lengkap tanpa menyebut trofi-trofi kejuaraan yang sudah beliau menangi dan begitulah sebaliknya.

Giggs memenangi medal kejuaraan bukan sebagai 'penumpang' dalam pasukan tetapi beliau berada di barisan hadapan, berjuang hingga wisel penamat dan kemudian memenanginya. Kini The Welsh Wizard sudah pun meninggalkan dunia bolasaepaknya sebagai pemain untuk menikmati cabaran baharu dalam bidang kejurulatihan. Sejak tampil buat pertama kali bersama skuad senior dalam saingan liga pada 2 Mac 1991, Giggs sudah bermain sebanyak 963 perlawanan untuk kelab, menjaringkan 168 gol dan mengumpul 34 medal kejuaraan. Jika koleksi medal kejuaraan menjadi salah satu kayu ukur dalam mengiktiraf kehebatan seseorang pemain, Giggs sudah jauh melangkauinya. Apa yang menyebabkan beliau lebih hebat berbanding lagenda-lagenda yang lain bukan hanya semata-mata kerana kejuaraan-kejuaraan yang sudah dimenanginya serta statistiknya sebagai pemain, tetapi juga kerana rekod disiplinnya. Selepas puas menikmati kehebatan serta kemahirannya di atas padang dan melihat bagaimana beliau merobek pertahanan lawan selama 24 tahun, sukar untuk kita percaya bahawa lagenda ini akhirnya sudah pun berada digaris penamat dalam kariernya sebagai pemain. Selamat bersara Giggsy, selamat bersara lagenda dan selamat bersara buat seorang pemain luar biasa yang tidak pernah dan tidak akan ada penggantinya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Anda Mungkin Juga Meminati Artikel Ini:


20 Mei 2014

MENANTI SENTUHAN AJAIB VAN GAAL


Akhirnya Manchester United mengumumkan secara rasmi siapa individu yang akan memikul tanggungjawab selaku pengendali musim hadapan bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Ryan Giggs selaku pengurus sementara selepas pemecatan David Moyes. Akhirnya seperti yang dijangkakan, kekosongan jawatan tersebut akan diisi oleh Louis Van Gaal, warga Belanda berusia 62 tahun yang pada bulan hadapan akan mengemudi skuad kebangsaan Belanda beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2014. Van Gaal khabarnya diberikan kontrak selama tiga tahun dan akan memulakan tugasnya secara rasmi selaku pengurus ke-23 United sebaik misinya di Piala Dunia bersama skuad Oranje selesai. Beliau juga akan membawa bersama Frans Hoek dan Marcel Bout sebagai pembantunya selain Ryan Giggs yang secara rasmi mengumumkan persaraan selepas 24 tahun bergelar pemain. Teka-teki sudahpun terjawab dan kini tumpuan bakal terarah pula kepada pemain mana yang akan diburu Van Gaal pada jendela perpindahan pemain musim panas nanti. Jika Arsene Wenger pada peringkat awal kariernya di Highbury cenderung membawa masuk pemain-pemain dari negara asalnya (Perancis) ke dalam skuad Arsenal, adakah Van Gaal juga bakal melakukan perkara yang sama dengan membawa masuk bakat-bakat terbaik dari Belanda ke Old Trafford? Jika benar, senario ini hampir sama dengan apa yang berlaku di Highbury sepanjang tempoh tiga tahun permulaan karier Wenger bersama Arsenal. Ketika itu beliau berjaya mendapatkan bakat-bakat besar dari Perancis seperti Patrick Vieira, Emmanuel Petit, Nicholas Anelka, Gilles Grimandi, Kaba Diawara, Remi Garde, David Grondin dan Thierry Henry sebagai amunisi untuk 'Meriam London' itu.

Setakat ini khabar angin bertiup kencang tentang  minat Van Gaal membawa Kevin Strootman, Arjen Robben serta trio muda Feyernoord (Jordie Clasie, Stefan de Vrij dan Bruno Martins Indi) ke Old Trafford sebaik tamatnya pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil. Saya percaya tidak mungkin empat atau lima pemain Belanda mendarat di Old Trafford serentak, tetapi dari senarai yang ada di atas, berita bahawa Van Gaal berminat memburu tandatangan Strootman dan Robben sedikit mengujakan. Itu belum lagi ditambah dengan desas-desus pemburuan ke atas Toni Kroos dan Thomas Muller yang pastinya menyebabkan penyokong-penyokong United semakin tidak sabar menanti hasil 'kerja' yang bakal dilakukan Van Gaal musim panas nanti. Di tangan bos baru ini, kita boleh jangkakan bahawa akan ada perubahan besar yang bakal dilakukan Van Gaal bagi mengembalikan semula maruah kelab yang teruk tercalar berikutan prestasi terumbang ambing dipamerkan pemain-pemain The Red Devils sepanjang musim lalu. Jika sasaran yang perlu dicapai David Moyes ketika beliau dilantik sebagai pengurus musim panas lalu ialah sekadar membawa kelab beraksi di Liga Juara-Juara, lain pula halnya dengan Van Gaal. Sesuai dengan reputasi yang ada pada beliau serta kejayaan-kejayaan yang pernah diraihnya sebelum ini, pihak pengurusan kelab diberitakan meletakkan sasaran tinggi yang perlu dicapai Van Gaal musim hadapan, iaitu membawa kembali trofi Liga Perdana pulang ke Old Trafford. Jika anda katakan bahawa sasaran itu terlalu tinggi buat Van Gaal pada musim pertamanya sebagai pengendali, saya pula berpendapat sebaliknya.

Van Gaal adalah antara jurulatih berprofil tinggi di dunia, pernah mengendalikan kelab-kelab utama Eropah seperti Ajax Amsterdam, Barcelona dan Bayern Munich, pernah memenangi kejuaraan liga di tiga negara berbeza dan bukan sedikit juga pemain-pemain ternama yang pernah bermain di bawah kendalian beliau. Dengan segala reputasi yang dimiliki Van Gaal serta pencapaian-pencapaian cemerlang yang pernah menghiasi karier kejurulatihannya, adakah sasaran layak ke saingan Liga Juara-Juara musim 2015-16 sudah memadai untuk diletakkan kepada seorang jurulatih berkaliber seperti beliau? Perlantikan Van Gaal sebagai pengurus United mengundang berbagai pandangan dan pendapat. Ada yang mengatakan bahawa beliau adalah individu paling tepat yang mampu meletakkan kelab kembali di landasan kegemilangan dan tidak kurang juga pendapat yang mengatakan bahawa Van Gaal terlalu tua untuk United. Lagenda Jerman, Franz Beckenbauer menganggap Van Gaal adalah pilihan sempurna buat United manakala Giovanni Silva yang pernah bermain di bawah kendalian warga Belanda itu semasa di Nou Camp melabelkan beliau sebagai Hitler dalam dunia bolasepak. Apa sahaja pandangan dan pendapat tentang Van Gaal, beliau kini sudah pun dilantik secara rasmi sebagai pengurus Manchester United. Trauma akibat prestasi buruk yang dialami kelab musim lalu menjadikan tugas bos baharu United itu bukan mudah kerana banyak kerja yang perlu dilakukan sebaik sahaja beliau masuk ke pejabatnya di Old Trafford nanti.

Di bawah kendalian Van Gaal nanti, kita berharap United akan kembali digeruni serta di hormati dan saya percaya dengan segala pengalaman yang dimilikinya, beliau mampu melakukannya. Selama bertahun-tahun Van Gaal sudah membuktikan bahawa beliau adalah seorang jurulatih yang memiliki falsafah bolasepaknya sendiri dan faktor itulah sebenarnya yang amat diperlukan United jika mereka mahu kembali bangkit musim hadapan. The Red Devils muncul pasukan yang digeruni selama lebih dua dekad ketika di bawah kendalian Sir Alex Ferguson kerana beliau memiliki falsafah dan ada identiti sendiri dalam menetapkan gaya permainan pasukannya serta tidak ragu-ragu menggunakan taktik tertentu untuk memenangi satu-satu perlawanan. Sir Alex juga tidak pernah ragu-ragu mengorbankan pemain bintangnya dengan meletakkan mereka di bangku simpanan demi menyesuaikan taktikal permainan yang ingin beliau terapkan. Inilah faktor yang ramai pihak katakan hilang ketika David Moyes mengambilalih teraju pemerintahan dari Sir Alex hingga mengakibatkan beliau sendiri hilang kawalan di bilik persalinan. Saya akan biarkan anda berfikir mengapa Giovanni Silva menggelarkan Van Gaal sebagai 'Hitler' manakala Luca Toni pula yang pernah bermain di bawah kendalian beliau ketika bersama Bayern Munich mengatakan bahawa Van Gaal melakukan pemain-pemainnya seperti objek yang boleh ditukar ganti. Mungkin pada pendapat anda pandangan dari dua bekas anak didik Van Gaal ini seolah-olah menunjukkan bahawa beliau ialah seorang jurulatih yang kejam tetapi itulah kekuatan sebenar yang ada pada beliau selaku jurulatih.

Jika anda bersetuju dengan kata-kata Giovanni Silva bahawa Van Gaal adalah 'Hitler' atau lebih tepatnya diktator, apa kurangnya dengan Sir Alex Ferguson? Kerana ketegasan dalam menegakkan prinsip dan falsafah jugalah menyebabkan Sir Alex pernah digelar sebagai 'diktator' hingga akibatnya beliau sendiri kurang disenangi beberapa bekas pemainnya dan sampai sekarang pun pemain seperti Roy Keane masih lagi tidak jemu-jemu melancarkan 'perang' ke atas beliau. Akhirnya kerana sikap tegas dan berprinsipnya jugalah, deretan trofi berjaya dihadiahkan Sir Alex sepanjang lebih dua dekad era pengurusannya di Old Trafford. Kejayaan Van Gaal membawa Ajax Amsterdam memenangi trofi Liga Juara-Juara pada 1995 selain tiga kejuaraan Eredivisie, mengemudi Barcelona memenangi dua kejuaraan La Liga di Sepanyol dan satu kejuaraan Bundesliga untuk Bayern Munich ketika di Jerman mungkin perkara biasa kerana tiga kelab tersebut punya tradisi tersendiri di liga masing-masing, tetapi bagaimana pula dengan apa yang beliau lakukan bersama AZ Alkmaar pada 2009? Apa yang menyebabkan AZ di bawah kendalian Van Gaal ketika itu berjaya mengetepikan gergasi-gergasi Eredivisie lain seperti PSV Eindhoven, Ajax Amsterdam dan Feyenoord Rotterdam dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga? AZ tidak memiliki pemain-pemain ternama berbanding PSV, Ajax dan Feyenoord tetapi Van Gaal berjaya menjadikan skuad The Cheese Farmer itu sebuah pasukan yang bagus kerana kemampuan beliau dalam mempelbagaikan posisi pemain-pemainnya selain bijak menyusun plan permainan.

Kejayaan beliau mengemudi AZ menjulang kejuaraan Eredivisie buat pertama kali dalam tempoh 28 tahun selain berjaya mengetepikan kelab-kelab ternama Belanda yang lain seperti PSV, Ajax dan Feyenoord saya anggap sesuatu yang luar biasa jika diambilkira dengan aset yang beliau miliki ketika itu. Jika David Moyes dikatakan berdepan masalah dalam menangani pemain-pemain bintang United di bilik persalinan, saya yakin Van Gaal tidak akan berdepan masalah yang sama. Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, beliau berjaya 'menjinakkan' ego bintang-bintang ternama Belanda, menjadikan pemain-pemain senior contoh kepada pemain-pemain muda dan menjadikan skuad kebangsaan kali ini lebih bersatu. Pengalaman beliau yang panjang sebagai jurulatih di peringkat kelab dan antarabangsa akan banyak membantu Van Gaal menjalankan tugas-tugasnya di Old Trafford nanti. Van Gaal bukan datang dari kelab pertengahan Liga Perdana, tetapi kehadiran beliau ke Old Trafford nanti bersandarkan reputasi bahawa beliau pernah melatih skuad kebangsaan Belanda sebanyak dua kali, manakala karier kejurulatihannya di peringkat kelab bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar dan Bayern Munich pula diwarnai dengan medal kejuaraan liga dan Eropah. Akhirnya perkara utama dan paling penting ialah semoga Van Gaal tahu apa yang perlu beliau lakukan ketika berada di bangku pengurus United nanti. Selain trofi kejuaraan, saya juga ingin melihat bagaimana kemampuan Van Gaal mengetengahkan bakat-bakat muda yang dimiliki United sepertimana beliau berjaya menjadikan Holger Badstuber, Thomas Muller dan David Alaba pemain kelas dunia dan tonggak Bayern Munich ketika ini. Van Gaal sudah membawa kejuaraan Eredivisie ke Amsterdam Arena dan AFAS Stadion, Primera Liga di Nou Camp, Bundesliga di Allianz Arena dan semoga selepas ini sentuhan ajaibnya akan berterusan di Old Trafford pula. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

14 Mei 2014

TERIMA KASIH RIO...UNTUK 12 TAHUN YANG PENUH GEMILANG

Selepas Nemanja Vidic, kini giliran Rio Ferdinand pula mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong Manchester United dengan menjadikan musim 2013-14 sebagai musim terakhir beliau di Old Trafford. Pengumuman yang dilakukan Ferdinand kelmarin akhirnya menjawab segala teka teki tentang masa depan pemain pertahanan berpengalaman itu selepas 12 musim menyarung jersi United. Ferdinand adalah pemain idola saya, bukan Ryan Giggs, bukan Cristiano Ronaldo, bukan David Beckham, bukan Roy Keane dan bukan juga Ruud Van Nistelrooy, jadi sudah tentu pengumuman bahawa beliau tidak akan lagi bersama kelab musim hadapan merupakan berita yang agak menyedihkan saya. Meskipun sudah mencecah usia 35 tahun, Ferdinand tidak berhasrat menggantung boot dan keputusan beliau meninggalkan kelab lebih didorong hasratnya untuk mencari cabaran baru sebelum bersara. Selepas 12 tahun menyaksikan aksinya mengawal benteng pertahanan United, sudah tentu sukar untuk saya bayangkan bagaimanakah agaknya nanti apabila melihat Ferdinand bermain menentang bekas rakan-rakan sepasukannya jika beliau memilih untuk kekal beraksi di Liga Perdana. Kelab mana yang bakal disertai Ferdinand musim hadapan? Setakat ini saya hanya boleh menjangkakan bahawa beliau akan kembali ke Upton Park menyertai semula West Ham United, kelab yang bertanggungjawab mencungkil bakatnya ketika remaja atau 'buat duit' dengan menyertai kelab-kelab di Major League Soccer sebelum bersara. Bersama United, Ferdinand berjaya mencapai impiannya sejak kecil iaitu memenangi banyak trofi kejuaraan dan sudah tentulah beliau boleh tersenyum lebar sebaik melangkah keluar dari 'gerbang' Old Trafford nanti.

Di sebalik berita bahawa Ferdinand tidak akan lagi bersama kelab musim hadapan, ada cerita kurang enak yang saya baca di portal-portal berita tentang bagaimana layanan pihak pengurusan kelab terhadap beliau di hari-hari terakhirnya sebagai pemain United. Berbanding Nemanja Vidic yang diberikan penghormatan standing ovation pada aksi terakhir beliau di Old Trafford, Ferdinand pula 'ditunjukkan jalan keluar' dengan cara yang tidak sewajarnya diterima oleh pemain bertaraf lagenda seperti beliau. Menurut laporan Daily Mail, berita tentang keputusan kelab untuk tidak menawarkan kontrak baru kepada Ferdinand dimaklumkan Ed Woodward kepada pemain pertahanan itu di bilik persalinan Stadium St Mary selepas tamat perlawanan terakhir liga menentang Southampton Ahad lalu. Jika apa yang dilaporkan Daily Mail itu benar, saya agak terkilan melihat lagenda seperti Ferdinand diperlakukan seperti itu, terutamanya selepas melihat segala sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau sepanjang tempoh 12 musim menyarung jersi United. Adakah bilik persalinan pasukan lawan tempat paling layak untuk Ferdinand dimaklumkan bahawa musim hadapan khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi? Melihat apa yang berlaku, timbul juga persoalan difikiran saya apakah masa depan Ferdinand hanya diputuskan pihak pengurusan kelab pada minit-minit terakhir sebelum saingan musim 2013/14 berakhir? Bukankah keputusan besar seperti ini sepatutnya dimaklumkan kepada beliau lebih awal, bukan selepas Mike Dean meniupkan wisel penamat perlawanan di Stadium St. Mary.

Sepertimana Vidic, Ferdinand juga selayaknya memperolehi penghormatan serupa, diberikan peluang mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong di Theatre of Dreams dan kemudiannya berjalan mengelilingi stadium untuk memberikan lambaian perpisahan. Bukankan itu lebih manis bagi menghargai segala sumbangan yang sudah diberikan beliau untuk kelab sebelum Ferdinand mengakhiri karier panjangnya di Old Trafford? Lupakan dulu atas apa yang sudah berlaku kerana saya tidak berminat mencungkil kebenaran apa yang telah dilaporkan oleh Daily Mail itu. Seperti yang saya sebutkan di awal tadi bahawa Ferdinand adalah idola dan pemain yang cukup saya sanjung, lebih dari mana-mana pemain United yang pernah saya saksikan aksi mereka sepanjang hayat saya. Pada zaman kemuncaknya, Ferdinand adalah cermin sebenar pemain pertahanan dalam era bolasepak moden. Jika Serie A ketika itu berbangga kerana mereka memiliki Alessandro Nesta, Liga Perdana pula ada Rio Ferdinand, pemain pertahanan yang penuh keyakinan, pemimpin, bergaya, ditakuti penyerang lawan kerana terjahan-terjahan keras tetapi bersihnya dan lambang kepada kekebalan benteng pertahanan United. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ketika zaman remajanya, Ferdinand bermula sebagai pemain tengah menyerang (attacking midfielder) bukan pertahanan seperti sekarang. Bagaimanapun pencari bakat ketika itu melihat beliau lebih berpotensi untuk diletakkan sebagai pemain pertahanan tengah kerana susuk fizikalnya yang tinggi dan bermula dari detik itulah Ferdinand mengasah potensi yang dimilikinya sebagai pemain pertahanan.

Pada 1992, Ferdinand menyertai sistem latihan belia bolsepak West Ham United sebelum kemudiannya diterima menyertai akademi kelab tersebut pada Januari 1994. Bersama-sama West Ham, Ferdinand muncul antara pemain pertahanan muda berbakat di England ketika itu, lantas menarik perhatian Glenn Hoddle untuk memberikan beliau penampilan pertama bersama Three Lions pada 15 November 1997. Pada usia 19 tahun dan 8 hari, aksinya sebagai pemain gantian ketika England berdepan Cameroon dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa membolehkan beliau muncul pemain pertahanan termuda yang pernah menyarung jersi Three Lions sebelum rekod tersebut dipecahkan Micah Richards pada 2006. Selepas empat tahun di Upton Park, pada November 2000, Ferdinand muncul pemain pertahanan termahal di dunia apabila Leeds United membayar £18 juta untuk membawa beliau beraksi di Elland Road. Walaupun bermula dengan langkah kiri pada penampilan pertamanya untuk kelab Yorkshire itu apabila mereka tewas 1-3 di tangan Leicester City, Ferdinand kemudiannya berjaya membantu Leeds mara hingga ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara (musim 2000/01). Walau bagaimanapun, Valencia yang ketika itu diperkuatkan Gaizka Mendeita, John Carew, Ruben Baraja dan Kily Gonzalez jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mereka berjaya menyingkirkan The White dengan aggregat 3-0 untuk layak ke final berdepan Bayern Munich.

Musim keduanya di Elland Road, Ferdinand diberikan penghormatan menggantikan Lucas Radebe sebagai kapten pasukan, tetapi Leeds gagal menempatkan diri mereka di kelompok empat teratas sepertimana musim sebelumnya apabila sekadar menamatkan saingan musim 2001/02 di tangga kelima liga. Krisis kewangan melanda Leeds dan kegagalan layak ke saingan Liga Juara-Juara memburukkan lagi keadaan hingga memaksa Terry Venables menjual beberapa pemain-pemain terbaiknya kepada pasukan lain. Selepas tamatnya pusingan akhir Piala Dunia 2002, Venables menerima tawaran lumayan £30 juta dari Manchester United untuk mendapatkan Ferdinand sekaligus memecah rekod perpindahan British dan menjadikan beliau pemain pertahanan termahal dunia buat kali kedua. Ferdinand menandatangani kontrak selama lima tahun dan sah menjadi pemain United pada 22 Julai 2002. Pelaburan besar yang dilakukan Sir Alex Ferguson pada musim panas untuk mendapatkan khidmatnya berbaloi apabila di akhir musim (2002/03), Ferdinand berjaya membantu United menjulang trofi liga. Bagaimanapun pada Januari 2004, detik hitam menghantui karier Ferdinand apabila beliau digantung selama lapan bulan oleh FA England kerana gagal menghadiri ujian doping yang telahpun dijadualkan empat bulan sebelum itu. Rayuan kelab agar hukuman terhadap Ferdinand diringankan ditolak dan ini bermakna beliau terlepas baki musim 2003/04 dan juga kempen Euro 2004 bersama skuad kebangsaan England di Portugal.

Selepas lebih tiga tahun di Old Trafford, gol pertama Ferdinand untuk kelab hadir pada 14 Disember 2005 ketika menentang Wigan Athletic manakala gol kemenangan minit akhir perlawanan yang dijaringkan beliau ke gawang Liverpool menerusi tandukan pada 22 Januari 2006 antara detik terhebat sepanjang 12 tahunnya kariernya bersama United. Musim 2007/08, gandingan Ferdinand bersama-sama Nemanja Vidic membentuk benteng kukuh di barisan belakang hingga menyaksikan gawang United tidak dibolosi tujuh perlawanan berturut-turut sebelum akhirnya terpaksa akur membenarkan Gabriel Agbonlahor muncul pemain pertama dalam tempoh lebih dua bulan menewaskan Edwin Van der Sar. Pada 15 Mei 2008, Ferdinand bersama dua lagi pemain United (Michael Carrick dan Wes Browm) menandatangani kontrak baru selama lima tahun yang menyaksikan beliau kekal di Old Trafford hingga 2013, dan enam hari selepas itu bertempat di Stadium Luzhniki, Moscow, beliau mengetuai kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti. Pada tahun-tahun terakhirnya di Old Trafford, karier Ferdinand lebih banyak diwarnai dengan masalah kecederaan lutut dan belakang yang kerap berulang tetapi beliau masih lagi tonggak utama kelab dan pemain pertahanan yang sukar ditembusi di Liga Perdana.

Kecederaan lutut jugalah yang menyebabkan Ferdinand digugurkan Fabio Capello dari senarai pemain ke pusingan akhir Piala Dunia 2010, Afrika Selatan, terlepas perlawanan-perlawanan pra musim di Amerika Syarikat, perlawanan merebut Perisai Komuniti dan empat perlawanan awal liga bagi musim 2010/11. Kontroversi yang berlaku antara adiknya (Anton Ferdinand) dengan John Terry berkaitan isu perkauman dikatakan penyebab utama mengapa Roy Hodgson tidak menyenaraikan Ferdinand ke pusingan akhir Kejohanan Euro 2012 di Poland dan Ukraine bagi mengelakkan sebarang konflik dalaman skuad Three Lions. Peluang menyertai semula skuad kebangsaan hadir selepas tempoh lebih setahun apabila pada 14 Mac 2013, Hodgson menyenaraikan beliau untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2014 menentang San Marino dan Montenegro. Bagaimanapun empat hari selepas itu, Ferdinand menolak sebarang kemungkinan untuk kembali menyarung jersi England atas alasan kecergasan sebelum dua bulan kemudian mengumumkan secara rasmi persaraannya dari arena bolasepak antarabangsa. Sepertimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, gandingan Ferdinand dan Vidic di benteng pertahanan United adalah yang terbaik sejak berakhirnya era Steve Bruce dan Gary Pallister. Beliau tiba di Old Trafford 12 tahun lalu berbekalkan reputasi besar dan beban sebagai pemain pertahanan termahal dunia ketika itu. Pelaburan besar yang dilakukan kelab untuk mendapatkan khidmatnya lebih dari berbaloi berdasarkan sumbangan yang beliau berikan sepanjang bergelar pemain The Red Devils.

Sejak ketibaannya pada 2002, beliau adalah antara pemain yang wajib ada dalam senarai kesebelasan utama United di bawah era Sir Alex walaupun dalam tempoh beberapa tahun terakhir ini prestasinya sering dijadikan topik perbahasan. Kepada pihak yang hanya tahu mengkritik, nasihat saya agar anda kenang kembali apa yang sudah beliau lakukan awal musim lalu ketika kelab dilanda krisis kecederaan membabitkan pemain-pemain pertahanan. Ketika Phil Jones, Chris Smalling, Jonny Evans dan Nemanja Vidic berada di bilik rawatan, Ferdinand satu-satunya pertahanan berpengalaman yang dimiliki Sir Alex ketika itu hingga memaksa beliau dikerah bermain setiap minggu. Jika anda mengatakan bahawa kejayaan kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20 musim lalu dibantu faktor ketajaman penyudah gandingan Robin Van Persie dan Wayne Rooney, anda sebenarnya memperlekehkan peranan besar yang dimainkan veteran seperti Ferdinand hingga impian 'CHAMP20NS' akhirnya berjaya direalisasikan. Insiden pada 9 Disember 2012 di Stadium Etihad di mana beliau mengalami kecederaan akibat balingan syiling dari penyokong Manchester City antara warna yang menghiasi karier Ferdinand.  Darah, keringat, kesakitan, air mata dan kegembiraan bagaikan rakan akrab Ferdinand sejak saya mula mengikuti perkembangan beliau sepanjang 12 tahun yang lalu. Pada usia 35 tahun dan dengan beberapa siri kecederaan yang melanda beliau sejak beberapa musim terakhir, pihak pengurusan mungkin berpendapat bahawa Ferdinand tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan kepada kelab. Pihak pengurusan mungkin juga berpendapat bahawa Ferdinand ketika ini 'tidak cukup bagus' untuk ditawarkan kontrak baru tetapi layanan lebih bermaruah sepatutnya diberikan kepada beliau sebagai tanda pengiktirafan atas segala sumbangan yang sudah dicurahkannya terhadap kelab selama ini.

Ferdinand mengesahkan bahawa beliau akan terus bermain dan United bukanlah kelab terakhirnya sebelum bersara. Jika saya berada di tempat beliau, saya akan memilih untuk kembali semula ke West Ham United, kelab yang pernah berjasa mengasah bakat beliau ketika zaman remajanya. Upton Park adalah tempat paling ideal buat Ferdinand menghabiskan tahun-tahun terakhirnya sebelum beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bolasepak sebagai pemain. Mungkin ketika ini Ferdinand 'tidak cukup bagus' untuk United, tetapi saya percaya kehadiran beliau di Upton Park akan disambut dengan tangan terbuka oleh Sam Allardyce. Jika Ferdinand memutuskan mahu terus bermain di Liga Perdana, tentu sedikit janggal bagi saya menyaksikan aksinya dengan jersi pasukan lain musim hadapan. Selepas bertahun-tahun menyarung jersi merah United dengan lambang kelab tersemat megah di dadanya, sukar untuk saya bayangkan bahawa musim hadapan beliau akan membarisi kesebelasan utama lawan pula. Tiada lagi kelibat beliau yang pernah dilabel Michael Carrick umpama kereta Rolls Royce itu dibarisan pertahanan United selepas ini. Sekali lagi saya ulangi bahawa Ferdinand adalah lambang pemain pertahanan dalam era bolasepak moden. Seorang centre back yang bukan hanya bergantung kepada kekuatan fizikalnya ketika bertahan, keras ketika melakukan asakan tetapi mampu juga melakukan hantaran-hantaran berkualiti kepada barisan hadapan serta punya tahap keyakinan cukup tinggi ketika bola berada di kakinya.  Sebutkan kepada saya siapa pemain pertahanan selain Ferdinand yang mampu 'bermain-main' dengan penyerang lawan di kawasan sendiri ketika zaman kemuncaknya? 12 tahun, 455 perlawanan, 8 gol dan 15 trofi kejuaraan, terima kasih untuk semuanya Rio#5. Glory Glory Manchester United!!! – A.J