06 Mei 2014

KEKAL DI NOU CAMP, BERPINDAH KE OLD TRAFFORD ATAU STADIUM EMIRATES?

Cesc Fabregas kembali ke England bukan ke London tetapi ke Old Trafford untuk memperkuatkan jentera tengah Manchester United musim hadapan? Itulah berita yang kita baca dan dengar sejak kebelakangan ini dan walaupun kedengaran agak mengarut tetapi dalam bolasepak apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak pernah menolak sebarang kemungkinan Fabregas berpindah ke Old Trafford meskipun ada di kalangan penyokong-penyokong United sendiri masih terkesan dengan tindakan kurang wajar pemain itu membuang jersi Rooney di atas padang pada 2008 (selepas mereka bertukar jersi sebaik tamat perlawanan). Spekulasi kepulangan semula Fabregas ke England bukan baru berlaku tetapi sudah bertiup sejak musim panas tahun lalu lagi dan ketika itu United di bawah kendalian David Moyes paling disebut-sebut cukup berminat membawa bekas bintang Arsenal itu keluar dari Nou Camp. Ketika musim 2013/14 bakal melabuhkan tirainya hujung minggu ini, episod musim panas tahun lalu berulang semula dan berita yang mengaitkan minat United terhadap Fabregas kembali bertiup kencang. Saya tidak terkejut jika selepas berakhirnya pusingan akhir Piala Dunia 2014 nanti, Fabregas mengambil keputusan meninggalkan Nou Camp tetapi saya akan sedikit terkejut jika beliau memilih Old Trafford sebagai destinasi seterusnya memandangkan kelab lama beliau (Arsenal) turut diberitakan cuba membawa kembali pemain itu ke Stadium Emirates. Agak ironi apabila memikirkan penyokong-penyokong Barca yang dahulunya begitu ghairah menyambut kepulangan semula Fabregas ke Nou Camp pada 2011 kini tiba-tiba bertukar menjadi 'musuh' beliau.

Fabregas menjadi mangsa ejekkan penyokong-penyokong Barca ketika beliau dimasukkan sebagai pemain gantian ketika berdepan Athletic Bilbao, 21 April lalu dan situasi seperti ini bukanlah pertama kali terpaksa dilalui beliau di Nou Camp. Jika dahulunya penyokong-penyokong Arsenal menjulang Fabregas sebagai wira, kini di Nou Camp nasib beliau berputar hampir 3600. Fabregas bukan pemain digemari oleh kebanyakkan penyokong-penyokong Barca malah sering dijadikan kambing hitam setiap kali Blaugrana mengalami kekalahan. Di pentas domestik, Barca hanya mampu menyaksikan musuh tradisi mereka Real Madrid menjulang trofi Copa del Rey, di singkir Atletico Madrid di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara serta berdepan kemungkinan gagal mempertahankan kejuaraan Primera Liga sekaligus menjadi pelengkap kepada kekecewaan Fabregas. Jujur saya katakan bahawa ketika bersama Arsenal dulu, Fabregas merupakan pemain yang paling saya 'benci' dan pemain yang sering saya harapkan tidak diturunkan Wenger setiap kali United berdepan The Gunners. Saya membenci Fabregas bukan atas sebab selain bolasepak atau hanya kerana perseteruan hebat United dan Arsenal ketika itu. Saya 'membenci' Fabregas kerana kemampuan teknikal hebat yang ada pada beliau, sama seperti saya 'membenci' Steven Gerrard kerana mana-mana pasukan lawan yang memiliki pemain dengan kemampuan seperti mereka sudah tentu akan memberikan masalah besar buat United. Tidak syak lagi bahawa Fabregas adalah pemain paling berpengaruh buat Arsenal di bahagian tengah selepas Patrick Vieira meninggalkan Highbury pada 2005 selain nadi kepada corak menyerang menarik yang di pamerkan kelab itu di bawah kendalian Arsene Wenger.

Ketepikan sementara kebencian anda (jika ada) terhadap Fabregas terutamanya selepas insiden buang jersi pada 2008 kerana bakat dan kualiti yang dimiliki beliau mampu memberikan kekuatan di bahagian tengah United musim hadapan. Ketika penyokong-penyokong Arsenal ghairah menyambut spekulasi yang menyebut bahawa The Gunners berminat membawa Fabregas pulang semula ke Stadium Emirates, saya pula berharap bahawa berita yang mengatakan United sekali lagi menunjukkan minat terhadap pemain tengah itu bukan sekadar omong kosong. Benarkah Fabregas akan meninggalkan Nou Camp musim panas ini? Jika diambilkira kenyataan beliau kepada BBC pada bulan Februari lalu, kebenaran itu mungkin ada. “Saya masih mengikuti perkembangan Liga Perdana dan berita bahawa minat yang ditunjukkan kelab seperti Manchester United amat menyenangkan”, kata Fabregas. Banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan Fabregas sama ada mahu terus kekal atau meninggalkan Barca nanti dan sudah tentu dalam era bolasepak moden soal wang akan memainkan peranan paling besar. Walaupun Fabregas dikenali sebagai penyokong Blaugrana sejak kecil, tetapi sukar untuk mencari pemain yang setia seperti Ryan Giggs atau Steven Gerrard dalam dunia bolasepak moden. Apakah tawaran sebanyak £45 juta (sepertimana yang dilaporkan Daily Star) tidak cukup untuk menggoda Barca melepaskan pemain itu atau tawaran gaji hingga mencecah £200 ribu seminggu tidak memadai untuk Fabregas memilih United sebagai pasukan barunya musim panas nanti?

Saya bukanlah peminat tegar Fabregas, tetapi harapan untuk melihat kelibat pemain tengah itu di Old Trafford musim hadapan tetap bergantung sepenuhnya di tangan pengganti tetap David Moyes nanti. Siapapun yang dilantik sebagai pengurus United seterusnya sudah tentu ada perancangan mereka sendiri dan buat masa ini kita tidak tahu apakah Fabregas ada dalam rencana bakal bos baru United itu. Individu mana yang bakal mengendalikan United musim hadapan juga bakal menjadi faktor penting dalam usaha memancing nama-nama besar sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas nanti. Setakat ini kita masih lagi dibuai dengan spekulasi bahawa kelab akan berbelanja besar bagi menguatkan pasukan musim hadapan namun apa yang berlaku sepanjang pasaran perpindahan musim panas tahun lalu sepatutnya mengajar kita agar bersikap tidak terlalu ghairah. Boleh jadi Fabregas, Edinson Cavani, Kevin Strootman, Toni Kroos dan Marco Reus menyarung jersi United musim hadapan, namun apabila memikirkan bahawa kelab tidak akan beraksi di Liga Juara-Juara, usaha mendapatkan tandatangan pemain kelas dunia seperti mereka bukanlah satu tugas yang mudah. Persoalan paling besar sekarang ialah apakah £45 juta (sepertimana yang dilaporkan Daily Star) nilai sebenar buat seorang pemain yang sudah berusia 27 tahun seperti Fabregas? Jika ditanya soalan ini kepada saya, saya lebih suka melihat pelaburan sebesar ini dibelanjakan ke atas Strootman, Kroos atau Reus yang tiga tahun lebih muda berbanding Fabregas. Bagaimanapun melihat statistik Fabregas bersama Barca sejak 2011 (42 gol dan 56 assist dari 149 perlawanan) apa salahnya berbelanja lebih sedikit untuk pemain seperti beliau. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

1 ulasan:

  1. Sependapat dgn anda bro AJ...bygkan mata n feb d tgh....striker pasti tersenyum..

    BalasPadam