20 Mei 2014

MENANTI SENTUHAN AJAIB VAN GAAL


Akhirnya Manchester United mengumumkan secara rasmi siapa individu yang akan memikul tanggungjawab selaku pengendali musim hadapan bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Ryan Giggs selaku pengurus sementara selepas pemecatan David Moyes. Akhirnya seperti yang dijangkakan, kekosongan jawatan tersebut akan diisi oleh Louis Van Gaal, warga Belanda berusia 62 tahun yang pada bulan hadapan akan mengemudi skuad kebangsaan Belanda beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2014. Van Gaal khabarnya diberikan kontrak selama tiga tahun dan akan memulakan tugasnya secara rasmi selaku pengurus ke-23 United sebaik misinya di Piala Dunia bersama skuad Oranje selesai. Beliau juga akan membawa bersama Frans Hoek dan Marcel Bout sebagai pembantunya selain Ryan Giggs yang secara rasmi mengumumkan persaraan selepas 24 tahun bergelar pemain. Teka-teki sudahpun terjawab dan kini tumpuan bakal terarah pula kepada pemain mana yang akan diburu Van Gaal pada jendela perpindahan pemain musim panas nanti. Jika Arsene Wenger pada peringkat awal kariernya di Highbury cenderung membawa masuk pemain-pemain dari negara asalnya (Perancis) ke dalam skuad Arsenal, adakah Van Gaal juga bakal melakukan perkara yang sama dengan membawa masuk bakat-bakat terbaik dari Belanda ke Old Trafford? Jika benar, senario ini hampir sama dengan apa yang berlaku di Highbury sepanjang tempoh tiga tahun permulaan karier Wenger bersama Arsenal. Ketika itu beliau berjaya mendapatkan bakat-bakat besar dari Perancis seperti Patrick Vieira, Emmanuel Petit, Nicholas Anelka, Gilles Grimandi, Kaba Diawara, Remi Garde, David Grondin dan Thierry Henry sebagai amunisi untuk 'Meriam London' itu.

Setakat ini khabar angin bertiup kencang tentang  minat Van Gaal membawa Kevin Strootman, Arjen Robben serta trio muda Feyernoord (Jordie Clasie, Stefan de Vrij dan Bruno Martins Indi) ke Old Trafford sebaik tamatnya pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil. Saya percaya tidak mungkin empat atau lima pemain Belanda mendarat di Old Trafford serentak, tetapi dari senarai yang ada di atas, berita bahawa Van Gaal berminat memburu tandatangan Strootman dan Robben sedikit mengujakan. Itu belum lagi ditambah dengan desas-desus pemburuan ke atas Toni Kroos dan Thomas Muller yang pastinya menyebabkan penyokong-penyokong United semakin tidak sabar menanti hasil 'kerja' yang bakal dilakukan Van Gaal musim panas nanti. Di tangan bos baru ini, kita boleh jangkakan bahawa akan ada perubahan besar yang bakal dilakukan Van Gaal bagi mengembalikan semula maruah kelab yang teruk tercalar berikutan prestasi terumbang ambing dipamerkan pemain-pemain The Red Devils sepanjang musim lalu. Jika sasaran yang perlu dicapai David Moyes ketika beliau dilantik sebagai pengurus musim panas lalu ialah sekadar membawa kelab beraksi di Liga Juara-Juara, lain pula halnya dengan Van Gaal. Sesuai dengan reputasi yang ada pada beliau serta kejayaan-kejayaan yang pernah diraihnya sebelum ini, pihak pengurusan kelab diberitakan meletakkan sasaran tinggi yang perlu dicapai Van Gaal musim hadapan, iaitu membawa kembali trofi Liga Perdana pulang ke Old Trafford. Jika anda katakan bahawa sasaran itu terlalu tinggi buat Van Gaal pada musim pertamanya sebagai pengendali, saya pula berpendapat sebaliknya.

Van Gaal adalah antara jurulatih berprofil tinggi di dunia, pernah mengendalikan kelab-kelab utama Eropah seperti Ajax Amsterdam, Barcelona dan Bayern Munich, pernah memenangi kejuaraan liga di tiga negara berbeza dan bukan sedikit juga pemain-pemain ternama yang pernah bermain di bawah kendalian beliau. Dengan segala reputasi yang dimiliki Van Gaal serta pencapaian-pencapaian cemerlang yang pernah menghiasi karier kejurulatihannya, adakah sasaran layak ke saingan Liga Juara-Juara musim 2015-16 sudah memadai untuk diletakkan kepada seorang jurulatih berkaliber seperti beliau? Perlantikan Van Gaal sebagai pengurus United mengundang berbagai pandangan dan pendapat. Ada yang mengatakan bahawa beliau adalah individu paling tepat yang mampu meletakkan kelab kembali di landasan kegemilangan dan tidak kurang juga pendapat yang mengatakan bahawa Van Gaal terlalu tua untuk United. Lagenda Jerman, Franz Beckenbauer menganggap Van Gaal adalah pilihan sempurna buat United manakala Giovanni Silva yang pernah bermain di bawah kendalian warga Belanda itu semasa di Nou Camp melabelkan beliau sebagai Hitler dalam dunia bolasepak. Apa sahaja pandangan dan pendapat tentang Van Gaal, beliau kini sudah pun dilantik secara rasmi sebagai pengurus Manchester United. Trauma akibat prestasi buruk yang dialami kelab musim lalu menjadikan tugas bos baharu United itu bukan mudah kerana banyak kerja yang perlu dilakukan sebaik sahaja beliau masuk ke pejabatnya di Old Trafford nanti.

Di bawah kendalian Van Gaal nanti, kita berharap United akan kembali digeruni serta di hormati dan saya percaya dengan segala pengalaman yang dimilikinya, beliau mampu melakukannya. Selama bertahun-tahun Van Gaal sudah membuktikan bahawa beliau adalah seorang jurulatih yang memiliki falsafah bolasepaknya sendiri dan faktor itulah sebenarnya yang amat diperlukan United jika mereka mahu kembali bangkit musim hadapan. The Red Devils muncul pasukan yang digeruni selama lebih dua dekad ketika di bawah kendalian Sir Alex Ferguson kerana beliau memiliki falsafah dan ada identiti sendiri dalam menetapkan gaya permainan pasukannya serta tidak ragu-ragu menggunakan taktik tertentu untuk memenangi satu-satu perlawanan. Sir Alex juga tidak pernah ragu-ragu mengorbankan pemain bintangnya dengan meletakkan mereka di bangku simpanan demi menyesuaikan taktikal permainan yang ingin beliau terapkan. Inilah faktor yang ramai pihak katakan hilang ketika David Moyes mengambilalih teraju pemerintahan dari Sir Alex hingga mengakibatkan beliau sendiri hilang kawalan di bilik persalinan. Saya akan biarkan anda berfikir mengapa Giovanni Silva menggelarkan Van Gaal sebagai 'Hitler' manakala Luca Toni pula yang pernah bermain di bawah kendalian beliau ketika bersama Bayern Munich mengatakan bahawa Van Gaal melakukan pemain-pemainnya seperti objek yang boleh ditukar ganti. Mungkin pada pendapat anda pandangan dari dua bekas anak didik Van Gaal ini seolah-olah menunjukkan bahawa beliau ialah seorang jurulatih yang kejam tetapi itulah kekuatan sebenar yang ada pada beliau selaku jurulatih.

Jika anda bersetuju dengan kata-kata Giovanni Silva bahawa Van Gaal adalah 'Hitler' atau lebih tepatnya diktator, apa kurangnya dengan Sir Alex Ferguson? Kerana ketegasan dalam menegakkan prinsip dan falsafah jugalah menyebabkan Sir Alex pernah digelar sebagai 'diktator' hingga akibatnya beliau sendiri kurang disenangi beberapa bekas pemainnya dan sampai sekarang pun pemain seperti Roy Keane masih lagi tidak jemu-jemu melancarkan 'perang' ke atas beliau. Akhirnya kerana sikap tegas dan berprinsipnya jugalah, deretan trofi berjaya dihadiahkan Sir Alex sepanjang lebih dua dekad era pengurusannya di Old Trafford. Kejayaan Van Gaal membawa Ajax Amsterdam memenangi trofi Liga Juara-Juara pada 1995 selain tiga kejuaraan Eredivisie, mengemudi Barcelona memenangi dua kejuaraan La Liga di Sepanyol dan satu kejuaraan Bundesliga untuk Bayern Munich ketika di Jerman mungkin perkara biasa kerana tiga kelab tersebut punya tradisi tersendiri di liga masing-masing, tetapi bagaimana pula dengan apa yang beliau lakukan bersama AZ Alkmaar pada 2009? Apa yang menyebabkan AZ di bawah kendalian Van Gaal ketika itu berjaya mengetepikan gergasi-gergasi Eredivisie lain seperti PSV Eindhoven, Ajax Amsterdam dan Feyenoord Rotterdam dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga? AZ tidak memiliki pemain-pemain ternama berbanding PSV, Ajax dan Feyenoord tetapi Van Gaal berjaya menjadikan skuad The Cheese Farmer itu sebuah pasukan yang bagus kerana kemampuan beliau dalam mempelbagaikan posisi pemain-pemainnya selain bijak menyusun plan permainan.

Kejayaan beliau mengemudi AZ menjulang kejuaraan Eredivisie buat pertama kali dalam tempoh 28 tahun selain berjaya mengetepikan kelab-kelab ternama Belanda yang lain seperti PSV, Ajax dan Feyenoord saya anggap sesuatu yang luar biasa jika diambilkira dengan aset yang beliau miliki ketika itu. Jika David Moyes dikatakan berdepan masalah dalam menangani pemain-pemain bintang United di bilik persalinan, saya yakin Van Gaal tidak akan berdepan masalah yang sama. Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, beliau berjaya 'menjinakkan' ego bintang-bintang ternama Belanda, menjadikan pemain-pemain senior contoh kepada pemain-pemain muda dan menjadikan skuad kebangsaan kali ini lebih bersatu. Pengalaman beliau yang panjang sebagai jurulatih di peringkat kelab dan antarabangsa akan banyak membantu Van Gaal menjalankan tugas-tugasnya di Old Trafford nanti. Van Gaal bukan datang dari kelab pertengahan Liga Perdana, tetapi kehadiran beliau ke Old Trafford nanti bersandarkan reputasi bahawa beliau pernah melatih skuad kebangsaan Belanda sebanyak dua kali, manakala karier kejurulatihannya di peringkat kelab bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar dan Bayern Munich pula diwarnai dengan medal kejuaraan liga dan Eropah. Akhirnya perkara utama dan paling penting ialah semoga Van Gaal tahu apa yang perlu beliau lakukan ketika berada di bangku pengurus United nanti. Selain trofi kejuaraan, saya juga ingin melihat bagaimana kemampuan Van Gaal mengetengahkan bakat-bakat muda yang dimiliki United sepertimana beliau berjaya menjadikan Holger Badstuber, Thomas Muller dan David Alaba pemain kelas dunia dan tonggak Bayern Munich ketika ini. Van Gaal sudah membawa kejuaraan Eredivisie ke Amsterdam Arena dan AFAS Stadion, Primera Liga di Nou Camp, Bundesliga di Allianz Arena dan semoga selepas ini sentuhan ajaibnya akan berterusan di Old Trafford pula. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan