08 Mei 2014

TERIMA KASIH VIDA...ATAS SEGALANYA

Selepas lapan tahun setengah, perlawanan menentang Hull City Tigers merupakan aksi terakhir Nemanja Vidic (Vida) di Old Trafford sebelum beliau berhijrah menyertai Inter Milan musim hadapan. Selepas lapan tahun setengah mengerah keringat menyarung jersi merah United, perlawanan menentang Hull City itu juga sudah tentu sarat dengan emosi bukan sahaja buat Vida tetapi kita juga sebagai penyokong United. Selama lapan tahun setengah juga kita sudah menyaksikan pemain hebat ini memberikan sepenuh jiwa raganya untuk United ketika memimpin barisan pertahanan dan tidak syak lagi bahawa Vida adalah antara pemain pertahanan tengah terbaik dunia yang pernah bermain untuk kelab. Kombinasi beliau bersama Rio Ferdinand adalah igauan ngeri buat mana-mana penyerang lawan selama bertahun-tahun dan tanpa ragu-ragu saya mengiktiraf kombinasi mereka sebagai yang terbaik selepas berakhirnya era Steve Bruce dan Gary Pallister di Old Trafford. Sepertimana yang anda tahu, Vida memulakan kerjayanya bersama Red Star Belgrade selama empat musim sebelum berhijrah ke Russia dengan menyertai Spartak Moscow pada 2004 hingga Januari 2006. Sebelum Sir Alex Ferguson bertindak menandatangani Vida pada pasaran perpindahan musim sejuk 2006, saya yakin tidak ramai penyokong-penyokong United (termasuk saya) kenal siapa itu Nemanja Vidic. Maka tidak hairanlah pada waktu itu ramai penyokong-penyokong United meragui tindakan Sir Alex mendatangkan Vida ketika saingan liga sudah memasuki separuh musim, apatah lagi bos United itu cukup dikenali jarang mengeluarkan buku ceknya pada bulan Januari. Tidak sukar untuk meneka mengapa Sir Alex keluar dari kebiasaan beliau (berbelanja di bulan Januari) kerana ketika itu beliau sebenarnya masih belum menemui pemain yang sesuai untuk digandingkan bersama Ferdinand di benteng tengah United.

Usaha beliau meletakkan Mikael Silvestre, John O'Shea dan Wes Brown sebagai rakan gandingan Ferdinand tidak berhasil hingga memaksa Sir Alex melakukan pembelian luar jangkaan pada musim sejuk 2006. Akhirnya selepas membayar £7 juta kepada Spartak Moscow, Vida tiba di Old Trafford bersama-sama Patrice Evra untuk menguatkan back four United. Karier Vida di Old Trafford bermula agak perlahan manakala pengkritik-pengkritik pula tertanya-tanya adakah beliau mampu menyesuaikan diri dengan corak pemainan Liga Perdana dan kehidupan di England. Di akhir musim 2005/06, United menamatkan saingan liga di tangga kedua manakala kempen mereka di pentas Liga Juara-Juara pula berakhir di peringkat kumpulan. Walaupun sekadar memenangi Piala Liga (sekarang Capital One Cup) pada musim pertamanya di Old Trafford, kehadiran Vida adalah penamat kepada usaha Sir Alex dalam mencari kombinasi paling sesuai untuk beliau letakkan bersama Ferdinand di benteng tengah United. Musim berikutnya (2006/07) United berjaya merampas trofi liga dari Chelsea manakala Vida pula diiktiraf antara pemain terbaik di Liga Perdana musim tersebut. Selepas kejayaan sulung menjulang trofi Liga Perdana, Vida tidak lagi menoleh ke belakang apabila selepas itu berjaya membantu kelab menjulang empat lagi kejuaraan liga, dua Piala Liga, dua Perisai Komuniti, trofi Liga Juara-Juara dan Kejuaraan Kelab Dunia. Satu-satunya kejuaraan yang beliau gagal menangi bersama United ialah Piala FA ketika Roy Keane muncul kapten terakhir yang berjaya menjulang trofi tersebut pada 2004.

Di pentas antarabangsa pula, Vida memulakan karier awalnya dengan mewakili skuad remaja Yugoslavia (sebelum negara tersebut berpecah), manakala penampilan sulungnya di peringkat senior pula ialah untuk skuad Serbia & Montenegro berlaku pada 12 Oktober 2002 (menentang Itali di pusingan kelayakan Euro 2004). Dalam skuad kebangsaan Serbia & Montenegro, Vida membentuk gandingan ampuh di benteng pertahanan bersama-sama Mladen Krastajic, Ivica Dragutinovic dan Goran Gavrancic hinggakan kombinasi empat pemain ini cukup terkenal dengan gelaran The Famous Four. Gandingan The Famous Four  di benteng pertahanan menyaksikan gawang Serbia & Montenegro hanya dibolosi sekali dari 10 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2006 mereka, sekaligus membantu negara bekas Yugoslavia itu menduduki tangga teratas Kumpulan 7 yang turut dihuni Sepanyol, Bosnia Herzegovina, Belgium, Lithuania dan San Marino. Cemerlang di pusingan kelayakan tidak menjamin bahawa Serbia & Montenegro juga akan sukses di Pusingan Akhir Piala Dunia 2006 dan lebih malang lagi Vida tidak bermain walau seminit pun ketika di Jerman. Vida terlepas perlawanan pertama Kumpulan C menentang Belanda kerana penggantungan akibat layangan kad merah yang diterimanya di pusingan kelayakan, manakala kecederaan ligamen ketika sesi latihan menyebabkan beliau kemudiannya terpaksa dihantar pulang. Pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 pula, Vida bermain untuk Serbia (selepas berpecah dengan Montenegro) dan sepertimana kempen kelayakan Piala Dunia yang lalu Serbia begitu cemerlang mengatasi gergasi Eropah seperti Perancis untuk keluar sebagai juara Kumpulan 7 zon Eropah untuk layak secara automatik ke Afrika Selatan.

Bagaimanapun badi pusingan akhir Piala Dunia nampaknya sekali lagi menghantui Vida apabila Serbia sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga terbawah, sekaligus memaksa anak-anak buah Radomir Antic meninggalkan bumi Afrika Selatan lebih awal. Karier Vida bersama skuad kebangsaan Serbia menemui titik noktah apabila beliau akhirnya mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa pada Oktober 2011. Berbalik kepada karier Vida di Old Trafford, anda mungkin masih ingat spekulasi yang bertiup kencang pada 2010 tentang minat Florentino Perez untuk membawa beliau beraksi di Santiago Bernabeu. Kebimbangan kita tentang kemungkinan kelab bakal kehilangan tonggak pertahanan berpengaruh itu akhirnya terlerai apabila Vida mengambil keputusan untuk menandatangani perjanjian kontrak baru selama lima tahun dan sebagai ganjaran lilitan kapten pasukan diserahkan kepada beliau atas pengaruh yang dimainkannya di atas padang dan kesetiaannya terhadap kelab. Hanya tujuh bulan selepas berjaya membantu United menjulang trofi Liga Perdana dan bermain di pentas final Liga Juara-Juara edisi 2010/11 (tewas 1-3 kepada Barcelona), Vida menerima tamparan hebat dalam kariernya apabila mengalami kecederaan lutut yang serius semasa perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang FC Basel. Kecederaan itu memaksa Vida diketepikan pada baki saingan musim 2011/12, manakala kita pula terpaksa menelan hakikat United gagal layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan C di belakang juara kumpulan Benfica dan FC Basel. Musim malang buat Vida bertambah lengkap apabila pada perlawanan terakhir saingan liga, United terlepas kejuaraan Liga Perdana mereka kepada seteru setempat, Manchester City hanya menerusi perbezaan jaringan gol.

Vida kembali pada musim panas 2012 tetapi akhirnya terpaksa menuju semula ke meja rawatan pada bulan September kerana kecederaan lutut yang berulang. Mengetuai United memenangi kejuaraan liga buat kali ke-20 musim lalu antara kenangan manis Vida sejak beliau bersama kelab tetapi kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara di Moscow pada 2008 adalah detik paling hebat untuk kita mengingati beliau selepas ini. Siapapun pengganti beliau selepas ini tetap tidak akan sama dengan Nemanja Vidic yang kita sudah saksikan aksinya bersama United sejak lapan tahun setengah yang lalu. Musim depan kita tidak akan dapat menyaksikan lagi kelibat sang kapten dengan jersi merah United yang sentiasa menghadirkan rasa gerun kepada penyerang lawan menerusi terjahan-terjahan kerasnya. Tiada lagi kelibat “Penyembelih dari Balkan” yang sentiasa menghadirkan suasana dramatik setiap kali berlakunya perebutan bola di udara dan tidak akan kedengaran lagi suara lantangnya memberikan arahan kepada rakan-rakan sepasukan ketika bentengnya diasak lawan. Kuat dan berkuasa, itulah perkataan paling sesuai buat Vida, seorang pemain yang tidak pernah ragu-ragu meletakkan kepalanya di mana-mana tempat ketika kebanyakkan pemain lain mungkin berfikir dua kali walaupun untuk menggunakan kaki mereka sekalipun. Terima kasih Captain Marvel atas segala yang anda curahkan untuk kelab selama ini dan terima kasih juga atas segala memori yang anda tinggalkan buat kami penyokong-penyokong Manchester United. Kami akan sentiasa mengenang anda sebagai lagenda dan antara pemain terhebat yang pernah menyarung jersi The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

1 ulasan:

  1. So sad...tp itu hakikatnya...yg penting Lagenda ini akan terus di ingati oleh penyokong2 man utd...thank you for everything captain!

    BalasPadam