14 Mei 2014

TERIMA KASIH RIO...UNTUK 12 TAHUN YANG PENUH GEMILANG

Selepas Nemanja Vidic, kini giliran Rio Ferdinand pula mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong Manchester United dengan menjadikan musim 2013-14 sebagai musim terakhir beliau di Old Trafford. Pengumuman yang dilakukan Ferdinand kelmarin akhirnya menjawab segala teka teki tentang masa depan pemain pertahanan berpengalaman itu selepas 12 musim menyarung jersi United. Ferdinand adalah pemain idola saya, bukan Ryan Giggs, bukan Cristiano Ronaldo, bukan David Beckham, bukan Roy Keane dan bukan juga Ruud Van Nistelrooy, jadi sudah tentu pengumuman bahawa beliau tidak akan lagi bersama kelab musim hadapan merupakan berita yang agak menyedihkan saya. Meskipun sudah mencecah usia 35 tahun, Ferdinand tidak berhasrat menggantung boot dan keputusan beliau meninggalkan kelab lebih didorong hasratnya untuk mencari cabaran baru sebelum bersara. Selepas 12 tahun menyaksikan aksinya mengawal benteng pertahanan United, sudah tentu sukar untuk saya bayangkan bagaimanakah agaknya nanti apabila melihat Ferdinand bermain menentang bekas rakan-rakan sepasukannya jika beliau memilih untuk kekal beraksi di Liga Perdana. Kelab mana yang bakal disertai Ferdinand musim hadapan? Setakat ini saya hanya boleh menjangkakan bahawa beliau akan kembali ke Upton Park menyertai semula West Ham United, kelab yang bertanggungjawab mencungkil bakatnya ketika remaja atau 'buat duit' dengan menyertai kelab-kelab di Major League Soccer sebelum bersara. Bersama United, Ferdinand berjaya mencapai impiannya sejak kecil iaitu memenangi banyak trofi kejuaraan dan sudah tentulah beliau boleh tersenyum lebar sebaik melangkah keluar dari 'gerbang' Old Trafford nanti.

Di sebalik berita bahawa Ferdinand tidak akan lagi bersama kelab musim hadapan, ada cerita kurang enak yang saya baca di portal-portal berita tentang bagaimana layanan pihak pengurusan kelab terhadap beliau di hari-hari terakhirnya sebagai pemain United. Berbanding Nemanja Vidic yang diberikan penghormatan standing ovation pada aksi terakhir beliau di Old Trafford, Ferdinand pula 'ditunjukkan jalan keluar' dengan cara yang tidak sewajarnya diterima oleh pemain bertaraf lagenda seperti beliau. Menurut laporan Daily Mail, berita tentang keputusan kelab untuk tidak menawarkan kontrak baru kepada Ferdinand dimaklumkan Ed Woodward kepada pemain pertahanan itu di bilik persalinan Stadium St Mary selepas tamat perlawanan terakhir liga menentang Southampton Ahad lalu. Jika apa yang dilaporkan Daily Mail itu benar, saya agak terkilan melihat lagenda seperti Ferdinand diperlakukan seperti itu, terutamanya selepas melihat segala sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau sepanjang tempoh 12 musim menyarung jersi United. Adakah bilik persalinan pasukan lawan tempat paling layak untuk Ferdinand dimaklumkan bahawa musim hadapan khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi? Melihat apa yang berlaku, timbul juga persoalan difikiran saya apakah masa depan Ferdinand hanya diputuskan pihak pengurusan kelab pada minit-minit terakhir sebelum saingan musim 2013/14 berakhir? Bukankah keputusan besar seperti ini sepatutnya dimaklumkan kepada beliau lebih awal, bukan selepas Mike Dean meniupkan wisel penamat perlawanan di Stadium St. Mary.

Sepertimana Vidic, Ferdinand juga selayaknya memperolehi penghormatan serupa, diberikan peluang mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong di Theatre of Dreams dan kemudiannya berjalan mengelilingi stadium untuk memberikan lambaian perpisahan. Bukankan itu lebih manis bagi menghargai segala sumbangan yang sudah diberikan beliau untuk kelab sebelum Ferdinand mengakhiri karier panjangnya di Old Trafford? Lupakan dulu atas apa yang sudah berlaku kerana saya tidak berminat mencungkil kebenaran apa yang telah dilaporkan oleh Daily Mail itu. Seperti yang saya sebutkan di awal tadi bahawa Ferdinand adalah idola dan pemain yang cukup saya sanjung, lebih dari mana-mana pemain United yang pernah saya saksikan aksi mereka sepanjang hayat saya. Pada zaman kemuncaknya, Ferdinand adalah cermin sebenar pemain pertahanan dalam era bolasepak moden. Jika Serie A ketika itu berbangga kerana mereka memiliki Alessandro Nesta, Liga Perdana pula ada Rio Ferdinand, pemain pertahanan yang penuh keyakinan, pemimpin, bergaya, ditakuti penyerang lawan kerana terjahan-terjahan keras tetapi bersihnya dan lambang kepada kekebalan benteng pertahanan United. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ketika zaman remajanya, Ferdinand bermula sebagai pemain tengah menyerang (attacking midfielder) bukan pertahanan seperti sekarang. Bagaimanapun pencari bakat ketika itu melihat beliau lebih berpotensi untuk diletakkan sebagai pemain pertahanan tengah kerana susuk fizikalnya yang tinggi dan bermula dari detik itulah Ferdinand mengasah potensi yang dimilikinya sebagai pemain pertahanan.

Pada 1992, Ferdinand menyertai sistem latihan belia bolsepak West Ham United sebelum kemudiannya diterima menyertai akademi kelab tersebut pada Januari 1994. Bersama-sama West Ham, Ferdinand muncul antara pemain pertahanan muda berbakat di England ketika itu, lantas menarik perhatian Glenn Hoddle untuk memberikan beliau penampilan pertama bersama Three Lions pada 15 November 1997. Pada usia 19 tahun dan 8 hari, aksinya sebagai pemain gantian ketika England berdepan Cameroon dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa membolehkan beliau muncul pemain pertahanan termuda yang pernah menyarung jersi Three Lions sebelum rekod tersebut dipecahkan Micah Richards pada 2006. Selepas empat tahun di Upton Park, pada November 2000, Ferdinand muncul pemain pertahanan termahal di dunia apabila Leeds United membayar £18 juta untuk membawa beliau beraksi di Elland Road. Walaupun bermula dengan langkah kiri pada penampilan pertamanya untuk kelab Yorkshire itu apabila mereka tewas 1-3 di tangan Leicester City, Ferdinand kemudiannya berjaya membantu Leeds mara hingga ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara (musim 2000/01). Walau bagaimanapun, Valencia yang ketika itu diperkuatkan Gaizka Mendeita, John Carew, Ruben Baraja dan Kily Gonzalez jelas berada dalam kelas tersendiri apabila mereka berjaya menyingkirkan The White dengan aggregat 3-0 untuk layak ke final berdepan Bayern Munich.

Musim keduanya di Elland Road, Ferdinand diberikan penghormatan menggantikan Lucas Radebe sebagai kapten pasukan, tetapi Leeds gagal menempatkan diri mereka di kelompok empat teratas sepertimana musim sebelumnya apabila sekadar menamatkan saingan musim 2001/02 di tangga kelima liga. Krisis kewangan melanda Leeds dan kegagalan layak ke saingan Liga Juara-Juara memburukkan lagi keadaan hingga memaksa Terry Venables menjual beberapa pemain-pemain terbaiknya kepada pasukan lain. Selepas tamatnya pusingan akhir Piala Dunia 2002, Venables menerima tawaran lumayan £30 juta dari Manchester United untuk mendapatkan Ferdinand sekaligus memecah rekod perpindahan British dan menjadikan beliau pemain pertahanan termahal dunia buat kali kedua. Ferdinand menandatangani kontrak selama lima tahun dan sah menjadi pemain United pada 22 Julai 2002. Pelaburan besar yang dilakukan Sir Alex Ferguson pada musim panas untuk mendapatkan khidmatnya berbaloi apabila di akhir musim (2002/03), Ferdinand berjaya membantu United menjulang trofi liga. Bagaimanapun pada Januari 2004, detik hitam menghantui karier Ferdinand apabila beliau digantung selama lapan bulan oleh FA England kerana gagal menghadiri ujian doping yang telahpun dijadualkan empat bulan sebelum itu. Rayuan kelab agar hukuman terhadap Ferdinand diringankan ditolak dan ini bermakna beliau terlepas baki musim 2003/04 dan juga kempen Euro 2004 bersama skuad kebangsaan England di Portugal.

Selepas lebih tiga tahun di Old Trafford, gol pertama Ferdinand untuk kelab hadir pada 14 Disember 2005 ketika menentang Wigan Athletic manakala gol kemenangan minit akhir perlawanan yang dijaringkan beliau ke gawang Liverpool menerusi tandukan pada 22 Januari 2006 antara detik terhebat sepanjang 12 tahunnya kariernya bersama United. Musim 2007/08, gandingan Ferdinand bersama-sama Nemanja Vidic membentuk benteng kukuh di barisan belakang hingga menyaksikan gawang United tidak dibolosi tujuh perlawanan berturut-turut sebelum akhirnya terpaksa akur membenarkan Gabriel Agbonlahor muncul pemain pertama dalam tempoh lebih dua bulan menewaskan Edwin Van der Sar. Pada 15 Mei 2008, Ferdinand bersama dua lagi pemain United (Michael Carrick dan Wes Browm) menandatangani kontrak baru selama lima tahun yang menyaksikan beliau kekal di Old Trafford hingga 2013, dan enam hari selepas itu bertempat di Stadium Luzhniki, Moscow, beliau mengetuai kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti. Pada tahun-tahun terakhirnya di Old Trafford, karier Ferdinand lebih banyak diwarnai dengan masalah kecederaan lutut dan belakang yang kerap berulang tetapi beliau masih lagi tonggak utama kelab dan pemain pertahanan yang sukar ditembusi di Liga Perdana.

Kecederaan lutut jugalah yang menyebabkan Ferdinand digugurkan Fabio Capello dari senarai pemain ke pusingan akhir Piala Dunia 2010, Afrika Selatan, terlepas perlawanan-perlawanan pra musim di Amerika Syarikat, perlawanan merebut Perisai Komuniti dan empat perlawanan awal liga bagi musim 2010/11. Kontroversi yang berlaku antara adiknya (Anton Ferdinand) dengan John Terry berkaitan isu perkauman dikatakan penyebab utama mengapa Roy Hodgson tidak menyenaraikan Ferdinand ke pusingan akhir Kejohanan Euro 2012 di Poland dan Ukraine bagi mengelakkan sebarang konflik dalaman skuad Three Lions. Peluang menyertai semula skuad kebangsaan hadir selepas tempoh lebih setahun apabila pada 14 Mac 2013, Hodgson menyenaraikan beliau untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2014 menentang San Marino dan Montenegro. Bagaimanapun empat hari selepas itu, Ferdinand menolak sebarang kemungkinan untuk kembali menyarung jersi England atas alasan kecergasan sebelum dua bulan kemudian mengumumkan secara rasmi persaraannya dari arena bolasepak antarabangsa. Sepertimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, gandingan Ferdinand dan Vidic di benteng pertahanan United adalah yang terbaik sejak berakhirnya era Steve Bruce dan Gary Pallister. Beliau tiba di Old Trafford 12 tahun lalu berbekalkan reputasi besar dan beban sebagai pemain pertahanan termahal dunia ketika itu. Pelaburan besar yang dilakukan kelab untuk mendapatkan khidmatnya lebih dari berbaloi berdasarkan sumbangan yang beliau berikan sepanjang bergelar pemain The Red Devils.

Sejak ketibaannya pada 2002, beliau adalah antara pemain yang wajib ada dalam senarai kesebelasan utama United di bawah era Sir Alex walaupun dalam tempoh beberapa tahun terakhir ini prestasinya sering dijadikan topik perbahasan. Kepada pihak yang hanya tahu mengkritik, nasihat saya agar anda kenang kembali apa yang sudah beliau lakukan awal musim lalu ketika kelab dilanda krisis kecederaan membabitkan pemain-pemain pertahanan. Ketika Phil Jones, Chris Smalling, Jonny Evans dan Nemanja Vidic berada di bilik rawatan, Ferdinand satu-satunya pertahanan berpengalaman yang dimiliki Sir Alex ketika itu hingga memaksa beliau dikerah bermain setiap minggu. Jika anda mengatakan bahawa kejayaan kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20 musim lalu dibantu faktor ketajaman penyudah gandingan Robin Van Persie dan Wayne Rooney, anda sebenarnya memperlekehkan peranan besar yang dimainkan veteran seperti Ferdinand hingga impian 'CHAMP20NS' akhirnya berjaya direalisasikan. Insiden pada 9 Disember 2012 di Stadium Etihad di mana beliau mengalami kecederaan akibat balingan syiling dari penyokong Manchester City antara warna yang menghiasi karier Ferdinand.  Darah, keringat, kesakitan, air mata dan kegembiraan bagaikan rakan akrab Ferdinand sejak saya mula mengikuti perkembangan beliau sepanjang 12 tahun yang lalu. Pada usia 35 tahun dan dengan beberapa siri kecederaan yang melanda beliau sejak beberapa musim terakhir, pihak pengurusan mungkin berpendapat bahawa Ferdinand tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan kepada kelab. Pihak pengurusan mungkin juga berpendapat bahawa Ferdinand ketika ini 'tidak cukup bagus' untuk ditawarkan kontrak baru tetapi layanan lebih bermaruah sepatutnya diberikan kepada beliau sebagai tanda pengiktirafan atas segala sumbangan yang sudah dicurahkannya terhadap kelab selama ini.

Ferdinand mengesahkan bahawa beliau akan terus bermain dan United bukanlah kelab terakhirnya sebelum bersara. Jika saya berada di tempat beliau, saya akan memilih untuk kembali semula ke West Ham United, kelab yang pernah berjasa mengasah bakat beliau ketika zaman remajanya. Upton Park adalah tempat paling ideal buat Ferdinand menghabiskan tahun-tahun terakhirnya sebelum beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bolasepak sebagai pemain. Mungkin ketika ini Ferdinand 'tidak cukup bagus' untuk United, tetapi saya percaya kehadiran beliau di Upton Park akan disambut dengan tangan terbuka oleh Sam Allardyce. Jika Ferdinand memutuskan mahu terus bermain di Liga Perdana, tentu sedikit janggal bagi saya menyaksikan aksinya dengan jersi pasukan lain musim hadapan. Selepas bertahun-tahun menyarung jersi merah United dengan lambang kelab tersemat megah di dadanya, sukar untuk saya bayangkan bahawa musim hadapan beliau akan membarisi kesebelasan utama lawan pula. Tiada lagi kelibat beliau yang pernah dilabel Michael Carrick umpama kereta Rolls Royce itu dibarisan pertahanan United selepas ini. Sekali lagi saya ulangi bahawa Ferdinand adalah lambang pemain pertahanan dalam era bolasepak moden. Seorang centre back yang bukan hanya bergantung kepada kekuatan fizikalnya ketika bertahan, keras ketika melakukan asakan tetapi mampu juga melakukan hantaran-hantaran berkualiti kepada barisan hadapan serta punya tahap keyakinan cukup tinggi ketika bola berada di kakinya.  Sebutkan kepada saya siapa pemain pertahanan selain Ferdinand yang mampu 'bermain-main' dengan penyerang lawan di kawasan sendiri ketika zaman kemuncaknya? 12 tahun, 455 perlawanan, 8 gol dan 15 trofi kejuaraan, terima kasih untuk semuanya Rio#5. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

1 ulasan:

  1. Rio jgk pernah jd goalkeeper...mmg lejeng ar..huhu

    BalasPadam