11 Mei 2014

JAMES WILSON DAN PENJARING-PENJARING TERMUDA UNITED DI LIGA PERDANA



Diberikan peluang tampil buat pertama kali untuk skuad senior pastinya menjadi detik paling dinantikan bagi mana-mana pemain muda tetapi tidak ramai di antara mereka yang bertuah mengecapi kesuksesan pada debut mereka. Berpeluang merasai aksi kompetitif bersama skuad senior sudah lebih memadai buat mereka sambil dalam masa yang sama cuba untuk memikat perhatian jurulatih agar mereka terus diberikan peluang pada perlawanan-perlawanan seterusnya. James Wilson saya kira antara pemain muda yang cukup bertuah, bukan sahaja kerana berpeluang bermain di atas padang yang sama bersama bintang-bintang United yang lain tetapi lebih daripada itu beliau begitu sukses mengharungi debutnya untuk skuad senior United. Ketika kebanyakkan rakan-rakan sebayanya mungkin gugup bermain pada penampilan pertama mereka bersama pasukan utama, Wilson pula sebaliknya begitu bergaya menikmati debutnya dengan menjaringkan dua gol. Dua gol yang dihasilkan Wilson ke gawang Hull City menyebabkan nama pemuda berusia 18 tahun kelahiran Staffordshire itu tiba-tiba menjadi sebutan penyokong-penyokong United selama beberapa hari. Gol yang dijaringkan Wilson itu juga menyaksikan beliau melakukan catatan unik dalam karier bolasepaknya apabila sudah menjaringkan gol di semua pertandingan peringkat umur untuk kelab (bawah 18, 19 dan 21 tahun serta skuad senior).

Sebelum Ryan Giggs memberikan beliau penampilan pertamanya di Liga Perdana, Wilson sebenarnya pernah tersenarai dalam skuad utama yang di bawa David Moyes ke St James Park pada 5 April lalu namun sekadar memanaskan bangku simpanan. Secara tiba-tiba tumpuan kini beralih kepada Wilson selepas aksi memukaunya di Old Trafford pagi Rabu lalu. Tumpuan terhadap beliau bukan hanya datang dari penyokong-penyokong United malah pesaing-pesaing lain yang nampaknya sudah mula menghalakan 'teropong' mereka ke arah bintang muda itu. Telegraph Sport umpamanya melaporkan bahawa Wilson sudahpun berada dalam radar kelab-kelab terkemuka Eropah sebelum aksi sulungnya bersama skuad utama lagi, jadi sudah tentulah selepas menyaksikan dua gol yang beliau hasilkan pagi Rabu lalu banyak kerja yang perlu dilakukan pihak pengurusan United untuk melindungi prospek masa depan mereka itu. Dalam era bolasepak moden, kelab-kelab kelas atas Eropah sanggup melakukan apa sahaja dalam usaha mereka memburu bakat-bakat muda terbaik di serata dunia dan pendedahan Dirk De Vriese (agen Adnan Januzaj) beberapa hari lalu tidak mengejutkan saya.

Walaupun tidak mendedahkan butir-butir secara terperinci, pendedahan Vriese sudah cukup untuk membuktikan kegilaan kelab-kelab kaya Eropah dalam usaha mereka memburu pemain-pemain muda berbakat untuk dijadikan bintang masa depan kelab. “Banyak kelab-kelab besar secara terbuka mahu mendapatkan khidmatnya khususnya Paris St Germain.  Lima minit sebelum kami menandatangani kontrak baru (bersama United), wakil pemilik kelab (PSG) menghubungi kami dengan tawaran yang sangat mengejutkan”, kata Vriese. Kontrak Wilson akan tamat musim panas ini tetapi saya yakin pihak pengurusan tidak akan berpeluk tubuh dan United sendiri memiliki lebih dari keupayaan untuk terus mengekalkan bintang muda ini di Old Trafford. Sudah tentu juga selepas mengharungi ujian sulungnya dengan begitu cemerlang, Wilson boleh mengharapkan kontrak yang lebih lumayan ditawarkan oleh kelab berbanding apa yang beliau terima ketika ini. Selain Wilson, seorang lagi pemain muda yang hampir pasti bakal ditawarkan kontrak baru ialah Tom Lawrence yang turut menikmati  penampilan pertamanya bersama skuad senior Rabu lalu. Lupakan dulu apa yang sudah dilakukan Wilson pada penampilan pertamanya untuk skuad senior kerana kali ini saya ingin kongsikan kepada anda senarai 10 penjaring gol termuda United sejak era Liga Perdana diperkenalkan pada musim 1992/93.

1. FEDERICO MACHEDA

Pada usia 17 tahun, 7 bulan dan 14 hari, Federico Macheda muncul pemain termuda United yang berjaya menjaringkan gol di pentas Liga Perdana. Gol kemenangan jaringan Macheda yang dihasilkannya ketika berdepan Aston Villa pada 5 April 2009 di Old Trafford sudah tentu akan sentiasa segar diingatan penyokong-penyokong United. Ketika permainan seakan-akan bakal berkesudahan dengan keputusan seri 2-2, Macheda muncul wira apabila sepakan lencongnya dari dalam petak penalti di masa kecederaan gagal diselamatkan Brad Friedel. Gol kemenangan jaringan Macheda itu juga penting ketika saingan United dan Liverpool untuk menjulang trofi liga semakin menuju ke kemuncaknya. Agak malang selepas namanya dijulang sebagai wira, Macheda gagal menepati potensi seperti yang diharapkan. Tempoh kariernya di Old Trafford lebih banyak dihabiskan sebagai pemain pinjaman untuk Queens Park Rangers, Sampdoria, VfB Stuttgart, Doncaster dan terakhir Birmingham City. Macheda sudahpun menyatakan pendiriannya untuk berhijrah musim panas nanti. 

2. DANNY WELBECK

Penampilan pertama Danny Welbeck untuk skuad senior United di Liga Perdana hadir pada 15 November 2008. Masuk menggantikan Park Ji-Sung diminit ke 63 ketika berdepan Stoke City, Welbeck pantas membuktikan mengapa beliau disebut-sebut sebagai aset masa depan bolasepak England apabila menjaringkan gol yang cukup menarik dari jarak 30 meter. Gol jaringan Welbeck itu juga merupakan gol keempat United di sebalik kemenangan besar 5-0 mereka ke atas Stoke City. Gol jaringan Welbeck ke gawang The Potters itu dihasilkan Welbeck ketika beliau berusia 17 tahun, 11 bulan dan 20 hari. Meskipun sudah bermain 89 perlawanan untuk United sejak 2008 dan memiliki 21 caps bersama skuad kebangsaan England, Welbeck saya anggap masih kurang produktif dalam menghasilkan gol buat kelab di mana musim lalu beliau hanya menjaringkan satu gol. Musim ini statistik jaringan Welbeck lebih baik apabila beliau sudah menyumbang sembilan gol dari 24 perlawanan liga.

3. RAFAEL DA SILVA

Selepas persaraan Gary Neville, Sir Alex Ferguson tidak perlu terlalu risau mencari pengganti bekas kapten United itu di posisi bek kanan kerana beliau sudah memiliki Rafael da Silva dalam pasukannya. Walaupun sering dibelenggu kecederaan hingga membataskan penampilannya bersama kelab, saya yakin Rafa akan mampu meletakkan dirinya sebagai antara bek kanan terbaik di dunia suatu hari nanti. Penampilan pertama Rafa untuk skuad senior United berlaku pada 18 Oktober 2008 ketika berdepan West Bromwich Albion. United menang 4-0 dalam perlawanan itu tetapi gol pertama Rafa di Liga Perdana sebenarnya hadir pada 8 November 2008 ketika berdepan Arsenal di Stadium Emirates. Walau bagaimanapun gol jaringan Rafa diminit ke-90 itu gagal menyekat Arsenal dari meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri tetapi Rafa muncul pemain ketiga termuda United yang berjaya menjaring gol di Liga Perdana pada usia 18 tahun, 3 bulan dan 30 hari.

4. JAMES WILSON

James Wilson sebenarnya berpeluang merasai debutnya bersama skuad senior lebih awal selepas namanya ada dalam senarai skuad yang dibawa David Moyes ke St James Park pada 5 April lalu. United menewaskan Newcastle United 4-0 tetapi Wilson hanya menyaksikan kejayaan ini dari bangku simpanan. Walau bagaimanapun peluang akhirnya hadir dan bersama rakannya dari skuad bawah 21 United (Tom Lawrence), Wilson diberikan penampilan pertama bersama skuad utama oleh Ryan Giggs ketika berdepan Hull City Rabu lalu. Lebih manis Wilson membayar kepercayaan yang diberikan Giggs dengan menghasilkan dua gol buat United dalam perlawanan itu. Usia Wilson Rabu lalu ialah 18 tahun, 5 bulan dan 5 hari sekaligus menempatkan beliau di tangga keempat penjaring gol termuda kelab di Liga Perdana.

5. NICK POWELL

Nick Powell adalah antara pembelian yang dilakukan Sir Alex Ferguson pada musim terakhirnya selaku pengurus United. Didatangkan dari Crewe Alexandra dengan nilai £6 juta, kehadiran Powell di harap mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Paul Scholes suatu hari nanti. Debut Powell berlaku pada 15 September 2012 apabila beliau masuk menggantikan Ryan Giggs diminit ke-71 ketika berdepan Wigan Athletic di Old Trafford. Selepas United selesa mendahului lawan 3-0 sehingga minit ke-83, Powell yang menerima hantaran Javier Hernandez tenang memperdaya seorang pemain lawan sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk gol keempat. Gol itu sebenarnya persis jaringan-jaringan yang pernah dihasilkan Scholes sebelum ini dan dilakukan Powell ketika beliau berusia 18 tahun, 5 bulan dan 23 hari. Kini Powell sukses mengharungi tempoh pinjamannya bersama Wigan dan muncul antara tonggak utama skuad kendalian Uwe Rosler itu di Liga Kejuaraan.

6. ADNAN JANUZAJ

Adnan Januzaj, bakat muda yang dibawa Sir Alex Ferguson dari Belgium pada 2011 dan mula disenaraikan dalam skuad utama pada penghujung musim lalu. Pada perlawanan terakhir United musim lalu di The Hawthorns, ramai berharap agar Sir Alex menurunkan Januzaj namun hasrat kita tidak kesampaian apabila bintang muda itu sekadar memanaskan bangku simpanan selama 90 minit permainan. Detik buat Januzaj merasai debut kompetitif bersama skuad utama akhirnya tiba jua apabila beliau diturunkan ketika berdepan Wigan Athletic dalam perlawanan merebut Perisai Komuniti 11 Ogos lalu. Tidak banyak impak yang mampu dilakukan Januzaj apabila beliau masuk menggantikan Robin Van Persie ketika masa sebenar permainan berbaki enam minit untuk ditamatkan. Penampilan pertama Januzaj di Liga Perdana pula berlaku pada 14 September 2013 ketika United berdepan Crystal Palace apabila beliau menggantikan Ashley Young diminit ke-68. Sebulan selepas itu (5 Oktober), Januzaj menunjukkan kepada dunia betapa beliau adalah antara bakat muda terbaik Eropah ketika ini apabila menyumbang dua gol saat United menewaskan Sunderland 2-1 di gelanggang lawan. Musim 2013/14 adalah musim penuh pertama Januzaj di Liga Perdana dan pada usia baru mencecah 19 tahun, beliau melakukan penampilan (liga) lebih banyak berbanding beberapa rakan sepasukannya yang jauh lebih berpengalaman. Dua gol yang dihasilkan Januzaj di Stadium of Light 5 Oktober lalu berlaku ketika usia beliau genap 18 tahun dan 8 bulan sekaligus meletakkan beliau di tangga ke-6 penjaring termuda buat United di Liga Perdana.

7. GIUSEPPE ROSSI

Lapan tahun sebelum kemunculan Adnan Januzaj, Giuseppe Rossi  adalah antara pemain muda ketika itu yang disebut-sebut sebagai bintang dalam pembikinan. United membeli kontrak Rossi dari Parma ketika beliau berusia 17 tahun dan penampilan pertamanya bersama skuad senior United berlaku pada 20 November 2004 menentang Crystal Palace di pusingan kelima Piala Liga sebagai pengganti kepada David Bellion. Di Liga Perdana pula Rossi melakukan penampilan pertamanya ketika United berdepan Sunderland pada 15 Oktober 2005. Ketika tempoh sebenar permainan berbaki 12 minit untuk ditamatkan, Rossi masuk menggantikan Ruud Van Nistelrooy dan seminit selepas itu beliau meledak gol ketiga United. United menewaskan Sunderland 3-1 tetapi lebih daripada itu kelibat Rossi mula menarik perhatian penyokong-penyokong United. Walaupun memiliki persamaan dari segi nama dengan lagenda Itali (Paolo Rossi), Giuseppe (Rossi) kemudiannya gagal menepati ramalan awal yang diletakkan ke atas beliau. Selain berdepan masalah kecederaan, Rossi juga pernah di hantar Sir Alex ke St James Park dan Parma untuk menimba pengalaman berikutan peluang bermain bersama skuad utama United yang begitu terhad.  Prestasi baiknya bersama Villareal mengundang persoalan tentang keputusan kelab menjual Rossi hingga pada suatu ketika timbul kemungkinan bahawa United cuba mendapatkan kembali khidmatnya. Musim ini Rossi menyertai Fiorentina dan sepertimana karier awalnya di Old Trafford, masalah kecederaan masih lagi menjadi musuh utama beliau. Gol ke gawang Sunderland kira-kira sembilan tahun lalu meletakkan Rossi di tangga ke-7 senarai penjaring gol termuda United di Liga Perdana. Rossi melakukannya ketika beliau berusia 18 tahun, 8 bulan dan 14 hari.

8. CRISTIANO RONALDO

Nama Cristiano Ronaldo masih lagi dikenang majoriti penyokong-penyokong United walaupun beliau kini bermain untuk Real Madrid. Melihat kepada sumbangan beliau selama enam musim menyarung jersi United (2003-2009), tidak sukar untuk meneka mengapa penyokong-penyokong The Red Devils masih mengenang beliau hingga sekarang biarpun sudah lima musim Ronaldo meninggalkan Old Trafford. Bukan kerana beliau pemain Portugal pertama menyertai United yang menyebabkan penyokong-penyokong teruja dengan kehadirannya tetapi lenggok dan kepantasan kakinya menyebabkan pemergian David Beckham segera dilupakan. Mewarisi nombor 7 yang ditinggalkan Beckham, Ronaldo membalas kepercayaan Sir Alex Ferguson menerusi aksi mempersonakan pada penampilan pertamanya di Liga Perdana ketika menentang Bolton Wanderers. Gol pertama Ronaldo untuk United dalam saingan liga pula hadir pada 1 November 2003 menerusi satu tendangan bebas ke gawang Portsmouth. Ronaldo menamatkan musim 2003/04 dengan bergaya apabila menjaringkan gol pertama United ketika membenam Millwall 3-0 di pentas final Piala FA dan pada 29 Oktober 2005 pula, beliau menjaringkan gol ke 1000 United di Liga Perdana. Pada usia 18 tahun, 8 bulan dan 27 hari, gol Ronaldo ke gawang Portsmouth meletakkan beliau di tangga ke-8 senarai penjaring termuda United di Liga Perdana.

9. RYAN GIGGS

“One Man Club”, siapa lagi kalau bukan si lagenda Ryan Giggs. Selepas Jesper Olsen meninggalkan kelab pada 1988, Sir Alex Ferguson bergelut mencari pengganti pemain Denmark itu di posisi sayap kiri. Sebelum hadirnya Giggs, Sir Alex pernah menggunakan Ralph Milne, Danny Wallace dan Lee Sharpe di posisi tersebut tetapi mereka semuanya gagal menepati 'citarasa' beliau. Ketika Giggs menandatangani kontrak profesionalnya pada usia 17 tahun, Wallace dan Sharpe sedang bersaing hebat merebut posisi di sebelah sayap kiri United dan pada 2 Mac 1991, Giggs melakukan penampilan pertama buat United ketika menentang Everton. Musim 1991/92, Giggs menikmati musim penuhnya dalam saingan kompetitif tetapi United melepaskan peluang terbaik menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga mereka. Agak mengecewakan selepas bersaing hebat hingga penghujung musim, United akhirnya terpaksa akur membiarkan Leeds United yang ketika itu diperkuatkan Eric Cantona menewaskan mereka dalam perlumbaan merebut kejuaraan Liga Divisyen 1 dengan perbezaan empat mata. Musim 1992/93, Giggs bukan sahaja berjaya menyingkirkan Sharpe di posisi sayap kiri malah beliau juga berjaya membantu United menamatkan kemarau 27 tahun kejuaraan liga mereka. Musim 1992/93 adalah musim yang gemilang malah gol jaringan Giggs ke gawang Nottingham Forest pada 29 Ogos 1992 ketika beliau berusia 18 tahun dan 9 bulan meletakkan beliau di tangga ke-9 senarai penjaring gol termuda United di Liga Perdana.

10. WAYNE ROONEY

Pada tarikh 24 Oktober 2004 bertempat di Old Trafford sambil disaksikan ribuan penyokong-penyokong The Red Devils, berakhirlah episod panjang 42 perlawanan tanpa kalah Arsenal dalam saingan liga. Permusuhan United dan Arsenal ketika itu masih memuncak, jadi kejayaan kelab menamatkan cerita epik invincible The Gunners antara detik yang pastinya akan sentiasa saya kenang sampai bila-bila. Keputusan Mike Riley menghadiahkan sepakan penalti kepada United yang kemudiannya berjaya disempurnakan Ruud Van Nistelrooy sedikit kontroversi tetapi tiada keraguan apabila melihat jaringan kedua yang dihasilkan Wayne Rooney. Gol jaringan Rooney diminit ke-90 menamatkan sebarang usaha Arsenal menyelamatkan rekod invincible mereka dari dileburkan dan tidak hairanlah perseteruan di tengah padang kemudiannya berlanjutan hingga ke terowong pemain. Insiden di terowong pemain atau lebih dikenali dengan Battle of the Buffet itu adalah lambang kekecewaan anak-anak buah Arsene Wenger melihat perjalanan panjang 42 perlawanan tanpa kalah mereka sejak 7 Mei 2003 berakhir di tangan United, yang bukan sahaja musuh tradisi tetapi juga pesaing kejuaraan buat mereka ketika itu. Lupakan Battle of the Buffet kerana apa yang menariknya ialah Rooney menjaringkan gol kedua United dalam perlawanan itu ketika beliau meraikan ulang tahunnya yang ke-19. Sudah tentu ia merupakan hari yang istimewa buat Rooney bukan?

Tidak dinafikan bahawa musim 2013/14 adalah musim paling suram buat United mungkin dalam tempoh lebih sedekad. United menamatkan saingan liga di tangga ke-7, tewas tujuh kali di gelanggang sendiri (dalam saingan liga), tidak akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan dan pemecatan David Moyes pula adalah antara cerita besar yang berlaku di Old Trafford musim ini. Walau bagaimanapun di sebalik segala catatan negatif yang dilakar kelab musim ini, masih ada sinar yang menanti terutamanya dengan kemunculan bakat-bakat muda seperti Wilson, Januzaj dan Lawrence. Mereka adalah prospek masa depan kelab dan semoga apa yang telah mereka lakukan musim ini merupakan titik permulaan sebelum mereka muncul bintang dunia suatu hari nanti. Siapapun yang bakal mengendalikan United musim hadapan, saya hanya berharap agar beliau mampu melindungi dan menggilap bakat-bakat muda seperti Wilson, Januzaj dan Lawrence dengan sebaik mungkin sepertimana yang pernah dilakukan Sir Alex terhadap Giggs, Scholes, Beckham, Neville bersaudara, Ronaldo dan pemain-pemain muda United yang lain. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan