Berakhir sudah kempen pra musim Manchester
United tahun ini dengan Valencia menjadi lawan terakhir mereka manakala di
Amerika Syarikat pula kelab mengharungi lima perlawanan bermula dengan aksi
pertama menentang LA Galaxy hinggalah yang terakhir menentang seteru domestik
(Liverpool). Kejayaan anak-anak buah Louis Van Gaal membawa pulang trofi International Champions Cup merupakan
satu bonus sebelum bermulanya saingan Liga Perdana Sabtu ini. Jika dibandingkan
tahun lalu, kempen pra musim United kali ini melepasi jangkaan awal bukan hanya
disebabkan kejayaan anak-anak buah Louis Van Gaal menjulang trofi International Champions Cup tetapi juga
kerana prestasi menarik yang dipamerkan beberapa pemain muda seperti Tyler
Blackett, Michael Keane dan Reece James. Bagi pemain yang baru menjadi ahli The Red Devils seperti Luke Shaw dan
Ander Herrera pula, persembahan mereka tidak mengecewakan jika diambilkira kedua-dua
pemain ini masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rakan-rakan serta corak
permainan pasukan baharu mereka. Cemerlang dalam kempen pra musim tidak
menjanjikan bahawa United juga akan cemerlang mengharungi saingan kompetitif
musim ini tetapi kejayaan mengetepikan LA Galaxy, AS Roma, Inter Milan, Real
Madrid, Liverpool dan Valencia sekurang-kurangnya memberikan kita harapan
bahawa musim ini akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik berbanding musim
lalu. Kejayaan memenangi trofi International
Champions Cup mungkin tidak begitu penting bagi sesetengah pihak tetapi saya
menganggap kejayaan ini tetap sesuatu yang boleh dibanggakan terutamanya
selepas melihat kegagalan total yang dialami kelab pada saingan musim lalu.
Saya sebenarnya lebih rela menyaksikan United
ditewaskan Liverpool dalam perlawanan pra musim seperti ini (mujurlah itu tidak
berlaku) berbanding jika mereka tewas kepada gabungan pemain-pemain terbaik
Liga Thailand sepertimana yang berlaku tahun lalu. Ditewaskan oleh sebuah pasukan
yang hanya dibentuk dalam masa seminggu adalah satu perkara yang memalukan
(walaupun itu sekadar perlawanan pemanas badan), sekaligus memberikan gambaran
awal bahawa anak-anak buah David Moyes ketika itu turut bakal berdepan masalah mengharungi
musim kompetitif mereka. Hampir 110,000 peminat bolasepak memenuhi Stadium
Michigan bagi menyaksikan pertembungan United-Real dan jumlah itu bagi saya
membuktikan bahawa United tidak pernah hilang daya tarikannya selaku antara
kelab bolasepak terbesar di dunia meskipun musim lalu mereka sekadar berada di
tangga ketujuh liga sekaligus menyebabkan kelab juga terlepas sebarang aksi di
pentas Eropah musim ini. Saya tidak ambil peduli walaupun Carlo Ancelotti tidak
menurunkan Toni Kroos, James Rodriguez dan Karim Benzema manakala pemenang
Ballon D’or (Cristiano Ronaldo) sekadar beraksi di penghujung permainan, kerana
kemenangan ke atas Los Blancos tetap
sesuatu yang penting buat moral pasukan. Walaupun sekadar aksi pra musim,
perlawanan United-Real tetap ada kepentingannya buat kedua-dua pasukan, jadi
tidak hairanlah mengapa Don Carlo sedikit kecewa melihat anak-anak buahnya
kecundang biarpun pada awalnya beliau sendiri yakin United mampu ditewaskan.
Di Amerika Syarikat, United menang kesemua
lima perlawanan mereka, menjaringkan 16 gol manakala gawang pula hanya dibolosi
sebanyak empat kali, sekaligus satu pencapaian yang pada saya cukup
memberangsangkan dalam kempen pra musim kali ini. Dua hari sebelum
berlangsungnya sepak mula saingan liga, kejayaan yang dicapai dalam International Champions Cup diharapkan
mampu memberikan suntikan moral tambahan buat barisan The Red Devils dalam menghadapi cabaran musim baharu. Bagi
penyokong-penyokong pula, melihat prestasi bagus yang dipamerkan anak-anak buah
Van Gaal dalam kempen pra musim pastinya membuatkan kita optimis kegagalan
musim lalu tidak akan berulang manakala kejayaan menundukkan Valencia pada
debut tidak rasmi pengendali itu di gelanggang sendiri petanda bahawa The Red Devils nampaknya sudah bersedia
berdepan musim baharu saingan Liga Perdana. Kejayaan kempen pra musim kali
ini adalah momentum kecil tetapi penting
sebelum melakukan langkahan yang lebih besar. Cuma yang menjadi tandatanya
sekarang adakah Van Gaal sudah berpuashati dengan barisan pemain yang
dimilikinya dengan hanya dua nama baharu (Ander Herrera dan Luke Shaw) yang
berjaya ditandatangani setakat ini. Paling menjadi tumpuan ialah posisi di
benteng pertahanan kerana kelab boleh saya katakan sudahpun kehilangan separuh
kekuatan mereka di posisi tersebut berikutan penghijrahan Nemanja Vidic, Rio
Ferdinand, Patrice Evra dan Alexander Buttner.
Thomas Vermaelen pemain pertahanan yang
sebelumnya dikatakan berada dalam radar buruan kelab akhirnya memilih Nou Camp
sebagai destinasi pilihannya berbanding Old Trafford, manakala spekulasi yang
mengaitkan minat Van Gaal terhadap Stefan de Vrij pula tinggal sebagai gosip
mainan media apabila pemain pertahanan antarabangsa Belanda itu sah menjadi
milik Lazio. Masalah kekurangan pemain pertahanan juga menyebabkan Van Gaal
terpaksa meletakkan Ashley Young dan Antonio Valencia sebagai bek kiri dan
kanan pada perlawanan-perlawanan pemanas badan di Amerika Syarikat. Berjaya
atau tidaknya eksperimen yang dilakukan beliau terhadap dua pemain ini akan
hanya terjawab sebaik musim kompetitif bermula nanti. Meskipun Young dan
Valencia sudah membuktikan bahawa mereka berjaya melaksanakan tugas sebagai bek
dengan baik pada perlawanan-perlawanan pemanas badan, mengharapkan agar dua winger ini mampu menggalas tugas di
posisi tersebut untuk keseluruhan musim tetap satu perjudian besar yang
dilakukan Van Gaal. Jika memang benar kelab berminat mendapatkan khidmat Mats
Hummels dari Borussia Dortmund, saya berharap misi memancing pemain pertahanan
berpengaruh itu berjaya dilaksanakan kerana selepas kita kehilangan Ferdinand
dan Vidic secara serentak, Hummels adalah antara calon paling layak memikul
peranan sebagai pemimpin barisan belakang The
Red Devils. Walaupun tampak sukar, saya masih percaya dan berharap agar
Jurgen Klopp 'bermurah hati' melepaskan tonggak pertahanannya itu jika ada
tawaran dari United untuk mendapatkan khidmat Hummels.
Selain dari benteng pertahanan, kekuatan bahagian
tengah juga masih menjadi tajuk perbahasan di kalangan penyokong-penyokong
United walaupun kelab berjaya mendapatkan khidmat Herrera. Dengan jendela
perpindahan musim panas bakal ditutup dalam tempoh tidak sampai tiga minggu
lagi, aktiviti kelab sepanjang pasaran perpindahan pemain kali ini mungkin
sedikit membingungkan kita. Meskipun sebelum ini digembar-gemburkan bahawa
kelab akan berbelanja besar bagi mendapatkan pemain baharu, Van Gaal nampaknya
seolah-olah 'berpuashati' dengan skuad yang dimilikinya ketika ini. Adakah
kehadiran Herrera cukup untuk menampung kekurangan di bahagian tengah ketika
kelab seperti Manchester City yang sudahpun memiliki limpahan midfielder berbakat terus memperkuatkan
posisi tersebut dengan menandatangani Fernando dan Frank Lampard. Saya berharap
bahawa kata-kata Van Gaal sebelum ini bahawa beliau tidak akan berbelanja lagi
bagi mendapatkan pemain baharu sekadar mainan psikologi, manakala kenyataan
yang dikeluarkan Ed Woodward (di MUTV) bahawa kelab akan menggunakan sepenuhnya
kekuatan kewangan yang dimiliki mereka bagi merampas kejuaraan liga dari City
satu jaminan bahawa akan ada nama besar yang bakal dibawa masuk nanti. Jika
benar apa yang dikatakan oleh Woodward, kelab sepatutnya menggunakan sepenuhnya
baki tempoh yang ada sebelum jendela perpindahan pemain ditutup bagi
meningkatkan kekuatan di sektor tengah. Hingga setakat ini, kita masih menanti
apakah kesudahannya spekulasi perpindahan Arturo Vidal atau jika Van Gaal gagal
membawa keluar pemain ini dari Turin adakah beliau memiliki pemain lain dalam
senarainya sebagai pengganti kepada bintang Chile ini?
Apapun keputusan yang bakal dilakukan Van
Gaal (sama ada mahu terus berbelanja atau tidak), tanda-tanda bahawa United
bakal sukses mengharungi musim 2014-15 sudah pun kelihatan sepanjang aksi pra
musim mereka. Ada pihak mengatakan bahawa sasaran membawa trofi Liga Perdana
pulang semula ke Old Trafford adalah realistik untuk diletakkan ke atas Van
Gaal (atas kapasiti pengalaman dan kejayaan yang pernah diraihnya sebelum ini).
Bagaimanapun saya tetap beranggapan bahawa meletakkan United kembali di
kelompok empat teratas tetap satu kejayaan buat beliau pada musim pertamanya
bersama kelab. Walaupun saya masih menanti dan berharap akan ada pemain baharu
yang bakal dibawa masuk Van Gaal untuk memperkuatkan skuadnya, saya juga dalam
masa yang sama tetap percaya jika perkara itu tidak berlaku, United di bawah
kendalian beliau musim ini tetap mampu mencabar pesaing-pesaing domestik lain. Van
Gaal sudah membuktikan kemampuannya ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona,
AZ Alkmaar dan Bayern Munich manakala dengan rata-rata pemain muda yang
dimilikinya, beliau berjaya mengemudi skuad kebangsaan Belanda hingga ke
separuh akhir kejohanan Piala Dunia 2014. Dengan The Red Devils kini di bawah kendalian Van Gaal, ramai pihak
optimis bahawa United akan kembali digeruni, malah ada juga yang sudah berani
meletakkan kelab sebagai antara calon pilihan menjulang trofi Liga Perdana
musim ini. Bagi saya dan anda selaku penyokong United, bermulanya saingan musim
baharu kali ini bukan sekadar menandakan bermulanya cabaran baharu, tetapi
lebih daripada itu ia turut menandakan bermulanya harapan baharu, era baharu
dan paling penting kita mahu menyaksikan United kembali bernafas. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
era baharu dan paling penting kita mahu menyaksikan United kembali bernafas. Glory Glory Manchester United
BalasPadamSasaran paling penting big 4 tapi kalau menang trofi liga satu bonus...GGMU!!!
PadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadam