Misi Manchester United memburu khidmat Marcos Rojo berakhir selepas pemain
pertahanan antarabangsa Argentina itu sah menjadi milik kelab membabitkan nilai
perpindahanan sebanyak 16 juta (Pound) yang terpaksa dibayar kepada Sporting Lisbon.
Selain dari nilai 16 juta yang terpaksa dibayar, kelab juga bersetuju
melepaskan Nani pulang semula ke Sporting sebagai pemain pinjaman yang juga
merupakan sebahagian dari syarat perjanjian sebelum kelab Portugal itu
bersetuju membenarkan Rojo menyertai United. Seperti yang kita ketahui, Rojo
adalah pemain ketiga yang ditandatangani kelab setakat ini selepas Luke Shaw
dan Ander Herrera dan pembelian Rojo juga menandakan bahawa kelab sudah
berbelanja sebanyak 75 juta dalam pasaran perpindahan pemain kali ini. Saya
yakin nilai perbelanjaan kelab musim panas ini akan bertambah jika diambilkira
dengan perkhabaran bahawa mereka juga sedang berusaha merealisasikan
perpindahan Angel di Maria dari Santiago Bernabeu. Melihat kepada persembahan
benteng pertahanan pada perlawanan pertama liga menentang Swnsea City Sabtu
lalu, kehadiran Rojo tentunya melegakan kita dan sudah tentu jugalah kita
berharap kekentalan beliau ketika membarisi back four Argentina di Piala
Dunia 2014 lalu bakal memberikan kekuatan tambahan di bahagian belakang The
Red Devils. Untuk rekod Rojo adalah pemain Argentina keempat yang menyertai
United selepas Juan Sebastian Veron menjadi yang pertama pada 2001, Gabriel
Heinze (2004) dan Carlos Tevez (2007). Sebelum kita menyaksikan debut
beliau untuk kelab, mari kita berkenalan dulu dengan pemain yang dilahirkan
pada 20 Mac 1990 ini.
Rojo dilahirkan di La Plata, 24 tahun yang lalu dan
memulakan karier awal bolasepaknya dengan menyertai kelab bandar kelahirannya
Estudiantes sebagai perantis sebelum menandatangani kontrak profesionalnya pada
2007. Bersama Estudiantes, Rojo berjaya membantu kelab tersebut memenangi Copa
Libertadores pada 2009 serta Liga
Apertura pada 2010 dan selepas tiga tahun mewakili Los Pincharratas, bakat
Rojo menarik minat Spartak Moscow lantas membuka pintu untuk beliau beraksi di
Eropah. Diusia 20 tahun, Rojo menyertai
Spartak Moscow pada Disember 2010 dengan nilai perpindahan 2 juta Euro tetapi
cuaca sejuk di Russia seolah-olah mula 'membekukan' bakatnya. Liga Russia
nampaknya bukanlah pentas terbaik untuk Rojo mempamerkan bakat sebenarnya dan
meskipun bergelut menyesuaikan diri dengan corak permainan di sana, Rojo tetap
diberikan peluang oleh Sergio Batista melakukan penampilan pertama bersama
skuad kebangsaan pada Februari 2011. Lima bulan selepas itu, tuah bersama skuad
kebangsaan terus menyebelahi Rojo apabila beliau disenaraikan dalam skuad Albiceleste
ke kejohanan Copa America. Rojo hanya kekal semusim di Moscow dan bagi
menyelamatkan kariernya, beliau memilih Portugal sebagai destinasi terbaharunya
dengan menyertai Sporting Lisbon pada musim panas 2012. Kehadiran Alejandro
Sabella sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan Argentina yang menggantikan
tempat Batista berikutan prestasi buruk Albiceleste di kejohanan Copa
America 2011 adalah rahmat buat Rojo. Kedua-dua individu ini pernah bekerjasama
ketika mereka di Estudiantes pada 2009 dan Sabella juga kenal benar dengan
bakat yang dimiliki bekas anak didiknya itu.
Di bawah kendalian Sabella, Rojo antara nama penting
dalam skuad kebangsaan Argentina hinggalah prestasi bagus yang dipamerkannya di
Piala Dunia 2014 menarik minat United untuk menjadikan beliau sebagai pemain
keempat dari Argentina selepas Veron, Heinze dan Tevez yang menyarung jersi The
Red Devils. Menyertai United merupakan tahap baharu kepada karier Rojo dan
sudah tentu jugalah berpindah ke kelab antara yang terbesar di dunia itu ibarat
mimpi menjadi kenyataan. "Menyertai
Manchester United umpama sebuah mimpi dan saya bangga kerana beroleh kesempatan
bermain di bawah kendalian (Louis) Van Gaal. Saya pernah bercakap tentang
Manchester United dengan Juan Sebastian Veron ketika kami bersama-sama di
Estudiantes. Saya menyukai cabaran bolasepak Inggeris dan saya yakin mampu
menyesuaikan diri dengan gaya permainan di sana", kata Rojo dalam
wawancaranya dengan Continental (stesyen radio Argentina). Rojo dan Heinze
memiliki satu persamaan, iaitu kedua-duanya bermain di posisi pertahanan kiri
tetapi Rojo lebih versatil berbanding Heinze kerana beliau juga mampu bermain
sebagai pertahanan tengah. Meskipun berkemampuan bermain di dua posisi berbeza,
Rojo bagaimanapun lebih selesa beraksi di sebelah kiri pertahanan berbanding
berada di tengah. "Anda perlu cepat menyesuaikan diri beraksi di mana-mana
posisi seperti yang dimahukan jurulatih. Tetapi secara peribadi saya lebih
selesa bermain di belakang sebagai bek kiri dan bergerak ke depan", ujar
Rojo.
Penilaian prestasi pemain yang dikeluarkan Castrol Index
semasa kejohanan Piala Dunia 2014 yang lalu menunjukkan Rojo mencatatkan rating
9.51 dan sudah tentu bukan sebarang pemain yang mampu mencatatkan penilaian piawaian
setinggi itu. Di Brazil, Rojo bermain sebanyak 6 perlawanan dan dari jumlah
tersebut beliau melakukan 22 clearance, 15 interceptions dan
menghalang percubaan lawan sebanyak dua kali, sekaligus menyaksikan gawang
Argentina hanya dibolosi empat kali ketika beliau beraksi. Sepanjang aksi di
Piala Dunia juga, kita dapat saksikan bagaimana Sabella memberikan sepenuhnya
kebebasan kepada Rojo memainkan peranannya sebagai bek kiri baik ketika
bertahan mahupun ketika melancarkan serangan. Selepas menanti beberapa hari dan
mendengar spekulasi demi spekulasi, Rojo akhirnya sah menyertai United dan
bakal bersama-sama rakan-rakan sepasukan baharunya menyertai sesi latihan di Aon
Training Complex. Kini tugas pertama Rojo ialah membuktikan bahawa beliau
memang layak menyertai United sebelum berkira-kira melakukan penampilan
pertamanya untuk The Red Devils. Terus terang saya katakan, kali pertama
saya menyaksikan Rojo beraksi di kaca TV ialah ketika Argentina berdepan Bosnia
Herzegovina pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2014. Melihat kepada
bakat dan peranan yang dimainkannya sepanjang kejohanan empat tahun sekali itu
(terutamanya ketika di final), saya yakin Rojo akan muncul pemain Argentina
paling berjaya di Old Trafford berbanding tiga lagi rakan senegaranya sebelum
ini. Sabtu lalu, kelemahan benteng pertahanan United berjaya dibongkar Swansea
City pada perlawanan pembukaan liga dan semoga kehadiran Rojo mampu menambah
kekuatan kepada posisi yang disebut-sebut ramai pihak sebagai titik paling
lemah The Red Devils. Bienvenido (Selamat Datang) Marcos Rojo...Glory Glory Manchester
United!!! - A.J
selamat datang.. kita kekurangan bahagian pertahanan lagi... kena sorang dorang permain lagi...
BalasPadamBetul Ruz, pertahanan kena kuat & pengganti Vidic/Rio kena cari segera.
PadamAngel Maria coming soon..... dengar cerita minggu depan... dengar cerita 3 orang nak mai minggu depan.. maria salah sorang nye.. 2 orang lagi tak tahu
BalasPadamYa betul menurut sumber dari staf man utd sendiri.... Sama² kita tunggu...
BalasPadam